Abbasiah, 1 Disember – “Anda masih belum dikira berjaya sekiranya anda menamatkan pelajaran di bumi Mesir ini tanpa mengenali rapat sekurang-kurangnya sebuah keluarga daripada warga arab Mesir”. Demikian cabaran yang dilontarkan oleh Prof. Madya Dr. Haji Mohd Radhi Ibrahim selaku Menteri Penasihat (Pendidikan), Education Malaysia Egypt (EME) melalui ucapan perasmiannya dalam program ‘Malaysian Day | Fakkir bil Malizi’ tempoh hari buat seluruh mahasiswa Malaysia khususnya apabila beliau melihat berlakunya fenomena pembentukan jurang yang menebal antara mahasiwa daripada pelbagai negara.

FB_IMG_1450369375361
Turut hadir Pegawai Pengurus Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mesir, Tuan Khairi Abdullah, penyelia pelajar Malaysia, Mr Radhi Said dan tenaga pengajar kuliah.

Menurut beliau, kebanyakan mahasiswa lebih cenderung untuk bergaul sesama rakan senegara sahaja tanpa ingin mengambil peluang untuk lebih mendalami dan mendekati mahasiswa yang berlainan adat dan budaya serta sempadan negara. Beliau meletakkan harapan yang tinggi agar setiap mahasiswa sama ada mahasiswa Malaysia mahupun Mesir untuk merobohkan benteng antara negara serta mampu untuk duduk semeja berdiskusi bersama-sama.

MALAYSIAN DAY
Gambar 1 : menerangkan sedikit sebanya mengenai bahan pameran

Namun, menurut pandangan Ketua Unit Musyrif, Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI), Abdullah Mustafa bin Azenan, tidak dinafikan juga bahawa masalah kewujudan jurang sedemikian sedikit sebanyak terhasil daripada masalah gangguan keselamatan oleh warga arab Mesir terhadap mahasiswa Malaysia terutamanya bagi mahasiswi. Situasi tersebut telah menimbulkan perasaan sangsi dan kurang percaya kepada warga tempatan untuk dijadikan sahabat atau pun kenalan di sini. Walaubagaimanapun, tidak seharusnya kita menghukum seluruh masyarakat hanya disebabkan perbuatan golongan minoriti tersebut. Kebaikan dan keramahan penduduk tetap terselit sekiranya kita berkehendak untuk lebih mengenali mereka.

Program ‘Malaysian Day | Fakkir bil Malizi’ merupakan yang julung kalinya diadakan di hadapan bangunan merah Universiti Ain Shams selama dua hari dengan pelbagai pengisian. Program yang menggabungkan kerjasama antara persatuan mahasiswa dua negara, PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) dan Sona’ El-Hayah ini menggunakan tema ‘Celebrating Togetherness’ sebagai simbolik kesatuan yang ingin dicapai sebagai objektif perlaksanaan program. Menurut pengarah, Saudara Muhammad Khairil Ashraf bin Muhammad Fisal, jalinan hubungan antara mahasiswa dua negara ini akhirnya terlaksana sudah dengan berkat kerjasama daripada pelbagai pihak setelah idea merapatkan jurang persatuan pelajar Arab dan PERUBATAN mula dicetuskan beberapa tahun yang lalu.

 

MALAYSIAN DAY
Gambar 2 : Pelajar Arab sedang menulis “loveletter” untuk program yang julung-julung kali diadakan.

“Tahniah atas penganjuran program yang sangat hebat dan ini merupakan program sulung bagi anda. Ia membentuk jalinan hubungan antara dua kelompok mahasiswa yang kelihatan serupa tetapi tidak sepenuhnya bergaul mesra sebelum ini. Seharusnya anda memanfaatkan kehidupan sebagai mahasiswa dan salah satu aspek yang utama adalah aktiviti kehidupan sosial. Jadi, kolaborasi yang dilaksanakan ini adalah satu mekanisme untuk mencapai target tersebut.” Demikian terjemahan ulasan Dr Dina Nabih Kamel Bolous selaku Professor bagi subjek ‘Community Medicine’ merangkap Penasihat kepada Persatuan Sona’ El-Hayah apabila diajukan soalan mengenai respon beliau berkenaan kerjasama antara dua buah persatuan mahasiswa berlainan negara yang bergabung tenaga dalam menjayakan satu program.