Kehidupan adalah ruang interaksi dan manifestasi segala sifat kewujudan Allah. Segala cerapan terhadap alam tabii adalah renungan pada perbuatan dan idea Tuhan terhadap alam ini. “Akan tetapi, bagaimanapun ia adalah suatu tanda, lambang dan simbol yang menyatakan Penciptanya Tuhan Sarwa Alam.”

Apakah yang anda faham tentang Sains dan Islam?

Adakah itu pengertian sains moden bagi sekalian abad ini?

Kita definisikan dahulu segala makna perbincangan agar ia tidak lari lebih jauh. Sains itu berasal dari kata Latin scientia. Membawa makna ilmu. Perkataan ilmu itu pula dari perkataan Arab. Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani membawa takrif ilmu itu sebagai “mendapat akan sesuatu yang berbetulan dengan hakikatnya” . Syed Muhammad Naquib al Attas pula menyatakan pelbagai makna ilmu, salah satunya, “Ilmu itu tibanya ma’na ke dalam diri serempak dengan tibanya diri kepada ma’na.” Namun bahasa Melayu itu punya kata sendiri dalam membawa makna ilmu, iaitu tahu. Ia tercatat dalam prasasti kuno sebagai “thu” .

Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Selaksa huraian perihal makna sains, ilmu dan tahu. Hakikatnya tidaklah setiap makna itu membataskan sains, ilmu, tahu itu terhadap suatu ruang yang terhad.

Namun, tuju yang pengarang mahu halakan pada artikel ringkas ini ialah seputar ilmu sains. “..ilmu sains adalah salah satu dari pelbagai cabang ilmu-ilmu yang menjadi dari pohon Ilmu, dan yang bertujuan menghasilkan pengetahuan termasuk cara-cara menguji dan mengkaji, mencuba, perkara-perkara yang terhad pada hal jasmani di alam tabii.” Kata ‘Ilmu’ (dengan ‘I’ berhuruf besar) itu merujuk pada kata nama khas yang membawa kepada makna yang khusus, suatu ilmu yang paling tinggi. Nasr pula membawa pada wujudnya satu ilmu iaitu, “There is first of all the Supreme Science or metaphysics, as understood traditionally , which deal with the Divine Principle and Its manifestation in the light of that Principle.” Boleh kita katakan ada suatu ilmu yang hakiki iaitu ilmu tentang hakikat keTuhanan itu sendiri. Dan, ilmu sains hanyalah pecahan dari cabang ilmu agar menyampaikan hamba kepada Tuhan.

Antara teknologi yang pernah diterokai Saintis Muslim suatu ketika dahulu

Di sini bermula permasalahan manusia moden.

Bermula kurun ke-17, tatkala Barat mula memonopoli istilah sains, ia menjadi terhad kepada pengkajian alam fizis semata tanpa ia punya hubung kait dengan alam lain. Sayyed Hosein Nasr dalam membincangkan perihal permasalahan alam sekitar(ecology) dalam Man And Nature, The Spiritual Crisis of Modern Man, telah menyatakan,

“One of the chief causes for this lack of acceptance of the spiritual dimension of the ecological cirisis is the survival of a scientism which to continues to present modern science not as a particular way of knowing nature, but as a complete  and totalitarian philosophy which reduces all reality to the physical domain and does not wish under any condition to accept the possibility of the existence of non-scientisitic world-views.”

Daripada menjadi alat yang membantu umat dalam mengenal Tuhan, “sains telah menjelmakan dirinya seakan sihir. Seperti juga sihir menyarukan kepalsuan sebagai yang benar, sebagaimana juga sihir mempersona membenihan aneka khayalan yang menggugat kepercayaan yang  menyelewengkan insan dari jalan yang benar.”

Sains moden yang tenggelam mendasar pada empirikisme dan rasionalisme telah mencacatkan kemampuan akal dan jiwa manusia dalam memahami persoalan luar dari batas fenomena alam tabii. Pengkajian berkisar pada mekanisma suatu perkara sahaja. Sehingga mekanisma itu sahaja yang benar dan bertindak sebagai nilai dan penilai. Hakikatnya, secara fitrah, manusia akan mampu mengenali Allah. Seperti mana dalam karya Ibnu Tufail iaitu kisah Hayy ibn Yaqzan. Dengan bantuan intelektual dan wahyu, persoalan kewujudan Tuhan dapat ditanggapi.

I’jazul Ilmi (Kemukjizatan al-Quran pada sudut sains moden)

Teori Big bang

Reaksi umat kepada permasalahan sains moden yang tempang sifat, hilang roh keTuhanan, membuatkan sebahagian daripadanya menjurus kepada pencarian mukjizat Tuhan pada sains moden. Pelbagai buku diterbitkan bagi menyatakan teori kenisbian(relativity) dan teori dentuman besar (Big Bang) itu telah dinyatakan di dalam al-Quran. Seperti yang dipelopori oleh Harun Yahya(Adnan Oktar), Professor Zaghlul Raghib El-Naggar dan lain-lain. Permasalahan I’jazul Ilm ini mendapat perhatian ramai ilmuwan. Syaikh Yusuf Qaradawi dalam kitab ‘Kaifa Nata’mal Ma’a al-Quran al-‘Azim(Bagaimana Berinteraksi dengan al-Quran)’ membincangkan perkara ini dengan panjang lagi lebar.

Sebahagian ulama yang menolak penafsiran dengan I’jazul ilmi seperti Syaikh Mahmud Syaltut (bekas Syaikhul Azhar), Syaikh Amin al-Khauli, Syaikh Mustafa al-Maraghi, Syaikh Abdul Halim Mahmud juga Sayid Qutb(pengarang Tafsir Zilal).

Syaikh Syaltut dalam Muqadimah Tafsir beliau, “..kerana ilmu kajian manusia tidak mengenali kepastian, ketetapan dan pandangan yang muktamad, maka boleh jadi sesuatu yang menjadi pandangan ilmu hari ini, ia menjadi khurafat pada hari esok.”

Kita terlalu ghairah menempelkan teori sains dengan al-Quran, sehingga menjalinkan hubungan suatu yang relatif(berubah-ubah) dengan suatu yang mutlak. Al-Quran merupakan wahyu Allah yang agung dan bersifat tetap. Sedangkan ilmu sains suatu yang bersifat sentiasa berubah mengikut tempat dan zaman. Semakin maju, semakin tinggi daya mencerap dan akan bertemu dengan pelbagai penemuan baharu. Hari ini, kita mendabik dada menyatakan perkara yang sains cerap sudah ternyata di dalam al-Quran, bagaimana pada hari esok, ia berubah? Di manakah anda mahu menyorokkan muka itu? Bahkan ia akan mencalar keagungan al-Quran. Oleh itu, golongan yang digelar Bucaillisme perlu menginsafi akan hakikat ini.

Namun ada dalam kalangan ulama silam yang menerima penafsiran ilmi ini seperti Imam al-Ghazali dan Imam al-Suyuti.

Tafsir Jawarihul Qura’n karangan Imam Al-Ghazali

Imam Ghazali dalam Jawahirul Quran (nukilan beliau selepas Ihya’) telah menyatakan, “Kesemua ilmu, datang dari lautan Pengetahuan Allah dan juga lautan Perbuatan Allah, yang keluasannya tidak bertepi.” Ketahuilah pada kita, Al-Quran itu terkandung pengetahuan dan perbuatan Allah, alam ini pula kesan dan akibat daripada pengetahuan dan perbuatanNya. Maka, tiadalah bertentangan antara pencerapan alam tabii dengan dasar-dasar Islam. Selagi mana pencerapan alam tabii itu mengikut pandang alam yang benar.

Pandang Alam

Oleh itu, dapatlah kita fahami, permasalahan yang berlaku adalah pada sudut pandang alam. Setiap kebudayaan membawa pandang alam yang berbeza. Barat meletakkan pandang alam terbatas pada fizikal semata. Berkitar pada materialism. Sedangkan pandang alam Islam bererti, “pandangan zahir dan batin terhadap hakikat kewujudan dan kebenaran yang diperlihatkan pada nazar serta renungan akali peri kewujudan semesta dunia-akhirat.”

Nasr pula dalam Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam mahu menjelaskan prinsip-prinsip kosmologi Islam dan menayangkan bagaimana bentuk kosmos kaum Muslimin berfikir.”Hanya apabila garis-garis asas konsep kosmos Islam itu selesai digambarkan maka kaum Muslimin akan dapat menerima dan menyerap masuk elemen-elemen sains lain yang boleh diterimanya, yang tidak jauh dari daripada roh sainsnya sendiri, ke dalam keseluruhan pandangan hidup seorang Muslim.”


Sejauh manakah penguasaan umat Islam terhadap Sains pada era ini?

Pengarang tidak berhasrat untuk mengulas panjang perihal sains Islam dan dasar-dasarnya. Ia memerlukan pengajian dan penelitian dari kalangan kita semua bagi menumbuhkan benih-benih kefahaman. ’PengIslaman ilmu’ berlaku sebaik sahaja sarjana Muslim menilai “ilmu” asing itu berasaskan pada ajaran Islam sehingga ada komponen ilmu itu yang terpaksa dibuang, ada yang perlu diubahsuai dan ada yang dibina semula sepenuhnya bagi menserasikan dengan ajaran Islam dan sekaligus menerbitkan ilmu baru yang dapat menandingi “ilmu” asing itu.”

Dan, Allah paling tahu.

SUMBER RUJUKAN

  1. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, Syed Naquib al-Attas. Terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia
  2. Pengislaman Ilmu, International Institute of Islamic Thought, Diterjemah oleh Mustafa Kasim, Dewan Bahasa dan Pustaka
  3. Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam Edisi Kedua, Seyyed Hossein Nasr, diterjemah Baharuddin Omar dan Osman Bakar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
  4. Man and Nature, The Spiritual Crisis of Modern Man, Seyyed Hossein Nasr terbitan ABC International Group Inc.
  5. Scientific Precision in the Sunnah, Qoutation From The Sayings of Prophet Mohammad, Professor Zaghloul Raghib El Naggar terbitan Dar Al-Mareefah
  6. Kaifa Nata’mal Ma’a Al-Quran Al-‘Azim. Dr Yusuf Qaradawi terbitan Dar al-Shorouk
  7. The Need For A Sacred Science, Seyyed Hossein Nasr terbitan State University of New York Press
  8. Menormalkan Sains Islam, Professor Shaharir bin Mohamad Zain di http://www.kesturi.net/?p=771

Che Muhammad Nur Anas Bin Che Kadir
Tahun 5
Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

 

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Psikedelik Budi DayaBagaimana Membaca Buku dan Ramadan Terakhir 1313. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.