Nusaibah bt Kaab

[Prolog]

Bagi beliau, tiadalah kemuliaan di atas muka bumi ini tanpa menegakkan kalimah Allah. Ketegasan beliau untuk tetap menyertai peperangan bersama Rasullullah S.A.W seakan tidak dapat ditandingi walaupun dengan para sahabat berlainan jantina. Satu contoh keberanian yang abadi. Bahkan seluruh ahli keluarga beliau sendiri merupakan sebuah keluarga yang telah terdidik untuk berjuang ke jalan Allah.

* * *

Sehari sebelum Smart Circle (SC),

“Assalamualaikum. Raudhah, akak dalam SC nanti akak nak minta tolong Raudhah cari kisah Nusaibah bt Kaab dan bentang dalam SC lusa boleh?”
“InsyaAllah kak. Nanti Raudhah cuba ye”

Setelah membaca Al-Fatihah dan membaca Surah Al-Insan sebagai pembukaan, Raudhah memulakan kalamnya.

“Kawan-kawan, hari ni Raudhah nak kongsi cerita pasal Nusaibah bt Kaab. Raudhah sendiri sangat kagum dengan susuk tubuh serikandi seorang ini. Sebelum ini, Raudhah hanya sekadar dengar dari mulut ke mulut sahaja. Bila Raudhah belek dan cari sendiri, Raudhah rasa sangat segan dengan Sayeda Nusaibah ni. MasyaAllah!”

Ahli SC yang lain semakin tekun mendengar penjelasan Raudhah.

“Nama panjang beliau, Nusaibah binti Ka’ab bin Amr bin Auf bin Mabzul Al-Ansariyyah Al-Kazrijah An-Najjariyah. Sayeda Nusaibah ni adalah dikenali dengan julukan Ummu Imarah. Beliau merupakan salah seorang wanita yang bergabung bersama 70 orang lelaki Ansar berbaiah dalam Baiah Aqabah kedua.”

“Ok,Raudhah cerita sikit tentang keluarga beliau. Suami beliau yang bernama Zaid bin Ashim termasuk dalam golongan awal yang memeluk Islam dan kedua-dua orang puteranya yang bernama Habib dan Abdullah adalah sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka merupakan pasukan berkuda keluaran Madrasah Al-Nubuwahi. Mereka telah menghiasi sejarah dengan segala amalan mereka yang mulia. Ketika suaminya meninggal dunia, dia menikah lagi dengan Ghaziyyahbin Amrin bin Athiyyah An-Najjari. Daripada suami yang kedua ini dia memiliki dua orang anak yang bernama Tamim dan Khaulah.”

“Kisah yang paling terkesan bagi Raudhah adalah dalam kisah Perang Uhud,

Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari dikejar musuh.

Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang di hadapanku.” Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh.

Rasulullah yang melihat peristiwa itu merasa terharu. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” kata Rasulullah kepadanya. Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah.

Kemudian, Nusaibah dengan bantuan beberapa tentera Muslimin berjaya membunuh orang itu. Melihatkan keadaan ini, Rasulullah berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu dihadapanmu.”

Ketika Perang Uhud ini, Nusaibah mengalami luka yang banyak, terutamanya di bahagian bahu. Rasulullah memeriksa lukanya lalu meminta Abdullah, anaknya untuk mengikat luka tersebut sambil berkata, “Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati kamu semua.”

Nusaibah mendengar kata-kata Rasulullah itu. “Ya Rasulullah! Mohonlah kepada Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti,” kata Nusaibah. Maka Rasulullah pun berdoa, “Ya Allah! Jadikanlah mereka semua ini penemanku di syurga kelak.” “Aku tidak akan mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia ini,” kata Nusaibah sebagai membalas.

Hebat bukan, kawan-kawan? Raudhah berharap sangat kita dapat sama-sama mencontohi susuk tubuh serikandi mulia ni!”

Seorang sahabat Raudhah, Jannah mencelah, “Raudhah, kalau kita bayangkan, sebenarnya tension juga kan dalam keadaan perang tu? Jannah tak dapat bayangkan kalau Jannah yang ada di tempat Sayeda Nusaibah itu.”

Raudhah membalas, “ Raudhah pun rasa apa yang Jannah rasa. Tapi apabila kita dalami, sebenarnya Allah nak tunjukkan pada kita wanita itu tak selamanya lemah. Hatta sudah berkahwin dan mempunyai anak sekalipun. Cuba kita lihat, bukan Sayeda Nusaibah sahaja yang menyertai peperangan. Tetapi dari suami hingga ke anak-anaknya, diinfakkan ke jalan Allah. Kadang-kadang Raudhah rasa, hati kita ini sangat dipenuhi dengan hal keduniaan. Kita lupa, pengakhiran abadi kita di akhirat sana. Bukan dunia yang kita duduk ni. Kalau dalam masa yang singkat ini pun kita tak boleh nak sumbangkan tenaga untuk islam, segan rasanya nak berjumpa dengan Rasulullah saw dan menghadap Allah taala kelak. Jika Allah tanya kita ‘Apa yang kita dah sumbang pada kemenangan Islam?’, kita dah bersedia ke dengan jawapan kita..?”

“Raudhah cakap ni memang untuk peringatan diri sendiri dan kawan-kawan. Sejarah sudah banyak membentangkan susah-payah dan keringat assabiqun al-awwalin untuk menyebar dan menegakkan Islam, kita ini sekadar penyambung sahaja. Sepatutnya tak susah pun kerja kita kawan-kawan. Tambahan kalau kita buat bersama-sama.

Ish, banyak pula Raudhah membebel, Raudhah bagi pada akak pula la. Raudhah ni siapalah jika nak banding dengan kakak mentor kita ni.”

Kakak mentor mereka yang bernama Nafisah itu segera menyambut, “Kalau Raudhah tu ‘siapa’, akak ni ‘apa’ lah ye..” sambil tersenyum memandang ke arah semua ahli SC-nya.

“Panjang lebar dah Raudhah cerita tadi. Akak tambah sikit la dari apa yang akak baca ye.

Sayeda Nusaibah ni sangat beruntung. Beliau juga pernah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. dan diriwayatkan daripada cucunya Abad bin Tamim, Al-Harith bin Abdillah bin Ka’ab dan Ikrimah hamba sahaya Abdullah bin Abbas. Di antara hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Imarah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkunjung ke rumahnya. Ummu Imarah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. mempelawanya untuk makan bersama, dia menjawab : “Ya Rasulullah! Aku berpuasa.” Rasulullah s.a.w. pun bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang berpuasa itu ketika orang makan di sekelilingnya, maka malaikat akan solat ke atasnya hingga mereka selesai makan.”

Lagi satu, karamah yang terdapat pada Sayeda Nusaibah ni pun akak baru tahu. Ketika Rasulullah s.a.w. mencukur rambutnya di Al-Hudaibiyah, para sahabat berusaha untuk mendapat rambut tersebut. Ummu Imarah , mengambil beberapa helai rambut tersebut. Biasanya rambut tersebut dicuci dengan menggunakan air yang akan digunakan si pesakit untuk mandi dan meminumkannya dengan air tersebut. Dengan izin Allah s.w.t. si pesakit akan sembuh.

Ketika salah satu tangannya terputus pada waktu perang Yamamah, tangan yang selalu digunakannya untuk melindingi Rasulullah s.a.w., ramai orang yang datang bersama keluarga mereka yang sakit untuk berubat dengannya. Ummu Imarah akan mengusap si pesakit tersebut sambil berdoa untuknya. Dengan izin Allah, si pesakit tersebut akan sembuh.”

Nafisah menyambung, “Rasanya, banyak dah kita tahu tentang serikandi ini kan? Raudhah pun dah ulas dengan panjang lebarnya. Kalau kita lihat, Sayeda Nusaibah ni siapa? Dia seorang isteri, seorang ibu, seorang mujahidah dan juga seorang ahli hadis. Hidupnya mulia, dan kematiannya juga diredhai Allah. Taknak ke kita jadi macam beliau ni?

Sebagai wanita muslim, kita pun bertanggungjawab dalam gerakan dakwah. Bukan sekadar duduk kat rumah, jaga anak. Cuba bayangkan hebatnya didikan yang Sayeda Nusaibah ini terima dan beri. Sehingga anak-anaknya sendiri mampu berjuang. Bukan kerja mudah kan? Tapi akak yakin kita semua kat sini mampu. Dan sebenarnya bila kita SC ni pun salah satu cara kita nak menyambung perjuangan islam. Betul tak?

Jadi, atas harapan itulah akak menamakan SC kita ni dengan nama SC Ummu Imarah, semua orang setuju ke? Kalau tak setuju, kita letak nama SC Dodol pun ok. Dodol itu sedap dimakan!”

Bergema suasana ketika itu dengan tawa riang ahli SC Ummu Imarah. Jannah menjawab, “Taknak lah dodol kak. Jannah kurang minat dodol sebab manis sangat, diabetes nanti. Ahli SC kita ni pun dah cukup manis kak! Tapi kena top-up sikit akhlak dan semangat macam Ummu Imarah”

PERTANDINGAN KARYA ESCAPE ’15

MARKAH KESELURUHAN : 60%

SC HAJAR AZHAR
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Karya ini dihasilkan untuk pertandingan karya bersempena kempen Smart Circle “eSCape’15” anjuran MENTOR COUNCIL PCS yang diadakan pada bulan Mac yang lalu. Ruangan ini disediakan untuk menerapkan kepentingan smart cicle dalam membina kesatuan dan sahsiah dalam kalangan ahli PCS.


KENYATAAN 
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.

No Comments Yet

komen membina peribadi mulia