Asing

Kita hidup dalam dunia yang berputar sekeliling dua benua, Eropah dan Amerika.ke arah mana pun kita berpaling, kita nampak bukti penguasaan orang Barat ke atas dunia. Apa yang kita dengar dan kita fikir , banyak dipengaruhi oleh tanggapan dan pemikiran orang Barat. Akan tetapi, kita bukan orang Barat, tahu amat sedikit mengenai orang yang memainkan peranan besar dalam setiap aspek kehidupan kita. Satu soalan menarik jika dilontarkan, Islam sebagai anutan suci yang kita pegang dan percaya selama ini , dan tamadun Eropah nun jauh di sana, adakah murni jika bertemu?

World Christian Encyclopedia 2001 : A comparative Survey of Churches & Religions in Modern World

Sebagai permulaan kepada penulisan ini, adalah molek jika dikongsikan statistik-statistik menarik yang  mungkin boleh menarik tumpuan kita seketika. Sebuah tinjauan ke atas angka-angka yang menunjukkan perbandingan pertumbuhan penganut Islam dan Kristian di dunia oleh World Christian Encyclopedia 2001 : A comparative Survey of Churches & Religions in Modern World menunjukkan pada tahun 1900, jumlah penganut Kristian adalah 35% dari penduduk dunia, sementara pemeluk Islam hanya 12%.

Pada permulaan abad baru pada tahun 2000, jumlah itu berubah tapi terjadinya perbezaan yang menarik untuk diperhatikan. Agama Kristian menurun 2% menjadi 33% dan penduduk Muslim meningkat lagi menjadi 19%. Pada tahun 2025, angka itu diramalkan akan berubah lagi kepada penduduk Kristian 25% dan Muslim akan menjadi 30% mengejar jumlah penganut Kristian.

Secara puratanya, Islam bertambah penganutnya 2.9% pertahun. Pertumbuhan ini lebih cepat dibandingkan dengan pertumbuhan jumlah penduduk bumi sendiri yang hanya 2.3% pertahun. Kurang 20 tahun lagi dari sekarang, jika kadar pertumbuhan Islam itu kekal, dari angka kelahiran dan angka Mualaf Islam di pelbagai negara, bermakna ramalan itu benar, Islam akan menjadi agama nombor satu di dunia, meninggalkan agama Kristian menjadi kedua. Dalam kadar semasa yang menyatakan Islam dengan jumlah penganut seramai 1.6 bilion orang, Islam pada masa ini adalah agama kedua teramai penganutnya, namun menunjukkan pertumbuhan besar dengan dilabelkan sebagai agama paling pantas perkembangannya di dunia. Jika dilihat pada angka-angka ini, adakah kemungkinan normalisasi agama Islam di benua-benua yang asing daripada Islam secara umumnya seperti benua Amerika dan Eropah bakal berlaku?

Tanah barat, kawasan jejakan sayu Dark Ages selepas kejatuhan empayar Rom bermula pada tahun 1600 hingga ke kurun kesepuluh dan kesebelas yang bakal menjadi topik utama penulisan ini, dilihat hari ini sebagai tumpuan dunia. Mereka bukan lagi masyarakat feudal dahulukala yang sentiasa terbantut sistem kehidupan sosial mahupun ekonomi mereka, bahkan sekarang mereka dilihat antara sebuah bangsa elit. Orang Melayu sendiri dalam lipatan sejarah kita dengan kehebatan Barat terutamanya orang Eropah. Apabila tentera Sultan Melaka berdepan dengan pasukan Alfonso de Albuquerque pada 1511, pasukan tentera Sultan lebih besar dan dibantu gajah perang. Berdepan dengan ketumbukan Melaka itu, pasukan Portugis nampak sangat kerdil, tetapi lebih tersusun, senjata mereka lebih baik, berdisiplin dan terlatih dalam kemahiran tempur. Pasukan Sultan pula, walapun dibantu gajah, tidak dapat menyaingi pasukan Portugis. Mereka dikalahkan dan ditakluki. Namun kesan yang lebih penting daripada peristiwa ini adalah, orang Eropah telah menunjukkan gambaran mengenai kehebatan mereka di mata orang Melayu, yang kekal berabad-abad selepas itu.

Benua Eropah, sebuah tanah yang terletak di antara lautan Atlantik di barat, lautan Artik di utara, Pergunungan Ural di Timur, Pergunungan Caucasus di tenggara dan Laut Hitam di selatan pada zaman moden ini sedang meniti puncak kegemilangan mereka. Rakan setaraf mereka yang jauh di hujung Barat dunia, negara besar ‘Uncle Sam’ Amerika Syarikat, siapa sangka kawasan tersisih benua Amerika yang dipenuhi puak-puak masyarakat Asli pribumi tetapi di zaman millennia ini dilihat sebagai kuasa paling besar dunia.

Minda Islamik kita mula bertanya, apakah pula nasib agama Islam ini di Barat? Bolehkan Islam bertapak kukuh di sana, menyebarkan sayap-sayap fahaman dan membentuk suatu normalisasi di sebuah benua selalu boleh dilabelkan sebagai anti-Islam? Mampukah tiang-tiang agama ini dibangun kukuh di negara-negara yang polisi politiknya dilihat tidak begitu mesra Islam? Di era globalisasi manusia ini, masyarakat Islam di sana, mampukah bertahan seberapa lama?

I-am-just-Muslim…-so-stop-trying-to-add-your-labels
Melabelkan Islam sebagai satu entiti keganasan?

 

Merujuk kepada kajian-kajian terkini yang akan dinyatakan sepanjang penulisan ini , tidak dapat dinafikan Islam merupakan agama yang menunjukkan pola perkembangan paling pesat dan paling positif berbanding agama-agama utama lain di dunia. Dalam penulisan ini akan lebih memfokuskan mengenai perkembangan Islam di Barat, sebuah dunia yang jelas disabitkan dengan istilah-istilah seperti Islamofobia , anti-terrorisme dan sebagainya.  Soalan demi soalan harus dilontarkan, jendela kemasukkan Islam di sana, mampukah terus terbuka dan bagaimana reaksi masyarakat di sana?

Jika kita lewati sejarah kemasukan agama pengikut Nabi Muhammad ini, perjalanannya bermula sejak tersebarnya Islam ke Eropah pada abad ke tujuh Masihi melalui Andalusia (Sepanyol) oleh pasukan Thariq bin Ziyad, panglima tentera dari Dinasti Bani Umayyah yang sebahagian besar angkatannya terdiri daripada orang Berber. Serangan pertama bermula sekitar tahun 711 hingga 718 Masihi ke atas kerajaan Visigoth Hispania melibatkan tanah Semenanjung Iberia(Andalusia). Kemenangan muktamad ke atas Roderic The Last King of Goth, raja Visigoth yang sangat samar sejarah kehidupannya , dalam pertempuran Guadalete ditambah pula dengan pembelotan demi pembelotan para waris sah takhta kerajaan kepada pihak Islam (Saracen) menyebabkan Visigoth berpecah menjadi negara takluk kerajaan Umayyah. Kerajaan Islam kemudiannya bertapak kukuh di Sepanyol selama 781 tahun kemudiannya.

Jika dilihat dalam situasi dunia moden pula, dalam 40 tahun terakhir kurun ke 19 statistik menunjukkan pada tahun 1973 penduduk Muslim dunia sekitar 500 juta orang. Namun, ketika ini jumlahnya naik sekitar 300 peratus menjadi 1.6 bilion orang. Pernah dicatatkan bahawa satu dari lima penduduk dunia beragama Islam. Data ini dihasilkan oleh Pew Research Center, sebuah institusi penyelidikan bebas yang berpusat di Washington DC yang menyediakan informasi mengenai isu, sikap, dan trend yang membentuk Amerika dan dunia melalui sebuah tinjauan awam. Dalam tinjauan mereka pada tahun 2009 yang berjudul “Memetakan Populasi Muslim Global: Sebuah Laporan Tentang Jumlah dan Tebaran Populasi Muslim Dunia”, kelompok ini melaporkan bahawa satu perlima kaum Muslim (300 juta) tinggal di negara-negara bukan Islam.

Hasil tinjauan itu juga mendapati bahawa Eropah memiliki sebanyak 44 juta orang Islam yang membentuk lima peratus dari populasi keseluruhan benua tersebut. Sebagian besar berpusat di Eropah Tengah dan Timur. Rusia memiliki lebih dari 16 juta Muslim, dan terbesar di Eropah. Menurut tinjauan tersebut, Jerman memiliki pemeluk Islam sebanyak 4.5 juta, Perancis seramai 4.7 juta orang , United Kingdoms sekitar 2.8 juta orang, dan Itali sebanyak 1.5 juta orang. Selebihnya tersebar di beberapa negara Eropah seperti Portugal, Sweden, Belanda, Swistzerland, Belgium, dan lainnya. Namun, jumlah ini dijangkakan bakal bertambah dan statistik per tahun membenarkan jangkaan tersebut.

Adakah ini sekadar persepsi semata?

Tinjauan tersebut juga menyatakan seramai 46 juta orang Islam menetap di benua Amerika. Di negara kuasa besar dunia Amerika Syarikat , agama Islam dianuti hampir 2.5 juta orang. Di Kanada pula, jumlah penganut Islam mencapai 700 ribu orang. Argentina pula memiliki jumlah penganut Islam terbesar di rantau Amerika Selatan dengan populasi Muslim seramai 800 000 orang.

Dalam penulisan sebelum ini telah dinyatakan bagaimana ajaran Islam berjaya memasuki dunia Barat melalui penaklukan yang diketuai oleh Thariq Bin Ziyad pada awal abad ke tujuh Masihi. Sejarah kemudiannya memberikan khabar buruk kepada umat Islam apabila sekitar kurun ke 15 hingga kurun ke 19,  Islam kembali asing di benua tersebut. Pelbagai rintangan yang dihadapi menunjukkan seolah-olah sinar Islam hampir mustahil dilihat kembali di tanah Barat. 200 tahun terakhir alaf baru, tanah Barat dilihat sebagai satu entiti yang bukan sahaja sukar ditembusi Islam, bahkan lebih teruk apabila dunia Barat mula dilihat sebagai ancaman besar kepada dunia Islam. Bermula dengan siri-siri peperangan dunia, kesan paling ketara ditonjolkan melalui pemecahan-pemecahan negara Islam yang dahulunya ditunjangi kekhilafahan Turki Uthmaniyah dan ditambah pula dengan doktrin-doktrin nationalisme yang sengaja ditebalkan penjajah barat. Dunia Barat yang pernah melalui tempoh-tempoh sukar sepanjang Dark Ages dilihat seolah-olah bangun dan membalas dendam sejarah yang menebal pekat.

Namun, permulaan abad 21 dilihat memberi sinar harapan Islam ke Barat seolah-olah Islam kembali diterima. Peningkatan umat Islam yang demikian pesat itu bukan sahaja disebabkan oleh meningkatnya jumlah penduduk Muslim di negara-negara terbabit, tetapi juga disebabkan bertambahnya jumlah orang-orang yang memeluk Islam (mualaf). Hal ini merupakan suatu fenomena yang ketara, terutama selepas serangan terhadap World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001. Tarikan dan rasa ingin tahu yang mendalam, telah mendorong peningkatan jumlah warga dunia yang mula mengkaji kepada Islam. Menurut laporan akhbar Times, setelah peristiwa 11 September, agama Islam mendapatkan perhatian besar dari kalangan warga kulit putih Inggeris yang berstatus ekonomi dan berpendidikan tinggi. Peristiwa itu bukannya membuatkan stigma negatif terhadap Islam semakin membesar, tetapi sebaliknya meningkatkan jumlah anak-anak muda dan peneliti yang termotivasi untuk mempelajari Islam. Bahkan, mereka semakin tertarik dan akhirnya memeluk Islam apabila dalil-dalil ‘keganasan’ yang mereka cari diakhiri dengan penemuan-penemuan kedamaian hakiki.

Para pengkaji sosial di Belgium mencatatkan pada awal tahun 2000, jumlah umat Islam di sana mencapai 17 peratus dari populasi keseluruhan. Tapi pada tahun 2008, menurut Oivier Servais, dari Laboratory for Prospective Anthropology, angkanya sudah mencapai 33.5 peratus dari populasi, naik hampir dua kali ganda atau sekitar 350 ribu orang dari 1.1 juta orang telah memeluk Islam. Islam terus diterima masyarakat Belgium walaupun negara tersebut pernah merekodkan kadar kecaman terhadap Islam dan tidak kurang juga kadar Islamofobia yang tinggi.

9/11

Fenomena di Amerika Syarikat sendiri sangat menarik. Negara itu pernah dipimpin George W. Bush, presiden paling kontroversi dunia Islam melalui siri peperangan di Iraq dan Afghanistan yang bertopengkan keamanan dunia. Perang di Iraq sahaja menelan nyawa seramai 650 000 ribu nyawa sedangkan Iraq tidak pernah pun mempunyai sehingga 650 000 orang askar. Jadi sudah pastilah sebahagian besar daripada jumlah tersebut dan beribu-ribu lagi yang cedera adalah orang awam Iraq. Walaupun begitu masyarakat Amerika berbondong-bondong menerima Islam apatah lagi setelah peristiwa 11 September 2001 yang dikenal dengan 9/11 yang sangat memburukkan citra Islam ketika itu. Pasca 9/11 adalah era pertumbuhan Islam paling cepat yang tidak pernah dicatat dalam sejarah Amerika apabila 20 000 orang rakyat Amerika memeluk Islam setiap tahun setelah tragedi itu. Peningkatan jumlah mualaf terus dicatatkan secara konsisten di bandar-bandar besar Amerika seperti New York, Los Angeles, California, Chicago dan yang lainnya.

Atas dasar fakta inilah, ditambah gelombang masuk Islam di luar Amerika, seperti di Eropah dan beberapa negara lain, beberapa tokoh Amerika menyatakan kesimpulan mereka. The Population Reference Bureau, USA Today sendiri menyimpulkan: “Moslems are the world fastest growing group.” Hillary Rodham Cinton, isteri mantan Presiden Bill Clinton seperti dilaporkan oleh Los Angeles Times mengatakan, “Islam is the fastest growing religion in America.” Kemudian, Geraldine Baum wartawan Los Angeles Times menyatakan: “Islam is the fastest growing religion in the country” (Newsday Religion Writer, Newsday).

Pada 19 April 2007  sebuah persidangan telah diadakan di Middlebury College, Middlebury Vt. untuk membincangkan masa depan Islam di Amerika dengan tajuk “Is Islam a Trully American religion?”menampilkan Prof. Jane I. Smith dari Harvard Divinity School yang banyak menulis buku-buku tentang Islam di Amerika. Persidangan itu sendiri merupakan siri kuliah tentang Immigrant and Religion in America. Tujuan diadakan persidangan itu adalah kerana rakyat Amerika mula tertanya-tanya, dari manakah datangnya agama Islam ini ke tanah mereka dan apakah kesan-kesannya, adakah kesan positif yang mereka senangi atau kesan negatif yang patut mereka bimbangi? Dari konferensi itu, dapat digambarkan bahawa masyarakat Amerika bahawa mereka sudah bersedia menerima sebuah gelombang baru yang tidak dapat dielakkan iaitu Islam yang akan menjadi identiti dominan di negara itu.

Hakikatnya Islam berkembang dengan cara yang unik. Pertumbuhan Islam di Barat rupanya bertentangan dengan hukum rasional.  Dalam fikiran rasional kita, jika sekumpulan manusia melakukan onar dan perkara-perkara keji terhadap manusia yang lain, kita akan terus mengklasifikasikan kumpulan tersebut sebagai ‘jahat’ dan wajar dijauhi. Berbeza dengan kes 9/11, rakyat Amerika sebaliknya cuba memahami apakah jenis kefahaman yang dipegang oleh dalang tragedi tersebut. Mereka mula memahami apa itu Islam dan lebih mengejutkan apabila makin ramai orang memeluk Islam selepas mereka cuba mennyelusuri agama yang pada pendapat mereka sebelum ini adalah agama yang menggalakkan keganasan dan tidak berperikemanusiaan.

The ignorance of Islam, sebuah mentaliti yang sentiasa tidak ambil tahu tentang Islam, setelah sekian lama membaluti akal fikiran orang Barat rupanya sudah kian terhakis. Sebelumnya, sumber pengetahuan masyarakat Barat tentang Islam hanya satu iaitu media yang menggambarkan Islam tidak lain kecuali sisi-sisi buruk seperti keganasan, ketidaktamadunan, kekejaman terhadap perempuan dan sebagainya. Tetapi setelah peristiwa 9/11, masyarakat Amerika menjadi ingin ambil tahu berkenaan Islam. Mereka mula menghampiri golongan Muslim, membeli karya dan buku-buku berkenaan Islam, mula mempraktikkan sendiri amalan Islam dan mula bercakap-cakap tentangnya.

Tetapi nyata perkembangan pesat Islam di Eropah dan Amerika ada liku-likunya yang tersendiri. Tidak dapat tidak, ini adalah sebahagian daripada proses pengadaptasian budaya yang harus diterima sebagai sebagai sebuah ajaran baru di benua ini. Hal ini jelas terbukti apabila pada tahun 2004 , telah dilaksanakan undang-undang pengharaman pemakaian tudung kepala di premis-premis sekolah di Perancis. Kemudiannya pada tahun 2010, dikuatkuasakan pula undang-undang pengharaman pemakain ‘burqa’. Perancis yang terkenal sebagai sebuah negara sekular, terikat dengan sebuah garis panduan sekularisme yang dikenali sebagai laicite, sebuah pemahaman yang dicipta pada tahun 1905 untuk memisahkan unsur-unsur agama dalam kehidupan awam. Pemahaman ini jelas berbeza dengan Islam yang mengamalkan konsep ‘Islam sebagai cara hidup’ bahkan dilihat bertentangan dengan konsep kebebasan hak asasi manusia itu sendiri.

ISIS Video Purportedly Shows Mass Execution of 21 Egyptian Christians

Bermula tahun 2013 dan 2014 , seluruh dunia dikejutkan pula dengan kewujudan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) atau Islamic State of Iraq the Levant (ISIL) yang berpusat di Bandar Ar-Raqqah, Syria. Sebuah kumpulan ekstremis yang diketuai Abu Bakr al-Baghdadi yang semakin menguatkan kedudukan di negara-negara seperti Syria, Iraq, Libya dan sebelumya Lubnan. Asal penubuhannya pada tahun 1999 kemudian berikrar bekerjasama dengan Al-Qaeda pada tahun 2004 dan kemudian bergerak sendiri sehinggalah pengumuman sistem ‘Khalifah’ mereka sendiri pada 29 Jun 2014. Kumpulan ini sangat terkenal dengan kekejaman dan ekstremisme mereka melalui pelaksanaan-pelaksanaan undang-undang yang tidak berperikemanusiaan dan secara tidak langsung memalitkan lumpur kebencian pada Islam itu sendiri. Tidak dapat dinafikan, siri-siri kekejaman ISIS ini sendiri telah mewujudkan kembali mentaliti Islamofobia dalam kalangan warga Barat khususnya dan dunia secara umumnya.

Justeru bagaimana orang-orang Islam di Eropah & Amerika ini sentiasa tabah menjalani kehidupan di sana dalam keadaan mereka yang minoriti dan ditekan dari segi moral sosialnya? Dan bagaimana pula titik mula & motivasi diri bagi para mualaf di sana untuk terus menjadi seorang Muslim, meninggalkan adat & kebiasaan orang Barat dan terus menjalani hidup sebagai seorang Muslim yang taat pada perintah Tuhannya?

Pertama, kerana perubahan –perubahan yang telah berlaku dalam kehidupan mereka meyakinkan mereka sendiri bahawa Islam sangat sempurna dan sesuai dengan fitrah seorang hamba. Kehidupan silam yang penuh sekularisme , tiada hala tuju dan matlamat ukhrawi, yang hanya berpaksikan ‘money, music , & fun’ nyata menimbulkan kekosongan dan kegersangan dalam jiwa-jiwa yang cuba mencari makna kehidupan. Justeru apabila mereka mengintai-intai kehidupan Muslim di sekitar mereka,mereka menemukan satu jenis ketenangan dan kedamaian yang sebelum ini mereka tidak pernah kecapi. Ketika mereka menemukan Islam dari membaca Al-Quran, dari buku atau kehidupan rakan Muslim yang sehari-harinya taat beragama, dengan mudah saja mereka memeluk Islam. Malah mereka makin terkejut apabila Islam yang mereka temui ini, memang jauh bezanya daripada apa yang mereka selalu dengari melalui media-media mereka.

Syeikh Ahmad Deedat

Kedua, kebenaran yang dicari mereka temui melalui Islam apabila membincangkan tentang konsep-konsep ketuhanan, kemurnian kitab suci,  kebangkitan selepas kematian (resurrection) dan penghapusan dosa (salvation). Agama asal mereka dilihat lebih konservatif jika dibandingkan dengan Islam yang bersifat lebih terbuka. Sebagai contoh, sebagai seorang Muslim kita bebas solat di mana sahaja asalkan persekitaran itu bersih dari sebarang kekotoran dan najis,berbeza dengan sebahagian ajaran yang penganutnya harus menjejak kaki ke tempat ibadah mereka untuk melakukan upacara ritual mereka. Mereka juga terkesan melalui debat-debat terbuka yang dianjurkan institusi-institusi bebas dalam membicarakan tentang ketuhanan seperti debat “Is Jesus God?” (Adakah Jesus itu Tuhan?) yang menampilkan Syeikh Ahmad Deedat (1918-2005), seorang tokoh debat Islam terkenal dari Afrika Selatan .

Ketiga, agama Islam dilihat lebih mengangkat martabat wanita di Eropah melalui peranan-peranan wanita dalam Islam yang nyata tidak pernah meletakkan wanita ditempat yang rendah. Walaupun ada sesetengah amalan Islam yang meletakkan wanita di tempat kedua selepas kaum lelaki contohnya dalam hierarki kepimpinan, ramai kaum wanita Amerika Muslim berkesimpulan ternyata Islam sangat melindungi dan menghargai golongan ini. Mereka terkesan dengan kaum wanita dalam Islam yang begitu diangkat sehinggakan ada surah-surah dalam kitab suci Al-Quran yang membahaskan perihal wanita dengan cantik sekali, ditambah pula dengan hadis-hadis Nabi SAW  yang jelas menuntut umatnya menjaga dan memelihara kaum wanita. Dengan kata lain, wanita dalam Islam dimuliakan dan posisinya sangat dihormati. Walaupun mereka tidak setuju dengan sebahagian sistem Islam poligami, mereka melihat posisi perempuan jauh lebih baik daripada dalam peradaban Barat moden.

Perkembangan Islam di dunia Barat sebenarnya lebih prospektif kerana masyarakat mereka terbiasa dengan berfikiran terbuka. Dalam keluarga di Amerika, proses pemilihan agama dilakukan secara bebas dan tidak dipengaruhi faktor keturunan. Ibubapa menyokong tindakan anaknya menjadi seorang Islam selama itu adalah pilihannya sendiri. Justeru memudahkan mereka untuk memeluk Islam. Amalan ini kurang dipraktikkan di budaya Timur kerana umum mengetahui budaya Timur ataupun Asia lebih terikat dengan hubungan kekeluargaan yang lebih ketat dan hubungan susur galur keturunan sangat dititikberatkan.

Peningkatan umat Islam di tanah Barat dan proses normalisasi yang berlaku semestinya akan mempengaruhi hubungan Islam-Barat yang dunia maklum mempunyai ketegangan dari sudut sejarah berabad lamanya. Adakah Barat bakal ditransformasikan suatu hari nanti untuk bukan lagi signifikan sebagai sebuah rantau yang dipandang negatif oleh umat Islam? Apakah kesan daripada hubungan Barat – Islam yang dilihat berubah sangat ketara pada ketika ini?

Ribuan melakukan protes anti-Islam di German pada 5 Januari yang lalu.

Antaranya yang dapat dinyatakan adalah masyarakat Barat akan lebih dekat dan lebih kenal dengan Islam melalui umat Islam yang ada di Barat sendiri. Jika sebelum ini, mereka harus memandang ke Timur untuk melihat apakah itu Islam, kini tidak lagi apabila bilangan Muslim sudah meninggi bilangannya dalam negara mereka itu sendiri. Islam malah membuktikan kepada dunia bahawa Islam adalah bersifat sejagat dan tidak terhad kepada sesetengah bangsa mahupun negara. Mereka akan mula menyelusuri kesalahfahaman yang selalu terjadi dan seterusnya faktor ‘the ignorance of Islam’ akan semakin berkurangan.Umat Islam di Barat akan menjadi duta agama yang efektif dalam menjelaskan dan memperlihatkan wajah Islam yang sebenarnya di sana. Melalui mereka, nasib umat Islam di Barat akan lebih disuarakan dan penderitaan demi penderitaan negara-negara Muslim akibat dominasi Barat akan berkurangan dan diberi nafas baru.

Tidak dapat tidak, dunia harus mengakui bahawa proses normalisasi Islam di Barat memang benar-benar terjadi. Mungkin juga melalui perubahan-perubahan yang bakal berlaku ini, siapa sangka bahawa suatu hari nanti benua Amerika dan Eropah bakal menyediakan suatu struktur sosial Islam yang tidak pernah kita bayangkan selama ini. Sekurang-kurangnya, masyarakat Islam di sana dapat menjalani kehidupan yang lebih adil dan mereka bebas mengamalkan suasana hidup Islami yang jelas dan sejahtera. Namun , jumlah angka bukanlah menjadi kekuatan sesebuah agama untuk kekal kukuh , namun yang lebih dititikberatkan adalah adakah pengamalan sesebuah agama itu benar-benar dipraktikkan dalam kehidupan seharian sesuai dengan konsep Islam itu sendiri yang syumul dan sebagai satu bentuk cara hidup yang sebenar-benarnya (the way of life).

أَفْوَاجًا للَّهِا دِينِ فِي يَدْخُلُونَ النَّاسَ وَرَأَيْتَ وَالْفَتْحُ اللَّهِ نَصْرُ جَاءَ إِذَا

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong

( An-Nasr: 1-2)

SUMBER RUJUKAN

1) en.m.wikipedia.org

2) pustakaasiyah.com

3) Republica.co.id

4) David Barrett, George T. Kurian, Todd M. Johnson, World Christian Encyclopedia : A comparative Survey of Churches & Religions in Modern World, Edisi Kedua, Jilid 1 , (Oxford: Oxford University Press 2001) m/s 4,14 dan 15.

5) Pew Research Centers Forum on Religion& Public Life – Mapping the Global Muslim Population, Oktober 2009

6) Religion in American History , American Religious History & Culture Group Blog (2010)

7) Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad (2012), MPH Group Publishing Sdn Bhd

MINDA PIMPINAN

Mohd Khairil Ashraf bin Muhammad Fisal
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Ketua Biro Kebajikan (BCARE)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.