Adakah anda selalu mendengar perkataan feminisme? Sedalam manakah pengetahuan anda tentang isu ini? Apakah reaksi anda apabila mendengar perkataan ini? Adakah baik ataupun buruk? Adakah anda menjadi geram atau berasakan gerakan seperti ini adalah sesuatu yang wajar? Walaupun artikel ini mungkin akan mempersembahkan hanya bucu paling atas seketul aisberg yang besar, besarlah harapan penulis untuk kita sama-sama mengkaji dan mempelajari kalau tidak sampai ke bahagian dalam laut, cukuplah dari titik paling hujung hingga ke bahagian yang ternampak di permukaan laut.

Bermula sejak akhir kurun ke sembilan-belas, feminisme pada asalnya adalah pergerakan menuntut hak mengundi untuk kaum wanita. Wanita pada zaman ini mula menyedari mereka sepatutnya diberikan hak untuk mengawal sepenuhnya harta mereka, hak penjagaan anak, peluang pekerjaan yang sama dengan lelaki, dan menghapuskan diskriminasi jantina dalam pekerjaan. Mereka sedar mereka perlu mengambil tempat dalam kepimpinan supaya suara mereka boleh menjadi lebih autoritatif. Bagus, bukan?

Pada tahun 1960-an, aktivis feminisme semakin bertambah dan semakin radikal. Dalam satu perarakan feminis yang dikatakan paling besar di Fifth Avenue, New York, pada 26 Ogos 1970,  ratusan wanita dilihat memegang sepanduk yang bertulis;

HOUSEWIVES ARE UNPAID SLAVES! STATE PAY FOR HOUSEWORK! OPPRESSED WOMEN! DON’T COOK DINNER! STARVE YOUR HUSBAND TONIGHT! END HUMAN SACRIFICE! DON’T GET MARRIED! WASHING DIAPERS IS NOT FULFILLING! LEGALISE ABORTION! DEPENDENCY IS NOT HEALTHY STATE OF BEING!

Di sini kita boleh lihat kaum wanita pada zaman ini lebih kepada mempersoalkan tentang peranan mereka sebagai kaum wanita. Mengapa mereka perlu menghadapi kesusahan sedemikian? Mengapa kaum lelaki boleh memperlakukan mereka sesuka hati?

Kini kita dapat melihat semakin ramai kaum wanita yang bekerja dan mampu memiliki harta sendiri. Mereka juga digelar superwoman kerana mampu bekerja dan menguruskan keluarga dalam masa yang sama. Di sini juga feminis sekali lagi lantang bersuara dalam membantah yang tanggungjawab ditentukan oleh jantina. Perbezaan antara lelaki dan wanita sepatutnya terhad dari segi anatominya sahaja.

Mereka menuntut supaya lelaki bukan lagi menjadi ketua keluarga dan bukan lagi wanita yang menjadi suri rumah. Mereka mahu institusi perkahwinan dihapuskan dan setiap wanita mempunyai hak mengawal kehidupan reproduktif mereka. Mereka berkata mereka berhak menggugurkan anak bila-bila masa. Ada feminis yang radikal berpendapat bahawa kaum lelaki dan wanita sepatutnya tinggal dalam satu komuniti dan penjagaan anak ialah tanggungjawab komuniti tersebut.

Feminisme sendiri boleh dikatakan bermacam jenis. Ada yang radikal, ada yang konservatif. Ada yang berdasarkan logik masing-masing ada yang tidak logik seperti ecofeminism yang memperjuangkan hubungan mistik kaum wanita dan alam semula jadi. Dalam feminisme juga ada ‘perang’ mereka sendiri. Contohnya ada golongan feminis yang membantah imej kaum wanita digunakan sebagai objek untuk menarik minat kaum lelaki dan mereka ditentang oleh feminis yang memperjuangkan kaum wanita bebas untuk menonjolkan ‘aset kewanitaan’ mereka.

Mungkin ramai antara kita yang berkerut mendengar feminis yang memperjuangkan lesbianisme kerana tidak mahu ditindas kaum lelaki. Ada yang lebih radikal sehingga tidak mahu dikaitkan dengan kaum lelaki langsung. Pada tahun lepas dunia dikejutkan dengan Femen, sebuah organisasi yang dianggotai oleh wanita yang menulis bantahan mereka di atas dada mereka. Mereka boleh digelar ekstremis yang mensasarkan untuk menghapuskan segala agama, pemerintahan diktator dan industri seks.

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam isu feminisme ini. Pada tahun 2010, Sister of Liberalisation (SOL) sebuah badan bukan kerajaan mengadakan bantahan terhadap kewujudan koc wanita yang diperkenalkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Berikut adalah petikan akhbar mengenai perkara tersebut.

Jurucakap SOL, Wan Gayah Ibrahim mengkritik perlaksanaan tersebut sebagai ‘menghina, merendahkan kemampuan, dan menyebabkan wanita tersisih dalam satu gerabak pendek serta kecil berwarna suram iaitu merah jambu.’

“Kami menuntut kesamarataan. Wanita mesti berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Lagipun, koc yang disediakan oleh KTMB membuatkan sesetengah wanita yang ingin bergaul bebas dengan lelaki seperti teman lelaki mereka berasa tidak selesa. Wanita mesti diberi peluang untuk berkawan-kawan. Koc ini juga menyebabkan lelaki yang cenderung keperempuanan atau perempuan yang cenderung kelakian berasa dianaktirikan, diketepikan dan didiskriminasikan. Ini tidak sihat untuk Malaysia. Dalam negara yang mengamalkan 1Malaysia kita patutnya mengamalkan ‘1Koc Untuk Semua” kata Wan Gayah Ibrahim yang pernah menjadi imam sembahyang Jumaat di beberapa surau di Bangsar dan Bukit Bintang satu masa dahulu.

Nama Sisters In Islam (SIS) juga mungkin tidak asing bagi kita. Sebuah badan bukan kerajaan yang sememangnya terkenal dalam menjaga kebajikan hal ehwal wanita Islam, mereka mungkin disegani oleh sesetengah golongan masyarakat dalam usaha mereka berkongsi ‘ilmu’ mengenai hak wanita dalam Islam dan sebagainya.

Ironinya hal ini, mereka boleh dikatakan agak terpesong dengan mempersoalkan tafsiran ulama dalam hukum di dalam al-Quran seperti ayat 256 surah al-Baqarah iaitu mereka mendakwa tiada paksaan dalam berhijab kerana “tiada paksaan untuk agama” kata mereka. Mereka turut mempertikaikan tafsiran ayat 34 surah al-Nisa yang membenarkan suami untuk memukul isteri mereka yang ingkar. Mereka mendakwa ayat yang ditafsir oleh ulama yang majoritinya lelaki berbaur keganasan dan mempunyai interpretasi yang salah. Apatah lagi , institusi agama, fatwa serta enakmen syariah sering kali dikecam dan diancam oleh golongan ini. Baru-baru ini, SIS telah memfailkan dakwaan pada 31 Oktober 2014 terhadap fatwa yang dideklarasikan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Fatwa yang dikeluarkan menyatakan pengharaman pertubuhan-pertubuhan yang bersifat pluralisme dan liberalisme yang melanggar prinsip-prinsip hukum syarak.

Anda pula, bagaimana?

Namun, bukan semua bentuk feminis itu perkara negatif. Kini terdapat semakin ramai aktivis yang memperjuangkan feminisme islamik atau Islamic feminism. Mereka memperjuangkan hak wanita Islam untuk mempunyai suara di mata dunia, mempunyai hak kebebasan untuk mempraktikkan Islam itu sendiri dan menghapuskan diskriminasi terhadap wanita Islam lebih-lebih lagi yang berhijab.

Bukan semua wanita ialah feminis. Bahkan terdapat anti-feminisme terdiri dari kalangan wanita.Kebanyakan wanita yang anti-feminisme berpendapat wanita tidak perlu ber’aksi’ sebagai mangsa dan bersusah-payah memperjuangkan ‘hak’ mereka kerana itu tindakan itu hanya menunjukkan dan menonjolkan kelemahan kaum wanita. Bagaimana pula dengan kaum adam? Adakah mereka berhak memperjuangkan tugas menanggung keluarga bukan sebahagian tanggungjawab mereka?

Di sini kita dapat konklusikan selain perbezaan dari segi bangsa, manusia juga mempunyai pemikiran dan pendapat yang tersendiri. Namun, untuk mengeluarkan pendapat kita mestilah memiliki ilmu yang cukup dan mematuhi syariat dan jangan sekali-kali mengikut telunjuk nafsu.

SUMBER RUJUKAN

http://en.wikipedia.org/wiki/Feminism

http://www.islam101.com/women/jameelah.htm THE FEMINIST MOVEMENT AND THE MUSLIM WOMAN

http://www.buzzfeed.com/rafiazakaria/feminism-in-faith-islam-1

http://ummsyuhada.blogspot.com/2010/05/koc-wanita.html

http://www.indexoncensorship.org/2014/03/islam-feminism/

http://womenagainstfeminism.tumblr.com/

Izzati binti Shafie
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan

 

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Tribulasi dalam “Malaysia Health Plan 2015” dan Ibu Tetap Seorang Ibu. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.