بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita lafazkan pada Yang Maha Esa atas nikmat yang dikurniakan kepada kita selaku hamba yang fakir ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W. berkat keringat peluh yang menghiasi sirah perjalanan hidup dakwah baginda menyebabkan umat manusia sehingga ke hari ini masih merasa nikmat Iman dan Islam.
Agama Islam yang diajarkan baginda Nabi S.A.W. pada seluruh umat manusia ini lengkap dan sesuai dengan segenap aspek kehidupan.

Antara perkara besar yang diajarkan dalam Islam ialah aspek kepimpinan. Dalam menggerakkan sesebuah tamadun ataupun masyarakat pastinya berhajatkan pada satu ketua ataupun sebuah kepimpinan yang mampu meneraju masyarakat mengikut landasan Islam. Sabda Rasulullah S.A.W.,
“Jika kamu keluar tiga orang ke suatu tempat maka lantiklah salah seorang daripada kamu menjadi ketua.” (Riwayat Muslim)

Islam menetapkan keutamaan untuk memilih pimpinan yang mempunyai sifat amanah, adil lagi bijaksana. Hal ini penting bagi memastikan Islam serta syariatnya dapat dilaksanakan dengan baik. Sirah baginda Nabi S.A.W. bersama para sahabat menjadi contoh pedoman buat kita semua.
Andai disingkap kembali peristiwa kewafatan baginda Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat terlebih dahulu berbincang untuk memilih pemimpin dalam kalangan mereka untuk menggantikan Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan hanya sebahagian sahabat sahaja termasuk Ali bin Abi Talib R.A. yang menguruskan jenazah Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa ini memberitahu kita satu akhlak yang murni bahawa urusan memilih pimpinan itu adalah satu tanggungjawab yang sangat besar dan terlebih utama.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN Cawangan (JPC) 2015/2016.

Saban tahun peneraju kepimpinanan PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) akan bertukar ganti, yang baru bakal menggantikan yang lama. Pimpinan baru bakal membawa aspirasi kepimpinan yang baru namun tetap selari dengan pembawaan yang telah digariskan PERUBATAN. Sehubungan dengan itu, satu proses pemilihan AJKT PCS bakal dijalankan tidak lama lagi. Proses perlantikan barisan kepimpinan baru ini akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dinamakan Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC). Mereka bertanggungjawab bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan lancar, bebas, telus dan bersih.

Selari dengan perlembagaan PERUBATAN, Bab 4 Fasal 27 (1) (a):
“Jawatankuasa Khas untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang selepas ini disebut sebagai Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan Ahli JawatankuasaTertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Bertepatan juga dengan isi perlembagaan PERUBATAN, Bab 4 Fasal 30 (5) (b):
“Tugas-tugas Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan adalah seperti berikut: (b) Melantik Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Maka dengan ini, pihak Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Ain Shams sesi 2015/2016 telah berbincang dan bersetuju untuk melantik saudara Mohd Nasrun bin Mohd Nizam sebagai Pengarah JPC PCS 2015 manakala saudari Nur Hanis binti Ismail sebagai Timbalan Pengarah JPC PCS 2015.

Kami menyeru seluruh warga PERUBATAN Cawangan Ain Shams untuk turut sama memeriahkan pilihanraya tahun ini dan sama-sama turun menunaikan tanggungjawab memilih calon AJKT pilihan anda yang akan meneraju PERUBATAN Cawangan Ain Shams pada sesi hadapan.

Sekian. Siiru Ala Barakatillah.

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“PCS, Kita Satu Hati”

image
MUHAMMAD FAIZ MUJAHID BIN MOHD SAFIEE
Ketua Lembaga Penasihat
PERUBATAN Cawangan Ain Shams
2015/2016