Ketagihan Facebook

Tidak dapat dinafikan bahawa media pada zaman milenium ini boleh dikatakan salah satu senjata atau “kuasa baru” dalam kehidupan manusia. Kita boleh bahagikan media massa pada hari ini kepada beberapa kategori seperti media cetak (buku,surat khabar,majalah), media audio (video tape,CD), media video (VCD,DVD,HD-DVD) dan media computer –IT (Internet). Setiap jenis media ini mempunyai kebaikan dan kekurangan yang tersendiri. Namun begitu, kajian saintifik membuktikan bahawa kesan yang diberikan oleh setiap jenis media berbeza antara satu sama lain. Misalannya, melalui media cetak seperti membaca seseorang akan mengingati kira-kira 10% daripada apa yang dibaca secara puratanya. Begitu pula melalui kaedah pendengaran, seseorang boleh mengingati kira-kira 20% manakala melalui penglihatan seperti gambar dan sebagainya, seseorang mampu mengingati sebanyak 30% daripada apa yang dilihat. Walaupun begitu, dengan  mendengar audio dan melihat gambar secara serentak seseorang akan mengingati sebanyak 50% daripada apa yang dilihat dan didengar. Justeru dapat disimpulkan di sini bahawa kaedah terbaik untuk mengingati sesuatu fakta itu adalah melalui media video.

Leonard Cohen

Pada zaman pascamoden ini media massa mampu bertindak sebagai penyebar maklumat, berita dan sebagainya,menukarkan hitam kepada putih, siang kepada malam, seorang hero kepada seorang penjahat dan seorang penjahat kepada hero  malah turut berupaya mencetus minda rakyat, hatta menjadi penentu agenda sesuatu negara dan masyarakat. Hal ini terzahir melalui kenyataan Cohen, seorang tokoh komunikasi terkemuka yang pernah menyatakan, “Dalam banyak keadaan, media tidak berupaya mempengaruhi orang ramai menentukan bagaimana untuk berfikir tetapi yang mengajaibkan ialah media berjaya mempengaruhi pembacanya untuk menentukan apa yang perlu difikirkan”.

Pada zaman ‘dunia di hujung jari’ ini, konsep media massa semakin meluas kerana segala maklumat boleh didapati melalui internet. Penggunaan internet ibarat makanan ruji penduduk dunia pada hari ini. Oleh sebab itu, tidak pelik,  semakin hari,semakin banyak program-program aplikasi yang diwujudkan seperti facebook, twitter, skype, viber, blogspot dan lain-lain. Namun begitu, sejauh mana kita memanfaatkan medium media massa  yang mana menyediakan ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk kita mencari ilmu pengetahuan, menyebarkan Islam, menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran?

Konteks kita pada hari ini sebagai seorang pelajar dan pendakwah, banyak manfaat yang kita boleh gunakan sebagai medan menuntut ilmu dan berdakwah. Medan menuntut ilmu yang dimaksudkan bukanlah bermakna ia sebagai sumber atau rujukan utama tetapi sebagai sumber sampingan atau pemudah cara dalam menuntut ilmu, kerana seorang penuntut ilmu itu tidak dapat lari dari konsep “duduk” bersama guru sebagai platform utama dalam menuntut ilmu yakni menghadiri majlis ilmu dan pengajian di universiti. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan perkhidmatan internet untuk mendengar ceramah secara dalam talian (online) , menggunakan youtube untuk melihat rakaman-rakaman video berkaitan ilmu dan isu semasa serta melayari laman web dan blogspot untuk pencarian maklumat dan percambahan pengetahuan isu semasa.

dakwah-alam-siber-8-728
Dakwah alam siber sudah mendapat tempat dalam masyarakat dunia

Mahasiswa pada hari ini perlu kreatif dalam menggunakan semua media massa untuk berdakwah kepada masyarakat di samping mencari ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, penyampaian dakwah melalui bidang penulisan boleh disebarkan melalui blogspot serta facebook. Dalam masa yang sama menjadi medan untuk kita berkongsi ilmu dan memberi penjelasan sesuatu masalah berkaitan ilmu atau isu semasa. Selain itu, kebanyakan daripada kita mempunyai akaun dalam rangkaian facebook, maka manfaatkanlah ia sebaik mungkin, antaranya  dengan cara menulis “status” yang berfaedah dan memberi manfaat kepada orang lain.  Antara contoh lain, sebaran dakwah melalui penyampaian ceramah boleh disebarkan melalui penerbitan program khas di televisyen dan radio. Rakaman-rakaman dari ceramah boleh dimuatnaikkan ke youtube, facebook, laman web  dan lain-lain. Malahan, hari ini sudah wujud fenomena  vlogger, mereka berkongsi pendapat dan buah fikiran mereka melalui rakaman video.

Seterusnya, kita dapati pada hari ini penularan budaya barat yang merosakkan pemikiran umat Islam kebanyakannya bersalur melalui media massa sehinggakan membawa kepada kemunduran umat Islam hari ini. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk memerangi semula serangan pemikiran ini. Tidak dapat dinafikan masyarakat sekarang tidak kira muda atau tua yang lebih cenderung dengan pengaruh animasi atau gambar bergerak, justeru media video dapat menjadi salah satu saluran yang amat berkesan dalam menyampaikan maklumat, ilmu pengetahuan, isu semasa, dakwah dan banyak lagi. Setiap orang perlu bijak dalam menvariasikan dan mencorakkan penggunaan media ini mengikut kecenderungan masyarakat supaya segala maklumat disampaikan dengan berkesan.

Umat Islam perlu membuat satu transformasi atau anjakan paradigma dengan menjadi penguasa media massa dunia. Media massa yang selama ini dikatakan punca kemunduran umat Islam perlu diubah menjadi senjata utama kebangkitan umat Islam. Jika mereka boleh menggunakan media massa sebagai platform penyebaran kefahaman mereka,kenapa tidak kita? Kenapa tidak umat Islam memerangi semula serangan pemikiran ini dengan mengggunakan platform yang sama? Oleh itu, anak muda Islam dewasa kini terutamanya perlu bangkit  segera, manfaatkan media massa semaksima mungkin. Tambahan pula, platform ini tidak bertentangan dengan ketetapan syara’. Tidak mustahil, penguasaan umat Islam terhadap media massa adalah titik pertama kepada kebangkitan umat Islam yang dijanjikan suatu hari nanti.

SUMBER

Buku “Media dan Islam berperang atau berdamai ?”
Buku ni terjemahan dari ceramah Dr. Zakir Naik yg ditulis oleh Mohd Effy Saiful Mohd Fathil, Pelajar Perubatan Universiti Al-Azhar

MINDA PIMPINAN

Rabiatul Adawiyah binti Saad
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Timbalan Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan (BPP)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.