21 November 2014 – Bertempat di Mansoura dan Zagazig, PERUBATAN Sports Day (PSD) telah berlangsung dengan melibatkan kesemua cawangan yang bernaung di bawah Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN).

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) sendiri telah menghantar sebilangan atlet untuk mewakili PCS dalam acara yang dipertandingkan bersama sekumpulan pasukan penyokong. Di Mansoura, atlet akhawat berjaya menggondol pingat emas dalam perlawanan bola keranjang selain turut mendapat tempat kedua dalam pertandingan catur.

psd

 

Manakala, peserta ikhwah yang berentap di Zagazig membawa pulang pingat emas dalam acara bola sepak padang. Acara 1500 meter balapan yang diwakili oleh Saudara Abdul Rahman bin Said Sultan berjaya mendapat tempat kedua manakala Saudara Muhammad Amiruddin bin Suhaini mendapat pingat gangsa dalam acara 200 meter. Pasukan bola keranjang pula berjaya mendapat pingat gangsa untuk PCS dan pasukan futsal sekadar berpuas hati dengan tempat keempat keseluruhan. Pertandingan tarik tali gabungan bersama PERUBATAN Cawangan Mansoura (PCM) dan PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) selaku cawangan taakhi dilihat dapat mengeratkan ukhuwah sesama ahli.

psd ain shams

 

Pihak Unit Liputan telah mendapatkan sedikit respon dan harapan daripada Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar (BSAL) PCS, Saudara Muhammad Faiz bin Rahim selepas program ini tamat;

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bangga dengan pencapaian atlet-atlet kita sama ada ikhwah ataupun akhawat. Ini menunjukkan PCS juga tidak ketinggalan dalam bidang sukan berbanding cawangan-cawangan lain. Saya harapkan penglibatan ahli-ahli PERUBATAN khususnya PCS dalam sukan tidak terhenti setakat ini sahaja, bahkan diteruskan seiring dengan kecemerlangan dalam akademik. Sukan itu mengeratkan ukhuwah, menyihatkan tubuh badan dan mencerdaskan akal fikiran.”

 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta yang mewakili PCS dalam PSD kali ini. Tidak dilupakan kepada pasukan penyokong dan semua ahli yang turut memberikan sokongan dan doa kepada atlet PCS.

“ Together Everyone Achieves More”