“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengata,’Kami telah beriman’ dan mereka tidak diuji?” (Al-Ankabut ayat 2)

Futur kian menghampiri. Di kala bersendirian, syaitan mula menjalankan tugas. “Berhentilah Fatimah! Dah banyak dah kerja yang kau lakukan. Dah Cukup”. Jeda. Hati mula melawan. Makin layu melawan nafsu sendiri. Saat itu, Allah hadirkan penguat. Ummi menghubungiku dari Malaysia. Ummi pesan,” Adik terus kuat ye. Jangan lalai!” Allah. Teguran secara langsung yang Allah ilhamkan kepada ummi untuk aku. Lantas, aku buka laptopku untuk mengusir jauh perasaan ini. Keluar tetingkap emel baru dari sahabat baikku, Aisyah. Sungguh dia sahabat yang mengerti. Hadir di kala susah dan senang walau jarak yang memisah jauh beribu batu.

“Fatimah,

Sudah Allah janjikan dalam ayat-Nya bahawa perjuangan ini tidak akan pernah mudah. Itulah Sunnah perjuangan yang perlu kita lalui. Tidak akan kita dapati kesenangan melainkan kesenangan di akhirat. Dunia kian menghampiri akhir zaman yang banyak dicemari dengan fitnah. Terutamanya fitnah kepada orang yang berjuang. Pejuang Islam tidak akan pernah terlepas dari diuji.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengata,’Kami telah beriman’ dan mereka tidak diuji?. Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti Mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut ayat 2-3)

Jelas. Allah menguji kita pejuang Islam adalah untuk menguji tahap keimanan kita. Dan kita bukanlah manusia yang maksum untuk sentiasa mampu menepis godaan syaitan yang sentiasa cemburu melihat api perjuangan marak di dalam diri. Sesungguhnya sebaik-baik qudwah ialah Rasulullah S.A.W.

Dahulu, Rasulullah bukan sahaja diuji secara mental bahkan fizikal. Dibaling batu sehingga berdarah semasa cuba berdakwah di Thaif. Dipulaukan sehingga berbulan lamanya kerana mempertahankan Islam. Difitnah oleh Abu Jahal bapa saudara sendiri. Kemudian, Baginda diuji dengan pemergian isteri kesayangannya, Siti Khadijah. Saat itu, hanya Allah sebaik-baik penguat dan tempat bergantung. Keimanan menjadi benteng tatkala tiada orang di sisi.

Benar. Lumrah manusia, semangatnya turun dan naik. Dan Allah adalah sebaik-baik tempat untuk berpaling. Sebagaimana Rasulullah dalam peperangan Badar terus berdoa kepada Allah untuk kemenangan Islam walaupun para sahabat enggan pada mulanya kerana kurangnya persediaan, sehingga kain di pundaknya jatuh ke tanah. Abu Bakar As-Siddiq mengambil semula kainnya itu lalu berkata,”Cukup wahai Rasulullah, engkau telah memohon dengan sangat kepada Rabbmu.”

Seandainya Rasulullah mampu bertahan selama 63 tahun, untuk menyempurnakan risalah Allah, maka bagaimana kita yang baru berusia 25 tahun, sudah mahu jatuh kecundang. Oleh itu, teruskan berdoa. Iringkan usaha terbaikmu bersama tawakal.

“(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang mengatakan kepadanya, “orang-orang (Quraisy)telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka,” ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi Penolong) bagi Kami dan Dia sebaik-baik Pelindung.” (Ali-Imran, ayat 173)

Dalam perjuangan dakwah ini, kita temui pelbagai mehnah dan cabaran. Pelbagai kerenah manusia harus kita lalui untuk menyampaikan mesej dengan cara yang terbaik. Tiada jalan yang singkat dalam perjuangan ini. Namun, ingatlah bahawa Allah yang memegang hati manusia. Sebagaimana sirah Rasulullah yang berdoa untuk keislaman Abi Thalib sehingga saat-saat kematian bapa saudaranya itu.  

“Sungguh engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (Surah Al-Qasas, ayat 56)

Ambillah masamu, Fatimah untuk berehat sebentar membina kekuatan diri yang lebih teguh dari sebelumnya. Namun, berehat bukanlah bererti berhenti. Teruskan perjuangan ini. Dampingilah sahabat-sahabat seperjuangan supaya tidak mudah tercicir dan saling menguatkan sebagaimana Rasulullah memiliki para sahabat yang sanggup bermati-matian mempertahankan risalah yang dibawa Rasulullah. Ingatlah firman Allah :

“Dia (Ibrahim) berkata, ‘Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr, ayat 56)

Teruskan berjuang Fatimah! Jadilah salah satu dari rantai perjuangan Rasulullah.

Salam sayang,

Aisyah

Yarmouk, Jordan.”

Gugur jua airmata menuruni pipi. Bukan airmata menahan perasaan futur. Tetapi air mata kesedihan mengenangkan sikap diri yang kerdil di hadapan Rasulullah dan para sahabat. Teruskan berjuang seperti firman Allah :

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah,)

MINDA PIMPINAN

Faten Sakinah binti Shawaruddin
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Timbalan Ketua Biro Pembangunan Insan (BPI) 
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.