Manakah anda saat era langit terbuka ini?

Suasana globalisasi kian meluas. Penyebaran dan penyerapan antara dunia tanpa sempadan  ini semakin sukar dielakkan. Tak dapat dinafikan hidup di bawah era langit terbuka hari ini begitu banyak baiknya dek kerana kepantasan serta teknologi yang kadang-kadang memberi kejutan luar biasa kepada kita. Namun, terdapat di dalamnya pemikiran dan gaya hidup manusia yang tidak dapat dibezakan lagi antara suatu bangsa dengan bangsa yang lain. Asimilasi agama juga menjadi suatu yang tidak ‘catchy‘ lagi dengan kerelaan hati masing-masing.

Pegangan dan kepercayaan bahawa kebahagian, kesenangan serta keseronokan hidup merupakan satu-satunya tujuan utama kehidupan. Inilah racun yang semakin menular dalam benak ummah iaitu ‘hedonisme’.

Dalam al Quran, perkataan sinonim dengan hedonisme adalah at Takatsur yakni ‘bermegah-megahan’.

‘bermegah-megahan dalam perihal anak,harta,pengikut,darjat dan sebagainya’.

Al Quran telah memperingatkan umat manusia agar sentiasa berwaspada terhadap racun ini dengan ancaman seksaan yang amat pedih baik ketika hidup di dunia,alam barzakh mahupun akhirat. Sekiranya untuk menjalankan euthanasia kita perlukan cyanide poisining, untuk hanyutkan masyarakat dalam keseronokan berpanjangan pula falsafah ini ialah pain killer nya.

Persoalannya, mengapakah masih ramai dalam kalangan kita yang terus diracuni hedonisme sedang memahami situasi begitu rupa?

Nah, pastinya terdapat pelbagai punca budaya hedonisme ini menular dalam diri setiap individu. Antaranya :

1) Pengaruh Dunia Tanpa Sempadan

Melalui perkembangan media massa seperti televisyen,internet dan radio,pengaruh budaya hedonisme dapat menular ke negara ini dengan jayanya. Umumnya,hedonisme boleh dianggap sebagai serangan kepada generasi muda oleh Barat . Pelbagai konsep dan gaya hidup seperti ‘happy go lucky‘ menjadi sandaran. Konsep ini hanyalah untuk mementingkan kepuasan nafsu semata-mata tanpa batasan.

2) Keruntuhan institusi kekeluargaan

Kepincangan rumahtangga yang berpunca daripada penceraian,poligami dan sebagainya juga memberi tekanan kepada jiwa remaja. Akibatnya,anak-anak bertindak mencari keseronokan di luar rumah dengan menghabiskan masa bergaul dengan kawan-kawan yang memahami perasaan mereka. Inilah caranya,mereka dapat melarikan diri dari masalah yang dihadapi seterusnya lena dibuai empuknya keseronokan dunia bersama rakan-rakan sebaya.

Salahkan muzik?

3) Pertumbuhan Pusat Hiburan

Dengan munculnya pelbagai pusat hiburan di seluruh pelusuk negara bagai cendawan tumbuh selepas hujan telah menyebabkan hedonisme merebak dengan pantas tanpa disedari. Keadaan bertambah buruk apabila berlakunya drug abbuse yang menjadi teman karib mereka ketika berhibur dan bersuka ria.

4) Mencurahkan air ke daun keladi

Ilmu Islam perlu diterapkan sedalam-dalamnya agar ia tidak kelihatan ‘kuno’ . Penjelasan tentang fesyen, hiburan atau pergaulan antara lainan jantina itu haruslah dilakukan sebaiknya seperti kata pepatah menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Dakwah yang penuh teliti haruslah dibuat agar ianya tidak menjadi penjelasan yang sia-sia. Yang jelas, Islam tidaklah menghalang umatnya berbuat demikian tetapi haruslah berlandaskan batas-batas agama yang telah ditetapkan.

Khulasahnya,budaya hedonisme ini tidak boleh disesuaikan sama sekali dengan Islam kerana akarnya tumbuh daripada memisahkan kehidupan beragama. Akar hedonisme ini mesti dileburkan sehancur-hancurnya dalam jiwa remaja Islam. Apa yang kini dianggap moden belum tentu berbuah baik bagi kehidupan manusia.

Ayuh!

Setiap perlakuan,tindakan dan perancangan mestilah berpaksikan nilai-nilai Islam. ‘Kewujudan Allah’ dalam setiap aktiviti yang dijalankan wajib ditanam dalam jiwa setiap Muslim. Hanya dengan menyuburkan Islam dan segala nilainya dalam jiwa, racun hedonisme mudah disembuhkan.

Ya, hedonisme berteraskan kebahagiaan hidup material sebagai prinsip kehidupan. Saya impikan, apakah kita mampu ubah tafsiran ‘kebahagiaan’ itu dalam terma hedonisme ini sebagai kebahagiaan bertemu dengan-Nya?

SUMBER RUJUKAN :

https://en.wikipedia.org/wiki/Hedonism

http://anakjatimuar.blogspot.my/2012/12/budaya-dan-fahaman-hedonisme-barah.html

http://ratnatri14.blogspot.my/

KARYA AHLI | JAKSI : FASA BUDAYA HEDONISME

Abdullah Mustafa bin Azenan

Ketua Unit Musyrif
Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.