Feminisme pelindung hak wanita?

Gerakan feminisme mula muncul di negara-negara barat sejak tahun 80-an lagi. Gerakan ini memperjuangkan hak-hak wanita yang dikatakan sebelum ini sering dipihak-pihak. Melalui dakyah Kristianisasi, ada yang mendefinisikan wanita sebagai seorang lelaki yang mempunyai ‘defect’ dan menuding jari kepada kaum wanita sebagai punca kerosakan di muka bumi ini. Seperti yang berlaku pada zaman jahiliyah, wanita sekali lagi ditindas dan diseksa dari pelbagai sudut. Melalui penindasan-penindasan ini, gerakan feminisme mula meningkat sedikit demi sedikit dalam memperjuangkan hak wanita sehinggakan di Perancis, “Declaration of the Right of Man and of the Citizen” yang wujud pada tahun 1789 tidak menyentuh langsung tentang wanita. Gerakan ini mula menjalankan tugas mereka sehingga wujudnya deklarasi baru iaitu “Declaration of the Right of Women and the (Female) Citizen” pada tahun 1971 yang mana kandungannya dikatakan hampir menyerupai deklarasi bagi lelaki sebelum ini. Deklarasi ini memberi wanita hak yang sama seperti lelaki dan menyatakan wanita juga memainkan peranan yang besar dalam revolusi Perancis pada ketika itu.

Amina Wadud of the U.S., Islamic studies professor in the department of philosophy and religious studies at Virginia Commonwealth University, speaks during the second day of the International Congress on Islamic Feminism in Barcelona, Spain, October 28, 2005. Wadud was the first woman who led the first public mixed-gender Muslim prayer service in New York City on March 18, 2005.    REUTERS/Albert Gea
Dr. Amina Wadud

Di Malaysia, gerakan feminisme mula hangat diperkatakan dengan pola yang sama iaitu sejak tahun 1980-an apabila dilihat banyak jenayah terhadap wanita seperti rogol dan penindasan. Pada tahun 1990-an, gerakan feminisme ini semakin berani apabila mereka mendaftarkan gerakan mereka sebagai pertubuhan bukan kerajaan dengan nama SIS Forum (Malaysia) Berhad pada tahun 1993. Ketika itu mereka memperjuangkan hak wanita dengan mengkaji hukum-hukum Islam berkaitan wanita dan juga menyentuh undang-undang yang dilihat merendahkan martabat wanita. Semasa ke semasa, gerakan ini semakin menunjukkan liberalisme mereka termasuklah dalam syariat Islam sehingga menarik perhatian masyarakat. Gerakan ini dapat kita lihat membawa keadilan yang disalahertikan kerana tidak memahami asbab syariat yang Allah turunkan kepada umat manusia. Gerakan ini menggemparkan dunia apabila tokoh gerakannya, Dr. Amina Wadud, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa, berani untuk mencabar syariat Islam dengan menjadi Imam Solat Jumaat di sebuah Gereja di Universiti Commonwealth di New York. Dengan menggunakan tiketnya sebagai seorang pensyarah, beliau menyebarkan fahaman gerakan ini kepada pelajar-pelajarnya tentang perkara-perkara kontroversi mengenai masalah Islam terhadap hak wanita. Manakala, tokoh yang lain pula, Zainah Anwar mempersoalkan hukum Islam yang membenarkan poligami sebagai satu hukum yang tidak boleh diterima akal. Beliau melihat perkara ini telah menjadikan wanita sebagai orang yang hanya menguruskan rumah tangga dan melahirkan zuriat tanpa sebarang balasan.

Peranan Wanita Perlu Lebih Difahami

Feminisme pelingdung hak wanita? Jawapannya adalah TIDAK! Perlulah kita yakini bahawa syariat Allah adalah undang-undang yang terbaik untuk kita amalkan. Sebagaimana dalam Firman Allah S.W.T dalam surah Al-An’am, ayat 115 :

“Dan telah sempurna firman Tuhan-mu (al-Quran) dengan benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah firman-Nya. Dan Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui”

Sama ada lelaki atau perempuan, jelas, masing-masing punyai posisi yang perlu di penuhi. Jika dahulu pada zaman jahiliah, martabat wanita itu diperlekeh sehingga tiada nilai. Namun, dengan datangnya Islam sebagai cahaya dalam kehidupan umat manusia, martabat wanita itu sendiri dinaikkan di sisi Allah. Tiada lagi penindasan jika hukum Allah dilaksanakan sepenuhnya. Bahkan, Rasulullah diutuskan untuk memberikan penerangan kepada umat manusia dan sebagai penyempurna akhlak.  Hakikatnya hukum manusia yang berpaksikan hawa nafsu yang menjadi punca kepada keadaan ini. Banyak bukti yang dapat kita lihat, bagaimana seorang wanita yang muslimah itu memainkan peranan yang penting sehingga mampu menandingi sahabat-sahabat muslimin yang lain. Banyak posisi yang memerlukan tenaga dari wanita samada sebagai seorang penuntut ilmu, seorang isteri, seorang ibu dan sebagainya. Melalui wanita itu sendiri lahirnya umat Nabi Muhammad S.A.W yang pada akhirnya dididik untuk menjadi penegak agama Islam di atas muka bumi ini.

Jika zaman khilafah dahulu, sama ada wanita ataupun para sahabat, mereka terus-menerus berjuang mengikut acuan Islam yang sebenar. Hal ini kerana, mereka yakin dengan janji Allah selagi mana usaha itu dijalankan. Posisi yang Islam tetapkan sebagai seorang wanita itu sama pentingnya sebagaimana lelaki. Apabila, kedua-dua belah pihak memainkan peranan dengan cukup amanah, sudah pasti umat Islam dapat melahirkan Jundullah yang tidak gentar dengan orang-orang yang sering kali mengancam agama Islam. Situasi ini dapat kita ibaratkan dengan bagaimana seorang ayah membentuk ketahanan anaknya di luar rumah, manakala ibu mendidik hati anak di rumah. Bahkan, sepanjang perjalanan hidup anaknya, dididik untuk mewakafkan diri ke jalan Allah serta mereka merasa gembira dengan berita syahidnya anak itu. Kisah ini dapat kita lihat dalam hadis Rasulullah S.A.W :

Dari Anas bin Malik r.a.: Ummu Rabi’ binti AlBarra r.a, Ibunda Haritsah binti Suragah r.aa, mendatangi Rasulullah S.A.W dan bertanya, “Ya Rasulullah, apakah anda tidak ingin mengatakan sesuatu kepadaku tentang Haaritsah yang gugur pada perang Badar kerana terkena anal panah? Jika dia di Syurga, aku pasti bersabar. Akan tetapi, jika tidak, aku akan terus menangisinya”. Rasulullah S.A.W menjawab, “Wahai Ummu Haritsah, syurga terdiri dari beberapa tingkatan, dan anakmu mendapatkan ganjaran Syurga Firdaus yang tertinggi”. (H.R Al Bukhari)

IMG_5821[1]

Peranan wanita tidak terhenti hanya di situ. Kita lihat pula kisah Khaulah Binti Al-Azwar yang menyertai medan pertempuran selepas saudaranya Dhiror Bin Al-Azwar ditangkap oleh pihak musuh. Semangat keberanian dan ketangkasan Khaulah sangat tinggi sehingga menimbulkan tanda tanya tentang siapakah gerangan insan yang bertempur dengan menutupi mukanya. Ada juga yang menganggap bahawa itu adalah Khalid Bin Al-Walid melihatkan kepada ketangkasan Khaulah menunggang kuda. Namun, hatta Khalid Bin Al-Walid sendiri hairan memikirkan siapakah insan tersebut sehingga selesainya peperangan. Semangat Khaulah itu di medan perang telah menjadikan para muslimin turut bersemangat untuk melawan tentera Rom pada ketika itu.

Dalam bidang ilmuwan Islam, Saidatina Aisyah merupakan tokoh wanita Muslimat dalam konteks kita sebagai seorang penuntut ilmu pada masa ini. Beliau menjadi isteri Rasulullah S.A.W pada usia 9 tahun dan menjadi isteri yang paling dicintai Baginda selepas perginya Saidatina Khadijah. Beliau merupakan Ummul Mikminin yang bersungguh-sungguh, tekun dan cerdas dalam menuntut ilmu. Sebagai isteri Rasulullah S.A.W beliau sentiasa mendampingi Rasulullah S.A.W. Beliau banyak menghafal hadis-hadis Rasulullah dan juga kaya dengan tafsir Al-Quran sehingga beliau turut menjadi tempat rujukan bagi para muslimin. Beliau juga meriwayatkan hadis sebanyak 2210 hadis dengan 316 disebut dalam kedua-dua Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Hakikatnya banyak lagi kisah-kisah yang dapat kita baca tentang bagaimana wanita muslimat berperanan dalam pelbagai bidang. Bukanlah kita ingin berlumba tentang siapakah yang paling hebat antara lelaki dan wanita. Namun, kita perlulah sentiasa mengingatkan diri kita bahawa, tujuan kita hidup didunia ini dengan 3 peranan iaitu sebagai seorang khalifah, pendakwah dan Hamba Allah. Dan setiap dari manusia itu sama ada lelaki ataupun wanita bertanggungjawab untuk menjalankan peranan masing-masing. Firman Allah dalam surah At-Taubah, ayat 71 :

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan melaksanakan solat dan menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana”.

Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak boleh berseorangan dalam medan ini. Lelaki dan wanita itu saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dengan peranan yang bersesuaian dengan posisi masing-masing. Kita juga perlulah meyakini bahawa syariat Allah itu pasti mempunyai hikmah yang sangat besar. Namun, manusia mudah bersangka buruk sehingga mempersoalkan hukum Allah. Sebagai contoh, isu poligami dikatakan tidak adil. Dalam isu ini, tujuan poligami dilakukan adalah untuk menyelamatkan maruah kaum wanita itu sendiri. Namun, silapnya adalah sesetengah pihak yang melanggar syarat yang telah Islam gariskan sebelum berlakunya poligami tersebut seperti mampu berlaku adil dan adanya kemampuan dari sudut nafkah sama ada zahir mahupun batin. Isu itu jelas tertulis dalam Al-Quran dalam Surah An-Nisa, ayat 3 :

“… Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja, atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.”

Tidak akan muncul isu penindasan hak wanita jika kita patuh pada syarat yang disyariatkan ini. Namun, manusia lebih mengutamakan hawa nafsu berbanding dengan hukum Allah yang menjadikan sekalian alam.

IMG_5823[1]

Kesimpulannya, hukum Allah merupakan undang-undang utama yang wajib kita taati berbanding undang-undang manusia. Ia sudah cukup merangkumi semua aspek kehidupan dan sesuai untuk diamalkan oleh semua zaman tanpa terlepas sedikit pun termasuklah isu wanita. Dalam konteks kita sebagai seorang pelajar di Bumi Anbiya ini, gunakan peluang ini untuk mengutip seberapa banyak mutiara ilmu yang ada supaya kita dapat beramal dan yakin dengan syariat Allah yang sebenarnya dan tidak hanya bertaqlid semata-mata supaya kita dapat menjadi ejen penerangan tentang keindahan Islam yang sahih kepada insan-insan yang mencalitkan nama buruk kepada Islam itu sendiri di tanah air kita kelak. Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa mendapat hidayah-Nya. Wallahua’lam.

Rujukan :

Buku Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami

https://www.google.com.eg/url?sa=t&source=web&rct=j&ei=PBZNVZGwEomSsgHBo4CIBQ&url=http://www.muftiwp.gov.my/doc/GERAKAN_FEMINISME_PERSAMAAN_GENDER_DAN_PEMAHAMAN_AGAMA_BHG1.pdf&ved=0CB0QFjAA&usg=AFQjCNFln5ppns5B3SxakI_i95eerrXIQg&sig2=PrbTNcTrTdYGMAhuAgToUA
http://quranicgen.com/artikel/khaulah-al-azwar-semangat-kepada-kaum-lelaki/#

 

MINDA PIMPINAN

Faten Sakinah binti Shawaruddin
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Timbalan Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.