“ Do you have any question? ”, tanya Dr. Yasmeen.

No ”, balas kami. Semangat mahu menamatkan kuliah kerana otak sudah tepu, menyerap ilmu dari seawal pagi sehinggalah matahari sudah jauh meninggi.

Okay I will stop here. If you want to ask anything, you can come to my office. ”

Pesan Dr. Yasmeen sebelum beliau keluar dari kelas.

Aku keluarkan telefon bimbit dari poket beg. Aplikasi Whatsapp dibuka. Semalam adik SC pesan hendak buat SC hari ini. Selesai melihat kembali taklifan yang diberi, aku terus menggalas beg untuk pulang. Telefon bimbit masih kekal dalam genggaman.

“Nak masak apa ya untuk SC nanti? Hmm nak buat donatlah! Bahan semua dah ada ”, monolog aku sendirian.

kawaii-hi-donut-1

         Sampai sahaja di rumah, aku menyegerakan perkara yang sepatutnya. Solat dan mengisi perut sebelum memulakan projek menguli doh.

Buku catatan yang tertulis resepi donat diselak. Setelah memasukkan semua maklumat dalam kepala, aku terus ke dapur. Tepung diadun bersama campuran yis dan mentega cair. Selesai menguli, doh tadi dibentuk pula kepada bulatan-bulatan kecil. Sengaja aku buat begitu, mudah hendak makan nanti.

Telefon bimbit dicapai. Mencari lagu Terbang Tunduk, lalu punat ‘play’ ditekan. Telinga disumbat dengan ‘earphone’. Suara tuan empunya lagu mengetuk gegendang telinga.

Seluruh kekuatan tangan dikerah untuk membentuk doh tadi menjadi bulatan-bulatan yang sama saiznya. Bebola donat namanya.

“ Okay dah siap bentukkan kecil-kecil, sekarang masa untuk goreng ”.

Aku segera ke dapur, mencapai kuali lalu menyalakan api. Minyak dituang sedikit demi sedikit.

Bila minyak sudah mula panas, aku masukkan bebola donat tadi, sebiji demi sebiji. Cukup tujuh biji, aku berhenti. Risau doh mengembang dengan lebih besar dalam lautan minyak.

Tiba-tiba loceng rumah berbunyi.

Aku segera mengintai di lubang pintu. Adik SC rupanya. Aku menjemput dia masuk ke dalam rumah. Setelah itu, aku menyambung kembali kerja menggoreng yang tertangguh seketika.

tumblr_lnk30fxngd1qam6r1o1_500_large

         Selesai menggoreng donat, masa untuk mengisar gula. Aku terus menyambar mesin pengisar kering. “ Tujuh sudu cukup rasanya. Kalau tak cukup, tambahlah lagi. Gula pun masih banyak ”. Aku berbisik sendirian dalam hati.

Aku mencedok gula dengan penuh cermat. Teringat akan pesan orang tua, jangan gopoh nanti dapur bersepah. Bila bersepah, maka bertambahlah kerja di dapur.

Suis ‘on’ ditekan.

Gula yang kasar mula menjadi halus. Bila tiba masa nak buka pengisar, tiba-tiba rasa ketat.

“Alamak, ketatlah pula pengisar ni. Rasanya tadi masa pasang tak ketat pun ”, keluh diriku.

Hajat di hati hendak meminta tolong kawan, tapi melihat dia sedang berehat, terhenti niatku untuk meminta tolong. Teringat adik SC yang datang awal tadi. Lalu aku berpatah balik ke bilik untuk meminta tolong daripadanya pula.

“ Adik, tangan awak kuat tak? ”

“ Kenapa kak? ”

“Nak minta tolong bukakan pengisar ni. ”

“ Okay, saya cuba ya. ”

Aku ke dapur untuk mengambil bekas. Apabila aku kembali ke bilik, aku dapati dia masih cuba untuk membuka pengisar tersebut.

“ Akak, tak bolehlah. Saya rasa kita kena buat dua orang. Cuba akak pegang atas, saya pegang yang bawah. ”

“ Okay ”, jawab aku. Bersahaja.

Kemudian, masing-masing berusaha dengan gigih untuk pastikan kedua-dua bahagian pengisar itu boleh berpusing. Akhirnya,

“ Haa dah boleh dah. Kan senang kalau buat dua orang ”, kata adik SC.

Aku mengangguk tanda setuju.

“ Kena ada sinergi baru boleh buka ”, tambahnya lagi.

Aku tergelak. “ Berdua lebih baik!”, kataku sambil membawa gula tadi ke dapur untuk dicampur bersama bebola donat.usrah_means_family_by_yeekeru10-d4ng7wq

Perlahan-lahan aku menuang gula ke dalam bekas. Sebiji bebola donat aku sadurkan dengan gula, lalu aku halakan ke mulut. Aku kunyah sedikit demi sedikit.

Manis. Sangat manis.

Malah lebih manis dari gula itu sendiri.

Peristiwa ini membuatkan aku sedar, bila kerja dibuat bersama, terasa lebih harmoni. Bila adanya harmoni, dari situ lahirnya rasa ingin terus berbakti. Jika kerja yang dilakukan berdua sudah terasa manisnya, apatah lagi kerja yang dilakukan secara beramai-ramai. Pasti lebih meninggalkan kesan di hati.

Terima kasih adik-adik. SC ini Tuhan beri kita ruang untuk kita menambah nilai manusiawi dalam diri, untuk membentuk generasi rabbani yang lebih sejati.

PERTANDINGAN KARYA ESCAPE ’15

MARKAH KESELURUHAN : 58%

Nadhira Fadzlin
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Karya ini dihasilkan untuk pertandingan karya bersempena kempen Smart Circle “eSCape’15” anjuran MENTOR COUNCIL PCS yang diadakan pada bulan Mac yang lalu. Ruangan ini disediakan untuk menerapkan kepentingan smart cicle dalam membina kesatuan dan sahsiah dalam kalangan ahli PCS.


KENYATAAN 
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.