SKUAD BOLA SEPAK KITA: MASIHKAH ADA HARAPAN?

PEMAIN MUDA HARAPAN MASA DEPAN BOLA SEPAK MALAYSIA

Skuad NFDP di IBER CUP

Jujurnya dan harus diakui juga, bahawa tahun ini bukanlah tahun yang menggembirakan dan menceriakan bagi sejarah bola sepak kita, khususnya untuk skuad bola sepak kebangsaan dan skuad bawah 23. Keputusan perlawanan antarabangsa yang mengecewakan dalam aksi persahabatan dan aksi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia serta aksi longlai di peringkat Sukan Sea dan Kejohanan Asia Bawah 22 tahun mencerminkan secara langsung tahap permainan bola sepak skuad-skuad ini tidak ada beza mahupun perubahan. Mungkin kini segelintir pihak sudah putus harapan untuk skuad ini dan hanya keajaiban yang besar sahaja yang mampu menagih kembali sokongan peminat kepada skuad ini. Jangan salah faham kerana sokongan itu sentiasa ada dan diberikan apabila mereka beraksi, namun para pemain seharusnya menggunakan aura & semangat peminat untuk sekurang-sekurangnya memberi aksi yang sengit, bukan aksi yang longlai.

Di saat sinar dilihat semakin malap, muncul sekelumit keceriaan dan sinar harapan untuk skuad bola sepak kebangsaan. Skuad NFDP menyinar di kejohanan antarabangsa sekali gus menunjukkan harapan bahawa masih ada sebab untuk kita menonton aksi bola sepak pasukan kebangsaan kita. Skuad bawah 19 yang kini berjuang di Laos untuk aksi Kejohanan AFF bawah 19 tahun juga diperhati penuh minat oleh para peminat.

Menerusi tema #sehatisejiwa untuk hari kemerdekaan tahun ini, marilah kita sebagai peminat bola sepak bersatu hati dan terus memberi sokongan kepada skuad muda kita yang seharusnya diberi sokongan dan galakan kerana mereka adalah harapan kita di masa hadapan. FAM perlu komited untuk menjaga skuad ini serta bertindak progresif untuk “menjual” bakat-bakat muda kita ke luar negara dan terus komited untuk membesarkan “talent pool” kita bagi meneruskan kesinambungan pemain-pemain berbakat kita. Bantuan daripada FA Negeri juga amatlah dihargai bagi memberi pendedahan lanjut kepada pemain muda yang berbakat dan janganlah diperam bakat mereka.

PERMAINAN SECARA BERPASUKAN ATAU PERMAINAN PENUH SENI DAN KREATIVITI

Isu ini mungkin tidak sehangat mana namun pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak, sama ada skuad Harimau Muda ini perlu dikekalkan atau dibubarkan. Melihat kepada persembahan skuad Harimau Muda A dibawah coach Razif Ismail & Datuk Ong Kim Swee, mungkin situasi dan nasib pemain-pemain perlu dan jangka hayat ini perlu diberi pertimbangan.

Malaysia sudah tewas beberapa kali dalam pusingan kelayakan ke Piala Dunia

Kita dapat lihat bahawa ketika saingan kejohanan bawah 22 Asia serta Sukan Sea di Singapura, persembahan mereka secara keseluruhan boleh dikatakan mengecewakan. Tiada apa yang boleh dibanggakan, terutamanya ketika aksi kejohanan bawah 22 tahun peringkat Asia dimana persembahan kurang meyakinkan dipamerkan. Bukan membela skuad bimbingan Datuk OKS, namun penulis berpendapat sebenarnya apabila kita sudah menang 2 kali pingat emas di Sukan Sea sebelum ini, kita seharusnya abaikan terus matlamat untuk raih pingat emas di Sukan Sea kerana tiada nilai yang besar jika menang sekalipun dan seharusnya ditumpukan pembangunan untuk kejohanan yang lebih besar seperti kelayakan bawah 22 tahun Asia dan mungkin jika mampu, untuk ke Olimpik.

Biarpun ada pemain yang menyinar namun ia hanyalah segelintir pemain sahaja dan seperti biasa, apabila kita ada 2-3 orang pemain yang berbakat seperti Kumarahan dan lain-lain, mereka seolah-olah diperam tanpa dipromosikan bakat mereka di luar negara. Pada pandangan penulis, apa yang perlu dilakukan kepada pemain-pemain berbakat ini untuk mereka dibawa dan di”jual” ke luar negara.

Manakala pemain lain seharusnya perlu diberikan peluang beraksi secara kompetetif dan kerap dengan pasukan negeri masing-masing. Walaupun mungkin timbul isu kesefahaman ketika mereka berkumpul semula dan beraksi bersama, namun sekiranya mereka biasa beraksi dalam tahap yang kompetetif, perkara itu boleh ditangani dengan baik. Namun, langkah ini adalah berisiko kerana terdapat beberapa pemain utama skuad Harimau Muda yang lebih kerap memanaskan bangku simpanan sahaja. Sama ada liga kita benar-benar boleh memberi aksi yang kompetetif untuk pembangunan mereka, sukar dijawab kerana ia adalah perkara yang subjektif, tetapi Liga kita sesuai untuk memberi pendedahan awal untuk aksi kompetetif.

Adakah masih relevan untuk skuad Harimau Muda dikekalkan?

Mungkin ya tetapi pelan asal Harimau Muda ini perlu dirombak secara keseluruhan, termasuk mengkaji semula kewajaran untuk mereka bermain di Liga-S. Pandangan penulis, aksi mereka di Slovakia mungkin lebih memberi manfaat berbanding di Liga-S, namun bukanlah aksi persahabatan tetapi aksi perlawanan liga seperti yang ditempuh oleh skuad OKS yang memenangi emas Sukan Sea tahun 2011.

MUTU DAN KUALITI SKUAD KEBANGSAAN DI TAHAP MEMBIMBANGKAN?

Pasti masih ramai yang tidak henti bersembang dan memperkatakan tentang kekalahan besar skuad kebangsaan 6-0 terhadap Oman, selain ranking skuad kebangsaan yang jatuh teruk di tangga 164 dunia, di bawah negara-negara seperti Bhutan dan Timor Leste. Disebabkan itu, kita menghadapi kesulitan sewaktu undian kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 baru-baru ini dimana kita ditempatkan bersama skuad Arab Saudi, UAE, Palestin dan Timor Leste, dimana skuad kita adalah skuad paling rendah diantara kesemua skuad di dalam kumpulan berkenaan.

Semakin ramai mempersoalkan dimana silapnya sehinggakan ranking kita jatuh teruk. Ketika ini terdapat ramai yang mempersoalkan tentang kebolehan jurulatih Dollah Salleh, terutamanya di sudut taktikal, selain ada yang memperkatakan bahawa inilah tahap bola sepak kita kerana bergantung kepada pemain yang ada yang mungkin tidak semua mempunyai kualiti untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Manakala tempoh persiapan yang pendek juga dijadikan alasan di atas kekalahan tersebut.

Dimanakah silapnya sebenarnya?

Khairy Jamaludin

Pada pandangan saya, semua pihak harus mula bertanggungjawab tentang hal ini. Malangnya, dilihat hanya sekarang baru pihak seperti FAM mula melihat ini sebagai serius. Atas sebab apa saya sendiri tidak pasti. Pada pandangan saya mungkin sudah terlambat untuk menyediakan skuad yang penuh kualiti di setiap posisi dan terpaksa bergantung kepada pemain yang sedia ada dan dinilai dari segi prestasi terkini di Liga, namun tidak ada salahnya untuk memanggil pemain-pemain muda daripada skuad Harimau Muda A dan B untuk bermain terus untuk skuad kebangsaan, memandangkan mereka sudah mula terlibat dengan “international assignment” sebelum skuad kebangsaan bermain perlawanan persahabatan dengan Oman tempoh hari.

Saya berpendapat bahawa perlunya skuad ini beraksi dengan skuad-skuad yang mana kedudukan mereka lebih tinggi daripada kita seperti Bhutan, India, Hong Kong dan Afghanistan yang sudah mula jauh meninggalkan kita dari segi ranking sebagai persediaan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia berbanding perlawanan menentang Spurs dan Liverpool dimana negara-negara berkenaan juga dalam persiapan perlawanan yang sama berbanding perlawanan kelab EPL yang mana skuad yang lain boleh dihantar untuk perlawanan tersebut.

Mungkin ini masanya untuk memanggil Kumaaran, Nazirul Naim, Rozaimi dan lain-lain untuk ke skuad kebangsaan. Saya juga menyokong saranan yang dibuat baru-baru ini oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin untuk memanggil lebih ramai pemain seperti Matthew Davies, Brendan Gan dan Junior Edstal untuk mewakili skuad kebangsaan, namun harus diteliti terlebih dahulu kualiti mereka. Penulis berpendapat mungkin bola dipanggil semula pemain seperti Tan Shun Seang yang tidak silap penulis pernah dipanggil sebelum ini oleh Datuk Ong Kim Swee serta jika boleh dipanggil juga Titus James Palani untuk dilihat aksinya setelah sekian lama berkelana di Eropah.

Akhir sekali,kejayaan tidak akan datang bergolek. Ia perlu dilengkapkan dengan usaha serta perancangan yang rapi.Bagi meningkatkan kualiti dan mutu permainan serta kecekapan pemain bola sepak negara kita,semua pihak berwajib mestilah memainkan peranan masing-masing terutamanya kerajaan(FAM) dan pemain sendiri dalam mencapai matlamat ini.

SUMBER RUJUKAN

http://hadriegas.blogspot.com.eg/2015/06/masyarakat-majmuk-dalam-bola-sepak.html
http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2014/04/11/pelan-pembangunan-bola-sepak-negara/
http://newmalaysianpost.com/2015/06/08/masa-depan-bola-sepak-negara-membimbangkan-khairy/
http://www.ultrajang.com/budaya-bolasepak-kita/

MINDA PIMPINAN

Muhammad Rafiq bin Rosidi
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online