Bangsa Malaysia terdiri pelbagai rencah yang mewarnai keanjalan tanah air menghadapi tribulasi

Tanggal 31 Ogos tahun ini genap 58 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, petanda negara sudah dewasa seharusnya juga jiwa dan pemikiran kita sebagai rakyatnya. Kedatangan bulan Ogos setiap tahun yang begitu sinonim sebagai bulan kemerdekaan negara, bulan memperkukuhkan jati diri dan semangat patriotisme.

Melalui semangat cintakan Negara akan dapat membentuk kearah pembinaan negara bangsa yang bersatu padu. “Sehati sejiwa” tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini menggambarkan seribu satu makna bagi bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Keharmonian dan perpaduan hidup bermasyarakat adalah teras utama yang memacu negara kita untuk terus mengorak langkah kehadapan.

Generasi pasca merdeka, dilahirkan dapat menghirup udara kebebasan, dilimpahi curahan kemewahan kehidupan. Saat mata memandang ke atas, KLCC sudah mencacak tinggi melangit. Hakikatnya, kita generasi pada hari ini tidak melalui kesusahan, kepayahan dan kegentiran zaman sebelum merdeka, baik zaman penjajahan British mahupun zaman pendudukan tentera negara matahari terbit pada Perang Dunia Kedua. Semangat cinta akan negara atau patriotisme dalam kalangan kita dikatakan semakin luntur.

Logo Hari Kebangsaan 2015

Perubahan ini mencerminkan kurangnya penghayatan erti kemerdekaan yang sebenar, ada yang menggagap tarikh 31 Ogos hanyalah satu cuti umum semata-mata. Lebih menyedihkan saban tahun kita dapat menyaksikan peningkatan jumlah maksiat pada malam hari kemerdekaan. Ini amat membimbangkan kerana kita adalah generasi yang akan mewarisi tampuk pemerintahan pada hari ini, aset terpenting negara. Kata Saidina Umar RA: “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda pada hari ini.” Kita perlu sedar semangat cinta akan negara tidak akan datang dengan sendirinya tanpa pemahaman jalur sejarah negara, semangat ini perlu dididik.

Islam sebenarnya telah menggariskan beberapa penekanan untuk memastikan kelangsungan kemerdekaan yang dikecapi. Nilai dan semangat patriotik cukup banyak dipersembahkan melalui pengkisahan daripada al-Quran dan hadis. Sebagai contoh, lihat sahaja kisah yang menggambarkan semangat cintakan tanah air oleh Nabi Ibrahim AS sebagaimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 126. “Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa: Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian”.

Malah dalam pembentukan Piagam Madinah oleh Nabi Muhammad SAW disebut dengan jelas jika Madinah diancam, maka menjadi kewajipan setiap warga untuk mempertahankannya.

Dalam konteks Malaysia, negara telah melahirkan ramai tokoh pejuang kemerdekaan yang boleh dijadikan suri teladan. Tidak akan lahir seorang Tok Janggut jika tidak ada rasa sayang kepada tanah air, tidak akan bangun seorang Abdul Rahman Limbong jika tiada cinta kepada tanah ibu pertiwi. Mereka, golongan inilah yang patut kita contohi. Pergolakan di beberapa buah negara pada hari ini seharusnya dijadikan iktibar buat kita. Semangat juang rakyat mereka dalam mencapai sebuah keamanan menunjukkan betapa peritnya dijajah di tanah air sendiri.

Justeru, kita harus sedar disebalik kelegaan hembusan nafas kita pada hari ini terdapat jutaan pengorbanan generasi datuk nenek kita yang telah berjuang untuk memastikan anak cucu mereka dapat hidup dalam suasana aman, bebas, makmur dan merdeka. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini bukan datang secara percuma. Negara terpaksa berhempas pulas selama 446 tahun untuk kembali merdeka bermula dengan kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kini kita baru merasai nikmat kemerdekaan ini selama 58 tahun.

Sanggupkah kita menggadaikan kemerdekaan ini sekali lagi?

Sumber Rujukan

http://meletopengajianmalaysia.blogspot.com/2015/03/pengenalan-setiap-kali-menjelang-ogos.html?m=1

http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/7267-menghayati-kemerdekaan-yang-dikecapi

http://www.sinarharian.com.my/mobile/mendidik-jiwa-semangat-patriotik-1.76377

http://www.tarbawi.my/2014/05/patriotisme-menurut-perspektif-islam.html?m=1

MINDA PIMPINAN : EDISI #SEHATI_SEJIWA

Nurul Izzati binti Fuad
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Timbalan Bendahari
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.