Tinta Anggerik.

Anggerik juga dipetiknya,
sudah layu,
Di kuburan hati gersang,
Kemarau selepas taufan noda,
Pada malam sirna purnama

Dengan tinta ungu si anggerik,
Akan ku lukis potretnya,
Tasik taubat tebingnya keinsafan,
Mengikut arca kalimat Ilahi

Sedang kemarau kan pulang,
Selepas taufan kan mengulang,
Keringlah tasik itu.
Selepas taufan kan pulang,
Sedang kemarau kan mengulang

Mengikut arca kalimat Ilahi,
Tasik taubat tebingnya keinsafan,
Akan ku lukis potretnya,
Dengan tinta ungu si anggerik

Pada malam sirna purnama,
Kemarau selepas taufan noda,
Di kuburan hati gersang,
Layu sudah,
dipetiknya juga anggerik

Penerangan:
Rangkap 1

Seorang yang gersang hatinya setelah melakukan dosa.

Rangkap ke 2

Anggerik ibarat dosa yang mematikan dirinya. berbekalkan keinsafan dari dosa lampau, dia cuba mencari pintu taubat. Malangnya dia menggunakan tinta anggerik dalam mencari pintu taubat.

Rangkap 3

Kemarau datang lagi selepas taufan noda. Diulang juga dosanya selepas itu. Hendak bertaubat tapi masih mengulang dosa. Maka keringlah tasik taubat yang dia cuba buat.

Unsur berulang-ulang ini yang menyebabkan penulis menggunakan unsur palindrome untuk sajak ini.

Akhir sekali, pada rangkap pertama disebutkan anggerik itu yg longlai tetapi pada rangkap akhir yang longlai adalah dirinya sendiri.

MINDA PIMPINAN 

Mohammad Imran bin Mohammad Nasaruddin
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Naib Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.