Lelaki dan perempuan diciptakan untuk saling melengkapi melalui perkahwinan

Ketika saya mula mendapat tugasan mengarang artikel tentang perkahwinan, saya sedang menyelak-nyelak karya K.R. Popper; The Open Society And Its Enemies, Vol.2 Hegel & Marx.Antara perkara-perkara yang disentuh di dalamnya adalah perihal Dialektik Tiga Serangkai (Hegelian dialectic). 3 komponen dialektik adalah thesis, antithesis dan synthesis. Thesis adalah sesuatu idea yang dibawa, kemudian akan ada pihak yang membangkang. Maka ia dipanggil antithesis. Hasil pertembungan thesis dan antithesis, wujudlah synthesis. Synthesis itu pula akan menjadi thesis yang baharu, antithesis pula wujud, seterusnya synthesis. Kitaran tiada henti. Namun, harus kita sedar, asas yang mendasar dalam dialektik ini adalah keimanan Hegel bahawa setiap perkara di dunia bersifat sentiasa bertembung untuk terus bergerak maju.

Pada awalnya, saya berasa perkahwinan adalah seperti itu. Sang lelaki dan perempuan disatukan dalam ruang dan masa dengan kontrak undang-undang. Mereka pula seperti dua kutub yang berbeza. Masing-masing membawa nilai dan prinsip yang tersendiri. Maka, perkahwinan akan menghasilkan suatu natijah pemikiran yang baharu (selain menatijahkan anak).

Maka, saya cuba menimbulkan suatu antithesis membangkang pemikiran tersebut.

“Dan diantara tanda-tandaNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenis mu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan Dia menjadikan diantara kamu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(30:21)

Alam semesta ini diciptakan oleh Allah sebagai cerminan kepada Penciptanya. Kerana itu, banyak ayat di dalam al-Quran menyebut tentang alam seperti langit, laut dan gunung ganang,  kemudian mengajak manusia untuk berfikir supaya sampai kepada hakikat keTuhanan itu sendiri.

Diantara tanda-tanda tersebut adalah perkahwinan.

Seandainya kita merenung penciptaan lelaki dan perempuan, maka kita akan melihat Asma dan Sifat Allah pada hambaNya. Lelaki membawa sifat kekuatan, kekuasaan, kemutlakan sementara perempuan membawa sifat kecantikan, kelembutan dan belas kasihan.

“..since God is one, and man (insān), that is, the human being, whichever sex it might be, is a theomorphic (God-like) being who reflects God’s Names and Qualities, each human being also reflects the One and seeks to return to the One.”

Tambahan pula, lelaki dan perempuan kedua-duanya membawa sifat berbalik. Seperti yang disebut didalam pepatah Arab,

“Bagi lelaki, kebaikan itu bersifat zahir, dan kecantikan itu bersifat batin. Pada wanita, kecantikan itu bersifat zahir dan kebaikan itu batin.”

Selain membawa sifat berbalik, ia lantas membuktikan lelaki dan perempuan itu saling melengkapi dan bukan bersifat bertembung seperti yang dibawa dalam dialektik (bermaksud: dialektik dalam pemikiran penulis) dan bersifat bersaing dalam arus pemikiran feminisme. Dan, sifat saling melengkapi itu menatijahkan suatu kesatuan yang jitu yang mampu membawa manusia untuk kembali mencapai tahap ‘Manusia Sempurna-  al-insān al-kāmil’.

Adakah terhenti sekadar di situ? Apa synthesis yang kita mahu hasilkan?

Syaikh Umar Faruq Abdullah

Individualisme adalah suatu barah yang sudah mulai metastasis dalam tubuh umat. Kemahuan manusia untuk saling memahami dan memberi tanpa mengharap balas semakin terhakis dalam jiwa. Syaikh Umar Faruq Abdullah menyatakan dalam kuliahnya, globalisasi yang mengakibatkan monobudaya dan individualisme ini laksana Bah Besar ketika zaman Nabi Nuh. Maka, dengan bahtera perkahwinan, manusia dapat diselamatkan. Tetapi, kita memerlukan perkahwinan yang berfungsi. Bukan perkahwinan yang menjadi gelanggang merebut hak seperti terpapar dalam drama swasta. Akhirnya, menghasilkan perangkaan yang menggusarkan kita, kadar penceraian yang tinggi.

Allah menyebut dalam al-Quran,

“… mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka..”
(2:187)

Pakaian itu adalah kehormatan, kecantikan dan perlindungan. Sebegitulah suami dan isteri. Mereka bersifat saling menjaga dan menjadi lambang kehormatan bagi satu yang lain. Dan, pada hakikat yang lebih tinggi perlu kita sedar, manusia dan pakaian adalah satu. Tidak mungkin bagi kita melambangkan diri kita tanpa pakaian. Sesungguhnya, kesatuan ini, bukan sekadar menghapuskan sikap individualistik, tetapi ia berkemampuan membawa jiwa-jiwa kepada yang Satu.

Seperti mana kalam Saidina ‘Umar bin Khattab radhiAllahu ‘anhu,

“Ketahuilah, bahawa aku tidaklah menikahi seseorang wanita kerana syahwat, melainkan kerana mengharap agar Allah menganugerahi jiwa-jiwa yang mengesakan Allah subhanahu wa ta’ala.”

Kerana dalam perkahwinan tiada ‘Aku’ atau ‘Engkau’ melainkan ‘Kita’ dan ‘Dia’.

SUMBER RUJUKAN:

1. Gejolak cinta di ambang perkahwinan, Rohimuddin Nawawi
2. The Open Societies and Its Enemies, K.R Ropper
3. Kuliah Syeikh Umar Faruq Abdullah, Marriage as Cosmic Ideals and Social Reality

LAMAN KOLUMNIS | PERKAHWINAN

Che Muhammad Nur Anas Bin Che Kadir
Tahun 6
Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Nur Anas merupakan seorang penulis yang dianggap paling berpengalaman dalam KARYAWAN PCS. Pengalaman yang luas dari seorang penulis artikel-artikel di PERUBATANOnline, ASUzen sehinggalah penerbitan sebuah buku CINTA PERTAMA. Berkecimpung sebagai seorang aktivis PERUBATAN sedari dulu lagi, kini beliau yakin penulisan merupakan salah satu wasilah untuk menyedari betapa intelektual dan budaya ilmu merupakan satu dari elemen yang tidak boleh ditinggalkan. Sering mengakhiri penulisannya dengan tagline ‘Hanya Tuhan saja yang tahu’ , begitulah falsafah penulisan seorang Nur Anas!

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah PERLUKAH SAINS ISLAM ,Psikedelik Budi DayaBagaimana Membaca Buku dan Ramadan Terakhir 1313. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.