Abbasiah, 14 April – Bahang Ain Shams Family Day atau nama ringkasnya, ASFaD semakin terasa! Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum program mega yang menjadi acara tahunan warga Ain Shams ini bakal berlangsung. Kemeriahan memuncak apabila semua peserta semakin rancak menukar profile picture sebagai tanda kumpulan masing-masing dan menubuhkan group Whatsapp bagi mengumpulkan pahlawan Melayu dari segenap pelusuk Kota Abbasiah.

Terdahulu, ASFaD ini pertama kali dijayakan pada tahun 2012, di mana keseluruhan program ini dikelolakan sepenuhnya oleh senior tahun 4 dan Saudara Tengku Huzaifah serta Saudari Noraryana Ariffin bertindak sebagai Pengarah dan Timbalan Pengarah. Program ASFaD tersebut diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah dan aktiviti yang diadakan dijalankan di sekitar Abbasiah. Tema “We Are Family” telah diguna pakai oleh para pelaksana ASFaD sebagai simbol ukhuwah yang ingin diterapkan sepanjang program khususnya dan pasca program amnya.

received_621530277980558

Pada tahun berikutnya, ASFaD diteruskan dengan menggunakan pendekatan yang berbeza di mana Majlis Keraian Pengantin (MEKAR) turut dilaksanakan sebagai suatu acara untuk meraikan ahli-ahli PCS yang telah mendirikan rumahtangga pada tahun tersebut dan sebelumnya. Segunung penghargaan diucapkan kepada batch Genezens atas pelaksanaan ASFaD yang gilang gemilang, diketuai oleh Saudara Khairul Anwar Razali dan Saudari Nadirah Hanim sebagai tonggak utama dalam pengendalian ASFaD pada waktu itu.

ASFaD 2013 turut diserikan dengan penggunaan tema baru iaitu “We Are Elated Because We Are Related” yang memberi nafas berbeza dalam pelaksanaannya. Tahun berganti tahun, tema ini terus kekal menjadi suatu jenama yang terpahat dalam nadi para penggerak ASFaD.

Patah tumbuh, hilang berganti. Biarpun terpaksa berhadapan dengan realiti di mana hampir suku dari jumlah keseluruhan ahli PCS berhijrah ke Malaysia dan juga negara lain, ia tidak mematahkan semangat Saudara Muhammad Ayyub Afandi dan Saudari Nur Izatul Asikin yang bertindak menggalas amanah sebagai Pengarah dan Timbalan Pengarah II dalam menjayakan ASFaD pada tahun lepas. Lari sebentar dari hiruk pikuk Abbasiah, ASFaD 2014 membawa ahli PCS menelusuri suatu perjalanan baru lagi mencabar di mana ASFaD diadakan di Pantai Ain Sukhna buat julung-julung kalinya.

Krew liputan BPP juga sempat menemuramah salah seorang peserta yang akan turut serta dalam ASFaD kali ini. Mari kita ikuti apa kata beliau.

“ Masa pertama kali dengar pun dah rasa best. Bila tengok nama ahli kumpulan, baru saya sedar ramai lagi yang saya tak kenal. Nama kumpulan pun nampak kelakar dan gempak! ”, ujar Mohd Faris Mohd Salleh, pelajar Tahun 1 Universiti Ain Shams, yang juga merupakan antara peserta termuda dalam ASFaD 2015. Beliau berasa seronok kerana ini merupakan kali pertama beliau terlibat dalam program ASFaD.

Tahun ini ASFaD tampil membawa suatu kelainan. Dengan bertemakan lagenda perwira Melayu, para pelaksana ASFaD gigih memikirkan pengisian yang terbaik untuk para peserta dalam memastikan pelaksanaan ASFaD pada tahun ini menepati setiap objektif yang telah digariskan.

Krew liputan juga tidak ketinggalan untuk menemuramah Pengarah ASFaD 2015, Saudara Mohd Faiz Abd Rahim untuk menyelami perasaan beliau sekaligus menyatakan hasrat serta harapan beliau dalam pelaksanaan ASFaD pada kali ini.

“ Besar harapan saya untuk melihat program ini menjadi medium terbaik untuk mahasiswa/mahasiswi PERUBATAN Cawangan Ain Shams mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita . Pasukan pelaksana ASFaD15 memilih Ain Sukhna sebagai medan penyatuan ukhuwah kerana melihat kawasan pantai merupakan tempat yang sesuai untuk menjalankan aktiviti berbentuk kekeluargaan di samping berfungsi sebagai destinasi pelancongan untuk menghilangkan ‘stress’ dalam kalangan mahasiswa. Dalam pada itu, penerapan modal insan juga dititik beratkan sebagai salah satu agenda utama ASFaD’15. Semoga program ini berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan dari Allah. ”

received_817439181638621

Siapakah gerangan yang akan menewaskan kemaraan raksasa yang semakin mengganas? Adakah Parameswara si pembuka Kota Melaka, ataupun Badang, hamba Temasik yang gagah perkasa? Atau mungkin putera Raja Biksama Puspa, Inderaputra, yang pernah menewaskan gergasi dan apakah Merong Mahawangsa, seorang raja yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom mampu untuk berbuat demikian?

Saksikan pertempuran hebat yang bakal berlaku Jumaat ini di Pantai Ain Sukhna!