Surat Cinta Murabbi : meraih cinta-Nya dan Pesuruh-Nya

Prolog

Marlia binti Farouk, 18 Tahun. Dia berasal dari Ampang, Kuala Lumpur. Anak kepada Encik Farouk, seorang ahli perniagaan yang berjaya dan Puan Hasnah, seorang surirumah yang aktif dengan persatuannya.Dia mempunyai seorang abang yang sedang menuntut di salah sebuah universiti tempatan.  Dia  juga mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Tetapi mama dan papanya telah membuat satu keputusan yang drastik dalam hidupnya. Mereka telah bersepakat ingin menghantar Marlia ke Mesir untuk menyambung pengajiannya dalam bidang perubatan. Dia terpaksa akur dengan keputusan mama dan papanya. Maka bermulalah kehidupan di bumi kinanah itu.

21.9.2011

Tuk. Tuk. Tuk. Batu kecil dihadapannya itu terus disepaknya sepanjang beberapa meter di atas jalan yang asing. Jalan yang penuh debu. Kemudian dia memandang sepi langit. Langit yang terbentang luas itu turut dihiasi awan nipis dan sang mentari yang gigih memancarkan cahayanya. Dia rindu akan keluarganya yang jauh berbatu-batu. Dia menyeka air matanya yang hampir tumpah supaya tidak terlihat oleh orang-orang disekelilingnya. Dia terus menyepak laju batu kecil yang berada dihadapan. Lantas batu itu tercampak jauh dan terus hilang dari pandangan. Batu kecil yang tercampak itu dijadikan simbolik tanda protesnya.

“Sampai hati papa dan mama hantar Mar jauh-jauh belajar sini. Mar tak nak. Mar tak nak” Mar bermonolog tanda protes di hatinya. Terdapat butiran jernih mulai turun dari kelopak matanya. Ditahannya sebaik mungkin supaya tidak terus mengalir deras. Dia terus mengorak langkah sambil membawa hati yang lara.

Perasaan teruja jelas tergambar di riak wajah semua rakan-rakan barunya apabila menjejakkan kaki kali pertama ke kulaih sebagai pelajar perubatan. Hari ini sudah seminggu dirinya bergelar sebagai mahasiswa Universiti Ain Shams, Kaherah. Tetapi tidak bagi Marlia, tiada satu perasaan teruja mahupun gembira yang menyinggah dihatinya. Jasadnya di sini, tetapi jiwanya masih tertinggal di Malaysia. Dia teringatkan mama, papa, abang serta rakan-rakan baiknya di Malaysia. Dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pelajar di sini. Sebelum ini, semua makan,minum dan pakainya diuruskan oleh mamanya. Di sini, dia terpaksa melakukannya sendiri. Hubungannya dengan ahli rumah dan rakan sebiliknya juga dingin dek kerana sikapnya yang lebih suka menyendiri. Kakinya terhenti di sebuah taman yang terletak berdekatan dengan kuliahnya. Kak Nafisah, mentor usrahnya, ingin mengadakan halaqah pertama mereka di taman itu. Dia terus menuju ke arah bulatan yang barangkali sudah bermula. Kak Nafisah dan ahli usrahnya menyambutnya dengan senyuman.

Mentari  petang hampir melabuhkan tirainya. Kak Nafisah menamatkan halaqahnya dengan sepotong ayat suci al-Quran, mafhumnya :

“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh kamu menyukai sesuatu, padahal itu baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mngetahui.” (Al-Baqarah, ayat 216)

Hatinya sedikit terusik apabila mendengar penerangan Kak Nafisah tentang ayat tersebut. Perlahan-perlahan hati Marlia mulai menemui ketenangan.

15.3.2012

Teruja dan gembira. Itu sahaja perasaan yang dapat digambarkan hari ini. Berkat usaha dan sokongan rakan-rakan dan senior, Marlia dan rakan-rakannya berjaya melangkah setapak ke hadapan. Dengan izin-Nya, kini dia secara rasminya telah bergelar pelajar perubatan Tahun 2.

Ain Shams University

Tiba-tiba dia teringat sepucuk surat yang Kak Nafisah titipkan sebelum berpisah pada halaqah usrah kelmarin. Masih terlipat kemas, belum terusik. Dia  memandang sayu surat itu. Sejak dia  mula  berada di sini, Kak Nafisah adalah salah satu insan yang menguatkannya untuk terus berjuang di sini. Marlia membaca setiap bait-bait ayat yang terkandung dalam surat itu.

Buat adik yang dikasihi, perwira agama.

Apa yang terlihat secara zahir selalu memahatkan sangkaan pada hati manusia. Apalah yang ada sekilas dipandang bumi berdebu ini. Tetapi, bumi ini telah Allah pilih buat perjalanan rasul dan nabi-nabi-Nya, menyampaikan risalah suci, tentang keAgungan-Nya. Itulah Mesir, bumi panahan “Ardul Kinanah”

Seketika dahulu, akak juga seperti kamu, berharap akan melihat keindahan dunia dan berbicara fasih bahasa barat. Tetapi segala yang ditakdirkan, bukan yang diimpikan. Kehidupan disini juga banyak mengajar erti kasih sayang dan kesabaran.

Sebagai contohnya, mungkin kamu lihat orang arab Mesir ini panas baran. Bicaranya kasar sekali atas perkara yang kecil, tetapi gaduhnya dahsyat sekali. Namun disebalik itu, terlihat ramai masyarakat di sekelilingnya yang membantu meleraikan, yang mengingatkan tentang nabi “sallu ‘alan nabi”. Bukan itu sahaja, mereka yang menyambut tangan si tua yang cuba menaiki kenderaan, mereka yang memberi duduk  kepada si ibu beranak kecil dan mereka yang akan sentiasa memberi salam pada saudara seaqidahnya.

Wasiat akak, carilah permata disebalik debu-debu di bumi ini, nescaya akan tersingkap hikmah Allah yang kasih terhadap hamba-Nya. Suasana tidak akan pernah mengikut rentak kehidupan kita, kita sendiri yang perlu menyesuaikan diri dengan suasana di sini. Oleh sebab itu, Nabi S.A.W mengajar kita satu doa :

“Ya Allah, dengan pengetahuan-Mu pada yang ghaib, dan kuasa-Mu atas makhluk-Mu, hidupkanlah aku sekiranya kehiduapan itu baik untukku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku. Aku memohon rasa takut pada-Mu, baik dalam keadaan terang-terangan mahupun dalam keadaan sembunyi-sembunyi, tanamkanlah keikhlasan saat redha dan marah. Aku memohon kepadaMu kenikmatan yang tidak pernah putus. Dan aku memohon kepada-Mu agar Engkau tanamkan keredhaan (dalam hati) atas semua takdir-Mu, kehidupan yang damai setelah mati dan nikmatnya melihat wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Aku berlindung pada-Mu dari sesuatu yang membahayakan dan fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, perindahkanlah diri kami dengan iman dan jadikanlah kami orang yang mendapat hidayah dan menyebarkannya (kepada orang lain).” (HR Nasa’i)

Moga Allahlah tempat kita tuju.

Salam sayang dari akak,

Siti Nafisah binti Mansor.

12.10.2013

Marlia duduk di atas bangku yang terdapat di sebuah taman berdekatan dengan universitinya. Dia mendongak ke langit. Dulu langit yang hanya dipandang sepi, kini dilihat lebih indah. Dia tersenyum kecil apabila mengimbas kembali kenangan sewaktu dia mula-mula menjejakkan kaki di sini. Dia yakin Tuhan masih sayangkannya. Sebab itulah dia dicampakkan ke bumi ini. Satu persatu wajah-wajah insan kesayangannya dating menerpa di minda. Papa, mama, abang Shahrul dan tidak lupa kak Nafisah yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk dia terus mengorak langkah. Cinta Allah dan Rasul-Nya telah membawa kehidupan yang lebih baik untuknya di sini. Dia meyemat kemas sebuah harapan dalam sanubarinya untuk dia akan terus membawa cinta ini untuk menempuh hari-hari yang mendatang.

“Kak Mar, assalmua’laikum. Maaf kami terlewat sedikit. Semua orang sudah ada. Marilah kita mulakan” kata Nabilah, seorang pelajar tahun satu yang menuntut di university yang sama.

Marlia menyambut mereka dengan senyuman yang manis. Suasana di taman itu dilihat lebih indah dengan kehadiran sebuah bulatan kecil. Memang kecil, tetapi besar impaknya untuk terus menyemai cinta-Nya serta Rasul-Nya.

bulatan kecil atas nama ukhwah

Tamat.

LAMAN KOLUMNIS | CERPEN

Khairun Najwa binti Ali
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Beliau merupakan seorang yang sangat berdedikasi dan komited dalam hasil penulisan beliau. Berkecimpung dalam mediaPERUBATAN sebagai seorang penulis sejak dari Tahun Dua lagi, beliau percaya penulisan ialah agen dakwah yang signifikan.

Penulis ini pernah menghasilkan beberapa artikel lain seperti Al-Razi : SEORANG GALEN ARABIA ,Nahas MH17 : Suratan atau Kebetulan,Kasih Sepantun Tulisan Pinggan dan Surat Cinta Murabbi. Klik pautan ini untuk terus membaca karya-karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.