Ceriteraku

Burung besi itu melintasi kepalaku lagi. Derumannya dapatku dengari dari jauh. Terbangnya tanpa jemu. Entah kali ke berapa. Fikiranku kerap melayang. Memikirkan bila aku dapat kembali ke tanah air tercinta. Ya, aku ingin kembali ke Malaysia. 7000 kilometer seperti tidak jauh apabila memikirkan suasana kampungku. Aman damai dari bingit kenderaan, bebas dari debu yang mengaburi mata, bebas dari gas pemedih mata. Aku bukan pengganas. Niat aku datang ke bumi kinanah ini untuk menuntut ilmu, tapi kenapa kedatanganku disambut dengan suasana yang tidak enak ini. Aku perlu mengakui walaupun hujan emas di negeri ini, hujan batu di malaysia, aku lebih rela hujan batu. Sungguh rindu itu melukakan diriku sedikit demi sedikit. Aku seperti keseorangan. Tiada gelak ketawa adik-adikku, tiada leteran ibuku, tiada haruman air tangan ibuku. Ah, sungguh aku rindu. Yang ada hanya kawan – kawan. Yang entah dapat memahami seperti ibuku ataupun tidak. Aku tidak boleh mengharap lebih pada mereka. Mereka juga punya tanggungjawab sepertiku. Yang telah diamanahkan oleh penaja kami. Tiket kapal terbang sudah ditempah. Semangat ingin balik kian membara.

Awak tak suka ‘studi’ juga ke?

Namun, terbantut dek peperiksaan yang makin menghampiri. Aku semakin menyibukkan diriku dengan buku. Tidurku kian singkat. Hubunganku dengan rakan-rakanku kian terbatas. Solatku kian pantas. Tiap saat berharga bagiku. ‘Banyaknya aku belum baca. Ish, bab ni tak hafal lagi. Argh, tekanan!’ Seringkali aku bermonolog sendirian.  Masa sepertinya melarikan diri dariku. Janganlah cepat meninggalkanku. Sungguh masa itu sangat singkat. Aku mula menyedari perihal itu. Helaian demi helaian aku selak. Sempat aku menyelak helaian terakhir. “200 muka surat lagi. Kenapa masih banyak?”. Kelas ku masih belum tamat. “Dekan universiti ni tak reti bagi cuti ke? Tak sempat la nak baca.” Aku mengeluh lagi. Kopi di dalam mug diteguk lagi. Jam sudah menunjukkan jam 1 pagi. Lagi 2 jam sebelum subuh. “Patutkah aku rehat sekejap?” Mata aku tidak dapat ku tahan lagi. Aku menjeling teman sebilik ku. Lenanya dia dibuai mimpi. ‘Aku tidak sebijak kamu. Jadi aku perlu berusaha lebih dari kamu.’ Bantal ditepuk-tepuk sebelum menerima beban kepala. “Ah, nikmatnya”. Sekejap sahaja aku sudah memasuki alam mimpi.

Kringg!!!

Penggera telefonku berbunyi. “Senyaplah woi. Nak tidur lagi ni.” Segera aku mematikan penggera tersebut. Keadaan masih gelap. Masih terlalu awal untuk bangun. “Lagi 5 minit lah aku tidur.”

“Wey, bangun. Subuh dah nak habis.” Bahuku ditepuk berkali-kali oleh teman sebilik ku. Perlahan aku bangun. Aku menguap panjang. Jam sudah 5 pagi. “Ah, ruginya tidur tadi. Kalau aku tidak tidur tadi mesti sudah 1 bab aku baca.” Penyesalan mula membuku dihati. Setelah solat subuh secara qada, aku membuka laman sosial Facebook.  Kelihatan rakan-rakanku meletakkan gambar terakhir ketika di matrik. Muka kegembiraan jelas terpancar. Sedangkan aku dipenuhi ‘eye bag’ akibat tidak cukup tidur. Tiada senyuman dapatku ukir apabila memikirkan tarikh peperiksaan. Kelas hari ni pukul 8. Segera aku bersiap. Perjalanan ke universiti memakan masa yang lama membuatku perlu bersiap lebih awal. Segera aku mengatur langkah ke tempat menunggu tremco. Rakan- rakan yang lain sudah pergi. ‘Ish, gi awal pun, bukan nak buat apa pun. Pak arab ada. Segan nak study.’ Aku membela diriku sendiri. Tremco yang ditunggu tak kunjung tiba. “Ish mana pulak tremco ni? Dah la makin panas. Cepat la sampai.” Kelihatan bas hijau menghampiri. ‘Ah, lantak la sardin tak sardin. Aku dah lambat ni.’ Segera aku memanjat tangga bas tersebut. Selesai membayar segera aku bergayut pada besi bas tersebut. Hanya aku orang Malaysia di dalam bas tersebut. Perasaan takut mula menguasai diriku. ‘Ah, lantak lah. Macam la tak pernah balik sorang sebelum ni.’ Semasa seorang lelaki hendak turun dari bas, dia tersepak kaki ku lalu terjatuh. Segera aku menolongnya untuk bangun. 2 orang di belakang ku turut membantu sebelum sama- sama turun bersama lelaki yang jatuh tadi. Lega hatiku apabila ada tempat kosong. Lenguh habis kaki ku. Sampai saja di universiti, aku bergegas ke dewan kuliah. Doktor tidak datang lagi. Segera aku menyeluk poketku untuk mengambil telefon ku. Aku menjadi pucat. Telefon ku tiada dalam poket ku. Aku memeriksa kali kedua. ‘Sudah, telefon aku hilang. Apa nak jawab kat ibu ni? Dah la tu hadiah daripada ibu.’ Doktor segera masuk dan memulakan kuliah. Sungguh aku tidak dapat fokus. Perasaan menyesal mula menyelubungi diriku apabila aku menolong lelaki di dalam bas tadi. Mungkin saat itulah poket aku diseluk mereka. Tamat saja kuliah, kepalaku terasa berat. Mataku berpinar-pinar. Aku terhuyung hayang lalu jatuh. Aku mula tidak sedarkan diri.

Berat sekali aku nak membuka mata. Dengan silauan lampu bilik yang terang bederang menambahkan lagi kesukaran itu. Aku lihat sekeliling. Ada abang Anif. Rakan- rakanku ada di sebelahnya. “Ana kat mana ni abg ?”,soalku antara dengar dan tak. “Rehat la akhi, akhi kat hospital. Tadi akhi jatuh kat univrsiti. Tak makan ke pagi tadi?, lembut suara dia sedikit menenagkanku. Aku hanya menggeleng. “Patut la. Lain kali makan tau,” nasihatnya. Aku hanya mampu tersenyum. Kata-kata semangat bertubi-tubi aku terima agar aku cepat sembuh. Setelah bersalaman denganku mereka pun pulang. Aku termenung sejenak. “Kenapa aku ditimpa ujian sebegini di saat peperiksaan akhir semakin menghampiri?”. Aku mengambil nota yang ditinggal rakan ku tadi. Ayatnya membuatku  sebak.

“Duhai sahabat, apa tujuan kita dihidupkan lagi hingga saat ini? Apa tujuan kita diciptakan? Apa tujuan sebenar kita datang dari jauh, ulang kaji hingga lewat malam? Adakah sekadar ingin mendapat keputusan cemerlang? Adakah kita adil terhadap diri kita, adil kepada rohani dan jasmani kita? Kenapa kita melebihkan usaha tanpa tawakal? Adakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah dan manusia? Adakah dunia yang kita kejar berbanding akhirat?”.

Alhamdulillah, aku masih ada rakan –  rakan yamg masih mengambil berat tentang ku. Aku mula membetulkan niat dan azam ku. “Ya, masih belum terlambat untuk berubah. Malaysia, mu tunggu aku balik! ” .

Mohd Hafizuddin bin Zahadi
Tahun 2
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Penulis ini merupakan salah seorang dari kalangan pelapis kolumnis Karyawan PCS. Teruskan memberikan sokongan terhadap hasil penulisan beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.