1010591_769255733084708_1234755054_n

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Dialah yang berdiri sendiri tetap utuh sedangkan manusia terus menerus menagih rahmatNya. Maha pengampun dengan sifatNya, sedangkan manusia masih dengan perilaku dosa mereka. Maha pengasih sedangkan manusia sering melupakan nikmat akan kasihNya. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam naungan rahmatNya yang maha luas. Selawat dan salam ke atas baginda nabi Muhammad saw, kerana dengan perjuangan baginda yang tidak kenal erti lelah dan putus asa telah memberikan kita nikmat yang kebanyakan daripada kita sering lupakan, Iman dan Islam dengan izinNya. Juga kepada semua pejuang-pejuang agama Allah swt yang punyai semangat itqan sehingga menjadikan tubuh dan nyawa mereka sebagai wakaf untuk memenangkan agama Allah swt.

Mengorak langkah, meneruskan perjuangan, mengemudi bahtera dakwah, ditakdirkan berdirinya PCS sesi 2014/2015 dengan izinNya tanggal 28 Februari 2014. Kini bertarikh 20 Februari 2015 maka sekali lagi kita berkumpul bagi menyahut seruanNya untuk bermesyuarat seperti mana yang disebut di dalam firmanNya di dalam surah assyuara’ ayat ke 38

Dan juga  orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepadanya”

Bermesyuarat juga merupakan Sunnah yang telah dilakukan oleh Baginda Nabi sewaktu hayatnya. Hasil bermesyuarat telah terbukti sejak zaman berzaman, di mana, rahmat dan bantuan Allah swt akan tiba dengan izinNya. Maka pada hari ini, dengan rendah diri kita berkumpul untuk bermesyuarat dalam memberi pandangan dan muhasabah di sepanjang sesi pentadbiran PCS sesi 2014/2015.

Sesuai dengan hadaf penubuhannya, kebajikan ahli terus dipacu dengan sehabis daya. Selaras dengan itu, maka hubungan yang erat bersama universiti terus ditaut tanpa berlengah. Penyertaan PCS dalam mewakili Malaysia di dalam International Day yang diadakan beberapa minggu setelah MTC, dengan nafas yang baru, telah meletakkan Malaysia di tempat kedua daripada keseluruhan Negara-negara yang menyertai program tersebut. PCS terus menambat hati universiti dengan menjadi pemudah cara ketika lawatan delegasi daripada Pejabat Perdana Menteri ke universiti Ain Shams dengan membawa isu visa yang sukar diperoleh serta isu fail yang gagal diselesaikan saban tahun. Terus membawa isu fail di dalam gerak kerja secara agresif, PCS turut menyertai lawatan kedutaan ke universiti Ain Shams dengan membawa suara ahli bukan sahaja dari isu permasalahan fail, malah sistem akademik yang akhirnya membawa kepada beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak universiti contohnya di dalam penghasilan buku-buku jabatan-jabatan yang lebih mesra mahasiswa.

Hasilnya PCS pada sesi kali ini telah berjaya menyelesaikan sebanyak 98% isu fail yang sebelum ini membelenggu mahasiswa Ain Shams. PCS juga telah meminta pihak universiti untuk menyediakan kad pelajar kepada semua mahasiswa Ain Shams memandangkan isu keselamatan agak meruncing dengan pemeriksaan keselamatan oleh pihak polis. Sungguh, usul mewujudkan hubungan dengan universiti bukanlah satu omongan dan laungan kosong, malah ianya sesuatu yang telah dijadikan sebagai keutamaan pada sesi kali ini. Pada 16 Februari yang lalu, penglibatan PCS di sebagai AJK pelaksana program Hari Graduasi, telah menunjukkan PCS sentiasa berusaha untuk menjadi pemudah cara kepada pihak universiti terutamanya di dalam hal-hal yang melibatkan ahli PCS dan perkara ini turut disambut baik oleh pihak universiti dan mengharapkan kerjasama yang terus menerus dihulurkan oleh PCS terutama bagi perkara-perkara yang melibatkan mahasiswa Malaysia Ain Shams.

Tidak dilupakan ‘core business’ yang kita perjuangkan di sini. Hasil muhasabah sesi lepas, PCS cuba membawakan program-program yang lebih terarah kepada bersifat klinikal yang meraikan akademik ahli. Selaras dengan itu, agenda akademik terus dibawa di dalam pelbagai lapangan, antaranya medical team. Keanggotaan medical team yang semakin bertambah menandakan betapa ahli PCS sentiasa cakna dengan ‘skills’ yang mampu diperoleh serta dicurahkan di dalam ruang yang disediakan. Program (winter attachment programme) WAP dan Basic Clinical Skills yang diadakan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli. Program Aku, senior dan HO yang menampilkan pengisi daripada lapangan sebenar telah mendedahkan ahli kepada suasana realiti yang bakal dihadapi di dalam alam pekerjaan selepas tamat pengajian.  Sebenarnya ini merupakan sebagai langkah pertama ke arah PCS untuk lebih meluaskan skop programnya di dalam bidang intelektual dan meraikan kehendak serta minat ahli. Kesinambungan daripada program WAP, doctor-doktor yang menziarahi mesir turut dimanfaatkan pengalaman dan dijemput ke PCS untuk berkongsi mutiara-mutiara ilmu, maka, seharusnya program-program seumpama ini diteruskan oleh PCS pada sesi akan datang. Sesi ini juga memperlihatkan lambakan karya-karya yang dihasilkan oleh ahli dan pimpinan dan perpustakaan yang telah diwujudkan secara rasmi. Sesungguhnya budaya membaca telah disubur di dalam kalangan ahli PCS dan diharapkan budaya membaca ini terus disuburkan!

Agenda disusun bukan sebarang angan,

Disusun demi pembangunan insan!

Di samping suburnya akademik serta kebajikan ahli, pembangunan Insan tidak dipandang enteng! Penganjuran program Eksplorasi Kembara Sunnah (EKS) buat julung-julung kalinya telah membuka skop baru bagi medium pendidikan demi membangunkan insan. PCS merupakan cawangan yang pertama yang berjaya menganjurkan program seumpama ini. Melalui program ini, ahli didedahkan dengan sukan-sukan Sunnah seperti memanah dan berkuda serta menjadi titik tolak ke arah mempelbagaikan pengisian usrah yang boleh diaplikasikan oleh para naqib. Menyahut seruan pembawaan agenda tahunan PERUBATAN, penganjuran MUKMIN bagi para naqib dilihat sebagai salah satu usaha untuk membina daie yang berkualiti bagi membawa salah satu wasilah pendidikan ke arah melahirkan individu muslim yang cukup sifat-sifat tarbiahnya! Selain itu, Bicara Pagi Bersama Murobbi menyajikan santapan rohani di pagi jumaat dengan menyediakan penghayatan ilmu akidah dan sejarah-sejarah Islam yang sepatutnya dihayati oleh setiap individu yang ingin melihat kebangkitan semula Islam yang punyai kekuatan pengaruh dan intelektual.  Sungguh, agenda pembangunan insan diluaskan skopnya bermula dari penganjuran program-program keagamaan secara berkala seperti kelas-kelas tafaqquh yang juga merupakan medium bagi para doctor untuk menggarap satu nilai tambah yang sinonim dengan graduan mesir sehinggalah kepada penganjuran bengkel grafik dibawah kelolaan BPP kepada ahli serta bengkel lukisan anjuran SMART yang menggalakkan pembangunan kreativiti di dalam diri ahli.

Sebenarnya, agenda kebajikan, akademik dan pembangunan Insan akan menahtijahkan kepada lahirnya kesatuan yang acapkali dilaung-laungkan. Persefahaman yang utuh serta sikap bertolak ansur yang dimiliki oleh ahli dan pimpinan PCS telah melahirkan satu komuniti yang saling menghulurkan tangan bagi menghasilkan sebuah manfaat yang lebih luas untuk dinikmati. Pengenalan sistem taakhi batch sebenarnya dilihat sebagai satu medium merapatkan jurang diantara pelajar-pelajar Ain Shams terutamanya di antara ‘senior’ dan ‘junior’ . Penganjuran Fiesta D’ Abby yang telah ditambah baik konsepnya dari sudut ilmiah serta jemputan kepada cawangan-cawangan taakhi dilihat telah menjadi satu titik tolak ke arah merobohkan tembok di antara ahli-ahli PERUBATAN di cawangan-cawangan diluar Kaherah. Kelainan yang ditampilkan di dalam program Ain Shams Family Day (ASFAD) yang dilakukan diluar Kaherah iaitu di Ain Sukhna, telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 70% ahli untuk bersama-sama berukhuwah disamping mengenali di antara satu dengan lain. Secara zahirnya, kesatuan yang cuba diwujudkan di dalam ‘tagline’ kita iaitu, ‘PCS, Kita Satu Hati’ dilihat makin realistik. Apa yang kami harapkan agar ahli serta pimpinan yang bakal ditabalkan akan sentiasa menghayati ‘tagline’ ini ke arah melahirkan kesatuan yang lebih kukuh dan jitu yang mampu menolak anasir-anasir pepecahan.

Firman Allah swt di dalam surah As Soff:

‘sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang berperang di dalam satu saff seolah olah mereka itu sebuah bangunan yang kukuh’

Maka pada hari ini, kita berkumpul untuk menguatkan lagi tautan ukhuwah melalui medium bermesyuarat. Kami mengalu-alukan muhasabah dan segala cadangan daripada kalian demi melahirkan PCS yang lebih mantap! Bermesyuaratlah dengan penuh kasih sayang dan adab selayaknya dimiliki oleh individu-individu berilmu. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kalian yang sentiasa menjadi penyokong dan pendokong kepada bahtera PCS, Insha Allah gerak kerja yang kita lakukan dengan penuh itqan dan ikhlas ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal oleh Allah swt.

Sekian, seeru ala barakatilah.

“PCS, Kita Satu Hati”

 

anip crop

Muhammad Hanif bin Mahamad

Pengerusi

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

2014/2015