Cuba pejam mata seketika dan bayangkan. Bayangkan anda, seorang pelajar akhawat tahun 3 bidang perubatan, mendapat berita daripada senior tahun 6 bahawa ada ikhwah tahun 5 nak taaruf dengan anda. Sila bayangkan dengan bersungguh-sungguh perasaan dan keadaan anda ketika itu.

Mungkinkah anda sesak nafas lalu bibir anda menjadi biru?

Adakah anda jatuh pengsan kerana terlalu terkejut dengan berita tersebut?

Ahaks!

 

Atau anda rasa kepala anda nak meletup secara tiba-tiba kerana terlalu banyak perkara perlu difikirkan serentak? Mak ayah, pelajaran, bersedia ke aku ni, sesuai ke aku untuk dia, duit, duit, duit!

Atau adakah anda ‘cool’ seperti biasa, bagaikan tiada apa-apa berlaku? Ayuh bayangkan betul-betul.

Jika anda mengharapkan artikel ini menceritakan tentang keindahan dan kelazatan berumah tangga, lebih baik anda pergi sambung study atau main game atau buat apa sahaja yang anda sedang buat sebelum anda membaca artikel ini. Sebabnya, kami bukanlah nak menyenaraikan cara-cara membina bait muslim yang bertemu pada jalan perjuangan (takbir!). Atau bukanlah nak menceritakan betapa syoknya kahwin dan membuatkan anda rasa menyesal tak kahwin sekarang. Tujuan kami tidak lain tidak bukan, hanya untuk membuatkan anda mempersoalkan diri sendiri: Am I ready?

Nak sedia apa, bro? Duit pun pinjaman/yayasan/zakat. Itu pun kadang-kadang tak cukup, kena minta mak ayah payung sekali sekala. Nak sedia macam mana kak? Masak air saja yang saya tahu. Goreng telur pun berkecai.

Bertenang.

Rumah tangga bukan sekadar itu sahaja. Jadi, sebelum anda semua terburu-buru mengisi borang UBM dengan gembira (kerana kawan-kawan sekelas semua isi, jadi takkan aku nak ketinggalan!), lebih eloklah kami ceritakan serba sedikit realiti berumah tangga ini. Dan selepas itu, anda boleh bimbing akal dan hati anda untuk membuat keputusan yang matang dalam hal ini.

Jika anda seorang lelaki, berangan-angan bahawa setelah berkahwin anda akan dilayan seperti raja setiap hari; balik rumah makanan dah siap, pakaian sentiasa dibasuh, disidai, diseterika oleh isteri, kerja-kerja membersihkan rumah isteri selesaikan, anda hanya perlu fikir masalah ummah, maka anda sebenarnya memang sedang bermimpi di siang hari. Bangunlah. Pergilah ambil wudhu’ dan solat sunat taubat sekarang juga.

Jika anda seorang perempuan, mengimpikan bahawa setelah berkahwin, anda akan mendapat segala yang anda mahu (baju mahal, aksesori menyilaukan mata, gadjet berjenama, kasut rekaan luar negara, makan di restoran kapitalis ternama), dan membayangkan bahawa suami anda sentiasa seperti yang anda harapkan serta kehidupan anda sekeluarga sangat bahagia bagaikan dalam syurga, anda sebenarnya dah terlajak mimpi. Bangunlah segera dan berkelakuanlah seperti anak dara yang cemerlang. Jangan tidur siang!

Hakikatnya, rumah tangga ini dibina bersama-sama. Bermula dengan kosong, dan matlamatnya syurga! Tanggungjawab masing-masing tinggi menggunung, andai tiada persefahaman padahnya gelora. Susah dan senang, milik kita bersama. Tiada aku, tiada dia. Kita! Rumah tangga, bukan macam rumah yang kita duduk dengan kawan-kawan sekarang. Duduk bersama, tapi masing-masing banyak berahsia. Makan tengahari bersama, tetapi kudap-kudapan, sendiri yang punya. Solat jemaah bersama, tapi solat-solat bonus sendiri mahu ingat la!

Bukan. Rumah tangga bukan begitu. Seorang lelaki asing, tinggal bersama seorang perempuan asing yang telah sah dinikahi. Sama-sama berusaha untuk menyesuaikan diri, menerima seadanya keadaan pasangan, cuba sedaya upaya memberi yang terbaik untuk kehidupan bersama. Kerana setiap perkahwinan itu ada matlamat. Maka, bersungguh-sungguhlah mencapai matlamat yang sama-sama telah tetapkan.

Perkahwinan seperti mana yang anda dambakan?

Di pasaran sekarang ada banyak buku tentang rumah tangga. Pilih mana yang sesuai ikut cita rasa anda, dan baca. Kalau nak jimat duit, pinjam sahaja dari rakan anda. Mudah kan? Jangan lupa bersembang dengan orang yang sudah mendirikan rumah tangga. Tanya pendapat, pengalaman, nasihat mereka dalam apa jua aspek yang anda ingin tahu. Tapi ingatlah, setiap orang mempunyai cerita hidup yang berbeza. Jadi, jangan harapkan kisah hidup anda sama seperti kisah hidup naqib naqibah anda yang nampak bahagia. Setiap rumah tangga ada cabaran berbeza.

Memandangkan target artikel ini untuk pelajar bidang sains kesihatan di Mesir, maka ada beberapa perkara yang kami, dari pihak UBM perlu perjelaskan kepada semua. Agar selepas ini, tiada lagi yang merengek-rengek minta diterangkan semula prosedur berurusan dengan Unit Bait Muslim atas alasan “Hari tu kita tak dengar sangat apa yang diterangkan. Kita busy main FB dan tengok gambar kat instagram”.

Kita terangkan langkah demi langkah.

  1. Mencari

Andaikan anda, ikhwah/akhawat yang ingin mencari calon. Mungkin kerana anda rasa memang dah sampai masa anda berkahwin. Atau kerana setiap kali telefon kampung, mak anda mesti tanya pasal calon. Atau anda resah kerana adik anda sudah dua tahun langkah bendul. Atau apa-apa sahajalah sebabnya. Kita ketepikan cara mencari calon yang tak berapa elok seperti stalk Facebook ikhwah/akhawat lain, atau bergosip tentang calon yang ada dalam fikiran anda, atau lebih menyedihkan lagi, mengurat anak orang melalui media sosial. Ketahuilah, anda sebenarnya lebih matang daripada itu semua. Salah satu cara yang decent adalah dengan meminta bantuan pihak UBM untuk memastikan status seseorang. Contohnya Badrul minat Balqis. Dan dia tidak pasti Balqis ini sudah berpunya atau belum. Jadi, langkah pertama untuk Badrul adalah dengan menghubungi mana-mana ahli UBM ikhwah yang dia selesa berurusan dengannya, dan minta tolong pastikan status Balqis. Biasanya nak pastikan status ni sekejap sahaja masa yang diperlukan. Kecuali jika ada masalah pada pihak ikhwah/akhawat yang ditanya tersebut. Masalahnya mungkin dia sendiri tak pasti apa status dia. Ya, ini memang masalah. Kepada pembaca sekalian, sila perjelaskan kepada diri anda sendiri apakah status sebenar anda. Jangan serabutkan fikiran anda dengan “Alamak…ada orang nak taqdim aku, tapi aku minat orang lain, tapi aku tak tahulah orang tu minat aku ke tak, tak tahulah dia tahu aku minat dia ke tak,”.

Jadi . . .

Atau sekiranya anda dah bertunang, jelaskan terus anda sudah bertunang. Tak perlu buat drama Korea, terjumpa kekasih lama. Menjelaskan status diri masing-masing apabila ditanya akan mempermudah urusan orang lain. Seandainya ikhwah/akhawat yang telah dipastikan statusnya itu masih single & available dan bersetuju untuk bertaaruf dengan anda, maka kita akan teruskan kepada langkah kedua.

Sekiranya anda ikhwah/akhawat yang tiada calon dalam fikiran dan memerlukan bantuan pihak UBM untuk mencari calon, maka sila jelaskan dengan spesifik ciri-ciri calon yang anda boleh terima. Spesifik bukan bermaksud tinggi mesti 5 kaki 4 inci, berat 53kg, adik beradik mesti 4 orang dan sebagainya. Spesifik di sini bermaksud kriteria yang memang wajib ada pada calon tersebut. Contohnya, mesti orang Pantai Timur (mok tokse orang luar), atau mesti keturunan Raja/Tengku/Engku sebab ayah nak jaga keturunan dia, atau mesti doktor sebab cita-cita nak bina klinik bersama, dan sebagainya. Mudah sikit pihak UBM nak jalankan tugas. Seandainya pihak UBM beritahu anda, ada calon yang menepati kriteria yang anda mahukan dan dia mahu bertaaruf dengan anda, maka bolehlah kita teruskan dengan langkah kedua.

  1. Taaruf

Senang cerita taaruf ni maksudnya satu proses berkenalan. Apabila ada ajk UBM bagitahu anda ada ikhwah/akhawat nak bertaaruf dengan anda, jangan terus gelabah dan fikir ‘ada orang nak pinang aku!’. Ada beza antara “Ada orang nak berkenalan dengan awak,” dan “Ada orang nak pinang awak,”. Jadi, silalah luruskan pemikiran anda tentang hal ini. Agar tidaklah anda menggelabah teruk apabila perlu membuat keputusan. Apabila dua pihak telah bersetuju untuk bertaaruf, maka sebuah pertemuan akan dilakukan di rumah orang yang telah berkahwin (ajk UBM yang membantu mereka dalam proses ini). Pertemuan itu dihadiri oleh pasangan suami isteri (ajk UBM), ikhwah dan akhawat yang berkenaan. Ia adalah pertemuan yang dirahsiakan dan tak memerlukan hebahan di mana-mana laman sosial. Apa yang dibincangkan semasa sesi taaruf? Perkenalkan diri masing-masing. Jangan sibuk cerita adik anda suka makan apa atau ayah anda bawa kereta apa. Tak perlu juga terlalu memuji diri sendiri dengan menyenaraikan sifat positif yang ada pada diri anda, kerana hakikatnya hanya terzahir setelah berumah tangga nanti. Ingat, segala perkara berkaitan taaruf ini adalah dirahsiakan. Tarikh, tempat, siapa yang terlibat dan isi perbincangannya. Selesai taaruf, ikhwah dan akhawat tersebut akan pulang dan berfikir untuk membuat keputusan. Sama ada ingin mentaqdim calon tersebut sebagai pasangan hidup atau sebaliknya. Jika yakin ingin mentaqdim, kita masuk pula langkah yang ketiga.

  1. Taqdim
Sudikah awak . . .

Orang kampung kata pinang. Apabila masuk bab taqdim, boleh melalui pihak UBM, boleh juga pinang terus kepada calon tersebut. Masuk meminang melalui ibu bapa ikhwah atau akhawat tersebut sudah semestinya tindakan paling berani dan ikhlas. Sudah tentu seseorang memerlukan beberapa tempoh masa untuk membuat keputusan apabila dipinang. Kerana apabila anda menerima taqdim seseorang, maknanya anda telah bertunang dengan orang tersebut. Pelbagai benda perlu dibuat untuk membantu diri membuat keputusan terbaik. Berdoa siang malam, solat istikharah, berbincang dengan orang yang dipercayai, lebih-lebih lagi ibu ayah sendiri. Jangan buat keputusan sendiri, tanpa mengira pandangan orang tua masing-masing. Sebagai contoh drama swasta….

Setelah beberapa bulan tidak menghubungi mama dan abahnya di tanah air, Along menelefon mama pada suatu pagi.

Along: Assalamualaikum ma. Ma sihat dop?

Mama: Along ke ni? Ma ingat takdop doh anok ma ni. Lupa sokmo mung nok tepong rumoh. Ni tepong tetibe ni bakpe? Duit dop cukup?

Along: Ala…ma ni. Duit cukup belaka. Along sibuk la ma. Takdop masa nok tepong selalu. Ma…ni along nok kabo ke ma ni…

Mama: Haa…nok kabo mende mung?

Along: Mareng ade ikhwah ni taqdim along. Along terima doh. Ma kabo ke aboh buleh?

Mama: Laa…berat nanang mung ni long. Kenape mung dop kabo awal-awal? Ni aboh mung baru je terima pinangang Kasim, anok Haji Kudus jirang belakang rumoh kite. Kasim kije pegawai kerajaang lenim. Molek belaka napoknye. Aboh mung ok sokmo.

Along: Apa?! Tidakkkkk…..!

Pengajaran kisah ini:

Selalulah berhubung dengan keluarga, terutamanya ibu bapa anda. Jangan abaikan mereka walaupun tinggal berjauhan. Dan jangan sesekali menghubungi mereka hanya kerana ada hal besar sahaja. Kerana dari restu mereka lah anda mampu membina keluarga yang diberkati.

Langkah selepas taqdim adalah membuat pertemuan seperti semasa taaruf untuk perbincangan berkaitan hal pernikahan, perancangan rumah tangga dan sebagainya. Seterusnya kahwinlah, apa lagi.

Tak semestinya prosedur anda bermula dengan langkah 1 dan berakhir dengan kahwin. Setiap orang pasti berbeza jalan hidup masing-masing. Yang penting, bab rezeki, jodoh dan ajal yang dirahsiakan Tuhan ini, pasti ada hikmah di sebalik kerahsiaan itu. Usahalah. Berdoalah. Dan bersedialah. Jangan berlumba-lumba nak kahwin awal kerana rakan sebaya ramai yang dah mendirikan rumah tangga. Jodoh masing-masing; siapa dan bila masanya, Allah yang tentukan.

LAMAN KOLUMNIS | KARYA INDIE

Siti Sarah binti Mustaza
Tahun 6
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Sarah berpendapat bahawa menulis merupakan salah satu saluran untuk menyampaikan ilmu dan maklumat. Sarah yakin akan perlunya usaha untuk menulis dulu, kini dan selamanya agar kelestarian ilmu itu dan tersebarnya maklumat kekal berpanjangan hingga ke hari kiamat.
Bermula atas dasar terpaksa dalam karier ini, kini saudari Sarah yang berjinak-jinak dengan mediaPERUBATAN sejak Tahun Dua lagi, sudah lama memasang impian untuk menghasilkan buku suatu hari nanti.

Penulis ini pernah menghasilkan beberapa artikel lain seperti I Want To Be A Doctor dan  O&G: Oblivious and Grandiose. Klik pautan ini untuk terus membaca karya-karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.