Deringan lagu  Blank Space nyanyian Taylor Swift mengejutkan aku dari lamunan. Nama Dr. Abdullah Aqiel jelas terpapar. Pantas panggilan dari naqib SC aku angkat. “Assalamualaikum Faiz”, lembut suara Aqiel memberi salam.  “Waalaikumussalam Abang Aqiel, ada apa ye ‘call’?,aku bertanya.” Oh, tak ada apa pun, cuma nak ingatkan esok hari SC. Pukul 3 petang dekat hadiqah belakang universiti”, jawab Aqiel. “InsyaAllah, saya pergi. Takpa la, saya ada keja ni. Nanti kita jumpa. Assalamualaikum”. Pantas aku menamatkan talian.’ SC lagi, macam tak da benda lain’. Aku memberontak. Ini bukan kali pertama aku tidak menghadirkan diri ke SC, seingat aku tidak pernah sekalipun aku menghadirkan diri. Ianya bukan disebabkan tidak ada masa lapang, mungkin keinginan hati untuk pergi itu belum hadir. ‘Ah, biarlah. Lebih baik aku layan movie‘. Komputer ribaku dicapai lantas rancangan “Running Man”  dibuka. Petang itu masaku diisi dengan benda sia-sia sementara kawan yang lain bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan.

brotherhood-in-islam
Bersatu kita teguh bercerai kita roboh

Usai sahaja kuliah, aku pantas mengatur langkah ke rumah. Setiap langkah diatur agar tidak bertembung dengan ahli SC aku yang lain. Telefon bimbitku dimatikan hari itu. Baru beberapa langkah aku meninggalkan universiti, bahuku ditepuk dari belakang. “Assalamualaikum akhi, jom g SC. Nak dekat pukul 3 dah ni. Abang Aqiel cakap dia nak belanja Spectra. Rugi tak pergi SC”, kata Rafiq, teman SC aku. “Ya ka, bestnya tapi aku kena ambik sesuatu dulu kat rumah. Kejap lagi aku datang”. ‘Tolonglah percaya, aku malas nak g SC ni’, aku berteriak di dalam hati. “Hmm, tak pa la. Kita jumpa kat hadiqah ye, Assalamualaikum”, jawab Rafiq. Bukan sekali aku menipu Rafiq sebegitu. Mungkin dia sudah lali dengan penipuanku. Aku menghidupkan kembali telefon bimbitku. Dengan pantas ia bergetar menandakan banyak notifikasi masuk. Aku membuka aplikasi ‘Whatapps’. Mataku tertumpu pada satu nama. “Sunshine”, nama SC aku. Banyak chat mengingatkan tentang SC hari ini. Betapa gembiranya mereka. ‘Ah, biarlah mereka bergembira. Mesti sebab aku tiada’. Aku meneruskan pembacaan kepada chat dari Hasan, ketua rumahku. ‘Ni mesti suruh beli barang rumah ni’,aku berteka teki sendirian. Ternyata tekaanku tepat. Aku meneliti senarai barang yang perlu dibeli. ‘ Banyaknya, mampu ke aku nak angkat,kalau tak beli nanti bising pulak kat rumah nanti’.

‘Semakin banyak barang yang dibeli semakin bongkok badanku.’ Hipotesis diterima. Barang semakin berat. Kudrat semakin berkurangan. Rumahku masih jauh. ‘Macam mana aku nak angkat semua ni’. “Faiz, nak abang tolong tak? “, tanya seseorang dari arah belakangku. Rupa-rupanya suara itu datang daripada naqib SC aku. “Eh, bukan abang Aqiel dengan yang lain tengah mengadakan SC ke?”, tanyaku kehairanan. “Ya. Tapi abang tak boleh biar adik SC sorang angkat barang banyak macam ni. Jom abang tolong, lepas tu kalau tak nak pergi SC pun tak pa”, jawab Aqiel panjang lebar. Sepanjang perjalanan, aku tidak banyak bicara. Mungkin diri ini berasa malu untuk berkata-kata. Masakan tidak, aku yang cuba mengelak tiba-tiba terserempak di pasar. ‘Ah, malunya. Mana nak letak muka ni?’, aku mengomel sendirian. “Faiz cakap apa? Tak suka ke?”, tanya Aqiel. “Tak ada apa pun. Entah, tiba-tiba rasa panas. Sampai merah muka, hehe,” aku cuba berselindung.

Sampai sahaja di rumah, aku dapati pintu rumah terbuka. Aku mula cuak. Aku lihat muka tenang Abang Aqiel di belakangku. “Jom kita masuk, ke tak nak jemput abang masuk”,usik Aqiel. “Er, jom la masuk”. Aku cepat-cepat melangkah masuk. Tiba-tiba mataku ditutup dari belakang. Keadaan gelap seketika. “Abang Aqiel? Rafiq?”panggilku. Tiada yang menyahut. Aku dipaksa duduk. Tanganku masih erat dipegang. Kemudian dengar suara menyebut “sikkin fein?”. “Aku makin takut. ‘Nak guna pisau? Mati aku kali ni’. Secara tak sengaja aku berjaya melepaskan tanganku. Penutup mata dibuka. Alangkah terkejutnya aku apabila dihadapanku ada sebiji kek red velvet yang besar. Perkataan “Happy Birthday” ditulis kemas di atas kek. ‘Hari lahir aku ke hari ni’. Baru aku sedari, semua yang ada di depanku adalah ahli SC aku sendiri. “Terkejut tak Faiz? Ni semua rancangan Abang Rusydi dan Abang Aqiel,” terang Alif. “Kenapa buat semua ni Abang Aqiel? Terharu”. Aku mula sebak. “Tiadalah dapat kapal belayar jika hanya ada nakhoda, terumbang-ambinglah kapal itu tanpa jurumudinya”, ucap Aqiel. Semua di situ terkebil-kebil mendengar kata-kata yang keluar dari naqib kami. “Apa maksud ayat tu Abang Aqiel? Tak faham la,” soalku. “Maksudnya, tak cukup ahli SC tak boleh buat la SC. Jika seekor biri-biri terpisah dari kawanannya,agak-agak biri-biri tu kena makan dengan serigala ke tak?” soal Aqiel. “Biri-biri tu kena makan”. Kami menjawab serentak. Kemudian masing tertawa sendiri. “Bercakap pasal makan, hari ni Abang Rusydi akan masak untuk kita semua. Sebab tu Faiz kena beli barang tadi”, terang Hasan. Baru aku faham apa yang terjadi. Petang itu, buat pertama kalinya aku masuk ‘Smart Circle’ secara rasmi. ‘Smart Circle’ yang selama ini dibayangkan ku ternyata bukan indah khabar dari rupa. Aku seperti hidup kembali. Pengisian petang itu dimulai dengan bacaan ayat suci Al-Quran. Banyak pula kesalahan aku. Terasa malu pula dengan yang lain. Kemudian masing-masing diminta untuk membentangkan Hadis 40 dan isu-isu semasa. “Abang Aqiel, hari ni ada perlawanan bowling inter-sc. Macam mana plan kita untuk menang”, tanya Rafiq sedikit tidak sabar. Aku yang ketika itu malas mendengar tiba-tiba memasang telinga. ‘Sudah lama tidak bermain bowling ni.’ Aku membelek tangan yang berjaya membuat ‘strike’ beberapa kali ini. “ Haah la. Hari ni ada perlawanan bowling. Tapi kita macam akan kalah la. Sebabnya ‘champion’ tu tak ikut. Dia kata ada kerja yang dia nak selesaikan”, ucap Aqiel seraya memandang ke arahku. Ahli SC yang lain turut memandang kepadaku. Riak hampa jelas terpapar pada wajah mereka. “Ikutlah Faiz”, rayu Rusydi. “Okay, baiklah. Tapi dengan satu syarat. Tolong belanja”aku berseloroh. Pecah ketawa kami petang itu.

Sekarang tak lagi!

Aku melihat papan skor. Tiga kali berturut-turut aku berjaya melakukan ‘strike’. Masih berbaki beberapa ‘game’. Kelihatan SC lain seperti berputus asa melihat skor yang berjaya dikumpul oleh SC aku. Selesai ‘game’ pada hari itu. Aku mengurut tanganku. “Hai, takkan juara dah tercedera kot”,perli Rafiq. “Takda la. Biasalah skeletal muscle fatigue”,ujarku sedikit berseloroh. “ Jangan lupa, orang mukmin yang kuat lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah. Jadi lepas ni, jangan putus asa menuntut ilmu, jaga kesihatan, jaga iman. Jangan lupa datang SC rabu minggu depan. Hari rabu adalah hari?” Tanya Aqiel. “Hari SC”, kami menjawab serentak. Ternyata SC yang selama ini aku bayangkan tidak sama dengan realitinya. SC tidak hanya cakap kosong atau sekadar mengikut program persatuan semata-mata. Tapi lebih kepada mewujudkan persekitaran yang baik, dan mendidik ahli supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. “Faiz, nanti nak join lagi tak SC?’ Tanya Aqiel mengejutkan aku dari lamunan. “Insya-Allah akan ikut. Seronok la pulak. Tak sangka SC macam ni”, aku menuturkan jawapan dari hati. “ Tapi abang Aqiel cakap nak belanja Spectra, tapi kenapa main bowling pulak”, soalku. Aqiel ketawa kecil. “Semua tu hanyalah rancangan supaya Faiz masuk SC. Dah Spectra tak berjaya, kenalah guna bowling. Abang tak nak lagi ada ahli yang tercicir. Biarkan serigala kelaparan,” tutur Aqiel penuh pengharapan.

Hari Rabu tiba lagi. Telefon bimbitku capai lantas membuka ‘Whatsapp’. ‘Guys, petang ni jangan lupa SC’. Mesej dihantar. Aku sudah jatuh cinta dengan SC. Kakiku pantas dipacu ke tempat biasa. Aku ingin berubah. Roh aku kembali lapar. Moga Allah redha.

 

PERTANDINGAN KARYA ESCAPE ’15

MARKAH KESELURUHAN : 64%

Hafizuddin Zahadi
Tahun 2
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Karya ini dihasilkan untuk pertandingan karya bersempena kempen Smart Circle “eSCape’15” anjuran MENTOR COUNCIL PCS yang diadakan pada bulan Mac yang lalu. Ruangan ini disediakan untuk menerapkan kepentingan smart cicle dalam membina kesatuan dan sahsiah dalam kalangan ahli PCS.


KENYATAAN 
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.