Jenayah Semakin Berleluasa

articlesPossible-misuse-of-hudud-is-the-main-issue_1024x576.jpg.transformed_0-685x320

Setujukah anda dengan kenyataan tersebut? Imam Al-Mawardi mendefinisikan Jenayah sebagai “Perkara-perkara yang diharamkan oleh syara’ sebagai pencegahan daripada Allah dengan mengenakan had atau takzir.”[1] Definisi haram pula ialah melakukan sesuatu perkara yang ditegah oleh syara’ dan meninggalkan apa yang disuruh oleh syara’.[2]

Dasawarsa ini menyaksikan peningkatan kadar jenayah semakin menular dan membarah dalam kalangan rakyat Malaysia.[3] Setiap hari pasti terpampang di media massa dan media cetak berkaitan kes-kes jenayah yang berlaku tidak kira usia samada tua mahupun muda dan ianya gagal ditangani oleh undang-undang yang dicipta oleh manusia. Persoalannya, kenapa tidak, kita melaksanakan undang-undang Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT Tuhan yang menciptakan manusia padahal undang-undang Allah SWT lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah manusia sebagai makhluk yang diciptaNya. Mengapakah keadaan sedemikian berlaku? Tepuk dada, tanyalah minda.

Allah telah menggariskan panduan melalui Syariat Islam dalam usaha menjaga hak-hak sesama manusia. Bahkan, Syariat Islam juga ditetapkan adalah untuk menjaga dan memelihara lima maslalah utama iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta yang merupakan dikategorikan sebagai ad-dharuriyyah al-khams. Setiap orang yang melanggar salah satu maslahah ini wajib dikenakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Syariat setelah dihadapkan ke mahkamah. Salah satu daripada perundangan Islam adalah perlaksanaan hukuman hudud yang menjadi salah satu keistimewaan ajaran Islam dan merupakan bentuk kesempurnaan rahmat dan kemurahan Allah kepada makhlukNya.

Hukum hudud adalah hukum-hukum yang tertentu yang ditentukan oleh Allah SWT sama ada melalui al-Qur’an atau Sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai Hak Allah SWT yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu yang digolongkan di dalam jenayah Hudud. Justeru, sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT dan kitabNya, kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ingatlah penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke  36 :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya : “Dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah SWT dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata.”

Hukuman Hudud adalah suatu hukum yang tertakluk kepada 7 jenis kesalahan dan jenayah iaitu:

(a) Zina;

Persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan. Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali.

Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati.

(b) Qazaf (menuduh zina);

Melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik. Hukuman : Sebat 80 kali

(c)  Minum arak;

Meminum minuman yang memabukkan  dan  boleh menghilangkan kewarasan akal. Hukuman : sebat 40 kali menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, Al-Thauri dan lain-lain. Ada pendapat lain, iaitu mazhab Syafi’ie menyatakan bahawa asal kadar hukuman sebat adalah sebanyak 40 kali. Akan tetapi, ianya boleh ditambah kepada sehingga 80 kali seandainya ianya boleh mencegah dan memberi ancaman kepada penjenayah.

(d)  Mencuri;

Mengambil harta orang lain secara sembunyi dan mencukup syarat-syaratnya. Hukuman : Potong tangannya

(e) Merompak;

Penyamun atau Perompak atau Peragut di tengah jalan dengan syarat-syarat yang tertentu.

Hukuman :

  1. Sekiranya mereka membunuh dan mengambil harta, maka mereka dijatuhkan hukuman dibunuh dan disalib.
  2. Seandainya mereka membunuh dan tidak mengambil harta, maka mereka dijatuhkan hukuman dibunuh tidak disalib.
  3. Seandainya mereka merampas harta tanpa membunuh, maka mereka dijatuhkan hukuman tangan dan kaki dipotong secara bersilang.

(f) Riddah (murtad);

Seseorang memutuskan (pemelukan) Islam, iaitu kembali daripada Islam, dan tidak menyambungkan diri untuk memeluknya, baik dengan adanya niat, ucapan atau perbuatan, dan baik kepada salah satu agama, salah satu aqidah, atau kepada kemusyrikan.

Hukuman : Setelah memenuhi syarat, maka penjenayah ini perlu dijatuhkan hukuman dibunuh dengan pedang.

Umat Islam  dan pemimpinnya mesti berusaha untuk memastikan Syariat Islam ini ditegakkan di negara kita yang bermajoriti penduduknya adalah beragama Islam. Bukan mencari pelbagai alasan untuk mengelakkan diri dari melaksanakan perintah Allah SWT. Jika British Law boleh dilaksanakan sekian lama dalam negara kita sedang hampir tiada penduduk tetap negara kita berbangsa British, kenapa masih ada sebahagian dari kita yang begitu prejudis  terhadap perlaksanaan perundangan Islam sementara majoriti penduduk negara kita ialah Muslim. Hayati Firman Allah SWT dari surah at Taubah ayat 63 :

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّهُ مَن يُحَادِدِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَأَنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدًا فِيهَا ذَٰلِكَ الْخِزْيُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar”

Alasan kononnya ramai umat Islam tidak memahami hukum Hudud maka ianya tidak sesuai dilaksanakan pada hari ini adalah helah bermadah yang cukup strategik untuk tidak melaksanakan perintah Allah SWT. Ajaibnya, ramai umat Islam tidak memahami undang-undang British yang diamalkan dalam negara kita pada hari ini, tetapi sesuai pula dilaksanakan ?

Kewajipan melaksanakan hukum Hudud ini adalah berpaksi kepada prinsip perundangan Islam untuk memelihara :

  1. Agama: melalui undang-undang murtad
  2. Nyawa: melalui undang-undang qisas
  3. Aqal: melalui undang-undang arak dan minuman yang memabukan
  4. Keturunan: melalui undang-undang zina
  5. Harta benda: melalui undang-undang curi dan rompak

HUDUD

Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini ialah seperti Syarikat Perodua yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama MyVi. Tentunya Syarikat Perodua akan mengeluarkan buku manual operasi yang akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti menggunakan MyVi berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh syarikat pengeluar. Justeru, syarikat itulah yang lebih mengetahui bagaimana cara dan kaedah menjaga dan mengguna produk mereka dengan baik dan meminimakan kadar kerosakan. Pengguna MyVi  tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat Mitsubishi untuk produk mereka yang berjenama Pajero 4×4.

Begitulah manusia yang merupakan produk ciptaan Allah SWT. Allah SWT telah memelihara KitabNya iaitu Al-Quran Al-Karim dan juga As-Sunnah daripada Rasulullah SAW sebagai panduan demi memastikan kehidupan manusia di dunia ini terurus berdasarkan manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang lebih mudah agar cara dan gaya hidup manusia dipandu oleh petunjuk Allah SWT lalu menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa godaan nafsu dan bisikan syaitan yang dilaknat oleh Allah SWT.

Hukuman yang ditetapkan oleh Allah ini bukanlah bertujuan untuk menyeksa bahkan untuk mendidik manusia. Misalnya sebegini,terdapat seorang pesakit yang menghidap kencing manis atau Diabetes Mellitus (DM). Apabila anggotanya dijangkiti kuman dan mengalami proses nekrosis, doktor yang merawat pesakit tersebut akan menerangkan kepada pesakit dan warisnya untuk melakukan pemotongan anggota pesakit itu. Hal ini demikian kerana bagi mengelakkan anggota pesakit daripada berlakunya jangkitan yang akan merebak ke seluruh anggota tubuh pesakit. Secara kasarnya tentu anda dapat melihat seolah-olah ianya tidak berasas, bukan? Tetapi, hakikatnya itulah solusi terbaik bagi menghindari komplikasi bagi penghidap DM.

Hudud juga merupakan hukuman bagi orang yang melakukan kejahatan. Apabila dia merasakan sakitnya hukuman ini dan akibat buruk yang muncul darinya, maka dia tidak akan mengulanginya lagi seterusnya mendorongnya untuk istiqamah serta taat kepada Allah SWT.

Selain itu, hikmah pensyariatan hudud adalah mencegah orang lain agar tidak terjerumus dalam kemaksiatan. Oleh karena itu Allah SWT memerintahkan untuk mengumumkan had dan melakukannya di hadapan manusia. Firman Allah SWT Surah An-Nur ayat kedua:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya : “Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

Hudud adalah penghapus dosa dan pensuci jiwa pelaku kejahatan tersebut. Hudud memberikan keadilan dan mengembalikan kehidupan yang sejahtera dan aman. Tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud ini kecuali segolongan sahaja iaitu penjenayah. Justeru, hukum Hudud adalah hukum yang dijatuhkan keatas penjenayah yang telah disabitkan kesalahannya. Non-muslim juga tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud. Mereka tidak dipaksa untuk menerima hukum Hudud jika mereka tidak mahu berhukum dengan hukuman Hudud bahkan mereka boleh memilih untuk kekal di bawah perlaksanaan hukum sedia ada.

2.bp.blogspot.com_-1ESRQlhKzIU_T7nNnCw9qHI_AAAAAAAAAiQ_Un2sSH5e1zI_s1600_HUDUD

Kesimpulannya, Hudud bukan sekadar hukum Allah SWT yang telah ditetapkan secara tekstual di dalam Al-Quran dan As-Sunnah kemudiannya dibuku semata-mata, tetapi ianya adalah suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan ummat manusia sebagai proses keadilan untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah dari Tuhan yang mencipta manusia.  Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya adalah perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang. Justeru, ianya telah memperkecilkan dan mendustakan Allah SWT.

Jika hudud dilaksanakan, adakah zina semakin lagi berleluasa?

Minum arak menjadi satu kebiasaan sehingga boleh dimaafkan?

Masyarakat masih bebas mencuri dan merompak? Fikir-fikirkanlah.

SUMBER RUJUKAN

[1] Imam Al-Mawardi, Al-Ahkam Al-Sultaniyyah

[2] Syeikh Abdul Qadir Audah, al-Tasyri’ Al-Jinaiy Al-Islami

[3] Berdasarkan Indeks Keselamatan Awam rakyat Malaysia dalam Kualiti Indeks Kehidupan (MQLI) 2004

LAMAN KOLUMNIS | FAKTA SEMASA

Nor Faizah binti Ahmad
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Faizah mempunyai keyakinannya tersendiri ketika menulis. Meskipun masih baru, beliau mampu menghasilkan karya yang baik dan menarik. Penulis ini merupakan salah seorang dari kalangan pelapis kolumnis Karyawan PCS. Teruskan memberikan sokongan terhadap hasil penulisan beliau. Nantikan karya yang seterusnya daripada beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.