Hospital Mesra Ibadah, Usaha Menuju Tuhan

“Islamic medicine is one of the most amazing and best known facets of Islamic civilization, and is an area in which the Muslims excelled most.”

Saya tertarik dengan ungkapan ini. Cukup memotivasi jiwa- jiwa penuntut ilmu perubatan yang saban hari bermujahadah dengan diri sendiri, mempersiapkan diri lebih separuh dekad sebelum turun ke kancah sebenar; dunia kesihatan Malaysia.

Lewat beberapa seminar dan daurah anjuran PERUBATAN belakangan ini, saya beberapa kali dijentik untuk bingkas bangun dari lekanya diri di sebalik kepadatan waktu belajar dan bermasyarakat. Daurah DAWA’ yang julung- julung kali diadakan musim panas yang lalu cukup mengetuk semangat dengan kemegahan tamadun Islam, melalui bidang perubatan. Seterusnya, kita didedahkan dengan sistem kesihatan di Malaysia melalui seminar lewat syitaa’ saban tahun. Konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) dan hospital kebajikan bukan lagi perkara asing di gegendang telinga.

11281815_1157630840920519_571168157_n

Dr Haji Ramli Saad, melalui kertas kerja Hospital Mesra Ibadah dengan tajuk “Cabaran Pengurusan dalam Hospital Mesra Ibadah (HMI)” menyatakan bahawasanya penghayatan HMI adalah demi merealisasikan kecemerlangan perubatan dan Islam bagi kali keduanya dalam sejarah dunia.

Tambahnya lagi, hospital merupakan satu institusi murni. Di sana manusia kembali menghitung diri dalam keadaan lemah dan hanya Tuhan tempat mereka bergantung.

“ Kemudahan, infrastruktur dan sistem yang disediakan adalah serba lengkap dengan kecanggihan teknologi yang berasal dari ilmu Allah. Sakit itu sendiri mempunyai hikmah- hikmahnya yang tersediri yang hanya boleh dimaknakan khusus kepada pesakit tersebut.”

Ya, saya berniat untuk terus ke skop HMI. Definisi HMI cukup jelas. Ia adalah suatu konsep di mana hospital mengamalkan kecemerlangan perkhidmatan dan memberikan fokus kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan nilai para pekerjanya.

Pembawaan Islam dalam kehidupan perlu diamalkan secara menyeluruh (syumul). Atas sebab ini, pentadbiran sebilangan hospital berusaha melaksanakan HMI demi menunaikan kewajipan fardu kifayah ke atas masyarakat di hospital. Kita tidak akan mungkin dapat menafikan bahawa tugas pegawai kesihatan atau doktor bukan sahaja merawat fizikal manusia, bahkan mental dan rohani pesakit turut menjadi amanah yang dibebankan di pundak seorang doktor.

Menjelang 2010, beberapa hospital awam dan 11 hospital swasta di seluruh tanah air yang berjaya melaksanakan HMI ini, antaranya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Hospital Sungai Petani (HSP), Hospital Alor Star dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dan pada April 2014 yang lalu, konsep HMI dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noorhisham Abdullah di Hospital Sungai Buloh. Bersempena dengan itu, beberapa langkah mula dibuat bagi menghidupkan konsep HMI ini di semua lapisan hospital. Antaranya, perasmian montaj ibadah pesakit dibuat dan diaplikasi kepada pesakit- pesakit di hospital kerajaan.

IMG_6056

Saya mengambil ungkapan dari salah satu perenggan karangan Dr Haji Ramli Saad :

“ Pelaksanaan berkesan HMI tidak memerlukan arahan dan polisi pentadbiran. Ini adalah kerana penekanan terawal dalam menerapkan kefahaman dan penghayatan yang tulen. Pekerja saling menilai antara satu sama lain dan saling membantu. HMI sentiasa diperbincangkan sebagai agenda tetap dalam semua mesyuarat di setiap peringkat. Dalam setiap produk atau hasil kerja, ianya disempurnakan dengan pakej tambahan nilai ini. Setiap kejayaan dan pengiktirafan yang diterima dikaitkan dengan aktiviti HMI.”

HMI pada peringkat awalnya bermula dengan kesedaran segelintir pengamal perubatan di beberapa hospital tertentu. Kebanyakan hospital Islam bertanggungjawab membentuk atmosfera HMI ini dengan menggunapakai konsep “dakwah bil hal” dalam pengurusan perkhidmatan mereka. Hospital Islam sepatutnya tidak meletakkan “profit maximizations” sebagai tujuan utama penubuhan mereka.

Di kebanyakan hospital swasta yang diuruskan oleh orang Islam pula, misi dan visi penubuhannya mengambil kira sikap tanggungjawab dan menyokong HMI sebagai elemen asas. Hal ini lebih mudah perlaksanaannya memandangkan konsep HMI ini sudah diambil kira menjadi dasar dalam hospital tersebut.

Bagi hospital- hospital kerajaan pula, hal ini bukan mudah. Terdapat beberapa cabaran dalam menjayakan konsep HMI ini di hospital kerajaan. Antaranya, soal kefahaman pekerja- pekerja hospital yang perlu disalurkan secara berperingkat dan tidak serta- merta.  Faktor salah anggap pelanggan yang mengaitkan dengan parti politik dan sebagainya turut menjadi batu penghalang ke arah usaha ini. Bukan itu sahaja, pendekatan HMI bukan mudah- mudah dapat diterapkan tanpa memberi kefahaman kepada segenap lapisan masyarakat majmuk di Malaysia sendiri. Dr Ishak Mas’ud, Pakar Gastroenterologi merangkap Pengarah Hospital Kampong Baru Medical Centre yang merupakan antara hospital swasta terawal melaksanakan HMI ini turut mengakui pelaksanaan HMI wajar dilaksanakan berperingkat di hospital kerajaan, tetapi sekumpulan penggerak yang menjadi “think tank” perlulah sentiasa teguh berusaha merangka pelbagai inisiatif ke arah itu.

IMG_6058

Aktiviti pelaksanaan HMI dapat dikategorikan kepada :

  1. Aktiviti dalam pengurusan dan pentadbiran:
  • Pewujudan bahagian Hal Ehwal Agama hospital
  • Laporan aktiviti HMI sebagai agenda mesyuarat pengurusan
  • Rondaan ibadah kepada pesakit di hospital
  • Memberi pendekatan Islam dalam projek- projek seperti Penyusuan Ibu, Nafas Baru tanpa Rokok dan sebagainya.
  1. Aktiviti yang melibatkan perubahan suasana dan infrastuktur
  • Sambutan hari- hari kebesaran Islam dan sejarah Islam dengan majlis ilmu dan kesedaran
  • Menyediakan tempat wuduk dan solat yang sesuai bagi staf, pesakit dan pelawat
  • Kemudahan dan panduan tayammum
  • Pengurusan lanskap dan persekitaran yang bersih
  • Sistem siaraya menyiarkan azan mengikut waktu solat, bacaan al- Quran dan hiburan sesuai.
  • Suasana dan perhubungan silaturrahim yang senantiasa mesra antara kakitangan dengan pelanggan
  • Pekerja- pekerja hospital yang sanggup membantu pesakit menunaikan ibadahnya
  • Aktiviti pembinaan insan kamil
  • Penampilan fizikal dan komunikasi yang membawa adab Islam (menutup aurat)
  • Pakaian khas untuk pesakit untuk memelihara maruah mereka
  • Tazkirah harian untuk staf di semua jabatan
  • Program pengimarahan Ramadan seperti tadarus al- Quran

Tidak dapat tidak, pelaksanaan HMI ini benar- benar memerlukan kefahaman dan kerjasama pekerja- pekerja hospital.  Kita perlu menghayati definisi HMI, “Ia adalah suatu konsep di mana hospital mengamalkan kecemerlangan perkhidmatan dan memberikan fokus kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan nilai para pekerjanya.” Penerapan nilai yang dimaksudkan di sini ialah nilai ubudiah; yang mendekatkan manusia kepada Penciptanya. Dalam konteks ini, kefahaman dan penghayatan yang tulen dalam kalangan pekerja merupakan aspek paling penting dalam membentuk suasana HMI itu sendiri. Kursus berskala, bengkel dan seminar untuk staf hospital perlu sentiasa diadakan.

Banyak gerak kerja yang memerlukan khidmat pekerja hospital. Antaranya selain kemudahan untuk mengazankan bayi, kakitangan yang boleh membantu pesakit yang sedang nazak juga perlu difikirkan untuk diperkasakan. Pihak pengurusan hospital juga boleh menyediakan pegawai-pegawai agama
untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada pesakit. Mereka akan menziarahi pesakit secara
rutin setiap hari bagi membantu pesakit menunaikan ibadah.

Penyediaan alat bantuan mesra ibadah turut penting. Sungguhpun perkara kecil seperti buku panduan dan arah kiblat ini nampak remeh namun hakikatnya ia menyebabkan ‘pesakit atas pagar’ memilih untuk melaksanakan atau meninggalkan ibadahnya. Pesakit amat jarang bertanyakan doktor atau jururawat berkenaan cara mereka untuk bersolat dalam keadaan berbalut, bersimen atau dalam keadaan adanya kateter urin dan sebagainya, juga arah kiblat disebabkan soalan ini dianggap tidak relevan dengan profesion kedoktoran atau kejururawatan. Di sinilah buku panduan kecil atau penunjuk arah dapat memainkan peranan dengan tidak menafikan pentingnya seseorang perawat itu melengkapkan pengetahuan mereka demi membantu pesakit secara lebih holistik.
Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Azman Abu Bakar pernah menjawab persoalan  tentang isu penerimaan pesakit bukan Islam dalam hal ini di satu seminar anjuran KKM dan Institut Kefahaman Islam Malaysia ( IKIM) :

“KKM akan menjalankan pelbagai aktiviti pengisian rohani untuk pesakit bukan Islam yang hadir mendapatkan khidmat rawatan sesuai dengan pegangan agama masing-masing.”

Kita perlu jelas bahawa konsep HMI itu sendiri sememangnya menggalakkan pesakit tidak mengira latar belakang agama untuk hadir menjalani rawatan.IMG_6057

Sebagai kesimpulan, saya melihat usaha- usaha ke arah pembentukan Hospital Mesra Ibadah ini sudah lama giat dilaksanakan. Jika tidak disebabkan kegigihan pengamal- pengamal perubatan dalam menerapkan konsep ini ke dalam masyarakat hospital, nescaya impian HMI ini kekal menjadi impian. Hal ini benar- benar membuktikan bahawa tiadalah maknanya gagasan dan cita- cita tanpa langkah ke arah tersebut meskipun sedikit- sedikit. Generasi doktor hari ini sudah menyumbang ke arah membentuk masyarakat kembali kepada Allah, lalu apa pula usaha kita kelak? Tepuk dada, tanyalah iman. Andai tiada bertunas semangat dan motivasi ke arah memandu manusia kepada Tuhan, entah apalah nilai kita sebagai pengamal perubatan Islam nanti.

 

Rujukan:

Kertas Kerja Hospital Mesra Ibadah, Seminar PERUBATAN Winter Carnival Kali Keempat, 2013, Dr Ishak Mas’ud dan Dr Haji Ramli Saad

http://www.annisa.com.my/uncategorized/hospital-mesra-ibadah.html

http://drhidayat.com/gagasan-hospital-islam-mencorak-masa-depan-dunia-perubatan/

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_06.htm#ixzz3WeaZ04v7

KARYA AHLI | MEDTEAM : ISU SAINS KESIHATAN

Nur As- Syuhada binti Amran

Farhana binti Bakri

Nur Syafawani binti Mohd. Ghauth

Siti Hajar binti Ahmad Hassan

Ahmad Shazwan binAhmad Hushairi

Ahli Junior Medical Team
Health Academy
Biro Akademik (BCADE)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

 

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.