Gambaran perang antara agama

Perang keagamaan, bukan cerita lama malah ianya berlaku di sepanjang zaman, telah dan akan terus berlaku. Ini realiti kehidupan. Setiap yang membawa agama akan merasakan dia berada di jalan yang benar dan dipilih tuhan untuk memerintah dunia ini. Seandainya kita mahu mengelak daripada peristiwa begini daripada terus berlaku, maka, ambillah pengajaran dan jadikan sempadan, namun, ramaikah manusia yang mahu memandang dengan mata hati akan perihal kerosakan yang dibawa dek peperangan?

Tatkala Allah s.w.t berfirman mahu menjadikan manusia sebagai khalifah, para malaikat menyatakan satu persoalan dan kebimbangan yang berasas tentang sifat manusia yang suka menumpahkan darah. Nah, mampukah manusia menghindari daripada sifat tabi’I yang suka menumpahkan darah yang disebutkan oleh malaikat? Namun maha suci Allah yang lebih mengetahui akan hakikat dan nasib penciptaanNya menciptakan juga manusia yang dilantik sebagai khalifah di muka bumi bagi menyebarkan syariat yang diturunkan daripada langit kepada umat manusia.

Filem Dracula Untold

Tertarik dengan isu akhir-akhir ini yang timbul berdasarkan filem ‘Dracula Untold’ pada Oktober 2014 yang lalu, mengisahkan Dracula yang menggunakan kuasa jahat bagi mengalahkan Empayar Turki Uthmaniyah dan bagaimana dicoretkan Dracula sebagai adiwira yang sanggup melakukan apa saja bagi melindungi keluarga dan negaranya sendiri dari kekuasaan Turki Uthmaniyah. Lumrah dan realiti pada kebiasaannya seseorang pengarah yang membuat filem atau penulis yang menulis artikel akan lebih memberati pihak yang disokong olehnya. Maka filem ini direka dan diolah berbaur fitnah kepada individu yang disebut di dalam hadith nabi sewaktu peperangan khandak yang akan menakluki kota konstatinopel. Mana mungkin kita yang mempercayai sebaik-baik raja yang disebut, merupakan seorang yang pincang akhlaknya apalagi sengaja bermaksiat kepada sang Pencipta.

Siapa tidak kenal Al Fateh? Umumnya masyarakat Timur, khususnya penganut agama Islam mengenali individu ini sebagai seorang pahlawan yang berjaya merealisasikan hadis nabi yang diucapkan 800 tahun sebelum peristiwa itu benar-benar terjadi. Lain ceritanya di sebelah barat, masyarakat Kristian lebih mengenali Al Fateh sebagai sang penakluk yang kejam yang telah mengakhiri Empayar Rom Timur yang bertahan sekurang-kurangnya 10 kali cubaan serangan daripada tentera Islam sejak zaman Khialafah Bani Umayyah. Cerita yang sama juga terjadi kepada Dracula, masyarakat timur lebih mengenali Dracula sebagai watak yang dahagakan darah, mampu memukau mangsanya serta alah kepada cahaya matahari. Namun hakikat sebenarnya, Dracula yang sebenar juga merupakan seorang manusia biasa yang pernah belajar bersama-sama Al Fateh sewaktu zaman kecilnya. Siapa sangka, dua individu yang pernah berguru bersama ini akan menjadi dua nama yang besar yang bermusuhan dan memberi impak kepada keadaan dunia ketika itu.

Dracula, atau nama sebenarnya Vlad Tsepesh III Dracula lahir di Sighisoara, Transylvania dalam musim sejuk tanggal 13 November 1431 di mana ketika itu Transylvania berada dibawah kekuasaan kerajaan Hungary. Dracula bermaksud anak kepada Dracul (ayahnya bernama Vled II dracul) dan Tsepesh bermaksud impaler atau penyula, diambil sempena hukuman kegemaran yang dilakukan oleh Dracula kepada musuh dan rakyatnya sendiri. Dracula mempunyai seorang adik lelaki yang bernama Radu III Cel Frumos. Cerita Al fateh dan Dracula bermula setelah bapanya, Vled Dracul II menaiki takhta Wallachia pada tahun 1436 dan hanya sempat memerintah selama 6 tahun sebelum digulingkan pada tahun 1442 oleh sekumpulan pemberontak yang bekerjasama dengan kerajaan Hungary.

Vlad II Dracul meminta bantuan daripada kerajaan Turki Uthmaniah yang pada waktu tersebut merupakan sebuah kuasa besar diumpamakan seperti Amerika Syarikat, Britain dan Russia pada hari ini. Kerajaan Turki Uthmaniah bersetuju membantu Vled II Dracul dan berjaya mendapatkan semula takhta Wallachia dan sebagai balasan, Vlad II Dracul bersedia membayar jizyah dan taat setia kepada Sultan Murad II (ayah kepada Al Fateh). Vlad II turut menghantar dua orang anaknya iaitu Dracula dan Radu sebagai tahanan politik  sebagai menunjukkan taat setia kepada Empayar Turki Uthmaniah. Ketika itu, pusat pemerintahan Empayar Turki berpusat di Erdine.

Sultan Murad II

Di istana Turki Uthmaniah, Dracula dan adiknya Radu, dikhabarkan diberi peluang seperti anak kepada sultan Murad II, Al Fateh untuk mempelajari subjek-subjek dan kemahiran-kemahiran yang sangat penting pada zaman tersebut, seperti ilmu logik, falsafah, matematik dan ilmu Al Qur’an. Selain itu, turut diajarkan ialah teknik memanah, berkuda dan berperang. Namun, disebalik layanan yang baik yang diterima oleh mereka berdua, ada dalam kalangan sejarawan barat melaporkan sebaliknya. Menurut mereka (sejarawan barat) Dracula kerap kali dipukul, disebat dan dipenjarakan kerana bersikap suka melawan dan hal ini berbeza dengan adiknya, Radu yang lebih senang menyesuaikan diri di istana dan memeluk agama Islam serta menjadi pembantu kepada Sultan Muhammad II.

Bagi Dracula, sememangnya tidak mudah bagi seorang anak muda yang beragama Kristian dan berbangsa Wallachia untuk hidup dalam adab resam dan agama yang asing baginya. Dracula tidak pernah menyangka akan dihantar untuk hidup dalam istana milik musuh bapanya. Para sejarawan barat berpendapat, perkara ini telah menjadi faktor perkembangan sikap pendendam dan kemurungan di dalam diri Dracula dan dia dikatakan sangat benci dan berdendam dengan sultan-sultan dan bangsa Turki. Selain itu, Dracula turut membenci kerajaan Hungary di bawah pemerintahan John Hunyadi yang telah merampas pemerintahan Wallachia daripada bapanya. Kebencian beliau terus berkembang setelah adiknya Radu memilih untuk memeluk agama Islam dan bapanya yang sanggup menghantarnya menjadi tahanan politik di Erdine. Kemuncak kebencian Dracula adalah pada tahun 1447 apabila dia menerima berita penggulingan bapanya sekali lagi daripada takhta dan pembunuhan bapanya secara kejam di daerah Balteni.

Kerajaan Turki Uthmaniah bertindak segera dengan menakluki semula Wallachia dan menghantar pulang Dracula sebagai pemerintah menggantikan ayahnya. Dracula yang pada ketika itu berusia 16 tahun hanya sempat memerintah selama setahun sebelum raja Hungary, melancarkan serangan dan mengambil alih semula pemerintahan di wilayah Wallachia. Dracula melarikan diri ke Moldiva untuk berlindung dibawah pemerintahan bapa saudaranya Bodgan II, namun malang sekali apabila Bodgan II turut dibunuh. Dracula tidak ada pilihan lain selain merapati raja Hungary dan bersepakat menentang Kerajaan Turki Uthmaniah. John Hunyadi yang kagum dengan pengetahuan dan selok belok Dracula berkenaan hal-hal dalaman kerajaan Turki menerima tawaran Dracula.

Gambaran kejatuhan Constantinople ke tangan tentera Al-Fateh

Tanggal 1453, Sultan Muhammad II berjaya membuka Constantinople dan meluaskan kawasan jajahannya sehingga ke sempadan negara Hungary, John Hunyadi yang pada waktu tersebut mahu melancarkan serangan balas, terpaksa akur kerana dihinggapi wabak penyakit yang akhirnya membawa kepada kematiannya pada tahun 1456.

Dracula yang hampa, pulang ke Wallachia dan merampas semua takhta daripada Vladislav yang dilantik oleh John Hunyadi setelah berjaya menggulingkan Dracula suatu ketika dulu. Pemerintahan kedua Dracula di wilayah Wallachia menampilkan bentuk kelainan yang menggerunkan bagi golongan bangsawan yang berkomplot menggulingkannya di fasa pemerintahannya yang pertama dahulu. Beliau bertindak membunuh kesemua golongan bangsawan dan hanya meninggalkan mereka-meraka yang benar-benar setia dan berkepentingan. Dracula berpendapat, golongan bangsawan merupakan punca utama pergolakan politik di dalam wilayahnya. Tempoh pemerintahan Dracula merupakan satu fasa yang dianggap paling kejam pernah wujud di dalam pemerintahan Eropah. Jumlah keseluruhan mangsa kekejamannya dianggarkan mencecah sehingga puluhan ribu nyawa. Namun pemerintahannya dianggap fasa yang paling aman di dalam wilayah Wallachia. Hal ini kerana beliau begitu keras di dalam setiap kesalahan yang dilakukan oleh rakyatnya sehingga mereka benar-benar takut untuk melakukan jenayah. Teknik ini begitu berkesan dan kadar jenayah benar-benar menurun kerana rakyat tahu Dracula tidak akan teragak-agak melaksanakan hukumannya. Di khabarkan bagi menguji keberkesanan kaedah hukuman kejamnya, beliau meletakkan gelas-gelas emas di lokasi pancuran air yang menjadi tempat persinggahan para peniaga dari dalam dan luar Transylvania untuk minum dan sebagainya. Bagaimanapun gelas-gelas emas tersebut tidak pernah dicuri dan ini menunjukkan keberkesanan hukuman di dalam wilayah tersebut. Di antara semua hukuman kejam yang dikenakan oleh Dracula, satu hukuman yang menjadi kegemaran beliau ialah impalement atau sula.

Hukuman sula

Pada tahun 1459, sultan Muhammad II, telah menghantar wakilnya untuk menemui Dracula bagi memungut ufti sebagai pengiktrafan wilayah Wallachia berada dibawah pemerintahan Turki Uthmaniah. Namun apa yang berlaku, Dracula enggan membayar ufti malah mengarahkan wakil-wakil sultan untuk menanggalkan serban yang dipakai. Kengganan wakil sultan untuk menanggalkan serban-serban mereka menyebabkan Dracula menjadi marah dan terus memaku serban-serban wakil-wakil sultan tersebut. Akibatnya utusan-utusan tersebut meninggal dunia. Berang dengan perbuatan Dracula, Sultan Muhammad II akhirnya melancarkan kempen untuk menyerang wilayah Wallchia dengan menghantar panglima dan beribu-ribu bala tentera namun, kempen tersebut berakhir dengan kekalahan, malah, kesemua tentera Uthmaniah yang ditahan oleh Dracula telah disula dan dipacakkan ke tanah dan dibiarkan mayat-mayat tersebut mereput.

Sultan Muhammad II tidak berputus asa dan menyusun semula strategi yang lebih teratur dan melantik adik Dradula, Radu sebagai panglima tentera bagi kempen kali kedua ini. Hasil kebijaksanaan Radu dan kerjasama yang diberikan oleh golongan bangsawan yang benci kepada corak pemerintahan Dracula yang anti kepada golongan bangsawan telah menyebabkan mereka bergabung dengan tentera Uthmaniah bagi menjatuhkan Dracula. Akhirnya Dracula tewas dan melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan di dalam Negara Hungary dan berhasrat untuk melancarkan serangan balas daripada Hungary. Bagaimanapun, anak kepada Raja Hungary yang menggantikannya, Matthias Corvinus mengamalkan konsep pro-Turki dan tidak mahu melancarkan serangan ke atas Empayar Turki. Sultan Muhammad II melantik Radu untuk menggantikan Dracula sebagai pemerintah di wilayah Wallachia dan pemerintahan tersebut berlangsung tidak lama setelah Radu meninggal secara mengejut pada tahun 1475 M. Dracula kemudian menghasut Matthias Corvinus bahawa Empayar Turki akan menakluk Hungary sekiranya mereka tidak ditentang. Terkesan dengan hasutan tersebut, maka Matthias Corvinus bersetuju untuk melancarkan kempen untuk melantik semula Dracula sebagai pemerintah di wilayah Wallachia buat ketiga kalinya.

Setelah menjadi pemerintah Wallachia, dengan sokongan daripada Matthias Corvinus, Dracula melancarkan serangan ke atas kaum Muslimin, namun di dalam serangan tersebut, beliau terkorban di satu tempat bernama Bucharest dan pemerintahan ketiganya hanya berlangsung selama dua bulan. Beliau disahkan terbunuh sebelum 10 Januari 1477 dan kepalanya dipenggal dan dihantar ke Istanbul dan badannya dikebumikan di satu tempat bernama Comana, sebuah Monastri yang diasaskan oleh Dracula sendiri. Begitupun, beliau dianggap sebagai adiwira kepada bangsa Eropah kerana sepanjang hayatnya, dihabiskan untuk menentang pengaruh Turki Uthmaniah dan berjaya memerintah wilayah Wallachia, sebanyak tiga kali.

Ini merupakan sedikit ringkasan fakta  daripada novel fakta hasil tulisan dan pengkajian yang dilakukan oleh Muhd Nur Iman Ramli. Sepanjang sejarah permusuhan Dracula dan Al Fateh, fitnah kepada Empayar Turki sentiasa direka bagi menjatuhkan maruah sultan, kerajaan dan agamanya. Terdapat beberapa fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan Turki berkaitan dengan Dracula. Dracula dikatakan mula meminati hukuman sula ketika berada di Istana Erdine. Bermaksud kegilaan Dracula menyula kesemua mangsanya adalah hasil contoh yang di ambil daripada istana Turki. Tidak dinafikan, hukuman sula pernah diamalkan dalam Empayar ini, namun ianya tidak sewenang-wenangnya dilaksanakan seperti yang dilakukan oleh Dracula. Selepas pembukaan Constatinople, hukuman sula telah diberhentikan. Hakikatnya, hukuman-hukuman kejam, dilaksanakan secara meluas di negara-negara Eropah sewaktu zaman gelap. Institusi gereja pada zaman tersebut, misalnya bergitu aktif melaksanakan hukuman-hukuman berat terutama sekali selepas kempen pemburuan Tukang Sihir (Witch) hunt pada pengujung kurun ke 15.

Buku Dracula vs Al-Fateh

Kezaliman hukuman ini kemudiannya menjadi punca kepada gerakan reformasi agama Kristian pada tahun 1517 M di Eropah di mana agama begitu menekan sudah tidak mempunyai apa-apa makna dalam kehidupan manusia. Gerakan Renaissance turut berlaku disekitar era yang sama yang telah memberi definisi baru kepada erti kewujudan manusia, bebas daripada pengaruh agama dan doktrin-doktrin supernatural seperti Tuhan dan sebagainya. Tuhan diisytiharkan tidak wujud dan ‘sudah mati’ bagi masyarakat Eropah pasca zaman gelap.

Fitnah terbesar yang dilemparkan pada sultan Muhammad II ialah tuduhan, baginda mengamalkan homeseksual. Sebagai seorang muslim, tuduhan begini amat berat dan tidak dapat diterima. Perkara ini kononnya di’bukti’kan lagi dengan penyerahan Dracula dan adiknya Radu kepada pemerintahan Al fateh ialah untuk memuaskan nafsu sultan muda itu. Radu yang dikatakan telah mabuk dengan harta dan gelaran yang diberikan oleh sultan, memilih untuk memeluk Islam dan membeloti perjuangan agamanya. Laporan ini amat bertentangan dengan peribadi al fateh yang dilaporkan oleh sejarawan Islam. Fitnah ini dilihat kekal dan sering ditonjolkan di dalam filem, sebagai contoh, The Dark Prince di mana Al Fateh digambarkan sebagai seorang sultan yang kejam dan mengamalkan homoseksual.

Doukas byzantine historian

Semua ini timbul hasil penulisan daripada Doukas, seorang sejarawan Byzantium berbangsa Yunani yang mendakwa selepas menakluki Constatinopel, sultan Muhammad II mengarahkan anak lelaki Grand Duke Lucas Notaras dihantar kepadanya untuk ‘hiburan dirinya’ . Selepas si bapa enggan berbuat demikian, maka badan kudua-dua anak dan bapa tersebut dikerat-kerat. Doukas merupakan seorang sejarawan yang hidup ketika pembukaan Constatinople yang jelas tidak menggemari Al Fateh. Bagaimanapun, cerita menjijikkan ini tidak ditemui di dalam riwayat penulis-penulis Yunani yang sezaman dengan Doukas yang menyaksikan sendiri pembukaan Constatinople. Ini mampu menjadi bukti yang kukuh dakwaan Doukas hanya fitnah yang keji yang tidak lain mahu memburukkan keperibadian yang unggul yang dimiliki oleh Al Fateh selain tuduhan mahu menyemarakkan lagi Islamofobia yang wujud pada hari ini. Zaman fitnah yang disebut oleh baginda Nabi telah lama berlaku, maka pada hari ini, kita haruslah mempersiapkan diri dengan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menangkis anasir-anasir fitnah yang cuba diwujudkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu mencemarkan kesucian agama Islam.

Wallahua’lam.

SUMBER RUJUKAN

Buku dracula vs alfateh tulisan muhd nur iman ramli

Muhammad Hanif bin Mahamad
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.