Sambutan hari kemerdekaan pada kali ini akan menggunakan angka tahun 2015 berbanding ‘kali ke-58’ .

Menjelang  31 Ogos 2015 ini maka genaplah 58 tahun negara kita Malaysia mencapai kemerdekaan. Sehati Sejiwa telah menjadi tema kemerdekaan pada tahun ini. Sebagai anak millennium,kita seharusnya bangga dengan kemerdekaan dan kebebasan yang telah dikecapi pada hari ini.Hal ini merupakan hasil keringat dan titik peluh nenek moyang kita dahulu kala. Mereka berjuang habis-habisan bagi membebaskan Malaysia dari penjajah dan anasir jahat yang menyerang.

ba_01.1
Tok Limbong

Ibarat kata pepatah Melayu,”harimau mati meninggalkan belang,manusia mati meninggalkan nama”. Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang  jasa dan sumbangan para pejuang kemerdekaan. Salah seorang daripada mereka adalah Haji Abdul Rahman Limbong atau lebih terkenal dengan panggilan  Tok Limbong. Beliau merupakan salah satu nama besar dalam sejarah melayu Terengganu.

Kemakmuran dikecapi hari ini hasil perjuangan mereka yang terdahulu

Nama lengkap beliau ialah Haji Abdul Rahman Limbong Bin Haji Abdul Hamid Bin Haji Abdul Kadir.Beliau dilahirkan di Kampung Jenguk Tong,Beladau Kolam,Kuala Terengganu  pada tahun 1285H atau 1868M dan meninggal dunia di Mekah pada tahun 1347H atau 1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Beliau merupakan ahli sufi pengamal tarekat Sammaniyah.Sungguhpun beliau merupakan seorang sufi,namun beliau tahu selok belok hal keduniaan. Beliau berkali-kali berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman pihak British.

Perjuangan Haji  Abdul Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah sah dan wajar dari segi undang-undang dunia. Sewaktu pihak Inggeris masih menjadi penjajah di Terengganu,H.W. Thomson dan J.L. Humpreys membuat laporan yang memburuk-burukkan haji Abdul Rahman Limbong sehingga keadaan menjadi agak tegang dan huru hara.Di dalam laporan tersebut menyatakan kononnya Haji Abdul Rahman Limbong dan pengikutnya sebagai penderhaka kepada pemerintahan.Hal tersebut menyebabkan Haji Abdul rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah pada tahun 1928.Setahun kemudian beliau meninggal dunia.Sejarah mencatatkan bahawa sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dipergunakan oleh pihak Inggeris.

Terengganu hari ini

Pada tahun 1920,pihak Inggeris mula campur tangan untuk mentadbir  tanah di Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong.Setiap ekar  tanah yang dibuka rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris. Jika  kita fikir secara logik dan rasioanl,pihak inggeris tiada hak sama sekali dalam urusan pengutipan cukai. Oleh sebab itulah Tok Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah menegaskan bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri.Beliau menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor.

Generasi  kini patut bersyukur dan berterima kasih kepada ulama pejuang Islam ini yang telah membuka mata putera puteri bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar . Hal ini menunjukkan bahawa golongan agamawan dan para ulama juga berperanan menentang penjajah barat demi kestabilan negara seterusnya mengembalikan keamanan sejagat. Hari ini dan masa ini kita perlu mengekalkan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para penuntut kemerdekaan demi memastikan negara kita mencapai Wawasan 2020.

SUMBER RUJUKAN

http://tokohperjuanganpantaitimur.over-blog.com/2015/03/hj-abdul-rahman-limbong.html
scaniaz.blogspot.com

LAMAN KOLUMNIS | EDISI #SEHATI_SEJIWA

Nor Faizah binti Ahmad
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Faizah mempunyai keyakinannya tersendiri ketika menulis. Meskipun masih baru, beliau mampu menghasilkan karya yang baik dan menarik. Penulis ini merupakan salah seorang dari kalangan pelapis kolumnis Karyawan PCS. Teruskan memberikan sokongan terhadap hasil penulisan beliau. Nantikan karya yang seterusnya daripada beliau.

Penulis ini juga pernah menulis beberapa buah artikel dalam laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Hudud : Bersandiwarakah Kita? . Klik pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.