Anda selalu buat SC? Pernah atau tidak anda terfikir perkara-perkara lain yang anda boleh peroleh dari SC anda? Di sini saya ingin kongsikan 5 perkara unik yang kita boleh lakukan dan kongsi bersama SC, selain dari pembawaan manhaj yang perlu disampaikan saban minggu. Mungkin anda pernah melakukannya, jadi ini adalah sebagai info tambahan untuk kita optimumkan perjalanan SC masing-masing. Boleh cuba praktikkan sedikit demi sedikit. Kita semua sama, manusia yang masih melalui proses pendidikan dan pembelajaran.

1. Kongsi minat yang sama.

Pernah tak anda tanya minat ahli SC anda?Jika tidak sekalipun, lama kelamaan anda pasti akan tahu apa yang diminati oleh ahli SC anda. Mungkin ada yang minat melukis dan mereka grafik, jadi kita boleh meminta mereka yang sangat profesional untuk mengajar kita yang masih noob dalam sesuatu bidang. Dalam SC ada mentor dan mentee juga suka bercerita. Jadi anda sudah ada teman yang boleh dibawa bersembang dengan lebih kencang! Jangan terkejut jika ada ahli SC anda yang suka makan. Itu suatu bonus sebenarnya. Anda boleh berkongsi makanan dengannya dan dia juga mungkin tidak keberatan untuk berkongsi makanannya dengan anda. Belum cuba belum tahu!

2. Masak untuk mentor dan mentee.

Ramai dalam kalangan kita suka memasak bukan? Paling tidak pun, ada yang suka mencuba resepi-resepi baru. Jadi inilah masanya untuk anda tunjukkan skill dan kepakaran anda memasak, baik menggunakan resepi nenek moyang turun temurun mahupun resepi sedia ada. Mungkin anda juga boleh mencipta resepi baru. Mana tahu suatu hari nanti anda boleh mengalahkan Master Chef. Jangan takut untuk mencuba. Hidangkan kepada ahli SC anda, biarkan mereka rasa dan komen. Percayalah, anda akan rasa puas hati apabila mereka dapat menghabiskan masakan tersebut sekalipun anda tidak dapat menjamahnya bersama. Erti hidup pada memberi. Dan dalam SC ini anda mungkin akan jumpa masakan yang anda tidak pernah rasa sebelum ini. Percayalah, saya sendiri pernah merasainya. Ayuh tonjolkan bakat anda!

3. Kongsi cerita dan masalah.

Anda pernah mimpi sesuatu yang menyeronokkan? Juga mimpi yang menakutkan? Ceritakan dalam SC anda. Boleh jadi ada kalangan ahli SC yang mempunyai pengalaman mimpi yang sama. Itu baru berkongsi tentang mimpi. Ada ahli SC yang suka bercerita tentang keluarganya, kisah-kisah lucu yang disembangkan bersama ahli keluarga. Boleh jadi SC ini suatu tempat untuk kita release tension, tempat untuk hilangkan sekejap rasa kusut yang melanda diri.

Bukan semua orang suka berkongsi masalah yang dia hadapi dengan orang lain. Dalam SC inilah medannya. Mungkin ada mentee yang ingin berkongsi masalah peribadi, suka duka dalam kehidupannya. Kebanyakan mentee akan cuba meminta nasihat daripada mentornya sendiri tentang sesetengah masalah yang dihadapi. Mungkin juga mentor mahu berkongsi pengalaman pahit getir hidupnya, yang mampu memberi perangsang serta motivasi kepada ahli SC yang lain.

4. Sembang isu kesihatan.

SC juga boleh jadi ruang untuk sama-sama revise ilmu medik yang dipelajari di bangku kuliah. Boleh juga SC ini dijadikan tempat untuk kita berkongsi isu tentang dunia kesihatan sejagat yang kini melanda dunia perubatan. Grab the chances! Kongsikan ilmu yang anda tahu sesama ahli SC. Ilmu 2 dalam 1. Akhirat dikejar, dunia dikendong bersama. Inilah wajah sebenar seorang doktor kompeten yang ummah inginkan (takbir!). Kita adalah aset ummah!

5. Mula belajar untuk bercakap.

Anda mungkin seorang yang senyap. Hanya akan bercakap bila diajak untuk berbual. Oleh itu, jadikan SC ini ruang untuk kita melontarkan sebarang idea dan pendapat tentang sesuatu perkara. Jangan takut, kita semua manusia. Salah silap itu lumrah dalam kehidupan yang akhirnya akan mengajar kita untuk lebih pandai mengawal kata-kata supaya tidak menimbulkan fitnah dan rasa kurang enak sesama kita. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Let’s speak! Let’s voice out!

PERTANDINGAN KARYA ESCAPE ’15

MARKAH KESELURUHAN : 57%

Nadhira Fadzlin
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Karya ini dihasilkan untuk pertandingan karya bersempena kempen Smart Circle “eSCape’15” anjuran MENTOR COUNCIL PCS yang diadakan pada bulan Mac yang lalu. Ruangan ini disediakan untuk menerapkan kepentingan smart cicle dalam membina kesatuan dan sahsiah dalam kalangan ahli PCS.


KENYATAAN 
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.