“…dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu..” [Ali Imran:159]

“ Dan bagi orang-orang yang mematuhi seruan Tuhan dan melaksanakan solat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musyawarah antara mereka …” [Syura:38]

 

Pada hakikatnya, Islam telah mengajar kita konsep dan prinsip asas dalam membuat sesuatu keputusan atau pemilihan iaitu konsep syura. Namun dalam urusan pemilihan pemimpin sesebuah negara, Islam tidak menetapkan sistem khusus yang perlu dipatuhi oleh umat Islam.

Menurut sirah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Khulafa’ Al-Rasyidin telah dilantik mengikut 4 cara iaitu yang pertama; pemberian taat setia oleh rakyat jelata kepada Abu Bakar Al-Siddiq, yang kedua; wasiat oleh Abu Bakar supaya Umar Al-Khattab menjadi pengganti selepas kematian beliau, yang ketiga; ahli majlis syura yang dilantik oleh Umar Al-Khattab yang berbincang dan akhirnya memilih Uthman Al-Affan sebagai khalifah, yang keempat; penentangan daripada rakyat apabila berlaku penyelewengan semasa pemerintahan kerajaan Uthman dan akhirnya Ali bin Abi Talib dipilih untuk memegang tampuk pimpinan di Madinah.

Selepas zaman Khulafa’ Al-Rasyidin, khalifah dipilih melalui sistem monarki ataupun warisan daripada keluarga. Oleh sebab itu jugalah mereka tidak dipanggil ‘Al-Rasyidin’ kerana perlantikan mereka bukan melalui sistem pemilihan yang bebas. Ibn khaldun berpendapat: “Mengangkat Putera Mahkota dengan maksud menurunkan kedudukan Kepala Negara kepada anak, bukanlah dari maksud-maksud keagamaan. Sepatutnya dilakukan dengan niat yang baik, kerana dikhuatiri akan dipermain- mainkan atau disia-siakan jabatan-jabatan keagamaan”.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘dipermain-mainkan’ di sini ialah dijadikannya barang pusaka dan dimonopolikan.

Kini, satu lagi sistem telah diperkenalkan iaitu sistem demokrasi. Sistem ini telah digunapakai oleh orang Eropah sejak dahulu lagi dan kini kebanyakan negara telah menggunakan sistem ini kerana ia dianggap sistem yang paling adil kerana ia merupakan sistem yang memenangkan suara rakyat. Bertepatan dengan keadaan negara-negara terutama negara Islam zaman ini, ramai pemerintahnya yang tidak adil dan kejam dan menyebabkan hak-hak rakyat diabaikan. Lalu bertambah suburlah keinginan rakyat dunia Islam untuk membela keadilan, kebebasan dan hak-hak mereka sebagai rakyat. Mereka melihat demokrasi merupakan jalan keluar kepada penderitaan yang mereka alami dan memperjuangkannya bermati-matian sedangkan Islam telah mengajar kita tentang sistem syura yang kita yakin jauh lebih baik.

Sebahagian besar umat Islam ada yang menerima amalan demokrasi ini dalam negara Islam namun ramai juga yang menolaknya atas alasan ianya bukan daripada asal usul Islam, demokrasi akan membelakangkan hukum hakam Allah dan sebagainya. Selain itu, ada juga yang berpendapat bahawa demokrasi dan syura membawa maksud yang sama iaitu keadilan untuk rakyat.

Dr Yusuf Al-Qardhawi berkata di dalam kitab Ad-Din Wa As-Siyasah

“Yang kita maksudkan dengan demokrasi (yang diterima dalam Islam) ialah dari sudut politiknya iaitu intipati demokrasi ialah rakyat memilih pemerintah yang akan mentadbir urusan negara. Maka ini sebagaimana yang ditekankan oleh Islam melalui konsep syura dan bai’ah. Hal ini demikian kerana Islam menolak dan mencela sistem pemerintahan firaun dan diktator. Dan sesungguhnya Allah bersama-sama dengan jemaah. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar : {Sekiranya kamu berdua bersepakat dalam satu pandangan, maka aku tidak akan bertentangan dengan kamu.[1]} Hadis ini menjadi dalil bahawa Nabi SAW memperakui akan suara majoriti.” 

Sejauhmanakah ketelusan demokrasi?

Dalam konteks demokrasi yang diterima Islam adalah dari sudut politiknya iaitu hak majoriti dalam hal memilih pemimpin untuk mentadbir negara, memutuskan hal-hal dunia, konsep mesyuarat dan lain-lain. Bukanlah sehingga memberi hak mutlak kepada rakyat untuk menentukan hukum hakam syarak yang telah ditetapkan oleh Allah. Hal ini sejajar dengan konsep syura dimana kita disarankan untuk bermesyuarat tentang perkara-perkara tiada ketetapan di dalam agama sahaja bukan perkara yang telah ditetapkan oleh syarak.

Namun adakah demokrasi boleh mengangkat kemballi kegemilangan khalifah di muka bumi ini?

Adakah umat islam bersedia memilih untuk bernaung dibawah pemerintah Islam yang sebenar yang  mengangkat dan mengutamakan syariat Allah melebihi suara majoriti rakyat?

Dalam keadaan umat islam yang kehidupannya belum bercorakkan islam sepenuhnya, masakan dia memilih untuk diperintah oleh pemimpin yang akan menegakkan hukum Allah?

Mana mungkin kaki judi dan arak akan memilih pemerintah yang mendahulukan agama daripada suara rakyat yang akan menutup semua kedai-kedai arak dan judi?

Tahukah anda minuman arak dalam perkhidmatan Malaysia Airlines sudahpun disubsidikan dalam tiket penerbangan?

Maka, inilah cabaran utama yang kita hadapi untuk membangunkan khalifah melalui suara majoriti. Kita memerlukan majoriti yang faham tentang agama Islam supaya mereka dapat membuat pilihan yang betul dalam pemilihan ketua negara.

Nah, sekarang kerja kita sebagai pendakwah yang faham untuk menyebarkan nilai-nilai dan kefahaman Islam kepada komuniti sekeliling kita. Kita perlu menanam kembali benih-benih Islam dalam setiap individu muslim di muka bumi ini. Sejajar dengan 7 maratibul amal yang telah disusun oleh Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna iaitu dimulai dengan individu muslim, baitul muslim, masyarakat muslim, kerajaan islam, daulah islam, empayar islam dan akhir sekali ustaziatul alam. Untuk mencapai khilafah islamiyah (empayar islam) setiap individu muslim perlulah faham terlebih dahulu dan mengamalkan ajaran islam seterusnya melahirkan keluarga kemudian masyarakat dan seterusnya membentuk negara Islam yang benar. Kemudian negara islam ini akan bersatu dan membentuk khilafah islamiyah yang kita idam-idamkan.

Oleh itu, demokrasi bukanlah matlamat perjuangan dakwah kita tetapi hanyalah salah satu wasilah atau jalan yang ada buat masa ini sebagai usaha mencapai Khilafah Islamiyah. Namun begitu, perlu diingat bahawa jalan ini masih jauh dan panjang kerana banyak lagi kerja-kerja Islam yang masih tidak dilaksanakan. Sebagai pendakwah tertunggak di atas bahu kita untuk menyedarkan, menerangkan dan memberi kefahaman sebenar tentang Islam kepada seluruh umat manusia di atas muka bumi ini. Institusi-institusi keagamaan perlu memainkan peranan untuk menggunakan segala medium yang ada untuk memberi kefahaman tentang aqidah islamiyah, matlamat hidup seorang muslim, cara hidup Islam, konsep negara Islam, pemimpin yang dikehendaki Islam, tanggungjawab menyebarkan Islam dan banyak lagi.

Jika semua umat Islam di negara-negara Islam memahaminya insyaAllah mereka akan membuat pilihan terbaik bagi memilih pemimpin yang paling sesuai untuk memtadbir negara islam di dalam pilihanraya-pilihanraya di setiap negara Islam. Dan pemerintah yang dilantik perlulah mendekatkan hubungannya dengan Allah dan sentiasa mengagungkan syariat Islam dalam apa jua keadaan. Apabila negara-negara Islam telah berjaya mengamalkan syariat Islam barulah kita dapat bersama bersatu dibawah suatu payung Khilafah Islamiyah.

Kesimpulannya, Allah telah menjanjikan bahawa Islam akan kembali agung pada suatu masa nanti. Dan kita harus yakin bahawa Khilafah Islamiyah akan terbentuk semula. Namun, kita perlulah aktif bergerak untuk berusaha merealisasikan janji Allah tersebut dengan menggunakan segala medium yang tersedia.

democracy

 

Salah satunya adalah sistem demokrasi. Walaupun diakui demokrasi tidak sempuna dan mengikut konsep syura sepenuhnya namun keduanya dilihat berkongsi semangat di atas beberapa prinsip tertentu. Untuk memenangkan Islam dengan majoriti rakyat dalam sesebuah negara, kita lah yang harus menggerakkan jentera-jentera bagi menyebarkan rahmat Islam ke seluruh pelusuk negara.

Wallahu ‘alam

MINDA PIMPINAN

Syuhada binti Azhar
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Timbalan Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.