Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasulnya. Dan jika kamu bertaubat, maka bagi kamu pokok hartamu, kamu tidak berbuat zalim dan tidak dizalimi.”

(Al Baqarah : 278-279

Apa itu riba’?

 Riba ertinya adalah al-ziyadah (tambahan). Dari segi bahasa, bermaksud tambahan atau kenaikan. Secara istilah pula bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman. Jika konsep yang digunakan dalam pertukaran sesetengah barangan dan matawang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran. Pada zaman sekarang, riba’ sinonim dengan ‘interest’ atau faedah yang diamalkan oleh institusi kewangan konvensional.

Hukum memakan duit riba’

download (2)

Haram memakan duit riba’ seperti yang termaktub di dalam Al-Quran (contohnya di dalam surah Ar Rum ayat 39, surah An Nisa’ ayat 161, Surah Al Imran ayat 130 ) dan hadis Nabi. Oleh itu, wang ini tidak boleh dimanfaatkan oleh penerima untuk sebarang kegunaan persendirian seperti barangan dapur, hatta untuk membayar cukai kepada kerajaan yang zalim dan kafir juga tidak dibenarkan.

 

Kesan riba ke atas masyarakat

Menurut Al Maududi, kesan riba boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :

1) Dari segi akal

Dengan pengambilan duit riba’ ini akan  membentuk manusia supaya mempunyai sifat rakus, gelojoh, tamak, dan ego.

2) Dari segi sosial dan akhlak

Pengamalan riba’ dalam kalangan masyarakat mendorong masyarakat untuk hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha mengharapkan pendapatan riba’ sedangkan Islam mengajarkan umatnya berusaha. Riba’ juga mewujudkan penindasan terhadap orang-orang miskin. Selain itu ,riba juga boleh merosakkan dan merenggangkan hubungan antara orang kaya iaitu pemakan riba dengan orang miskin sehingga boleh menimbulkan iri hati dalam kalangan mereka .

3) Ekonomi

Dari perspektif ekonomi, riba’ yang tinggi memusnahkan daya penarik pelabur, menyebabkan kekurangan pekerjaan dan pendapatan dan menjatuhkan perkembangan ekonomi dan mengakibatkan inflasi yang teruk pada sesebuah negara.

Kemana wang ini boleh disalurkan ?

Menggunakan kaedah fikah, benda haram tidak boleh dimusnahkan. Oleh itu, duit ini dikeluarkan dari bank dan diberikan untuk fakir miskin, kepentingan awam dan kepada yang memerlukan (yang tiada pemilikan persendirian).

Oleh itu, antara inisiatif yang telah diambil  oleh PERUBATAN CAWANGAN ISKANDARIAH adalah dengan mewujudkan tabung riba’. Antara konsep yang digunakan adalah mengumpul semua wang riba’ yang dikeluarkan oleh ahli dan menyalurkannya untuk kemaslahatan masyarakat dibawah pantauan ustaz-ustaz yang memang ahlinya .

Manfaat tabung riba’

Seperti yang kita sedia maklum, riba’ memusnahkan ummah dari setiap satu aspek. Justeru, apabila wujudnya sistem tabung riba’, ia dapat membantu ahli dalam menguruskan wang riba’ dengan lebih baik. Antara manfaat lain adalah membersihkan jiwa dan harta si pemilik sehingga melahirkan sifat-sifat pemurah dan sabar.

sedekah11

Di samping itu , masyarakat akan lebih terdorong untuk lebih berusaha dan berikhtiar dalam mencari rezeki tanpa mengharapkan pendapatan riba’ yang telah tetap pengharaman keatasnya. Antara kesan lain yang dapat dilihat adalah kurangnya penindasan terhadap golongan miskin dan fakir sehingga melahirkan sikap kasih saying dan tolong-menolong antara satu sama lain.

Tambahan pula, duit riba’ yang dikumpul, semuanya akan digunakan untuk kegunaan awam. Justeru,  mengurangkan kos-kos pembinaan infrastuktur dan memanfaatkan duit itu untuk kegunaan lain. Apabila duit riba’ itu dimanfaatkan sepenuhnya ke arah kebajikan masyarakat maka ia memberi suasana yang harmoni dalam kalangan masyarakat .

 

Sesungguhnya, tabung riba’ ini sangat bermanfaat dan mendatangkan banyak kebaikan jika diurus dengan baik. Apakah tabung riba merupakan satu inisaitif yang idealistik dan realistik bagi pandangan anda?

MINDA PIMPINAN 

Rusydi Amin bin Yusuf
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

 Bendahari
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.