“ Maha Suci (Allah) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari mereka sendiri, mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui ” (Surah Yassin : 36)

Fitrahnya manusia itu adalah kepada saling memerlukan. Begitu juga dengan apa yang ada di dunia ini, di laut mahupun di darat kesemuanya Allah S.W.T  ciptakan dalam keadaan berpasang-pasangan. Ada lelaki dan pastinya ada wanita. Perbezaan yang wujud sama ada dari sudut cara pemikiran, tingkah laku, bahkan juga kehendak telah menjadi antara daya tarikan bagi kedua-duanya. Hal ini boleh diumpamakan seperti sebuah magnet yang mempunyai 2 kutub yang berbeza  tetapi mempunyai daya tarikan yang kuat antara satu sama lain

IMG_7953Secara umumnya, ramai mungkin mengetahui bahawa percampuran yang bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram, hukumnya adalah haram dan ditegah dalam Islam. Bentuk pergaulan yang dimaksudkan bukan sahaja secara terang-terangan seperti berkumpulan atau bersendirian tetapi termasuklah  secara maya dalam laman media sosial. Contohnya di Facebook mahupun Twitter. Perhubungan yang pada asalnya hanya atas dasar keperluan dan kepentingan, malangnya telah berubah kepada sesuatu yang bersifat peribadi bagi individu tersebut. Dalam era globalisasi kini, perkara yang lebih serius akan terjadi sekiranya keadaan seperti ini diambil mudah oleh ramai pihak terutamanya anak muda.

 

A : Assalamualaikum.. nak tanya. Macam mana dengan bajet belanjawan untuk program nanti? Ada masalah ke?

B : Waalaikumussalam. Okay je semua. Cuma, ada yang nak kena betulkan balik. Kena tunggu bajet dari semua ajkp dlu. Nnt saya hantar balik.

Setelah 10 minit kemudian…

A : Eh, nak tanya juga. Awak dah mula kuliah hari ni kan. Macam mana? Okay ke doktor yang ajar tadi? Kalau banyak, nanti bagi saya yang betulkan semula. Lagipun, minggu ni banyak kelas saya habis awal. Hehe J

B : Oh ya… Hehe. Alhamdulillah okay je tadi. Cuma buku je tak dapat lagi. Kena dengar je doktor cakap L . Tidak dapat nak salin sangat. Hehe. Eh, yang utk belanjwan tu tidak megapalah. Saya boleh betulkan semula.

IMG_7951

Perhubungan dalam alam maya kini dianggap remeh bagi sesetengah golongan. Mereka beranggapan bahawa perkara ini adalah satu kelaziman dan tidak mendatangkan apa-apa keburukan. Hal ini kerana kedua-dua pihak  yang berlainan jantina tidak perlu bertemu untuk berhubung, cukup sekadar berbual dalam laman sosial. Meskipun begitu, perkara ini sebenarnya secara tidak langsung boleh menimbulkan fitnah dan salah faham orang yang memerhati.

“ Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk” (Surah Al-Israa’: 32)

Ayat Quran di atas telah menjelaskan kepada kita bahawa jalan mendekati zina itu sendiri adalah suatu zina. Mendekati zina dalam ayat tersebut bermaksud apa jua perlakuan ataupun tindakan seseorang individu yang mana boleh memberi ruang kepada berlakunya kemaksiatan dalam sedar mahupun tidak. Oleh itu, walaupun tidak berjumpa bertentang mata, tetapi perhubungan antara lelaki dan wanita tanpa adanya keperluan melalui laman media sosial itu sendiri tergolong dalam zina hati. Dan tindakan seperti ini sudah pastinya akan membuka kepada ruang kemaksiatan jika tidak dicegah dari peringkat awal.

Hukum ikhtilat yang pada asalnya haram boleh membawa kepada harus sekiranya ada keperluan. Bahkan menjadi satu kewajipan dalam perkara yang penting. Dalam konteks  kehidupan kita sebagai seorang mahasiswa, kita tidak lari dari perkara yang melibatkan perhubungan antara lelaki dan wanita dalam kehidupan seharian. Sebagai  contoh, dalam pembelajaran, mesyuarat, berjual beli dan banyak lagi. Menurut ahli sunnah wal jamaah, ulama mengambil pendapat pertengahan dalam perkara ini, iaitu tidak mengharamkan secara mutlak dan tidak menghalalkan secara mutlak.

Meskipun begitu, terdapat beberapa syarat atau panduan yang perlu kita penuhi dalam berikhtilat. Antaranya, menjaga pandangan serta batas-batas pergaulan, menutup aurat dengan sempurna dan sudah pastinya menjauhi fitnah seperti tidak berdua-duaan dalam keadaan terbuka mahupun tertutup. Akan tetapi, syarat utama yang mengharuskan ikhtilat syar’ie ini adalah adanya keperluan penting sebagaimana contoh di atas. Garis panduan ini hendaklah dipatuhi oleh semua pihak supaya matlamat dan tujuan asal pertemuan tersebut dapat dicapai.

IMG_7950
Jaga Ikhtilat!

Islam dikatakan sebagai agama yang syumul dengan merangkumi semua aspek kehidupan seharian kita sebagai individu muslim. Jadi, mengapa agaknya kita ditegah daripada bergaul secara bebas lelaki dan wanita? Apakah kepentingannya? Setiap perkara yang digariskan hukumnya dalam Islam pasti mempunyai sebab dan tujuan yang kukuh. Perkara-perkara yang tidak diingini seperti keruntuhan akhlak dalam kalangan anak muda atau fitnah yang berleluasa pastinya dapat dielakkan. Hal ini sekaligus dapat menutup segala jalan kemaksiatan yang ada. Tambahan lagi, penjagaan ikhtilat yang berlandaskan syariat yang betul sudah tentu dapat membentuk peribadi muslim yang cemerlang dan baik akhlaknya.

Kesimpulannya, Allah S.W.T  mencipta manusia di muka bumi ini dengan dua jantina yang berbeza adalah untuk saling melengkapi antara satu sama lain sekaligus menutup kekurangan yang ada  kerana semua manusia itu pastinya tidak sempurna. Meskipun begitu, hal ini tidak boleh diambil remeh dan dijadikan sebagai alasan untuk bergaul secara bebas tanpa adanya had serta batas-batas pergaulan. Terdapat syarat dan garis panduan yang perlu dipatuhi. Sesungguhnya, permasalahan ikhtilat tidak syarie’ ini seharusnya dipandang serius dan ditangani oleh semua pihak bagi membendung masalah sosial yang kian berlaku khususnya dalam masyarakat kita kini. Segalanya pasti bermula dari dalam diri kita sendiri. Tepuk dada tanya iman. Berubah dan bertaubatlah !

Sumber :

http://90born.forumotion.com/t678-ikhtilatpergaulan-bebas-menurut-hukum-islam

http://wanfauzi.com/definisi-ikhtilat-hukum-menurut-syara/

http://ubs-pmram.blogspot.com.eg/2010/07/nak-ikhtilat-boleh-tak.html?m=1

KARYA AHLI | JAKSI : FASA IKHTILAT

SITI RODHIAH BINTI ZORKARNAIN

Timbalan Pengarah
Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.