Pasca revolusi perindustrian yang serba mencabar akal dan minda telah meletakkan dunia dalam arena pembangunan yang tidak bersempadan. Kemajuan dunia kini kian menjadi sebutan.Namun,dalam keadaan masyarakat yang sedang sibuk mengejar kemajuan,kita tidak sepatutnya mengabaikan konflik dan kekejaman yang sedang berlaku di seluruh dunia pada masa ini.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Isra’ ayat 81 bermaksud,

“Dan katakanlah,telah datang kebenaran(Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah(kufur dan syirik); Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.

Mampukah pelbagai ‘tembok’ bermula pada 1948 sehingga kini dihancurkan ?

Akhir-akhir ini,banyak  krisis dalam  dunia Islam yang seringkali kita lihat terpampang di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen. Antaranya ialah rejim Zionis bertindak menghalang penduduk Palestin memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa.Hal  ini demikian menyebabkan puluhan penduduk Palestin mendirikan solat di pintu utama masjid berkenaan dengan kawalan polis.Bagi umat Islam,terbinanya Masjid al-Aqsa,iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah menjadi lambang kekuatan dan kesucian akidah mereka.Pada 29 Oktober 2014,pengisytiharan penutupan Masjid al-Aqsa telah dianggap sebagai perisytiharan perang dari Israel.

Kelihatan polis Israel Laknatullah sedang mengawasi kawasan-kawasan di Baitul Muqqadis

Namun begitu,Masjid al-Aqsa telah kembali dibuka pada 30 Oktober 2014 lalu walaupun  hanya terhad kepada golongan tertentu sahaja.Sehingga kini,Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Sebaliknya,rakyat Palestin pula terus melangkah dengan seribu kekuatan demi menawan kembali Masjid al-Aqsa.Dalam konteks pelajar,kita juga perlu menunjukkan sensitiviti,kepekaan dan keprihatinan terhadap isu ini.Justeru,perjuangan menyokong Palestin haruslah ditingkatkan seperti memboikot barang-barang Isreal dan memberikan pelbagai bentuk sumbangan kepada warga Palestin  agar tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam ini.

Selain itu,timbul pula isu masyarakat Uighur yang terpaksa melalui fasa diskriminasi yang teruk di mata dunia serta menjadi pelarian senasib dengan etnik Rohingya.Hari ini,mereka hidup di Wilayah Autonomi Xinjiang dan diiktiraf sebagai satu daripada 56 etnik minoriti.

Xinjiang Riot

Namun demikian,mereka tidak mendapat hak autonomi walaupun dianggap sebagai sebahagian penduduk negara Tembok Besar itu.Kesannya,mereka telah dinafikan taraf kewarganegaraan oleh kerajaan tentera menyebabkan mereka tidak diberi peluang untuk mendapat pekerjaan.Dalam konteks lain, masyarakat Rohingya dari Burma terpaksa menjadi pelarian bagi mencari perlindungan di negara lain sejak berpuluh tahun lalu akibat dinafikan hak kerakyatan.Sebagai contohnya,nasib kanak-kanak pelarian Rohingya di Malaysia tidak mendapat pendidikan formal.Hal ini demikian menyebabkan beberapa generasi pelarian Rohingya menjadi buta huruf seterusnya mendatangkan kesan yang buruk terhadap pelarian.Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Oleh itu, kita seharusnya memberi sokongan dan dorongan dari aspek fizikal,mental serta kewangan terhadap mereka.Masyarakat kita haruslah diberi pendedahan tentang keperitan hidup mereka melalui media cetak dan media elektronik.Sebagai ibrah daripada nasib mereka,kita sebagai manusia yang mempunyai segala kemudahan lengkap haruslah menghargai dan menggunakan peluang yang ada untuk belajar serta berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan Islam.Misalnya,belajar bersungguh-sungguh dalam mempelajari dan mengetahui kesan ubat dan vaksin yang digunakan agar mata kita tidak dikaburi dengan tipu daya serta muslihat masyarakat Barat.

Di samping itu,krisis lain yang turut menagih komitmen dan pengertian serius daripada semua pihak ialah sebahagian besar wilayah utara dan barat Iraq telah berjaya dikuasai dengan mudahnya oleh kumpulan militan negara Islam di Iraq dan Syiria,yang lebih dikenali dengan singkatan nama dalam bahasa Inggeris,ISIS.Hal ini berpunca daripada sikap ISIS yang menampakkan sikap politik anti-Syiah dan sekutu dalam konflik Syria,dengan penentangan terhadap rejim Bashar al-Assad dilakukan sebagai satu penentangan terhadap paksi Syria-Iran. Sebagai analoginya,ketiadaan kerajaan,undang-undang dan kestabilan yang efektif di kedua-dua Iraq dan Syria memudahkan kumpulan-kumpulan militan termasuk ISIS bergerak dan meluaskan pengaruh mereka.

Justeru,dapatlah kita mengatakan bahawa sistem pentadbiran dan undang-undang yang sistematik mampu memberikan impak besar pada setiap negara.Sebagai rakyat Malaysia,haruslah diingat bahawa masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan,apatah lagi ketika negara kita sedang pesat membangun bagi mencapai wawasan 2020.Jadi,sebagai generasi muda zaman sekarang,ayuhlah berpegang pada kata-kata “Pemuda harapan Bangsa,Pemudi tiang negara” dan majukan diri serta minda sejajar dengan zaman yang pesat membangun.Janganlah menjadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak cakna dan peka tentang isu dunia.Bangkitlah dan sedarlah wahai anak bangsa.

Pada waktu yang sama,tercetusnya Perang Syiah dan Sunni telah membongkar kepincangan di Yaman,sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sejarah  Islam.Seperti yang kita sedia maklum,tragedi yang berlaku ini merupakan rentetan perang politik berdarah antara kelompok Houthi,iaitu puak syiah minoriti dengan Sunni.

Wujudnya krisis ini adalah apabila kelompok Houthi menuntut ekonomi yang lebih luas ke sebelah utara Yaman.Akibatnya,berlaku pemberontakan bersenjata dan serbuan ibu pejabat Suhail di ibu negara sehari selepas perjanjian damai ditandatangani.Bagi membuktikan perkara ini,contoh yang boleh diketengahkan ialah keadaan pelajar-pelajar Malaysia di Yaman telah menimbulkan kebimbangan kepada pelbagai pihak setelah kediaman mereka diserang lantas dipindahkan ke tempat yang lebih selamat serta pelaksanaan perintah berkurung di beberapa buah tempat.

Selaku umat Islam,kita perlulah berdoa semoga Allah melindungi keselamatan saudara-saudara seaqidah kita disana.Jelaslah kepada kita bahawa dengan usaha yang jitu serta bertawakkal kepada-Nya merupakan sumber kekuatan dalam menempuh pelbagai cabaran.

Bertepatan dengan tafsir ayat al-Quran Surah Ali Imran ayat 159 yang berbunyi:

“Kemudian,apabila engkau telah membulatkan tekad,maka bertawakkallah kepada Allah,Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal.”

Dalam pada itu, isu yang turut mendapat perhatian dan liputan media massa kini ialah penunjuk perasaan ‘Occupy Central’ di Hong Kong” secara besar-besaran, daripada institusi pendidikan pelbagai peringkat hinggalah demonstrasi di jalan raya.Hal ini disebabkan oleh usaha mereka untuk menuntut pilihan raya yang adil pada tahun 2017 di mana penduduk-penduduk bandar Hong Kong mahu mereka diberikan hak sepenuhnya untuk mengundi pemimpin mereka tanpa campur tangan kerajaan Beijing. Protes ini sedikit sebanyak mencabar kewibawaan rejim China,yang kini menguasai pasaran ekonomi terbesar di dunia Sementara itu,penunjuk perasaan ini turut dikenali sebagai “revolusi payung” selepas mereka melindungi diri mereka daripada semburan lada dan gas pemedih mata yang ditembak pihak berkuasa dengan menggunakan payung.Rentetan daripada peristiwa ini,protes berkenaan turut diadakan di luar Hong Kong termasuk di beberapa lokasi seperti New York,Paris serta Sweden bagi menyokong penunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong kong.

Pemimpin-pemimpin yang menerajui protes tunjuk perasaan pro demokrasi di Hong Kong terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang berbeza daripada pelbagai peringkat umur.Sebagai contohnya, pelajar berumur 17 tahun hinggalah kepada ahli akademik, peguam, pegawai bank dan Menteri Baptist telah terlibat dalam protes ini.Oleh hal yang demikian,hubungan dan sokongan padu antara rakyat terhadap pemimpin mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu dalam usaha merangka sistem pentadbiran negara.Tidak cukup dengan itu,pemimpin bukan sahaja perlu membina hubungan yang kukuh dengan rakyat,malah perlu menjalinkan hubungan diplomatik yang jitu dengan negara-negara lain agar tercapainya keamanan dunia.

Justeru,terbentang di hadapan kita pelbagai permasalahan yang cukup rumit untuk diselesaikan.Namun, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya)”.

(Ali Imran 3:13)

movahedian20120920150640293

 

Penduduk Palestin terpaksa solat jumaat di perkarangan luar Masjid Al-Aqsa. Apakah ini petanda kita tidak mampu berbuat apa-apa?

Jelaslah kepada kita bahawa ilmu pengetahuan memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan keamanan dan kedaulatan sesebuah negara.Mahasiswa zaman sekarang haruslah berpaksikan ilmu bukannya isu semata-mata.Namun begitu,hal ini bukanlah bermakna kita perlu mengabaikan isu.Maka,mahasiswa haruslah bijak menyeimbangkan diri mereka dalam kedua-dua aspek iaitu menuntut ilmu dan mengambil cakna isu-isu yang berlaku di seluruh dunia.Sebagai seorang pelajar,kita haruslah menggembleng tenaga dalam usaha memajukan umat Islam demi menjulang kembali kegemilangan Islam.

SUMBER RUJUKAN

http://www.aman-palestine.org

http://www.mstar.com.my/berita/berita-dunia/2014/10/02/revolusi-payung-hong-kong/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya#Sejarah

http://palestinkini.info

http://www.scribd.com/mobile/doc/47436352?width=320

http://wildwestwahabi.wordpress.com/2009/02/18/syiah-dan-sunni-konflik-yang-direkayasa/

http://www.dakwah.com.my/v1/

Nor Asniza binti Ramlee
Tahun 2
Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

 

Penulis ini merupakan salah seorang dari kalangan pelapis kolumnis Karyawan PCS. Teruskan memberikan sokongan terhadap hasil penulisan beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.