PERUBATAN Dalam Meniti Usia Dewasanya

SEJARAH menyaksikan betapa ketinggian ilmu, mampu mengangkat martabat seseorang di dalam sesebuah masyarakat mahupun seantero dunia, Firman Allah S.W.T di dalam Al-Qur’an, dalam surah Al-Mujadilah, ayat ke 9,

‘Allah mengangkat martabat orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang berilmu, beberapa darjat.’

Gambaran kota Baghdad suatu ketika dahulu

Menuntut ilmu merupakan perkara yang amat dituntut di dalam Islam, bahkan, wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda nabi Muhammad S.A.W, merupakan ayat yang menuntut umat Islam untuk membaca, dan ia merupakan salah satu wasilah untuk memperoleh ilmu. Ketinggian ilmuan Islam dapat dilihat, khususnya pada zaman keemasan Islam, sewaktu negara-negara Islam bersatu dibawah Khilafah Bani Abbasiah, di mana tokoh-tokoh ilmuan Islam di dalam pelbagai bidang telah dilahirkan, antaranya, di dalam perubatan, Ibnu Sina dan Abu Zakaria Ar-Arazi, di dalam bidang falsafah, Al-Kindi dan Al-Farabi. Khilafah Abbasiah yang berpusat di Baghdad, menyaksikan ramai di antara tokoh-tokoh ilmuan ini, dilahirkan di dalam kawasan timur tengah.

Zaman berlalu, sejarah banyak dicatatkan, masa menjadi saksi, bahawa bumi timur tengah terus menjadi medan curahan dan tadahan ilmu buat umat manusia. Tanah Melayu juga turut tidak terkecuali. Sejak tahun 1920-an, anak-anak Melayu telah berada di bumi Mesir menuntut ilmu khususnya di dalam bidang agama, di samping mengasaskan satu wadah atau persatuan untuk bersama-sama menjaga kebajikan dan kepentingan anak-anak Melayu di perlembahan Nil. Sejarah penghantaran pelajar-pelajar Melayu di dalam bidang perubatan bermula sejak tahun 1973, dibawah tajaan kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke negara Mesir. Namun, penghantaran ini terhenti buat seketika ketika tahun 80-an oleh pihak kerajaan, namun tetap diteruskan oleh kerajaan negeri serta pelajar-pelajar persendirian.

Penubuhan sebuah jawatankuasa penaja yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kecil Sambutan Pelajar-Pelajar Baru (JAKSAP) telah ditubuhkan setelah pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memutuskan untuk menyambung kembali penghantaran pelajar-pelajar perubatan ke bumi Mesir. Penubuhan Jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk memudahkan dan melicinkan urusan sambutan pelajar-pelajar baru ini. Idea penubuhan Jawatankuasa ini telah mendapat sokongan penuh oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) pada ketika itu, Allahyarham Ustaz Wan Bakar bin Wan Dagang. Jawatankuasa kecil ini kemudian telah diterjemahkan kepada penubuhan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN) pada tahun 2002 yang terus berfungsi sebagai badan penjaga kebajikan pelajar-pelajar perubatan di bumi Mesir dengan agendanya untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama pelajar-pelajar yang menuntut di sini.

Sambutan pelajar-pelajar baru merupakan acara yang dinanti-nantikan

Tanggal 30 Mac 2005, PERUBATAN secara rasminya telah didaftarkan bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah(JPMK). Pertambahan dari sudut jumlah ahli serta taburan di seluruh bumi Mesir, menyebabkan PERUBATAN harus maju kehadapan dengan sistem dan organisasi yang lebih baik. Tahun 2006, telah mencatat sejarah kepada PERUBATAN dengan penubuhan tiga buah PERUBATAN cawangan iaitu PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM), PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT), PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI) dan sebuah organisasi PERUBATAN Universiti (OPU) iaitu Organisasi PERUBATAN Zaqaziq (OPZ). Pada tahun 2007, nama Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir telah bertukar kepada Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir dengan membawa agenda yang sama.

SeminarPERUBATAN kali keempat

Hasil kebijaksanaan dan kerjasama antara ahli dan pimpinan, PERUBATAN buat pertama kalinya pada tahun 2007, maju setapak dengan penganjuran seminar PERUBATAN buat julung kalinya yang melibatkan pelajar-pelajar perubatan dan pengajian Islam. Kerjasama di antara PERUBATAN dan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) turut diperkasakan demi mengeratkan hubungan diantara pelajar-pelajar pengajian Islam dan sains kesihatan. Pada tahun ini juga, ahli PERUBATAN bukan sahaja daripada kalangan pelajar-pelajar perubatan, malah PERUBATAN turut menaungi pelajar-pelajar yang berada di dalam bidang sains kesihatan yang lain seperti farmasi dan pergigian yang berada di Universiti Mansurah. Menjelang tahun 2008, PERUBATAN melebarkan lagi potensinya dengan turut terlibat di dalam isu-isu kemanusiaan yang bersifat antarabangsa. Contohnya, bekerjasama dengan PEMUDA MASJID, menghantar bantuan dan misi kemanusiaan ke Darfur di samping turut menerima kunjungan pertama Majlis Perwakilan Pelajar dari Jordan. Kerjasama yang bersifat antarabangsa ini menunjukkan PERUBATAN berkembang pesat dengan berjaya mengoptimumkan potensi ahli-ahli untuk kepentingan manusia sejagat.

Antara saluran-saluran awal PERUBATAN

Walaupun turut terlibat dengan kerjasama antarabangsa, PERUBATAN tidak melupakan tujuan dan matlamat asal penubuhannya, iaitu kebajikan setiap ahlinya. Pada tahun ini juga, karnival Keluarga Mega PERUBATAN turut diadakan dengan tujuan untuk menghubung jalin antara mahasiswa sains kesihatan yang bernaung dibawah PERUBATAN di seluruh Mesir. Selain menyahut seruan Firman Allah S.W.T di dalam Al- Qur’an, surah Al- Hujurat ayat ke 10, “Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara, maka, damaikanlah di antara mereka”, karnival ini juga bertujuan untuk mengisi ruang waktu pada musim sejuk ketika itu. Pada tahun tersebut juga, jumlah ahli PERUBATAN meningkat dengan begitu banyak sekali mencecah seramai 1,100 orang.

Buat pertama kalinya ketika berusia enam tahun, PERUBATAN dengan sedikit pembaharuan telah menggunakan tema pada tahun ini, iaitu, “Menggungguli Kecemerlangan, Mengerat Kebersamaan”. Tema yang dipilih adalah mengikut kesesuaian semasa sejajar dengan pertambahan ahli. PERUBATAN mengambil langkah untuk mengutamakan ikatan persaudaraan sesama ahli, dan atas sebab inilah, tema kebersamaan ini dipilih. Tradisi PERUBATAN menganjurkan seminar tahunan tetap diteruskan pada tahun ini, namun, seminar pada kali ini, menunjukkan sedikit kelainan dengan menampilkan pembentang dalam kalangan ahli PERUBATAN dan juga mahasiswa Pengajian Islam Universiti Al-Azhar dengan tema, “Kelahiran dan Kematian”.

Sudah banyak program PERUBATAN mendapat sentuhan tokoh-tokoh ternama

Kunjungan antarabangsa pada tahun tersebut, menampilkan barisan kepimpinan daripada Universiti Malaysia Sabah serta pertemuan khas dengan wakil MERCY untuk membincangkan peranan yang boleh dilakukan oleh PERUBATAN dalam membantu mangsa perang di Gaza. Kerjasama yang baik antara PERUBATAN dan MERCY, menunjukkan betapa sensitifnya ahli-ahli PERUBATAN dalam isu kemanusiaan di samping menunaikan tanggungjawab serta ‘core business’ di Mesir iaitu menuntut ilmu. Betapa kematangan sesuatu persatuan itu, tidak diukur berdasarkan angka penubuhannya, namun, pada keterlibatannya dalam membawa dan cakna isu masyarakat setempat dan antarabangsa. Sebagai sebuah persatuan yang baru berusia lapan tahun ketika itu, PERUBATAN dilihat sebagai sebuah persatuan yang mempunyai ahli berkredibiliti dan berpotensi tinggi. Hal ini kerana, kerjasama yang diberikan oleh PERUBATAN di dalam isu-isu antarabangsa adalah amat memberangsangkan serta diperakui oleh beberapa badan NGO. Buktinya, kerjasama yang berterusan terus ditawarkan kepada PERUBATAN dalam isu antarabangsa termasuklah peranan yang telah dilakukan sebaiknya sewaktu ‘Ops Piramid’ ketika membantu pihak Kerajaan Malaysia melakukan proses evakuasi pada tahun 2010 berikutan penggulingan Presiden Hosni Mubarak oleh rakyat Mesir. Antara kerjasama lain yang pernah dibentuk ialah bersama PAPISMA di Malaysia dan juga di Mesir, Persatuan PERSIAP di dalam program HOPE di UKM, MAPIM, Muslim Care dan ILMAM ketika program EPIC 2013.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN 2011/2012
OPU Ain Shams

Pada tahun 2010 juga, satu tema yang baharu telah diperkenalkan untuk diguna pakai sejajar dengan perkembangan dan pertumbuhan persatuan yang menaungi pelajar-pelajar sains kesihatan di Mesir, iaitu “Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”. Tema yang diperkenalkan ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan PERUBATAN bukan sahaja mementingkan kesatuan di dalam kalangan ahli, malah turun mementingkan capaian ilmu, sesuai dengan tujuan sebenar keberadaan  para ahli di Mesir. Di samping itu, pembawaan tahunan turut diperkenalkan oleh setiap Presiden yang dipilih oleh ahli, sebagai contoh, agenda akademik, kebajikan, pembangunan insan dan professionalisme.

Awal penubuhan PROF

PERUBATAN, sebuah persatuan yang meraikan dan mengoptimumkan minat ahli. Hal ini terbukti dengan pelancaran PERUBATAN FRONTLINER (PROF) pada tahun 2012 yang memposisikan ahli-ahli berdasarkan minat dan kencenderungan masing-masing. Penubuhan PROF dilihat pada ketika ini, jika ia dimanfaatkan, mampu untuk mengurangkan bebanan gerak kerja untuk sesuatu program. Pemetaan ahli yang sistematik untuk sesuatu program akan mampu mengelakkan daripada berlaku pertindanan jawatan dan gerak kerja diperingkat ahli jawatankuasa pelaksana bagi sesuatu program. Hasil kerjasama yang pernah dilakukan pada tahun 2013, memacu PERUBATAN ke arah yang lebih tinggi di dalam isu-isu kemanusiaan yang bersifat global. Penubuhan PERUBATAN for peace and care (PEACE) pada tahun sejak tahun lalu, dengan gerak kerjanya yang tertumpu ke arah  mengemas kini dan membantu negara-negara yang bergolak ketika ini telah membuktikan betapa isu kemanusiaan sebenarnya tidak dipandang enteng oleh ahli-ahli PERUBATAN. Banyak pembaharuan Kesemua PERUBATAN Cawangan telah diberikan taklifan untuk mengemaskini isu-isu yang berlaku di ‘benua angkat’ masing-masing kepada setiap ahli PERUBATAN.

Saban tahun, keahlian perubatan terus meningkat dengan keahlian yang semakin bertambah di universiti-universiti di dalam Kaherah. Pertambahan ini, menyebabkan PERUBATAN harus melakukan perubahan demi memastikan segala pembawaan tahunan PERUBATAN dapat dibumikan sehingga ke peringkat semua ahli. Pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-8 (MAT-8) pada tahun 2012, satu usul telah diluluskan iaitu, penubuhan Organisasi PERUBATAN Universiti (OPU) bagi semua universiti di dalam Kaherah, iaitu Universiti Ain Shams, Al-Azhar dan Kaherah dan penubuhan satu Majlis Tertinggi diperingkat PERUBATAN yang diwakili oleh dua orang wakil daripada setiap cawangan PERUBATAN. Pembaharuan ini diterima sepakat oleh majoriti perwakilan yang hadir dengan hujah, akan memudahkan urusan pentadbiran PERUBATAN pusat dan capaian yang lebih berkesan kepada seluruh ahli PERUBATAN di Mesir yang mencecah kira-kira 6000 orang ketika itu.

Tahun yang bersejarah itu juga menyaksikan betapa ahli dan pimpinan PERUBATAN sentiasa mencari jalan dan penambahbaikan yang berterusan untuk kebaikan bersama. Segala anasir perpecahan segera ditangkis dan dielakkan. Memasuki dekad yang kedua usianya, PERUBATAN, kini dengan tujuh cawangan di seluruh Mesir mempunyai ahli melebihi angka 6000 orang ketika ini. Terbukti, mesyuarat yang berkesan dan mendapat redhaNya akan mendatangkan manfaat kepada seluruh ahli mesyuarat dan masyarakat sekelilingnya. Hasil persetujuan bersama penubuhan PERUBATAN Cawangan, pembawaan tahunan PERUBATAN kini lebih tersusun dan menyeluruh serta mencapai hadaf yang ingin dibawa ke semua peringkat ahli.

Kini Projek DANA PERUBATAN berupaya pergi lebih jauh
Presiden PERUBATAN 2012-2013

Projek dana PERUBATAN kini diperkenalkan merupakan sumber utama kewangan terbesar PERUBATAN selepas yuran ahli. Untuk membangun sebuah persatuan yang mampu menyediakan kemudahan kepada ahli sejajar dengan pembawaannya, ekonomi tidak boleh dipandang enteng. Masakan tidak, penganjuran program tidak akan mungkin akan terjadi tanpa dana dan sumber kewangan ini. Pada sesi 2013/2014, di bawah pimpinan Presiden PERUBATAN , saudara Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidi, agenda pemacuan ekonomi telah diutarakan, kesemua cawangan pada waktu tersebut menyahut pembawaan Presiden dengan baik. Hasilnya, kewangan PERUBATAN pada akhir sesi tersebut adalah berada dalam keadaan yang stabil dan ini merupakan satu petanda yang baik, di mana kita mampu menjana ekonomi di peringkat kita sendiri jika kita mahu dan yakin dengan usaha kita sendiri. Apa yang diharapkan adalah agar pimpinan yang bakal mendatang mampu membawa fenomena ini buat kedua kalinya, kerana ekonomi tidak boleh dipisahkan dengan persatuan non-profit seperti PERUBATAN yang membawa agenda kebajikan sebagai agenda asas kepada setiap ahlinya.

Kini, usia PERUBATAN telahpun mencecah 12 tahun penubuhannya, dianggotai oleh tujuh buah cawangan yang memiliki markas tersendiri di setiap muhafazah dan dua orang wakil Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) daripada setiap cawangan. Daripada Presiden PERUBATAN yang pertama mengetuai MTP, iaitu saudara Abd Rahim bin Samad, sehinggalah Presiden sekarang, saudara Presiden PERUBATAN 15/16 saudara Haniz Iqbal bin Hazaidi, PERUBATAN kini dilihat semakin berkembang daripada sudut pembawaannya terutamanya melalui konsep taakhi yang dibawa, keutuhan persaudaraan daripada setiap cawangan dilihat semakin mantap. Walaupun dipisahkan oleh sempadan muhafazah, namun hati-hati mereka tetap tertaut dengan rasa mahabbah antara satu sama lain. Ini menunjukkan agenda persaudaraan yang dibawa oleh PERUBATAN, bukanlah hanya bermain di bait-bait mulut, malah ianya dibuktikan secara praktikal, terutamanya di musim perayaan Aidilfitri yang lepas.

Kini, pimpinan sesi 2015-2016

Sesungguhnya, tanpa ahli, tiadalah pimpinan, apabila tiada pimpinan, binasalah kesatuan. Maka terbuktilah bahawa ahli merupakan komponen sebenarnya yang memainkan apa jua peranan dalam mencorakkan masa depan PERUBATAN, sama ada daripada sudut kesatuan, akademik dan lain-lain lagi. Ahli juga yang akan membentuk corak pimpinan yang mereka mahukan dan pemimpin mereka sendiri. Ahli juga harus sedar, erti hidup yang sebenar adalah pada memberi. Kehidupan sebenar, bukanlah bererti kita memperoleh segalanya untuk diri kita, tetapi sebanyak manakah kita telah menjadi individu yang bermanfaat kepada orang lain. Contohilah Baginda Nabi Muhammad S.A.W. yang dimana hidupnya hanya untuk menyeru ummatnya kepada Allah Taala, biarlah baginda disakiti, dicerca mahupun dihina. Baginda sanggup berhijrah meninggalkan tanah tumpah darahnya, demi mengembangkan syiar Islam untuk dinikmati oleh umat manusia. Jika insan yang paling mulia di antara kita memilih erti hidup untuk memberi, maka tergamakkah kita memilih erti hidup untuk diri sendiri?

Marilah kita bersama-sama mendoakan agar PERUBATAN terus maju ke hadapan, memiliki ahli-ahli yang mampu menangkis setiap anasir yang mampu mengundang perpecahan serta sentiasa mencapai hadaf dan tujuan penubuhannya. Berada di tempat asing, tidak dapat tidak, kita seharusnya sentiasa saling bantu membantu di antara satu sama lain, dan gunakanlah PERUBATAN sebagai wadah kesatuan yang telah sekian lama kita perjuangkan semenjak daripada tahun awal penubuhannya.

MINDA PIMPINAN

Muhammad Hanif bin Mahamad
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.