Ramuan-ramuan Tambahan dalam Makanan Anda

Sudah menjadi lumrah belajar di luar tanah air, anda pasti tidak dapat melepaskan diri dari tugasan memasak. Walaupun berasal dari mukim yang sama, pasti masakan setiap orang terasa berbeza. Sup ayam pelajar A mungkin akan sama rasanya dengan sup ayam hasil air tangan pelajar B. Sementara pelajar A mungkin menambah rasa sup ayamnya dengan kekayaan rempah ratus seperti rempah empat beradik yakni cengkih, bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga, pelajar B mungkin rahsia masakannya datang dari kiub ayam bak resepi ibu-ibu mentua. Atau mungkin seperti kelaziman dalam kalangan kita yang tidak mungkin akan melepaskan peluang untuk menunjukkan kehebatan di dapur dengan meletakkan kedua-duanya atau ditambah dengan pak aji atau nama popularnya Monosodium glutamate (MSG).

makanan-halal

Walau apapun rahsia masakan anda, hanya anda yang tahu. Namun, wujud ramuan tambahan dalam masakan anda yang anda mungkin tidak tahu. Walau apa pun yang anda lakukan, anda tidak akan mungkin akan menjumpainya dek saiznya yang terlalu seni. Betul tekaan anda, ramuan-ramuan ini tidak akan mampu dikesan dengan menggunakan kanta pembesar. Ini bermakna anda akan gagal jika anda menjadi detektif tetapi akan berjaya jika anda menjadi microbiologist yang bersenjatakan mikroskop.

Ramuan-ramuan seni ini boleh jadi bernyawa atau tidak bernyawa dan kewujudannya seperti yang dikatakan tadi tidak mungkin akan dilihat tetapi kesannya dapat dirasa seperti hembusan bayu. Antara kesannya yang paling ketara dapat dilihat dan diukur dengan kekerapan sesiapa sahaja yang memakan masakan anda tadi ke tandas. Ya, ini adalah artikel mengenai penyakit yang disebarkan melalui makanan. Tanpa berbicara dengan lebih panjang, dengan rendah hatinya penulis ingin membawa anda ke teras dan asal usul artikel ini ditulis.

Bersempena dengan Hari Kesihatan Dunia 2015 yang bertemakan Keselamatan Makanan atau Food Safety, World Health Organisation (WHO) mengumumkan terdapat lebih 200 penyakit yang boleh diakibatkan oleh makanan yang tidak selamat yang terdiri dari cirit-birit hinggalah ke kanser. Makanan yang tidak selamat bukanlah terdiri dari makanan yang mengandungi bakteria sahaja, malahan yang boleh jadi yang mengandungi virus, parasit dan juga kimia berbahaya.

Antara contoh bakteria yang berbahaya ialah,

  • Salmonella, Campylobacter dan Enterohemorragic Esterichia coli. Jangkitan dari bakteria-bakteria ini adalah antara yang paling kerap berlaku mempengaruhi jutaan penduduk dunia setiap tahun, dan kadangkala ianya terlalu teruk dan mampu membawa maut. Antara gejala yang terhasil termasuklah demam, sakit kepala, mual, muntah, sakit perut dan cirit-birit. Salmonella biasanya dari telur dan produk ternakan. Campylobacter berpunca dari susu mentah, ayam ternakan yang tidak cukup masak dan air yang tercemar. Enterohemorragic Esterichia coli pula sering dikaitkan dengan susu yang tidak dipasteur dan daging dan sayuran yang tidak cukup masak..
  • Listeria pula boleh menyebabkan keguguran dan kematian bayi yang baru lahir. Walaupun kekerapan jangkitan dari bakteria ini agak rendah, akibat yang dibawa olehnya membawa kepada kematian terutamanya dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga tua menjadikannya antara penyakit bawaan makanan yang paling serius. Bakteria ini boleh ditemui dalam produk tenusu dan makanan segera serta mampu membiak dalam suhu rendah seperti dalam peti sejuk.
  • Vibrio cholera yang merupakan punca kepada taun boleh menjangkiti manusia melalui makanan dan air yang tercemar. Antara gejala penyakit taun ialah sakit perut, muntah dan cirit-birit berair yang boleh membawa kepada penyahidratan teruk dan mungkin sehingga kepada maut.

Bakteria-mikroba-szepu-B

Selain dari bakteria, penyalahgunaan antibiotik dalam perubatan veterinar dan perubatan manusia turut membawa kepada munculnya jangkitan dari bakteria yang tahan rintangan menjadikan penyakit berjangkit semakin sukar diubati baik dalam kalangan haiwan dan manusia. Bakteria jenis ini boleh menjangkiti haiwan ternakan yang seterusnya dimakan oleh manusia sebagai contoh Salmonella melalui ayam ternakan. Masalah perintang antibiotik atau antimicrobial resistance  ialah antara ancaman utama kepada perubatan moden.

Menurut WHO, virus yang paling banyak mencemari makanan ialah norovirus. Ciri-ciri jangkitan dari norovirus ialah mual, muntah teruk, cirit-birit berair dan sakit perut. Virus hepatitis A pula boleh mengakibatkan penyakit hati dan boleh berjangkit melalui makanan laut yang mentah ataupun separa masak serta dari hasil mentah yang tercemar. Pengendali makanan yang terjangkit juga ialah antara punca kepada tercemarnya makanan.

Parasit juga boleh mencemari makanan anda seperti dari jenis trematoda yang mencemari pelbagai jenis ikan. Parasit-parasit lain seperti Ascaris, Cryptosporidium, Entamoeba histolytica mahupun Giardia boleh mencemari pelbagai jenis sumber makanan lain dan seterusnya memasuki tubuh badan manusia walaupun sumber makanan tersebut masih segar sebelum dimasak.

images (1)

Selain dari mikroorganisma-mikroorganisma yang disenaraikan di atas, makanan yang kita makan juga boleh jadi dicemari oleh bahan kimia tanpa kita sangka. Sebagai contoh, bijirin yang kita makan boleh jadi mengandungi aflatoksin yang mampu menyebabkan kanser. Logam berat seperti merkuri, kadmium dan plumbum sebenarnya turut termasuk dalam komposisi makanan kita terutamanya dari ikan boleh merosakkan saraf dan buah pinggang.

Jadi bagaimana kita boleh memastikan makanan kita bebas dari ramuan-ramuan rahsia ini? Oleh sebab itu WHO telah menyenaraikan lima kunci untuk memastikan penyediaan makanan yang lebih selamat.

  1. Pastikan kebersihan
  • Basuh tangan sebelum dan semasa mengendalikan makanan.
  • Basuh tangan selepas pergi ke tandas.
  • Basuh dan pastikan kebersihan permukaan dan peralatan memasak.
  • Lindungi kawasan dapur dari serangga, haiwan perosak dan haiwan-haiwan lain.

 

  1. Asingkan yang mentah dan yang sudah dimasak.
  • Asingkan daging, ayam dan makanan laut yang mentah dari makanan lain.
  • Gunakan peralatan dan perkakas memasak yang berasingkan semasa mengendalikan makanan mentah.
  • Simpan makanan dalam bekas yang berasingan untuk mengelakkan percampuran antara makanan yang mentah dan yang sudah dimasak.
  1. Masak dengan secara menyeluruh.
  • Masak makanan secara menyeluruh terutamanya ayam daging, telur dan makanan laut.
  • Pastikan makanan dari jenis sup dan stu dimasak sehingga mendidih untuk memastikan makanan-makanan tersebut mencapai suhu 70°C. Ketika masak ayam atau daging, pastikan jus yang keluar ialah berwarna jernih dan bukan merah jambu. Menggunakan termometer adalah lebih ideal.
  • Panaskan makanan yang sudah dimasak secara menyeluruh.
  1. Simpan makanan pada suhu yang selamat.
  • Jangan biarkan makanan yang sudah dimasak pada suhu lebih lebih dari 2 jam.protein(2)
  • Simpan semua makanan yang sudah dimasak dan makanan yang mudah rosak di dalam peti sejuk dengan segera (sebaiknya bawah suhu 5°C).
  • Pastikan makanan yang baru dimasak masih panas (lebih dari 60°C) semasa dihidangkan.
  • Jangan simpan makanan terlalu lama walaupun di dalam peti sejuk
  • Jangan mencairkan makanan beku pada suhu bilik.
  1. Gunakan air dan sumber mentah yang selamat
  • Gunakan sumber air yang bersih atau rawat air tersebut supaya selamat untuk digunakan.
  • Pilih sumber makanan yang segar dan berkhasiat.
  • Pilih makanan yang telah diproses dengan selamat seperti susu yang telah dipasteur.
  • Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran terutamanya apabila dimakan mentah.
  • Jangan gunakan makanan yang telah melepasi tarikh luput.

Jadi, sejauh manakah anda mempraktik langkah-langkah yang disarankan oleh WHO ini? Ada langkah yang sememangnya sekian lama menjadi amalan kita, namun ada langkah yang kita pandang ringan dan secara tidak langsung kita telah menambah beberapa ramuan rahsia secara tidak sengaja ke dalam masakan.

Konklusinya marilah kita mengambil langkah untuk memberikan perhatian lebih dalam menyediakan makanan supaya makanan kita sentiasa terjaga. Jangan sangka anda sudah cukup handal dalam menjaga kebersihan kerana anda bukan seorang yang pengotor, tetapi manalah tahu tanpa anda sedari mungkin ada seseorang sedang berulang alik ke tandas selepas memakan masakan anda yang anda sangkakan cukup bersih akibat dari keyakinan anda itu.

SUMBER RUJUKAN

http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs399/en/

http://www.who.int/foodsafety/publications/consumer/flyer_keys_eng.pdf?ua=1

LAMAN KOLUMNIS | SAINS KESIHATAN : MAKANAN

Nur Izzati binti Mohd. Shafee
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Izzati Shafee merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam arena penulisan Unit Karya PCS. Beliau terlibat dalam unit ini sejak berada di tahun 2 pengajiannya. Beliau juga menjadikan bidang penulisan ini sebagai salah satu landasan untuk beliau berkongsi pendapat dan pengalaman. Banyak idea dan buah fikiran yang bernas telah dicurahkan dalam setiap penulisannya. Pembaca pasti mendapat manfaat yang besar setelah membaca hasil karya beliau.

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Ada apa pada FeminismeTribulasi dalam “Malaysia Health Plan 2015″ dan Ibu Tetap Seorang Ibu. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.