Sajada bermaksud sujud dan masjid merupakan kata nama tempat bagi sajada. Makruf,masjid merupakan rumah Allah yang suci dan mulia  dan bagi umat Islam, masjid merupakan tempat untuk menunaikan solat. Walaupun pada urufnya ramai mengetahui akan fungsi masjid iaitu sebagai tempat beribadah, tempat sujud tetapi sebenarnya fungsi masjid lebih luas dari itu dan masjid memainkan banyak peranan dan merupakan aset terpenting dalam masyarakat.

Masjid Quba

Pada zaman Rasullah,masjid digunakan semaksimum mungkin bermula dari aspek kerohaniannya seperti solat, kelas-kelas pengajian sehinggalah kepada pentadbiran masyarakat sekeliling. Hatta  sehingga kepada pentadbiran daulah-daulah Islamiah. Dalam peristiwa hijrah,telah dicatatkan bahawa pada satu persinggahan,sebelum tiba di Madinah, Nabi telah berhenti berehat di sebuah kawasan dan perkara pertama yang Nabi laksanakan adalah mendirikan masjid dan dinamakan sebagai Masjid Quba. Perkara yang sama juga diulang tatkala setibanya di Madinah iaitu Nabi turut mendirikan masjid.Persoalannya, kenapa perkara pertama yang Nabi lakukan adalah mendirikan masjid tatkala menjejaki sesebuah kawasan meskipun tiada bahan yang baik dan mencukupi ,hanya berbekalkan pelepah tamar dan berlantaikan pasir?

Setiap perkara yang dilakukan oleh Nabi mempunyai sebab dan alasan yang membawa kebaikan kepada umat Islam. Semestinya pembinaan masjid oleh Nabi dan para sahabat pada awal-awal pendudukan memberi  petunjuk  kepada kita bahawa dalam usaha penyatuan umat Islam, kita memerlukan sebuah tempat atau markas dan tempat yang paling sesuai adalah masjid. Zaman Nabi, pusat penyebaran dakwah dan ilmu Islamiah ialah masjid. Kelas-kelas pengajian yang merangkumi ilmu fiqh dan tauhid kebanyakkannya diadakan di masjid. Masjid  juga merupakan tempat wahyu diturunkan dan juga tempat  Nabi menyampaikan wahyu  kepada para sahabat. Zaman Rasullah ,masjid antara tempat utama yang akan dikunjungi oleh penduduk pada setiap hari. Perihal-perihal  kesusasteraan dan segala penyuratan yang melibatkan hubungan antara negara-negara Islam yang lain juga berpusat di masjid. Pada zaman dahulu tiada istilah ‘homestay’ ,rumah tumpangan dan sudah tentu para musafir pada kebiasaanya akan menetap di masjid.

Istilah mudah yang dapat mengambarkan fungsi masjid pada zaman dahulu adalah mesra. Masyarakat tidak mengangap masjid itu hanya sebagai tempat bersujud,bukan hanya tempat  untuk berjumpa dengan masyarakat 5 kali sehari,penggunaan masjid adalah tidak terhad.  Kebanyakkan aktiviti melibatkan penggunaan masjid hatta persidangan antara pemimpin-pemimpin dunia, masjid sekali lagi memainkan peranan. Zaman demi zaman berlalu,pembangunan demi pembangunan dilakar dan didirikan, sekarang fungsi masjid yang dahulunya segala aktiviti tertumpu di masjid kian berkurangan hatta terdapat masjid yang hanya diguna pakai hanya untuk solat lima waktu , itupun bilangan jemaah yang hadir amat menyedihkan dan sadis.

Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Malaysia. -gambar hiasan-

Zaman sekarang,fungsi masjid telah dikecilkan skop fungsinya. Walaupun ya, diakui ada sesetengah kawasan yang masih mengekalkan peranan masjid seperti dahulu tetapi kebanyakkan kawasan tidak lagi menjadikan masjid sebagai tempat kepada segala aktiviti, mungkin disebabkan terbinanya banyak pusat-pusat pentadbiran, pusat kemasyarakatan, pusat kegiatan sosial yang mungkin dengan ceraian itu membawa kepada sistematik dalam pengurusan ditambah pula dengan pertambahan penduduk menjadikan ceraian itu lebih baik . Namun, adakah dengan ceraian ini menghilang fungsi masjid sebagai tempat penyatuan umat Islam ? Dahulunya, antara sebab masjid menjadi pusat tumpuan kebanyakkan masyarakat adalah disebabkan segala kegiatan aktiviti berpusat di masjid, jadi secara tidak langsung pengumpulan masyarakat di masjid itu berlaku tetapi zaman sekarang, apakah yang menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan seperti dahulu ?

Zaman ini, fungsi masjid itu telah divariasikan tetapi masih mengekalkan hadaf utama akan kewujudan masjid iaitu untuk menyatukan umat Islam. Selain berkumpul untuk menunaikan solat berjemaah lima waktu, solat hari raya, masjid juga digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan. Tamsilnya, pada hari raya korban masjid dijadikan salah satu lokasi dalam menumbangkan binatang ternakan. Tidak terlepas juga ada sesetengah masyarakat yang menjadikan masjid sebagai tempat untuk melangsungkn kenduri kendara. Diatas kesedaran untuk menarik minat para pemuda untuk mendekati masjid, sesetengah qariah membuat hari keluarga di masjid, acara-acara seperti futsal, tarik tali yang dirasakan dapat menarik minat anak-anak muda untuk menyertai turut dipertandingkan. Senyuman patut terukir, tatkala ada sebahagian  dari kita yang sanggup mengambil peranan dalam mengimarahkan masjid dan kita perlu berazam agar ‘sebahagian’ itu termasuk diri yang membaca, meskipun kita tidak dapat menjadi orang yang merancang untuk program-program sebegitu, sekurang-kurangnya biarlah kita yang menjadi orang yang pertama dalam menjayakan program tersebut.

Terdapat segelintir golongan yang mengatakan aktiviti –aktiviti yang  selain aktiviti kerohanian apabila dibuat di masjid seumpama telah menghina masjid itu dari kesucian. Persoalan yang perlu diutarakan, adakah aktiviti seperti kenduri, sukan, membawa kepada maksiat ? Adakah aktiviti itu bertujuan untuk menjauhkan manusia daripada Allah? Semestinya tuduhan itu meleset kerana semua aktiviti yang dirancang oleh ajk-ajk masjid bertujuan untuk menyatukan umat Islam untuk beriman pada yang satu.

Ayuh, kita hidupkan Teratak Ulul Albab dengan dakwah Islamiah!

Akhir kalam, berbalik kepada sifat mulia masjid itu semestinya masjid perlulah di padatkan dengan majlis-majlis ilmu, madrasah dan kelas-kelas taqquh fi din. Sesungguhnya hal ini bertepatan dengan firman Allah:

“nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaanya dan disebut serta diperingati nama Allah padanya, Disitu juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang” Surah An Nur, ayat 36

MINDA PIMPINAN

Rusydi Amin bin Yusuf
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Ketua Biro Perumahan (BHOME)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.