logo perubatan no bg

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam atas nikmat Islam dan iman yang kita rasai pada hari ini. Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah S.A.W insan agung yang tidak pernah melupakan umatnya baik di dunia mahupun akhirat sana.

Sebagai seorang mahasiswa sains kesihatan di Perlembahan Nil ini, rutin harian kita sentiasa diwarnai dengan kesibukan belajar di kuliah, bermasyarakat sesama rakyat Malaysia mahupun Mesir, berkecimpung secara aktif mahupun pasif dalam aktiviti berpersatuan sehinggakan sedar tidak sedar kita semakin menghampiri penghujung sesi pengajian, menandakan musim peperiksaan bakal menjelma tidak lama lagi. Sepertimana semua sedia maklum, peperiksaan akhir tahun bagi mahasiswa Tahun Satu sehingga Empat di Universiti Ain Shams dijadualkan bermula seawal bulan Mei ini.

Sehubungan dengan itu, Biro Akademik (BCAD) PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016 (PCS) terpanggil untuk mengadakan “Exam Fever Campaign” atau lebih dikenali sebagai EFC bermula 26 April sehingga hujung bulan Julai 2014. EFC merupakan aktiviti tahunan bagi Biro Akademik yang diadakan saban tahun apabila menjelang musim peperiksaan. Kempen ini bertujuan mewujudkan suasana atau biah peperiksaan dalam kalangan ahli di samping memberi suntikan awal kepada ahli untuk melakukan persediaan menghadapi peperiksaan.

Kempen ini dilihat selari dengan saranan Pengerusi PCS, saudara Zulkifli bin Ab Rahim dalam ucapan dasar beliau semasa Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali pertama yang menegaskan bahawa kecemerlangan akademik sebagai salah satu medan jihad kita, menunjukkan bahawa PCS sentiasa komited dan bersunguh-sungguh dalam memastikan akademik ahli berada pada tahap yang boleh membanggakan kita sebagai mahasiswa sains kesihatan.

Maka diharapkan kempen yang dijalankan sepanjang musim peperiksaan ini mampu memberi suntikan semangat kepada seluruh ahli supaya sentiasa tekun dan sabar dalam menempuh musim peperiksaan yang bukan sahaja panjang malah dihiasi dengan cabaran dan dugaan yang tersendiri. Semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT di samping dipermudahkan segala urusan dari awal hingga ke akhirnya. Selamat maju jaya diucapkan buat semua, semoga kejayaan menjadi milik kita bersama.

Sekian, terima kasih.

”Achieve the Highest, Improve Others”

”PCS, Kita Satu Hati”

11158901_821526187896587_1494231152_o
Muhammad Amiruddin Bin Suhaini
Ketua Biro Akademik (BCAD)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2015/2016