TEMAN TERTINGGI
“Eh…,”mata terhenti pada seraut wajah itu.
“Kenapa? Kenapa dengan dia? Kenapa mukanya tak bermaya?”bermacam persoalan mengasak minda.
Seakan ada musibah besar yang melanda. Sangat sugul,tiada senyuman di bibirnya. Tiada lagi senyuman yang biasanya menyejukkan hati yang memandang.
Pucat.
Lesu.
Bisu.
Tidak. Dia bukan begini. Dia tidak pernah mensiakan orang yang tersenyum padanya. Pasti akan dibalas, pasti akan disapanya. Apatah lagi jika ada yang pinta supaya dibantu. Dia orang yang terkehadapan. Dia dulu yang menghulurkan tangan.
Tapi,
“Maaf…”
Hanya itu yang terpacul dibibirnya. Berkali-kali disoal dan diduga,hanya itu yang dibalasnya. Maaf. Hanya maaf yang dimintanya.
Tolong. Tolong jangan diam. Tolong cakap sesuatu. Aku perlukan sokonganmu. Aku rindukan kata-kata semangat darimu.
“Serahkan hatimu pada Allah. Hanya Allah yang mampu bantu. Jangan bergantung pada manusia. Kerana manusia akan senantiasa mengecewakan. Sebab manusia punya banyak dosa. Terkadang akan butuh masa untuk bersendirian, dek iman yang terasa diduga,”dia cuba gagahkan diri. Menyusun kata dengan berhati-hati.
“ Maaf,”dia menuturkan perkataan itu lagi.
“ Hati pinta masa sekejap untuk bersendiri,” ujarnya. Pandangannya langsung tak diangkat. Suaranya tersekat-sekat, hanya perlahan melalui rengkung. Matanya pula hanya jatuh pada sandal di kaki. Sesekali bertembung,pantas dia melarikan pandangan mata lantas tunduk lagi.
Jeda.
Aku pulang. Cuba untuk berfikir apa sebenarnya yang terjadi. Apa sebenarnya yang sedang aku lalui? Otak seakan penat cuba menghadam dan mencerna situasi. Kemudian, sejarah hitam dulu kembali singgah dalam kotak fikiran lagi.
Tidak! Aku tak mampu. Aku tak mampu sendiri. Dulu aku cuba. Aku cuba untuk bangun berdiri. Aku cuba untuk duduk sendiri. Bina semangat dengan kudrat yang amat terhad ini. Dan…
Gagal. Aku gagal lagi. Aku gagal lagi.
Jadi aku tak mampu sendiri. Bahkan aku mula tak percaya pada diri. Tak percaya pada diri sendiri.
Tapi dulu kau beri aku semangat yang tak bertepi. Kau bantu aku untuk berdiri. Kau ajar aku untuk berlari. Dulu. Namun, sekarang kau pinta aku untuk sendiri? Sekarang kau tega tinggalkan aku terkapai-kapai sendiri? Sungguh kau tega.
Jeda.
* * *
Dosa itu ibarat satu beban yang terikat dengan kamu. Yang akan sentiasa menghantui kamu. Yang akan meragukan hati kamu tatkala ingin berubah, melakukan kebaikan. Dosa yang bisa buat kamu tertinggal di belakang. Terlalu berat untuk kamu memacu laju. Melengahkan kamu untuk berlari menuju redha Allah.
Namun, keputusan di tangan kamu. Samada kamu akan terus tertinggal terikat dengan dosa kamu itu atau kamu akan ambil tindakan yang cukup berani.
Berani untuk memotong ikatan itu. Ikatan antara kamu dan dosa kamu dan guna beban itu sebagai tempat berpijak, sebagai batu loncatan untuk melangkah ke tempat yang tinggi. Tinggi dari tempat yang sekarang kamu berdiri. Beban itu, tinggalkan. Jangan pernah kamu berpaling padanya lagi.
* * *
“Moga Allah jaga ukhuwah ini,” dia mencelah. Ada sinar di matanya. Senyum kembali terukir seperti biasa dibibirnya. Tenang,hati yang melihatnya.
Dia yang dulu sudah kembali. Terus berbakti semampu mungkin. Setiap tangan yang terkapai dia sambut lembut,dituntun ke destinasi. Lama jeda itu. Lama tempoh masa sunyinya itu. Lama bagi aku.
Apabila tiada seorang pun yang rela untuk membantu. Tiada seorang pun yang sudi menemani, aku cuba untuk mencari kekuatan sendiri.
Susah.
Payah.
Aku telan sendiri. Dulu aku gagal. Sebab aku tak sedar yang sebenarnya aku punya teman. Teman yang selalu memerhati. Yang rupanya sangat ambil berat tentang diri. Ya. Kembali kepada teman tertinggi. Rabul Izzati.
Saat aku susah,saat aku senang rupanya ada yang selalu menemani. Syaratnya, aku sudi untuk meminta. Aku sudi untuk bergantung harap. Aku sudi merintih meratap, padaNya.
Percaya pada diri. Bukanlah kegagalan itu atas sebab kamu jatuh. Tapi kegagalan itu tatkala kamu putus asa untuk kembali berdiri bangkit dari tempat kamu terpelanting itu.
Perjalanan masih panjang. Aku tak pasti akan tetap di jalan ini. Tapi aku berdoa. Selalu berdoa agar diizinkan untuk berdiri menegakkan syiar ini,hingga hujung nyawa. Hingga hujung usia.
Terima kasih kepadanya. Kerana dulu tinggalkan aku. Hingga aku jumpa tempat pergantungan yang sebenar-benarnya. Dia.
KARYA AHLI | CERPEN
Stanza Qalby
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams
Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams
KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.
komen membina peribadi mulia