Abu Bakr Muhammad bin Zakaria Al-Razi : THE ARABIC GALEN


Perubatan Moden dan Islam

Ilmu dan amalan perubatan telah lama berkembang dan masih lagi ke hadapan. Ilmu-ilmu perubatan moden yang dipelajari kini sering dimomokkan bahawa ideologi-ideologi tersebut datangnya daripada saintis barat. Ahli sejarah telah mengakui bahawa perkembangan ilmu perubatan Barat dipengaruhi oleh perubatan Islam. Pada  abad ke 14 hingga ke 17 Masihi, ilmu perubatan Islam telah dikaji dengan bersungguh-sungguh oleh penuntut-penuntut di Eropah.

Zakariya_Razi_001
Al-Razi didapati lebih terkehadapan dalam mengintegrasikan Perubatan Moden hari ini berbanding Avicenna

Perubatan Islam itu sendiri membawa maksud satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan dimana terkandungnya paradigma, konsep, tatacara, nilai dan rawatan yang selaras kehendak al-Quran dan sunnah. Kebanyakan ilmu perubatan umat Islam telah ditimba dari sumber asing seperti Parsi, Yunani, Kristian, India dan Mesir. Hal ini menyebabkan berlakunya integrasi antara perubatan Islam dengan teori-teori perubatan Yunani, tradisi Hippocrates dan Galen. Perkembangan ilmu perubatan pada waktu tersebut telah melahirkan ramai tokoh perubatan Islam seperti Ibnu Sina, Al-Razi, Abdul Qassim dan ramai lagi.

Riwayat Tokoh Perubatan Agung

Menyingkap sejarah perubatan moden, disebaliknya hadir seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam ilmu-ilmu perubatan Islam berasaskan sains berpandukan al-Quran dan Sunnah. Sumbangannya yang besar dalam bidang perubatan dan kimia sangat berharga dan bermanfaat kepada generasi selepasnya. Kemasyhurannya bukan sahaja di timur, malah beliau juga terkenal di barat, sehinggakan beliau digelar The Arabic Galen. Karyanya turut menjadi rujukan di Eropah.

Beliau merupakan anak kelahiran bumi Iran iaitu di Ray, berhampiran Tehran. Beliau dilahirkan pada 1 Sya’aban 251H bersamaan 850M. Terdapat juga riwayat yang menyatakan beliau dilahirkan pada tahun 865M. Pada awal kehidupannya, beliau tertarik dalam bidang nyanyian dan muzik. Kemudian, beliau meninggalkan pekerjaan itu disebabkan minatnya terhadap terhadap ilmu pengetahuan. Masanya banyak dihabiskan dengan mengkaji ilmu-ilmu seperti kimia, falsafah, logik, matematik dan fizik. Namun, minatnya itu dilihat lebih cenderung dalam bidang perubatan. Masa lapangnya banyak diluangkan dengan mengkaji, belajar, berlatih dan menulis ilmu perubatan. Disebabkan ketekunan dan keazaman yang menggunung, banyak hasil karya yang telah dihasilkan. Antaranya, Kitab Al-Hawi fit Tibb dan Kitab Al-Mansur.

Ilmu Permata Rujukan Pertama

Al-Razi berjaya mengemukakan teori perbezaan antara Smallpox dan Measles dalam perubatan moden hari ini.

Karya agung yang dihasilkan oleh beliau masih dijadikan rujukan sehingga kini, terutamanya Kitab Al-Hawi Fit Tibb. Karya ini adalah karyanya yang terpanjang dan ditulis dalam bahasa Arab. Buku ini merupakan kumpulan teks ilmu patologi dan terapi dari sumber-sumber Yunani, India dan Arab. Menurut Ali ibn Al-Abbas Al-Majusi, kitab Al-Hawi ini mengandungi cara menjaga kesihatan, mengubat penyakit melalui pemakanan dan mengenal tanda-tanda penyakit. Penemuan beliau berkenaan penyakit cacar (smallpox) dan campak biasa (measal) turut menjadi rujukan perubatan khususnya di Barat. Beliau turut membezakan kedua-dua penyakit ini dan berjaya menemui penawarnya. Perkara ini telah dicatat di dalam buku Al-Judari wa-al Habsah.

Mengikut kajiannya, salah satu sifat istimewa dalam bidang perubatan dalah melalui cara pemakanan yang betul dalam menyembukan penyakit. Beliau juga turut memperkenalkan penggunaan alkohol dalam bidang perubatan. Beliau merupakan pakar bedah pertama yang megunakan bius dari opium. Di samping itu, beliau turut membincangkan mengenai penyakit katarak dan saintis pertama yang membincangkan perihal pembesaran dan pengecilan pupil mata. Hal ini berdasarkan kajian beliau mengenai tindak balas mata terhadap otot-otot kecil berpandukan keamatan cahaya.

Pedoman Terbaik Doktor Sejati

Sepanjang menjalankan kerjayanya sebagai doktor, beliau dikenali sebagai seorang yang pemurah, penyayang, dermawan kepada orang-orang miskin dan memberi rawatan percuma kepada mereka. Bukan itu sahaja, beliau amat menekankan dan menitikberatkan hubungan antara dan pesakit. Beliau menggalakkan wujudnya satu ikatan kepercayaan yang utuh antara doktor dengan pesakit. Galakan dan motivasi yang positif dari doktor dapat memberi semangat baru kepada pesakit, sekaligus menbuatkan mereka berasa selesa untuk menjalani rawatan.

Selain itu, beliau menentang sekeras-kerasnya penyelewangan dan penipuan dalam amalan perubatan. Mengikut pendapatnya, penyakit jasmani tidak boleh dipisahkan dengan penyakit rohani. Kedua-dua pendekatan ini, iaitu jasmani dan rohani perlu dijalankan secara optimum dalam merawat pesakit.

Nama Terukir Sepanjang Zaman

Kitab Al-Hawi fit Tibb

Ilmunya terbentang luas ibarat bintang bertaburan di langit. Terkadangnya nampak kelam ditelan gelapnya malam, terlindung dek pancaran matahari di kala siang hari. Namun, ianya nampak jelas bagi mereka yang berusaha mencarinya. Abu Bakr Muhammad bin Zakaria Al-Razi, itulah tokoh perubatan agung yang masih disebut-sebut sehingga kini. Al-Razi menjadi kebanggaan kepada dunia Islam, malah ketokohan dan kepakaran beliau turut diakui oleh dunia Barat. Karya hasil tulisannya digunakan secara meluas sehingga kini. Beliau juga merupakan guru kepada tokoh perubatan terkenal, Ibnu Sina. Insan yang hebat mampu melahirkan generasi yang hebat juga selepasnya untuk terus menyambung legasi ilmunya yang berpanjangan, Beliau menamatkan riwayat hidupnya pada 31 Syaa’ban 313H bersamaan Oktober 925M.

Kegigihan beliau dalam menuntut ilmu perlu diambil iktibar dan inspirasi kepada semua penuntut ilmu, khususnya pelajar-pelajar perubatan. Ilmu yang bermanfaat agar dapat digunakan untuk berjasa kepada agama dan masyarakat kelak.

“Allah mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mujadilah;ayat 11)

SUMBER RUJUKAN

Khairun Najwa binti Ali
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Penulis ini pernah menghasilkan beberapa artikel lain seperti Nahas MH17 : Suratan atau Kebetulan,Kasih Sepantun Tulisan Pinggan dan Ibu Tetap Seorang Ibu. Klik pautan ini untuk terus membaca karya-karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.