Abbasiah, 13 Disember 2014 – Perkarangan Fakulti Perubatan Universiti Ain Shams dimeriahkan dengan komuniti PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) yang turun menjayakan Fiesta d’Abby baru-baru ini. Pertama kali mengadakannya di universiti dengan kelainan yang cuba dibawa pada kali ini, ternyata pihak ahli jawatankuasa pelaksana berjaya menarik ahli untuk menjayakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang seharian berkampung di perkarangan universiti.  Aktiviti pada hari kedua Fiesta d’Abby ini telah dirasmikan oleh Dr. Aisha Mohamed Aboel Fotoh, Timbalan Dekan Bahagian Pelajaran Dan Hal Ehwal Pelajar  Universiti Ain Shams.

abby1

Antara aktiviti menarik yang disajikan kepada para pengunjung termasuklah jualan daripada ahli PCS sendiri, pameran booth daripada unit-unit besar PCS seperti Mentor Council (MC), PEACE, Jabatan Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI), Unit Bait Muslim (UBM) dan sebagainya.

Tidak ketinggalan persembahan yang dipertandingkan antara batch taakhi dan juga jemputan daripada PERUBATAN Cawangan Zagazig selaku cawangan taakhi PCS. Dewan Mahlawy diserikan juga dengan sedikit majlis keraian menyambut pasangan mempelai baru dalam keluarga PCS.

abby7

Sehari sebelum itu, ahli PCS telah berkumpul di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK) bagi mendengar pengisian bersama panel jemputan Ustaz Khairul Abdan bin Baharuddin bergandingan bersama Saudara Muhammad Alfathani bin Abdullah dalam forum ilmiah, “Medical Fiqh : Why Should I Bother?”. Turut berlangsung di DMAK pada malam tersebut ialah pengenalan calon AJKT yang bakal bertanding dalam pilihanraya cawangan pada 20 Disember 2014 ini.

abby5

“Saya kira pelaksanaan Fiesta d’Abby pada kali ini nyata berbeza berbanding dua tahun yang sebelumnya. Walaupun masih lagi mengekalkan nama yang sama, pengisian dalam Fiesta d’Abby telah diubahsuai dengan baik oleh seluruh ahli jawatankuasa pelaksana, dengan mengambil kira keperluan dan keadaan semasa ahli di PCS,” ujar Saudari Nur Nadhira Fazlin binti Md Hanafiah, Timbalan Bendahari PCS apabila ditemui wartawan Unit Liputan.

Kejayaan ahli jawatankuasa pelaksana membawa pembaharuan dalam Abby kali ini boleh disifatkan sebagai suatu permulaan yang berani dan membuktikan PCS mampu untuk terus berdiri sendiri serta semakin matang setelah hampir dua tahun beroperasi. Tidak dinafikan masih banyak kelemahan dan muhasabah yang perlu diteliti daripada program kali ini, namun diharapkan ianya tidak mematahkan semangat ahli PCS untuk terus bergerak ke hadapan. Tahniah diucapkan dan selamat mengundi kepada semua ahli PCS!