logo perubatan no bg

    

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t, kerana dengan nikmat kekuatan, nikmat ATP yang dikurniakan-Nya kepada kita semua serta dengan taufiq dan hidayah-Nya, kita diberi peluang untuk bersama-sama  berada di bawah satu bumbung, di dalam satu dewan bagi menjayakan Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) kali ke-2 ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W seorang tokoh teragung, yang mana tanpa penat lelah baginda menyampaikan risalah ad-Din, kita bukanlah kita pada hari ini. Semoga kita semua tergolong sebagai umat baginda yang mendapat syafaat di akhirat kelak.

 

Syukur ke hadrat  Allah S.W.T kerana masih mengizinkan PCS untuk terus bergerak maju ke hadapan dalam memacu kebajikan seluruh ahli masuk tahun yang ke-3 penubuhannya. Bagi saya terlalu banyak pembaharuan serta penambahbaikan yang telah dihasilkan oleh Allahyarham Abdullah bin Azahari dan saudara Muhammad Hanif bin Mahamad sepanjang dua tahun PCS bergerak. Hubungan dengan Universiti, kewujudan Teratak Ulul Albab serta sistem Majlis Ketua Batch (MKB) merupakan antara pembaharuan yang wajar kita banggakan serta kekalkan di masa hadapan.

 

Sidang perwakilan yang dimuliakan,

 PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS): Persatuan Berkebajikan  

Aspek kebajikan memang tidak dapat dinafikan sudah sinonim dengan nama PCS sejak dari awal penubuhannya. Baik dari sudut aplikasi program-program, mahupun perancangan gerak kerja biro-biro dan unit-unit, kesemuanya tidak lain tidak bukan meletakkan kebajikan ahli sebagai keutamaan. Walaupun kebajikan bukan lagi menjadi salah satu agenda PCS pada tahun ini, aspek-aspek penekanannya tidak akan kami abaikan walau sedikit.  Segala gerak kerja yang sedia ada seperti Tabung Kasih Sayang (TKS), AHLAN, Buku Panduan Kebajikan dan sebagainya akan tetap diteruskan malah diperkemaskan lagi bagi memastikan aspek kebajikan sentiasa menjadi fokus penting PCS selari dengan tujuan asal penubuhan PCS itu sendiri. Saya juga ingin mengajak sahabat sidang perwakilan untuk sama-sama kita sedar bahawasanya hidup berkebajikan adalah tanggungjawab dan kewajipan kita bersama. Hal ini selari dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud,

“Berlumba-lumbalah kamu dalam bekerja membuat kebaikan”.(Al-Baqarah : 148)

 

Sidang perwakilan yang saya segani sekalian,

  • PERUBATAN Cawangan Ain Shams ke Arah Kecemerlangan Akademik Ahli

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku” (Taha, 114)

Pada sesi ini, agenda akademik masih lagi menjadi agenda yang dikekalkan sebagai kompas PCS di mana secara keseluruhannya pergerakan PCS akan dipandu ke arah meningkatkan kecemerlangan akademik ahli. Berpandukan segala perancangan akademik berbentuk tahunan yang saban tahun dijalankan, kami akan sediakan pelbagai medium yang berbentuk program ilmiah, aktiviti berbentuk akademik, kelas-kelas serta bengkel kecemerlangan untuk membantu ahli menghadapi peperiksaan seterusnya memastikan pencapaian  akademik ahli berada pada tahap cemerlang. Dalam pada itu, menyedari betapa pentingnya nilai kemahiran klinikal dalam diri setiap mahasiswa sains kesihatan, kami akan memanfaatkan medium sedia ada seperti unit Medical Team Ain Shams dalam membantu mengasah kemahiran klinikal dalam diri ahli di seluruh peringkat.

Selain itu, fokus agenda akademik tidak akan terhenti pada titik ini sahaja. Aspek pembudayaan ilmu pengetahuan dan penerapan amalan membaca juga kami lihat sebagai elemen yang penting untuk kita sama-sama pupuk dalam diri seluruh ahli PCS. Medium-medium seperti e-Library PERUBATAN (e-LiP), Maktabah Abdullah Azahari dan kempen-kempen berkala yang sedia ada akan kita optimumkan penggunaannya dalam membantu ahli memupuk budaya membaca dalam diri masing-masing. Di samping itu, melalui Unit Fiqh PERUBATAN dan kempen Professional & Academic Day, kami akan sediakan kelas tafaqquh khusus dengan harapan ahli PCS bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu perubatan, malah dapat mengetahui sedikit sebanyak ilmu fiqh melibatkan bidang perubatan itu sendiri.

 

Hadirin sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekalian,

  • Agenda Pembangunan Insan ke arah Pembentukan Identiti Mahasiswa Sains Kesihatan

Mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhir, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera (mengerjakan) berbagai kebajikan. Mereka termasuk orang-orang yang soleh.” (Ali-Imran, 114).

Tanggungjawab individu Muslim itu tidak akan lari dari jalan untuk menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, kami juga akan terus mengekalkan agenda pembangunan insan pada sesi kali ini bagi membentuk mahasiswa yang terus terhadapan dalam menjadi qudwah kepada masyarakat sekeliling. Oleh itu, Thaqafah Islamiyah dan pengetahuan am serta isu semasa dunia juga  menjadi salah satu elemen penting dalam pembentukan seorang doktor yang bukan sahaja merawat fizikal, malah merawat rohani pesakit dan juga mampu mendepani isu-isu yang berkaitan perubatan serta masalah semasa.

Dapat dilihat pada sesi yang lepas, aktiviti bagi membentuk biah yang solehah telah kita laksanakan dengan baik melalui kempen Kau Aku Menuju Ilahi (KAMI). Sehubungan dengan itu, kita akan perkasakan penerapan biah solehah dalam kalangan ahli bukan sahaja melalui kempen semata-mata tetapi juga akan diterapkan dalam gerak kerja semua biro bagi memastikan biah solehah yang cuba kita bawakan kepada warga Ain Shams sesi ini dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

Menyoroti sirah Rasulullah S.A.W bahawa pembentukan negara Islam bermula dari usrah yang dilaksanakan. Maka, dalam konteks kita di sini, Smart Circle menjadi tunjang kepada pendidikan dan tarbiyah ahli seterusnya  dapat melahirkan ahli yang cinta akan Islam dan sedar akan tugasan kita sebagai khalifah dan pendakwah di muka bumi ini. Dengan mengoptimumkan Smart Circle dan  penerapan biah solehah dalam kalangan ahli secara tidak langsung, proses pembentukan syakhsiah Islamiah dapat diterapkan dengan lebih efektif.

Pada tahun ketiga PCS ditubuhkan ini, kami bawakan pembaharuan dalam agenda ini dengan menekankan aspek pembangunan mahasiswi yang kompeten. Aspek ini dibawa bagi membentuk mahasiswi yang mempunyai kemahiran yang pelbagai dalam menyumbang kepada PCS melalui program-program yang khusus bagi mahasiswi dengan penglibatan semua biro dalam PCS seperti  aktiviti yang  berbentuk pembangunan ‘soft skill’. Namun, pembangunan mahasiswa tidak sesekali akan diketepikan.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

  • Professionalism : Dalam Genggaman Mahasiswa PCS

Hadis Rasulullah S.A.W. yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang itu, yang apabila dia melakukan sesuatu, dia melakukan dengan itqan (bersungguh-sungguh dan teliti)”

Kerjaya sebagai bakal doktor tidak menjanjikan kesenangan dan kemudahan akan tetapi bila mana terjunnya kita ke lapangan sebenar nanti pastinya pelbagai cabaran mehnah tribulasi dan ujian bakal kita hadapi yang mana ketika itu sifat itqan yang tinggi perlu ada pada diri agar kita tetap teguh dalam bidang kedoktoran ini. Tambahan kita selaku bakal graduan lepasan Mesir secara umumnya dilihat sebagai satu permata yang bakal pulang membawa perubahan dan penambah baikkan kepada masyarakat di Malaysia semestinya tidak cukup sekadar menguasai ilmu kedoktoran semata. Akan tetapi perlulah kita lengkapkan dengan ilmu-ilmu agama, kemahiran hidup berorganisasi dan nilai-nilai tambah yang lain agar kita nanti pulang sebagai permata yang bersinar kepada masyarakat.

Oleh yang demikian, PCS sekali lagi membawa agenda profesionalisme pada sesi kali ini dengan harapan kita sama-sama dapat membentuk diri kita selaku ahli PCS dengan nilai jati diri yang teguh, personaliti yang berketerampilan dan cemerlang bukan sahaja dari aspek fizikal bahkan juga dari segi akhlak dan gerak kerja. Perkara ini akan kami realisasikan melalui pemerkasaan PERUBATAN Frontliner (PROF) dan  Professional Day dalam setiap biro dan unit dan program-program PCS.

Saidina Ali ada menyebut bahawa : “Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan dengan kebtilan yang tersusun”. Ini menunjukkan betapa pentingnya aspek pengurusan dalam sesebuah organisasi. Oleh itu, bagi meneruskan legasi pimpinan sebelum ini, sesi ini kami tekankan lagi dengan aspek pemerkasaan sistem pengurusan pentadbiran yang sistematik dan berinovasi dalam semua gerak kerja PERUBATAN Cawangan Ain Shams. Hasrat ini akan kami laksanakan dengan pemerkasaan Unit ‘Research and Development’ (R&D) yang diwujudkan susulan dari usul yang dipersetujui dalam MTC tahun lepas. Kami juga akan mempelbagaikan lagi medium kami dengan penekanan aspek etika dan protokal pengurusan majlis melalui  Unit Kawalan Kualiti & Etika dan juga memperkemaskan lagi sistem arkib PCS yang telah sedia ada. Selain daripada itu, kami akan terus berusaha dalam memperkasa hubungan baik dengan pihak berwajib seperti Majlis Ketua Batch, Pentadbiran Universiti, Penaja-penaja mahasiswa di Mesir dan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN). 

Mahasiswa serta mahasiswi yang saya sayangi sekalian,

  • Ekonomi Diperkasa, PERUBATAN Cawangan Ain Shams Selangkah Kehadapan

“Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya ; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih) ” Surah Yusuf : 47-48

Agenda pemerkasaan ekonomi merupakan sesuatu pembawaan yang baru di PCS. Namun jika kita lihat kembali sejarah PERUBATAN, agenda ini pernah dibawa dan menunjukkan peningkatan dan percambahan yang positif dalam PERUBATAN serta ahlinya. Fokus utama PCS dalam menjayakan agenda pemerkasaan ekonomi ini adalah pada sudut pengurusan  kewangan. Pengurusan kewangan yang sistematik dan teratur sekiranya diimplementasikan secara baik di dalam setiap biro serta unit dalam PCS, nescaya penggunaan kewangan PCS dapat dioptimumkan sebaik mungkin.

Melihat kepada situasi terkini ahli PCS yang mana menunjukkan minat ke arah ekonomi, kami akan cuba menjadi pemudah cara kepada mereka dalam menyalurkan minat dengan harapan, perkara ini mampu membantu menjalinkan hubungan baik di antara ahli dengan PCS sekali gus mampu membantu PCS dari sudut kewangan untuk terus menjadi wadah kebajikan kepada semua ahli. Sejajar dengan agenda ini juga, kami akan cuba sedaya upaya untuk menjadi tempat rujukan ahli dalam mendapatkan barang-barang yang diperlukan selari dengan moto yang Biro Ekonomi bawakan “Your Need is Our Priority”.

Selain itu, penekanan agenda pemerkasaan ekonomi ini juga akan kami luaskan dengan meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan setiap ahli PCS akan kepentingan bermuamalah dalam skop ekonomi dalam kehidupan kita bukan sahaja sebagai mahasiswa bahkan sebagai seorang pengamal perubatan di Malaysia kelak.

Sahabat-sahabat yang saya cintai sekalian,

  • Kesatuan PCS Diperkukuh Merentasi Sempadan Negeri & Tajaan

”Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.”

Agenda kesatuan, memang tidak dapat dinafikan merupakan agenda terpenting dalam PERUBATAN Cawangan Ain Shams khususnya dan PERUBATAN umumnya. Mampu saya katakan, semua agenda yang dinyatakan sebentar tadi, tidak lain tidak bukan, menjurus ke arah satu hasil iaitu kesatuan ahli. Meskipun PCS masih hijau jika dipandang pada usianya (masuk tahun yang ke-3), namun ia sama sekali tidak menghalang PCS bertindak sebagai sebuah persatuan yang matang dalam meneraju wadah kesatuan sesama ahli dan juga pimpinan.

Fokus terpenting dalam agenda kesatuan yang kami bawakan ini ialah untuk mewujudkan nilai kebersamaan ahli dengan PCS tidak kira dari sudut gerak kerja persatuan, program-program anjuran PCS, malah kita juga turun bersama dari sudut bermuamalah dalam kehidupan seharian kita. Jujur saya nyatakan, PCS bukanlah milik kami, AJKT PCS, bukan milik abang-abang serta kakak-kakak senior semata-mata tetapi saya mahu kita semua jelas bahawasnya PCS ini milik kita bersama.  Tidak kira kita pelajar tajaan mahupun tidak , anak jati Kedah mahupun Negeri Sembilan, tinggal di Hayyu Sabie’ mahupun Abbasiyah, PCS adalah milik kita semua. Sematkan dalam diri kita bahawasanya “PCS, Kita Satu Hati”.

Ahli PCS yang saya kasihi sekalian,

 PERUBATAN Cawangan Ain Shams: Wasilah Menuju Allah yang Satu

 “Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.” (At-Taubah: 41)

Ya Allah, kekalkanlah langkah kami di jalan-Mu, bantu kami untuk terus beristiqamah, kurniakan kami kesihatan, kekuatan, kelapangan dan kemampuan dalam memikul amanah sebagai pimpinan, penggerak mahupun ahli PCS, dan yang lebih penting memikul amanah-Mu sebagai khalifah di bumi ini ya Allah. Amin, ya Allah.

Sama-sama kita kukuhkan kesatuan yang telah lama kita jalinkan, mantapkan akademik yang menjadi salah satu keutamaan kita sebagai mahasiswa, murnikan diri kita dengan membangunkan nilai modal insan dalam diri kita, persiap-sediakan diri kita untuk menjadi Doktor Muslim Professional dan terapkan nilai berekonomi dalam kehidupan kita. Dengan harapan, ini semua bakal menjadi amal kebajikan kita dalam menuju Allah yang Satu.

Akhir kata, saya mewakili seluruh AJKT PCS sesi 2015/2016 ingin merakamkan penghargaan kepada kalian semua yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk mengemudi bahtera PCS ini walaupun sebenarnya kami sedar betapa besar tanggungjawab yang terpundak atas diri kami dalam memikul amanah ini. Besar harapan kami selaku khadam barisan hadapan untuk kita sama-sama berganding bahu bergerak seiring dan sejalan dalam memastikan segala agenda yang cuba kami bawakan pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan baik. Sokongan dan dokongan dari anda semua amatlah kami harapkan. Tanpa kalian, siapalah kami; tanpa kalian tiadalah PCS. Sama-sama kita doakan agar setiap tindak tanduk kami selepas ini dalam mengemudi PERUBATAN Cawangan Ain Shams sentiasa  berlandaskan Syariat Islam dan moga-moga Allah permudahkan dan merahmati segala usaha kita semua.

Seeru ‘Ala Barakatillah. Selamat berkerja untuk Islam.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

” PCS, Kita Satu Hati ”

11004852_924671137552213_118620116_n

Zulkifli bin Ab Rahim,

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS),

2015/2016.