16 Februari, Abbasiah – Pusat Konvensyen Universiti Ain Shams diserikan dengan wajah-wajah teruja  graduan Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams dan wajah bangga keluarga mereka dalam Majlis Konvokesyen yang berlangsung pada hari Isnin yang lalu. Seramai 59 pelajar Malaysia telah berjaya menamatkan pengajian mereka selama enam tahun setengah dalam jurusan perubatan di Mesir. Turut terlibat dalam majlis konvokesyen tersebut adalah  seramai 9 orang pelajar Nigeria yang  juga menyertai program ‘Memorandum of Understanding (MoU)’.

Majlis ini turut dihadiri oleh tetamu kehormat yang terdiri daripada Pengarah Universiti Ain Shams, Prof. Dr. Hussein Eissa; Dekan Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams, Prof. Dr. Ahmed Emad Rady; Timbalan Dekan Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams, Dr. Aisha Aboul El Fetouh; Duta dari Nigeria, Senator Lawan Gana Guba dan Duta Malaysia, Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari. Dr. Aisha dalam ucapannya turut melahirkan rasa sedih melepaskan graduan untuk kembali ke tanah air masing-masing setelah lebih enam tahun berada bersama.

10998323_675318189245077_5912375024561270450_n

Rata-rata graduan yang ditemu ramah tidak dapat mengungkapkan perasaan mereka dengan kata-kata, cuma diterjemahkan dengan ekspresi yang boleh difahami betapa gembira dan bersyukur ketika itu. Namun, ingatan dan harapan untuk para junior tidak pernah mereka lupakan.

“Moga berjaya dan sukses kepada adik-adik dan sahabat-sahabat seperjuangan di Ain Shams. Fokus pada cita-cita dan impian. Usaha, berdoa dan bertawakkal pada Allah. InsyaAllah kejayaan dan kemenangan itu pasti”. – Tengku Huzaifah

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas nikmat yang diberikan. Perasaan sekarang gembira ada, sedih ada dan macam-macam. Kejayaan ini juga saya hadiahkan kepada ibu bapa saya yang banyak berdoa, memberi sokongan dan nasihat untuk saya. Pesan saya, sentiasa jaga hubungan dengan ibu bapa. Tanpa mereka, saya tidak akan sampai ke tahap ini”. – Abdul Malek Sufri Zaid.

 10458050_675318489245047_910001696865413932_n

 

Memetik kata-kata Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari dalam ucapannya sewaktu majlis berlangsung, beliau berkata; “Today is the day of joy, tomorrow is the day of truth.” Sebaris ayat ini membawa maksud yang amat mendalam bagi graduan perubatan ini. Selepas tamatnya majlis ini, para graduan bakal pulang dan berkhidmat di Malaysia. Itu adalah hakikat yang mereka perlu hadapi dan diharapkan mereka telahpun bersedia untuk mencurahkan segala tenaga mereka. Cabaran yang sebenar bakal  bermula apabila mereka melangkah ke fasa seterusnya sebelum secara rasminya bergelar doktor. Semoga para graduan dapat meneruskan perjuangan apabila pulang ke tanah air nanti.

10981694_675319529244943_7357079385626469999_n

Unit Liputan : Tahniah dan syabas diucapkan kepada para graduan atas kejayaan menamatkan pengajian di bumi Mesir ini. Semoga kejayaan mereka menjadi pemangkin semangat untuk kami mengikut jejak langkah para senior Universiti Ain Shams.