Matju , lantang berdebat
Matju bangun mempamerkan bakat terpendam

ABBASIAH, 12 November – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Teratak Ulul Albab sekali lagi menjadi saksi kemantapan bakat ahlinya. Percubaan pertama kumpulan debat Bahasa Inggeris yang mewakili PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) nyata tidak mengecewakan hadirin apabila usul yang diutarakan telah diterima sebulat suara. Kumpulan ini dibarisi oleh tiga mahasiswa Universiti Ain Shams, Zulkifli Ab. Rahim, Muhammad Aiman bin Mohd Azhari dan Muhammad Hanif bin Khairuddin selaku pihak kerajaan yang membahaskan isu vaksin dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia bertemu pihak pembangkang diwakili oleh kumpulan daripada PERUBATAN Cawangan Al-Azhar.

Tambahan pula, keterujaan dan kegembiraan bagi Zulkifli Ab Rahim dan Muhammad Aiman bin Mohd Azhari berganda apabila keputusan peperiksaan bagi Tahun 5 Perubatan Universiti Ain Shams turut diumumkan ketika itu. Keputusan cemerlang tersebut secara tidak langsung telah berjaya menempatkan mereka sebagai mahasiswa tahun akhir perubatan pada sesi akan datang. “Suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Gemuruh yang sepatutnya terarah kepada perjalanan pertandingan terus beralih fokus kepada kaca skrin telefon bimbit. Satu hadiah yang berharga untuk saya. Saya pelajar tahun akhir! Alhamdulillah”. Demikian respon yang diberikan oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) sesi 2015/2016 yang lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Matju’ ini tatkala diajukan soalan temubual seusai tamat pertandingan semalam.

Dalam pertandingan tersebut juga, PCS terus membuktikan kehebatannya menerusi pengiktirafan salah seorang ahli kumpulannya sebagai pendebat terbaik. Gelaran tersebut menjadi milik Muhammad Aiman yang juga merupakan Perdana Menteri dalam sesi perlawanan itu. Pembinaan dan gaya lontaran hujah serta fakta yang jelas telah berjaya memikat barisan panel juri untuk melayakkan beliau memegang gelaran tersebut. Aiman dalam ulasannya berterima kasih kepada Saudara Muhammad Shafiq bin Kadir, juga salah seorang peserta bahas Bahasa Melayu selaku individu yang menguruskan kumpulan ini sepanjang sesi latihan. Boleh dikatakan ini pengalaman pertama kumpulan ini mengharungi pentas debat apatah lagi menggunakan Bahasa Inggeris, pastinya menjadi antara cabaran utama yang perlu ditempuhi. Beliau juga menyuarakan rasa teruja apabila banyak bakat ahli PCS yang terserlah melalui aktiviti debat sebegini di samping menaruh harapan agar aktiviti ini bakal diteruskan untuk masa akan datang.

Pertandingan debat Bahasa Inggeris ini adalah salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir(PERUBATAN) bawah kelolaan Biro Akademik PCS, PCA, PCK  sesi 2015/2016 melalui program yang diberi nama Scientissimo Month (SiM) 2015. Program yang bakal berlangsung selama dua minggu sepanjang bulan November ini bertujuan untuk menerapkan ilmu pengetahuan juga nilai professionalisme berkaitan sains kesihatan, meningkatkan dan menguji kemahiran ahli serta mencungkil bakat-bakat terpendam ahli PERUBATAN.

SIM 2
Hero-hero PCS terus mengharumkan nama PCS  dengan siri-siri kemenangan

 

SIM 3
Persaingan sengit antara dua pihak