Bicara ini kucoretkan kerana dia,

Yang ingin lari menyepikan dirinya,

Bersembunyi sendirian di balik tembok tinggi yang memisahkan,

Menutup segala ruang-ruang perhubungan.

download

 Kulakarkan pesan ini buat dia,

Agar kembali berpijak di bumi yang nyata,

Bahawasanya manusia tak betah bersendirian,

Perlukan susuk tubuh di sisi sebagai peneman,

Jadi sandaran tatkala jiwa lelah di perjuangan,

Jadi penguat tika kaki letih berjalan,

Jadi pemangkin bila semangat kian malap terpadam.

Andai diselak kembali sirah para nabi,

Buktinya jelas dibentang sejak lama lagi,

Hatta Adam sunyi sendiri tanpa Hawa,

Musa pinta ditemani Harun saudaranya,

Isa putera Maryam dibantu Hawariyyun yang setia,

Juga Abu Bakar yang menjadi penguat sang Rasul tercinta.

Kubacakan kembali ayat Ilahi dan pesan dari Nabi,

Supaya kita sedar dan mula koreksi diri,

Bahawa ukhuwah itu nikmat dan anugerah dari Ilahi,

Mengapa kita perlu lari?

Mengapa kita perlu hindari?

Sedang Allah amat mencintai,

Mukmin yang berkasih keranaNya,

Saling menguatkan dalam perjuangan agamaNya,

Bagaikan bangunan yang kukuh tersusun binaannya.

maxresdefault

Kutitipkan kata akhir buat dirinya,

Dengan penuh harapan dan rasa cinta,

Moga dia dapat merasai sepertimana yang aku rasakan,

Betapa indah hidup ini berukhuwah keranaNya,

Keterikatan hati yang terjalin kerana iman padaNya,

Buatku ingin terus melangkah beriringan bersama,

Hingga kaki berjaya menjejak ke syurgaNya.

ERTANDINGAN KARYA ESCAPE ’15

MARKAH KESELURUHAN : 73%

Nurul Fatihah binti Roslan
Tahun 2
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Karya ini dihasilkan untuk pertandingan karya bersempena kempen Smart Circle “eSCape’15” anjuran MENTOR COUNCIL PCS yang diadakan pada bulan Mac yang lalu. Ruangan ini disediakan untuk menerapkan kepentingan smart cicle dalam membina kesatuan dan sahsiah dalam kalangan ahli PCS.


KENYATAAN 
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.