Lebih setengah abad, bumi Malaysia ini telah mencapai kemerdekaan. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 merupakan salah satu tarikh penting yang tercatat dalam takwim setiap rakyat Malaysia. Semua rakyat Malaysia tidak mengenal usia mahupun bangsa akan meraikan hari bersejarah ini. Hari bersejarah ini terus diingati tetapi amat sedikit antara kita yang mampu menghayatinya. Persoalannya, adakah pemuda pemudi harapan bangsa dan negara kini kenal akan erti kemerdekaan yang sebenar? Adakah mereka dapat merasakan penat lelah pejuang terdahulu yang bersusah payah memperjuangkan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini?

flag

Realiti Generasi Masa Kini

Walaupun secara zahirnya, negara Malaysia yang dahulu kalanya dikenali sebagai Tanah Melayu telah lama mencapai kemerdekaan, tetapi minda masyarakat Malaysia terutamanya anak muda masih dibelenggu dan dijajah oleh ideologi barat. Seks bebas, merempit, pembuangan bayi, penagihan dadah dan sebagainya semakin berleluasa dalam kalangan belia pada masa kini. Buktinya, berita keruntuhan akhlak remaja pada masa kini sering dipaparkan di dada-dada akhbar tempatan. Malah remaja bawah umur juga turut terbabit dalam aktiviti yang bermasalah ini.
Secara umumnya, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah penjajah Barat yang berjaya menanam ideologi mereka sebelum memerdekakan Tanah Melayu dan pengaruh itu terus kekal sehingga kini? Atau pemuda pemudi hari ini yang tidak kenal erti kemerdekaan? Lebih tepat lagi, belia masa kini hanya tahu meraikan hari kemerdekaan tanpa menghayati apa itu kemerdekaan yang sebenar. Ada juga suara yang mengatakan bahawa semangat patriotisme dalam jiwa anak muda semakin menipis. Sambutan hari kemerdekaan disambut dengan hiburan yang berlebihan serta aktiviti-aktiviti yang menyebabkan keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan remaja kini.

Adapun terdapat juga anak-anak pasca kemerdekaan ini yang langsung tidak mengambil tahu akan sejarah kemerdekaan negara. Pada mereka, kemerdekaan hanyalah salah satu ritual menandakan penjajah telah memerdekakan tanah jajahan mereka. Hal ini dapat dilihat melalui sejarah kemerdekaan hanya ditulis lembaran buku teks sekolah, namun selepas itu terus dilupakan isi kandungannya selepas tamat peperiksaan. Walaupun kesahihan sejarah kemerdekaan yang ditulis di dalam buku teks sekolah diragui, tapi sedikit sebanyak ianya dapat menyuntik semangat patriotisme bagi mereka yang menghayatinya. Sesiapa yang melupai sejarah, dia pasti akan mengulanginya. Apakah kita mahu melihat negara permai ini sekali lagi jatuh ke tangan penjajah akibat kelalaian generasi muda pada masa kini? Tepuk dada dan tanyalah iman anda.

Generasi Silam Pejuang Bangsa

Jika kita kembali ke masa silam sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, terdapat banyak tokoh pejuang seperti Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut dan sebagainya yang boleh kita contohi. Mereka inilah yang berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir bagi menentang kezaliman penjajah. Seruan untuk berjihad untuk menentang penjajah pada masa itu disambut tanpa rasa gentar. Hal ini kerana mereka yakin dan percaya tujuan perjuangan mereka demi menuntut kemerdekaan tanah air yang tercinta. Namun di mata penjajah, tokoh-tokoh ini dianggap pemberontak malah dituduh sebagai pengkhianat kerana menentang sistem penjajahan yang mencabuli hak anak bangsa. Desakan dan ancaman yang diterima oleh mereka amat dahsyat sekali, tetapi mereka tetap terus berjuang.

burhanudin-al-helmi-jpg
Dr. Burhanuddin Al-Helmy

Salah seorang tokoh pemuda yang boleh kita contohi ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy. Jika kita menelusuri sejarah kemerdekaan negara, beliau merupakan seorang tokoh agama yang disegani sehingga hari ini. Banyak sumbangan yang telah beliau curahkan bersama-sama tokoh yang lain untuk menuntut kemerdekaan negara. Bukan itu sahaja, banyak rintangan yang beliau tempuhi dalam perjuangannya, seperti dituduh pengganas dan radikal oleh penjajah British. Beliau juga merupakan orang-orang kuat dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan 17 Oktober 1945. Parti ini ditubuhkan bertujuan untuk memperjuangkan nasib orang-orang Melayu, sekaligus bertindak untuk menuntut kemerdekaan negara. Mutiara kata beliau yang sering disebut-sebut orang sehingga kini ialah, “di atas robohan kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka”

 

 

Harapan bukan Impian Semata-mata

Coretan ini ditulis bukanlah hanya sebagai bahan bacaan masa lapang sempena bulan kemerdekaan ini. Jika perasaan itu ada, maka belum cukup merdeka lagi jiwa kita ini. Bukan sekadar memperingati sejarah kemerdekaan negara, tetapi sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan pemuda masa kini. Negara berhadapan dengan masalah sosial yang kian meruncing. Jalan penyelesaian masih menemui jalan buntu. Pemuda pemudi yang menjadi pemangkin pada masa hadapan perlu sedar akan kepentingan mereka dalam mengekalkan kemerdekaan negara.

Belia pada hari ini perlu didedahkan kepada sejarah tanah air dan pengertian kemerdekaan yang sebenar. Jika sejarah tidak dititikberatkan, semangat patriotisme tidak akan mekar dalam diri mereka. Jika sejarah terus disisihkan dan dilupakan, jiwa generasi muda sukar untuk dibentuk supaya sayang akan diri sendiri, bangsa dan negara. Bukan itu sahaja, semangat kemerdekaan yang ditanam hebat dalam jiwa tidak mencukupi sekiranya pemuda hari ini tidak sedar akan peranan besar yang terpundak di bahu mereka. Zaman generasi silam tidak sama dengan generasi kini, pemuda pada hari ini banyak terdedah kepada anasir-anasir Barat, selari dengan kemajuan teknologi yang kian pesat membangun.

Oleh itu, pendekatan agama secara berhemah dilihat sebagai salah satu cara yang efisien dalam membentuk jati diri generasi muda kini. Penekanan akidah yang satu mampu memberi impak kepada pembentukan jati diri dan akhlak yang baik. Hal ini kerana kerohanian yang kukuh dapat melahirkan generasi muda berakhlak mulia dan tinggi semangat juangnya. Secara tidak langsung masalah sosial yang membarah dalam generasi muda kini dapat ditepis dan diatasi. Maka dengan itu, golongan pemuda yang bersemangat tinggi dan amanah dapat dilahirkan menjadi pemimpin pada masa hadapan. Tanah yang merdeka masih tidak cukup jika penghuninya, khususnya anak muda masih belum merdeka jiwanya lagi. Marilah kita renungkan bersama-sama.

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (al-Mu’minun:115)

merdeka1
Selamat Hari Kemerdekaan ke-58

RUJUKAN :

http://eprints.utm.my/6511/1/HashimBedu2008_KeruntuhanAkhlakGejalaSosialKeluarga.pdf

https://dppkd.wordpress.com/2010/08/22/mengenali-tokoh-kemerdekaan-dr-borhanuddin-al-helmy/

LAMAN KOLUMNIS | EDISI #SEHATISEJIWA

Khairun Najwa binti Ali
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Beliau merupakan seorang yang sangat berdedikasi dan komited dalam hasil penulisan beliau. Berkecimpung dalam mediaPERUBATAN sebagai seorang penulis sejak dari Tahun Dua lagi, beliau percaya penulisan ialah agen dakwah yang signifikan.

Penulis ini pernah menghasilkan beberapa artikel lain seperti Al-Razi : SEORANG GALEN ARABIA ,Nahas MH17 : Suratan atau Kebetulan,Kasih Sepantun Tulisan Pinggan dan Surat Cinta Murabbi. Klik pautan ini untuk terus membaca karya-karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.