PERCANGGAHAN PENDAPAT DUA BLOK IDEALOGI

Sejarah telah melihat para pemikir Greek termasuk Aristotle secara kategorinya menerima Euthanasia dengan alasan utama untuk mengurangkan kesakitan. Walaubagaimanapun, apabila sains berkembang, perbahasan mengenai isu-isu agama dan etika tentang Euthanasia telah meningkat dengan pragmatik.

Dalam menceritakan tentang hujah-hujah berkaitan pandangan medical ethics terhadap euthanasia, terdapat dua perspektif yang melihat euthanasia sebagai boleh dan tidak boleh. Dua kelompak yang berbeza pandangan berkaitan perihal ini ialah puak pro-arguments dan satu kumpulan lagi ialah anti-euthanasia arguments.

Secara simplistik, kumpulan anti-euthanasia melihat pencirian secara moral terhadap isu mematikan hayat seseorang ialah sangat tidak sebati dengan asasi nilai-nilai kemanusiaan. Membenarkan diri sendiri rela untuk dibunuh dan bekerjasama dalam sebarang proses mempercepatkan kematian ialah tiada bezanya dengan prinsip-prinsip yang tercipta di sebalik kaedah membunuh diri sendiri iaitu suicide. Motif euthanasia ialah untuk mengelakkan dari satu masalah yang spesifik. Maka, hipotesis yang lebih tepat ialah , “membunuh diri merupakan satu kaedah untuk melarikan diri daripada masalah yang dihadapi”. Kini, tiada udang lagi di sebalik batu!

62f43e42-ec65-11e3-a787-8797c01ddc20_web_translate_-26.64372_-8.40868__scale_0.1694912_0.1694912__

Individu yang menghadapi tekanan hidup seperti impak ekonomi dan kemudiaannya, memilih jalan untuk menemui ajal ialah satu tindakan yang dipersetujui umum sebagai tidak beretika.

Ironinya, puak pro- euthanasia sudah tentu mempunyai sisi pandang yang reflektif. Relevanisasi yang dikemukakan ialah setiap insan mempunyai hak yang jelas untuk mati dan ini memungkinkannya menjadi satu realiti selagi tidak bercanggah dengan prinsip dakwaan liberal iaitu bukan memberi bahaya kepada orang lain.

Mereka mempercayai bahawa euthanasia memenuhi kriteria hak asasi manusia bahawa dan kaedah-kaedah moral mestilah bersifat universal. Dalam membincangkan entiti apakah yang didakwa meng’universal’kan kaedah-kaedah moral maka, ianya  berkait rapat dengan soal hak-hak asasi kemanusiaan.

Tamsilnya, satu sudut pandang baru tercipta iaitu hak untuk mati adalah termasuk daripada cabang-cabang hak untuk hidup dengan tanda menafikan bahawa mati itu ialah ciri antonim hidup. Namun, proses-proses untuk mati adalah sebahagian daripada kehidupan.

Memetik kata-kata lagenda agung Masyarakat Hak untuk Mati Sedunia iaitu  Mendiang Professor Ronald Dworkin, the philosophers of law of the post-war era di dalam buku “An Argument about Abortion, Euthanasia, and individual Freedom” :

“Tetapi undang-undang semua negara Barat (kecuali Belanda ) masih melarang doktor dan orang lain daripada terus membunuh orang atas permintaan mereka sendiri, sebagai contoh dengan menyuntik racun yang menyegerakan maut .

Oleh itu, undang-undang memberikan hasil yang nampaknya tidak rasional bahawa orang boleh memilih untuk mati dengan cara menolak untuk makan, menolak rawatan yang menyimpan mereka hidup-hidup , atau dicabut dari pernafasan dan menyesakkan , tetapi mereka tidak boleh memilih. Kematian tidak menyakitkan yang cepat dari doktor dengan mudah sepatutnya dapat diberikan ” .

Hak untuk hidup memberikan seseorang hak untuk tidak dibunuh jika mereka tidak mahu dibunuh. Pihak yang menyokong euthanasia akan berhujah bahawa menghormati hak ini adalah mencukupi untuk melindungi pesakit daripada penyalahgunaan euthanasia. Sebagai contoh, jika seorang doktor  membunuh seorang pesakit yang tidak mahu mati maka telah melanggar hak orang itu.

Berbeda pula dengan penentang euthanasia mungkin tidak bersetuju dan berhujah bahawa membenarkan euthanasia akan meningkatkan risiko pesakit yang mahu hidup dibunuh. Keburukan hasil melanggar hak untuk hidup ini begitu besar. Justeru, adakah ianya merupakan alasan yang cukup konkrit untuk menentang euthanasia?

NERACA PERTIMBANGAN ETIKA PERUBATAN

Dalam aspek berkaitan isu ini, Persatuan Perubatan Amerika mengiktiraf kedudukan euthanasia secara pasif. Walaubagaimanapun, bukanlah di semua tempat menjadikan euthanasia sebagai Rang Undang-undang. Namun, euthanasia secara aktif tetap dianggap menyalahi etika perubatan pada pandangan persatuan ini kerana ianya tidak wajar.

Sebaliknya, dalam dokumen “CONSENT FOR TREATMENT OF PATIENTS BY REGISTERED MEDICAL PRACTITIONERS” atau “KEBENARAN UNTUK RAWATAN PESAKIT OLEH PENGAMAL PERUBATAN BERDAFTAR” yang diteribitkan oleh Malaysia Medical Council dalam topik Kerelaan untuk Hidup (Living Wills) pada perenggan pertama menyatakan bahawa:

” Seorang pengamal perubatan perlu menahan diri daripada memberi rawatan atau melaksanakan apa-apa tatacara di mana terdapat arahan bertulis yang jelas oleh pesakit bahawa sesuatu rawatan atau prosedur itu tidak diperlukan. Walaubagaimanapun etika ini tidak terpakai sama sekali sekiranya melibatkan permintaan yang bersifat aktiviti-aktiviti yang diharamkan oleh undang-undang seperti Euthanasia dan penamatan kehamilan (termination of pregnancy).”

Andai diikutkan pula kepada bait-bait kata ‘do no harm’ dalam Sumpah Hippocrates, ahli falsafah tersebut membuat spesifikasi secara terang lagi bersuluh setiap doktor itu tidak akan memberikan ubat yang boleh membawa maut kepada semua orang ataupun tidak akan memberikan cadangan seumpama itu. Maka dapat dilihat dari pengamatan mudah ini, sesungguhnya keharusan Merciful Killing yang dikurniakan oleh falsafah barat telah ditentang secara bulat-bulat di peringkat kontemporari mahupun global. Apatah lagi Sumpah Hippocrates yang dipetik dari teks lama perubatan Yunani turut secara tidak langsung menolak konsep euthanasia untuk menjadi praktikal dalam dunia perubatan.

HUKUM SYARAK TERHADAP EUTHANASIA

Pendirian etika perubatan untuk berseorangan dalam isu ini ialah sangat tidak mencukupi dalam mendepani tribulasi sebegini.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Eutanasia atau Mercy Killing. Hasil perbincangan berpendapat bahawa menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam.

Ertinya, sesiapa saja yang terlibat dalam kes ini maka mereka telah melakukan dosa besar kerana semua yang terlibat bersetuju dan meredai perbuatan ini.

Senada dengan firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud : “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja…”

Ini merupakan larangan yang jelas disebutkan dalam Al-Quran dengan ulangan sebanyak 23 kali sama ada peringatan secara langsung atau melalui amaran-amaran Allah dengan azab seksa yang bakal diterima oleh si pembunuh. Namun, adakah semua euthanasia adalah dilarang?

elderly-euthanasia2-e1386976654437

Jawapannya, tidak kepada jenis Euthanasia secara tidak langsung. Nama lain kaedah ini iaitu Double-Effect Medication tidak melibatkan perbuatan bunuh kerana ia tidak dilakukan bertujuan untuk menghentikan hayat pesakit. Jenis ini bukanlah bertujuan untuk mempercepatkan kematian namun sebaliknya untuk mengawal penyakit serta kematian itu pula merupakan takdir dan ketentuan Ilahi. Hal ini sangat berdekatan dengan kaedah fikah iaitu sekiranya dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan dan syarak juga menetapkan darurat yang lebih teruk digugurkan dan darurat yang lebih ringan dihadapi.

Bukankah Islam ini merupakan agama yang sempurna mencakupi semua aspek kehidupan? Ingatkah kita akan antara ciri agama Islam ialah wajib mempertahankan lima dharuriyat yang menjadi asas dalam membentuk kemuliaan masyarakat madani iaitu memelihara;

1. Agama

2. Jiwa

3. Nasab keturunan

4. Akal

5. dan Harta.

Dengan pegangan agama yang kukuh, maka pesona kehidupan masyarakat akan menjadi bertambah unggul. Islam memainkan peranan yang sangat penting. Dengan semakin kuat kepercayaan masyarakat terhadap agama, bukan kah indeks jenayah bunuh diri semakin berkurang?

FATWA ULAMA BERKAITAN MERCIFUL KILLING 

Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhrawi telah menjawab persoalan ini secara teliti dan panjang lebar, antaranya seperti berikut ;

– Memudahkan kematian tidak harus mengikut syarak kerana padanya tindakan positif dari pihak pengamal perubatan bertujuan mematikan pesakit. Bersegera dalam memberi ubatan yang berdos tinggi menyebabkan kematian dianggap sebagai pembunuhan. Begitu juga dengan kejutan elektrik atau alat yang tajam.

– Memudahkan kematian dengan menghentikan alat bantuan tidak dianggap satu kesalahan terutamanya pesakit seolah-olah sudah mati tanpa deria rasa. Hal ini kerana membiarkan dalam keadaan sedemikian sudah pasti memerlukan belanja yang besar. 

KOMA, PERSISTENT VEGETATIVE STATE (PVS) DAN BRAIN DEATH – KAITANNYA DENGAN EUTHANASIA DAN AGAMA 

Setiap terma di atas membawa karakter yang berbeza. Unjuran kepada tiga fahaman ini penting dalam menentukan sama ada euthanasia itu sedang dijalankan untuk menghentikan hayat pesakit.

Dalam erti yang lebih mudah koma, ialah satu keadaan pesakit tidak sedarkan diri. Seseorang yang berada dalam koma tidak akan bertindak balas terhadap sebarang rangsangan seperti sentuhan dan suara. Walaubagaimanapun, pesakit yang koma mempunyai tanda-tanda aktiviti saraf dan aktiviti sel-sel otak serta menghasilkan arus elektrik yang dikesan melalui gelombang elektroencephalografi (EEG) yang terbentuk di layar skrin monitor.

Manakala, PVS pula ialah pesakit dengan kerosakan teruk pada bahagian serebrum otaknya dan tidak bertindak balas dengan dunia luar. Keadaan ini berlaku sama ada kesan daripada kecederaan trauma pada otak, proses metabolisma yang luar biasa atau kecacatan serius seperti congenital diseases.

Dua keadaan di atas ialah sangat berbeza dengan pencirian pada terma mati otak. Definisi mati otak ialah suatu keadaan apabila pusat-pusat penting di bahagian pangkal otak (brain stem) yang berperanan untuk mengekalkan proses pernafasan secara spontan dan mengekalkan aliran darah ke seluruh badan tidak berfungsi.

Berdasarkan ketiga-tiga kes ini, umum perlu jelas dua bahawa terma pertama tidak boleh dijalankan euthanasia kerana kedua-duanya masih hidup melainkan dengan pengesahan kematian otak berlaku. Hal ini kerana sewaktu kematian otak diumumkan, pesakit hanya bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dan hayat pesakit boleh dihentikan selepas mengambil kira peluang untuk hidup dan kembali sembuh sudah tiada.

LOMPATAN SAUJANA : SELIDIKILAH DENGAN BIJAKASANA 

Kehidupan manusia ini ialah satu amanah dan tidak boleh dicampakkan ke dalam lautan kebinasaan atas apa-apa jua alasan sekalipun. 

Di penghujung tinta penulisan ini, kita sekurang-kurangnya sudah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan euthanasia ini. Dalam menghadapi mehnah dunia globalisasi tanpa sempadan dan jaringan dunia maklumat yang hanya di hujung jari, bukankah pengetahuan manusia semakn bercambah seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan?

Malangnya, sifat-sifat insaniah pada manusia hilang dan manusia zaman atom ini bertambah dangkal di sebalik kebanggaan material yang diagung-agungkan sehingga mendahului keupayaan beratus-ratus dasawarsa dari zaman nenek moyang kita.

Begitu jualah dunia perubatan ini. Pelbagai isu kontroversi sentiasa muncul sepanjang sejarah medikologi yang panjang. Dari warisan kitab-kitab lama ubat-ubatan, etika-etika moral, vaksin, hak-hak asasi sehinggalah merentasi kekuatan sains dan teknologi menjadikan anugerah ini kadang-kadang mudah bertukar menjadi sesumpah magis; penyakit yang dahulu tidak pernah akan sembuh kini sudah mampu kita rawat dan cegah!

lifeanddeath

Kajian menunjukkan kes-kes yang menuntut euthanasia dijalankan telah menurun dalam 5 tahun selepas Belanda meluluskan euthanasia. Hasil daripada kajian yang teliti didapati penurunan ini ialah disebabkan permintaan dan gesaan rakyat belanda yang mahu inovasi dalam rawatan dan bukanlah dengan mengambil jalan sambil lewa seperi euthanasia.

TIdak mustahil suatu hari nanti seiring dengan perkembangan teknologi, tumor paling agresif dan ditakuti oleh jasad-jasad manusia hanya mampu bisa dirawat dengan satu suntikan yang sakitnya hanya seperti digigit semut merah. Sekaligus, inilah yang menuntut penilaian daripada kita bakal-bakal saintis masa hadapan bagi mendefinisikan semula pelbagai kaedah rawatan yang signifikan.

Mungkinkah anda ialah seorang lagi Galen dan Avicenna yang dicari ummah?

SUMBER RUJUKAN

  1. Ustaz Zahazan, Pembunuhan Rahmah (Merciful Killing)
  2. Mohd Ilham Ismail, Brain Death pada pandangan Islam dan Perubatan, Monograf MANHAL PMRAM, Edisi Medik, 2005
  3. Professors of Physiology Department, Physiology Part One and Two, Ain Shams University, Cairo, 2012.
  4. Salman Amirudin, Kertas Kerja Forensik dan Bedah Siasat dalam Perubatan, Universiti Kaherah, 2005
  5. Abdi O. Shuriye, Islamic Ethical Values on Bioengineering Practices: Issues in Genetic Engineering. Research Management Centre, IIUM, pp. xiv- xvi, 2006.
  6. Abdi O. Shuriye, Ethical and Religious Analysis on Euthanasia, Department of Science in Engineering, Faculty of Engineering, International Islamic University Malaysia, p.211, 2011.
  7. John Keown, Euthanasia: Ethics and Public Policy and Argument against legislation, Cambridge, Cambridge University Press, 2002, p.11
  8. Malaysian Medical Council, Consent for Treatment of Patients by Registered Medical Practitioners, 2013
  9. Wilson KG1Scott JFGraham IDKozak JFChater SViola RAde Faye BJWeaver LACurran D., Reasearch Paper : Attitudes of terminally ill patients toward euthanasia and physician-assisted suicide, Pubmed, 2000
  10. The World Federation of Right to Die Societies,Famous Right to Die debater Professor Dworkin, Right to Die Fact Sheet, 2013
  11. e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-eutanasia-atau-mercy-killing
  12. bbc.co.uk/ethics/euthanasia

LAMAN KOLUMNIS | ISU MEDIKAL

Muhammad Shafiq bin Kadir
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Nama beliau tidak asing lagi dalam penulisan karya di Perubatan cawangan Ain Shams. Beliau banyak menghasilkan penulisan yang menarik dan mempunyai tarikannya yang tersendiri.  Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Hak untuk Mati, Reformasi Ulama Melayu Semenanjung EmasUlama Melayu di Persimpangan Imperialisme dan Konflik, Gaza di Kala SahurGST : Berpijak di Bumi Nyata , Memahami apa itu GST dan Vaksin : Bahayakah?. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.