Bakal Pengerusi PCS sesi 2016/2017 sedang memberi ucapan
Bakal Pengerusi PCS sesi 2016/2017 sedang memberi ucapan

ABBASIAH, 20 Disember – Setelah sebulan berlangsung, Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Ain Shams akhirnya mengumumkan keputusan akhir undi pilihanraya cawangan. PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) akhirnya bakal mempunyai barisan kepimpinan baru bagi menerajui dan menaungi kebajikan mahasiswa di bumi Abbasiah pada sesi hadapan.

Muhammad Amiruddin Suhaini, Tahun 4 Kuliah Perubatan telah diumumkan sebagai calon Pengerusi setelah menang tanpa bertanding. Begitu juga bagi jawatan Timbalan Pengerusi dengan calon tunggalnya, Irshafinah Bt Jamaludin, Tahun 4 Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams.

Sebahagian daripada warga PCS sedang mengundi calon pilihan hati
Sebahagian daripada warga PCS sedang mengundi calon pilihan hati

Amiruddin yang dihubungi oleh wartawan mediaPERUBATAN berkata, “Selaku calon tunggal Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams sesi 2016/2017 sedikit sebanyak memberi impak positif kepada saya untuk terus meletakkan ‘mind-set’ bahawa saya sebagai pimpinan di posisi tersebut dan terus fokus kepada persediaan mental dan fizikal serta perancangan menuju MTC 2016. Saya yakin ada hikmah di sebaliknya.”

Pembentangan manifesto oleh saudari Sakinah
Pembentangan manifesto oleh Saudari Sakinah

Manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) terdapat persaingan sengit antara 19 orang calon. Namun, hanya 16 orang yang akan terpilih sekaligus tiga orang calon telah tersingkir.

Berkenaan sambutan ahli pada sesi pilihanraya pada tahun ini, Pengarah JPC Ain Shams, Mohd Nasrun Mohd Nizam menyimpulkan, ” Walaupun berlaku sedikit penurunan dari sesi lepas tetapi dengan pelbagai kesibukan, separuh ahli telah menunaikan tanggungjawab untuk mengundi. Itu sudah cukup membuktikan bahawa ahli PCS masih sayangkan kelangsungan pelayaran bahtera PCS untuk masa mendatang.”

Pengerusi PCS sesi 2015/2016 yang terbaru sedang memberi ucapan
AJK JPC yang sedang bekerja bagi memastikan keadaan berjalan dengan lancar ketika hari undian

Turut diumumkan adalah keputusan undi bagi jawatan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) yang akan mewakili cawangan di peringkat pusat. Bagi calon lelaki, Hanif Bin Khairudin menang tanpa bertanding manakala persaingan di peringkat perempuan akhirnya dimenangi Faten Sakinah Shawaruddin yang mendahului undi ke atas pencabarnya, Nurul Izzati Fuad.

Seluruh proses pengumuman keputusan pilihanraya diumumkan pengarah JPC dalam sesi khas pada malam ‘Book Review: Youth Problem’ Ahad lalu. Sesi bedah buku tersebut disampaikan oleh Imran Bin Kasran, Ketua Jabatan Akademik PERUBATAN 2015/2016.