Dari Robohan Kota Melaka, Kita Bangunkan Jiwa Merdeka” -Dr Burhanuddin Al-Helmy

“Kita jangan takut jatuh dalam perjuangan, sebab kita tidak akan jatuh lagi. Sebagai anak jajahan kita telah berada di tempat yang paling rendah dan sudah tidak ada tempat yang lebih rendah lagi buat kita jatuh.” (Dr Burhanuddin Al-Helmy)

1511

Dr Burhanuddin disifatkan sebagai pejuang yang berdiri atas tiga teras utama, iaitu perjuangan mencapai kemerdekaan negara, Islam dan kebangsaan Melayu. Dalam bukunya Perjuangan Kita (1946), Dr Burhanuddin membayangkan pemikirannya berlandaskan kata masyhur Arab yang bermaksud: “Kasihkan watan itu daripada iman.” Berdasarkan kata-kata Arab inilah beliau mengungkapkan konsep pembinaan ummah serta pembentukan negara merdeka.

Beliau merupakan anak Perak kelahiran Kampung Changkat Tualang, Kota Bahru, dilahirkan pada 29 Ogos 1911. Bapanya, Haji Muhammad Noor, seorang petani yang alim dan ahli tasawuf. Susur-galur sebelah bapanya adalah dari keluarga bangsawan Sungai Jambu, Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia manakala ibunya bernama Sharifah Zaharah binti Habib Osman yang berasal dari kampung kelahiran beliau.

Sesungguhnya, pembentukan jiwa Islam semenjak kecil telah memupuk akhlak mulia serta semangat keislaman yang tinggi ketika beliau dewasa dan sebagai benteng pertahanan yang kental daripada pelbagai serangan spiritual dan fizikal misalnya terpaksa menjadi tahanan ISA semasa berjuang di arena politik tanah air pra-merdeka.

Semasa belajar di India pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain. Selepas tamat pelajarannya di India, beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki. Semasa di Turki beliau ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana.

Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmy  telah menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British. Beliau dipenjarakan selama enam bulan.

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Beliau dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda.

Beliau telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut, iaitu dari tahun 1950 hingga 1952. Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmy ditahan oleh British kerana semasa Darurat pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu supaya jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan.

Burhanuddin Al-Helmy dituduh menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia. Beliau jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac 1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.

Sang Saka Malaya, bendera Persatuan Kesatuan Melayu Muda (PKMM)

Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga adalah tokoh yang giat dalam politik setempat dan menjadi Ahli Jama’tul Islamiah, Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) 1939, Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) 1945, Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM) 1945, Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947, AJK Badan Perhubungan Bangsa-Bangsa Asia, 1947, dan Ahli Jawatankuasa Pengasas Hizbul Muslimim, 1948.

Melalui pembacaan pula, minda beliau terbentuk dari ajaran Islam secara lebih mendalam yang berkaitan dengan Fikah dan sebagainya. Malah, pembacaan yang begitu meluas itu telah mendorong beliau untuk mendalami ilmu tasawuf lebih-lebih lagi ketika menyiapkan tesis Ph.D di Aligarh Muslim University, India. Beliau telah membaca karangan ulama-ulama tasawuf seperti al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifai, al-Rumi. al Qusyairi, Ibn ‘Ata’ dan lain-lain lagi (Burhanuddin 1971:31). Pengetahuan tinggi terhadap pemikiran-pemikiran moden telah membentuk dirinya sebagai seorang reformis dan pembelajaran yang begitu luas telah menjadikan beliau sebagai intelektual Islam yang berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang homeopati: Medical Doctor of Homeopathy (MDH)

Ijazah-ijazah kedoktoran seperti D.D dan N.D yang telah diterimanya daripada negara-negara yang telah diperakui oleh badan perubatan hemeopati antarabangsa dan ini terbukti apabila beliau dianugerahkan pingat emas World Order of Human Merit. Perolehan ijazah-ijazah tertinggi itu telah menyebabkan nama Dr Burhanuddin dicatatkan dengan tulisan emas dalam kamus riwayat hidup antarabangsa (Dictionary of International Biography) (W. Mohd Azam 1997:61).

Beliau merupakan penggerak kepada tertubuhnya sebuah  persatuan homoeopati  yang pertama di Malaysia yang dikenali dengan  nama “Persatuan Homoeopathy Malaya” (Homoeopathic Society of Malaya). Persatuan Homoeopathy Malaya didaftarkan secara rasmi  pada tahun 1961 di mana Presiden pertamanya ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri. Belum ada lagi sebarang persatuan seumpama itu di Malaysia pada waktu itu, sama ada didirikan oleh orang Melayu maupun bangsa asing.

Dr Burhanuddin bukan sahaja mahir dalam bidang perubatan tetapi juga seorang cendekiawan Melayu yang boleh digelar professor, mampu menguasai dalam beberapa antarabangsa dan memiliki ijazah-ijazah yang tertinggi adalah seorang tokoh yang serba boleh. Abdullah Hussain telah mengiktiraf beliau dengan menyatakan:

Dr Burhanuddin merupakan putera Melayu dilahirkan untuk mengisi dunia intelektual dengan kebenaran, keindahan dan keadilan (Dewan Masyarakat, Nov. 1969:28)

Sesungguhnya kembara dr Burhanuddin di India telah diisi dengan memperolehi pelbagai ijazah kedoktoran. Beliau mendapat ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Universiti Islam Aligarh, India (Saliha Hj. Hassan 1974: 2) manakala ijazah kedoktoran homeopati daripada Ismaeliah Medical College, New Delhi (Rashidah Ismail 1969: 23). Pencapaian tinggi dalam bidang kedoktoran homeopati telah meletakkan beliau sebagai anak Melayu yang pertama berijazah homeopati.

Dr Burhanuddin

Biografi hidupnya menggambarkan bahawa Dr Burhanuddin seorang yang warak dan begitu aktif dalam arena politik. Hasil daripada pembacaan yang banyak tentang politik, gerakan Islam, pendidikan dan sebagainya, beliau mempunyai kesedaran yang mendalam tentang agama, bangsa dan negara. Baginya politik ialah alat kepada agama, kerana politik boleh berubah-ubah tetapi agama adalah tetap. Beliau mengesahkan dalam karyanya Agama dan Politik pada tahun 1954:

Politik itu berubah-rubah tetapi agama tetap. Agama tidak boleh disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan agama. Agama dengan sendirinya berisi berbagai-bagai ragam politik tetapi politik itu bukan agama (Kamarudin 1980: 158)

Sebagai seorang penulis, beliau telah menghasilkan beberapa buah buku dan koleksi pidato. Karyanya merangkumi pelbagai bidang seperti perubatan, politik dan tasawuf. Kebanyakan karyanya bertemakan politik yang khususnya membicarakan pandangan serta konsep pemikiran politik yang diutarakan oleh beliau seperti konsep politik Islam, Falsafah Kebangsaan Melayu, Melayu Raya, Ilmu tarekat dan sebagainya. Jelas bahawa bidang penulisan juga merupakan satu lagi kemahiran yang ada pada diri Dr Burhanuddin.

Dalam sebuah tulisannya beliau pernah bertanya: “Bagaimanakah kita dapat memulihkan kesakitan dan penderitaan bangsa kita? Dan bagaimanakah kita akan mengembalikan agama kita hingga Islam dapat berjalan menurut yang dikehendaki Allah, jika belum bebas merdeka dan berdaulat. Tentu tidak boleh, melainkan sudah bebas merdeka dan berdaulat.” Demikian rintihan hati seorang tokoh politik Melayu.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah jatuh sakit semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh.

Buya Hamka telah memetik syair klasik karya Dr Burhanuddin dalam bukunya Dari Perbendaharaan Lama (1981: 174):

Di atas runtuhan kota Melaka

kita bangunkan jiwa merdeka,

bersatulah Melayu seluruh baka,

membela hak keadilan pusaka…”

Sepanjang hayat saya, saya belum pernah lagi berjumpa dengan orang-orang yang berkebolehan seperti Dr Burhanuddin. Ramai yang sufi tetapi tidak pula alim bahasa, ramai pula orang alim bahasa tetapi bukan pula ahli politik, ramai orang ahli politik tetapi bukannya orang sufi, ada juga agaknya orang yang ahli bahasa merangkap ahli politik tetapi bukannya seorang doktor perubatan, dan doktor jiwa atau, mungkin ada memiliki segala-galanya yang dimiliki oleh Dr Burhanuddin umpamanya tetapi tidak serendah hati beliau terhadap semua manusia.