Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah

APABILA menyebut soal mumtaz, ini pastinya berkaitan dengan ilmu. Imam al-Ghazali dalam nasihat al-Muluk mengatakan, manusia ada empat kategori :

” Pertama, seorang berpengetahuan dan tahu apa yang dia tahu. Dialah orang berilmu.
Kedua, orang berpengetahuan, tetapi dia tidak tahu apa yang dia tahu. Dialah pelupa. Hendaklah kamu mengingatkannya.
Ketiga, orang tidak berpengetahuan dan sedar dia tidak tahu. Dia memerlukan tunjuk ajar. Hendaklah kamu mengajarnya.
Keempat, orang tidak berpengetahuan tetapi tidak tahu apa dia tidak tahu. Dialah orang yang bodoh. Hendaklah kamu memberikannya ilmu pengetahuan. “

Kerjaya dalam bidang pendidikan menyaksikan kecenderungan masyarakat dalam mengejar kejayaan yang satu. Seperti yang kita sedia maklum dalam dunia bergelar siswa dan siswi di Mesir, mumtaz menjadi kayu ukur mahasiswa yang paling berjaya. Konsep ini adalah lumrah dan wujud dalam diri setiap mahasiswa, masing-masing berkejaran berpenat lelah untuk mendapatkan markah yang tinggi setiap kali peperiksaan. Tidak cukup kuliah di universiti, ada yang mengambil kelas tambahan di luar, pelbagai jenis buku diperoleh, bertimbun-timbun nota difotokopi. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah manifestasi kesungguhan untuk sebuah kejayaan. Bak kata pepatah jangan direnung letihnya usaha,tapi renunglah manisnya sebuah kejayaan.

Namun adakah kejayaan hanya terhenti setakat itu, adakah ini maksud kejayaan yang sebenar?

Hakikatnya kejayaan itu bersifat subjektif, membawa pengertian yang sangat besar. Kejayaan itu bermanfaat apabila ilmu pengetahuan dapat diamal dan dikongsi dengan orang lain. Ia menjadi sedekah paling baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa, kita tak dapat lari dari makna hidup bermasyarakat. Bagi kita mahasiswa luar negara yang jauh dari keluarga, rakan-rakan sekeliling adalah keluarga utama kita di sini, inilah kehidupan bersosial kita. Terbentang pelbagai medium untuk kita saling memberi dan menerima, berkongsi kelebihan yang ada untuk manfaat bersama.  Cuma tinggal diri kita mahu atau tidak sahaja.

Kelebihan yang dianugerahkan kita kongsi bersama

Cuba kita selami kata-kata Ustaz Hasrizal, seorang pendakwah Islam yang terkenal dengan kata-katanya; ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Memberi, tidak pernah mengurangkan apa yang ada pada diri, malah menyuntik subur berkat dan kemajuan. Sesungguhnya setiap kebaikan yang kita berikan dalam khidmat kepada umat, tidak pernah kebaikan itu tidak berbalik kepada kita.

Allah berfirman: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” [Al-Israa’ 17: 7]

Marilah kita menjadi golongn pertama yang disebutkan oleh Imam Ghazali, yakni orang yang berilmu agar dapat mengingatkan golongn yang kedua, dapat mengajarkan golongan yang ketiga dan dpat memberikan ilmu pengetahuan kepada golongan yang keempat.

MINDA PIMPINAN

Nurul Izzati binti Muhammad Fuad
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Timbalan Ketua Biro Akademik (BCAD) 
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.