i)

Langkah kaki dipercepatkan. Matanya sedikit melilau mencari sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. Sekejap- sekejap pandangannya jatuh pada tali kasut sebelah kiri yang terjuntai daripada ikatannya. Rengusan kecil mengiringi gelengan, kesal melihatkan hujung tali kasut yang sudah bertukar warna menjadi keruh.  Hayunan kaki dipercepatkan lagi.

Melintasi kesesakan Jalan Ramsis di pagi hari, dia sempat mengerling Casio di pergelangan tangan kiri. 8.15 pagi. Gerahamnya diketap. Peluh yang merenik di dahi disapu kasar. Degupan jantung yang menderas bersama langkah tidak diambil peduli. Matlamat jangka pendeknya kini hanya satu, tiba di muka pintu kuliah sebelum jarum jam mencecah 8.25 pagi.

Setibanya di pintu gerbang universiti, matanya menangkap kelibat seseorang yang dikenali. ‘Ah, aku datang sama waktu dengan dia. Maksudnya aku memang lewat sungguh hari ini!’ Jamal yang sudah berlari- lari anak ke lorong ke dewan kuliah diekor laju. Kalau betul bakal dimarahi, biarlah berteman! Kain baju kurung yang sedikit melambatkan pergerakan dipegang kemas pada hulunya. Kali ini dia betul- betul berlari anak!

 

ii)

Pintu dewan kuliah berkeriut buat kesekian kalinya. Semua mata, tanpa rasa jemu mengikut pandang muka pintu. Jamal Muhammad melangkah masuk dengan sengihan lebar ke arah Prof. Magdy yang sedang membuka pautan video anatomi mata di komputer riba. “It’s too late for you to come at this time, ya Ahmed. I have finished the introduction! You should give a good impression at least on our first day of this round!”

“ I’m sorry.” Tunduk, pantas mencari tempat duduk di sebelah kanan kelas.

“Okay, let’s continue…” Prof. Magdy mahu menyambung apabila pintu dewan berkeriut lagi. Figura gadis berbaju kurung serba biru menangkap pandangan seisi kelas yang sedang fokus memandang pensyarah di hadapan kelas.

Professor Magdy melepaskan keluhan kecil. Matanya menatap jam tangan. 8.27 pagi.  “Is it normal for you to come at this time in the other rounds?”

Soalan itu bergema ke seisi kelas. Hanan di muka pintu mati langkah. Yang lain- lain sepi, langsung membiarkan pertanyaan pensyarah tua itu berlalu begitu sahaja.

“What happened to you, Malaysians? You turn into Egyptian in your 4th grade?” Sepi lagi.

“Sit there.” Hanan angkat muka. Mencari arah telunjuk Prof. Magdy. Tempat duduk paling hadapan, di kerusi panjang yang sama dengan Zubir yang terkenal dengan semangat dan gaya ‘nerdy’. Dahi Hanan berkerut, wajah cuba meminta simpati.

“It’s a punishment for those who come late.” Kata putus dari pensyarah Mesir itu membuatkan dirinya sedar akan kesilapan sendiri. Langkah perlahan diatur tanpa banyak soal.

 

iii)

“Markah end round ForTox dah keluar!” Buku- buku Ophthalmology  yang baru sahaja dibeli di kedai buku tadi dipeluk kemas mendengarkan pengumuman kecil yang dibuat oleh Julia, Timbalan Ketua Batch mereka. Forensic & Toxicology merupakan kursus kedua yang diambil oleh seluruh pelajar Tahun 4 selepas Community Medicine. Kursus ini baru sahaja ditinggalkan minggu lalu dengan diakhiri peperiksaan End Round. Kini, keputusan sudah keluar pula.

Irdina membetulkan letak cermin mata. Dia melangkah ke pejabat Jabatan Forensic & Toxicology. Kebimbangannya bukan kepalang. Peperiksaan minggu lalu begitu sukar untuknya, lebih- lebih lagi pada waktu itu kesihatannya terjejas dek keracunan makanan.

Mabrouk, top scorer!”, dari jauh teman sekelasnya, Huda memecah tembok kebimbangan. Laju anak matanya berlari mencari nombor ID pada senarai markah yang bertampal di papan kenyataan. 81/85. Hatinya mengucap syukur dalam- dalam. Dikerling pemilik nombor ID selepasnya. Teman baik, merangkap teman serumah; 55/85. Jiwanya lantas direnggut kesal. Jauh di sudut hati, dia rasa tidak berguna sebagai seorang sahabat.

“Budak pandai, tahniah!” Pinggangnya terasa dicuit. Pantas dia menoleh. Hanan dengan senyum lebarnya!

iv)

Bau tumisan di dapur menarik perhatian Rozie. Lantas kakinya membawa tubuh ke dapur. Matanya menangkap kelibat Hanan yang gopoh- gopoh mencedok cili giling ke dalam kuali.

“ Awal kau masak hari ini?” tegurnya berasa- basi. Sambil tangannya mengagau mencari yogurt strawberi dari dalam peti sejuk, dia mengerling ayam yang siap digoreng di tepi sinki. ‘Wah, ayam masak merah!’ Hati gembira melompat suka.

“Aku ada meeting hari ini. Nanti kalau aku lambat, kau orang makan saja dulu ya.” Hanan menjawab ringkas. Sempat dihantar senyuman, seperti biasa.

“Okey, macam tak biasa pula. Kalau kau tak beritahu pun, kami makan saja juga. Kau kan busy.” Sudu kecil dibenam ke dalam cawan yogurt. Langkah diatur ke ruang hadapan. Pandangan Hanan dia buat- buat tidak nampak.

Rozie melabuhkan punggung ke kerusi kayu di depan meja studi. Sambil mulutnya mengemam serat strawberi dalam yogurt, tangannya menyelak lembaran buku slides Ophtalmology. Namun sekejapan cuma, fokusnya terpelanting jauh mengingatkan peristiwa Hanan didenda pagi tadi.

“Kau tak kejut exco tu bangun pagi ke? Kesian dia datang lambat!” Laila menjuihkan bibir sambil merujuk kepada Hanan.

“ Dia tak tidur rumah malam tadi. Meeting luar kawasan. Entah Mansurah, entah Tanta.  Bukan salah aku, bukan masalah aku.” 

“ Mantap kau orang satu rumah. Mumtaz semedang ForTox.” Wawa pula memuji- muji sepanjang perjalanan pulang ke kelas tadi.  “Tapi, kesian juga dekat Hanan. Aku rasa kau orang kena pesan dekat dia, fokus study dulu. Persatuan- persatuan ini penting juga lah. Tapi, kata akademik nombor satu, ye dak?” sambung Wawa. Entah serius, entah tidak. Dia malas ambil peduli.

“ Nantilah, tidak pun kau beritahu Irdina lah. Baru tercapai hasrat kau. Kalau tunggu aku, berjanggut juga nak tunggu aku hendak nasihat- nasihat orang.”

* * *

‘Ah, serabut hendak fikir masalah orang!’, Rozie membentak kasar. Jiwanya sentiasa tidak senang apabila masalah Hanan dipersoal dan dikaitkan dengan dirinya. Dia bukanlah kejam, tidak empati tidak bersimpati. Malah dia biasa saja mendengar, ‘ Allah uji dia sebab kuat dan mampu.’ Nah, itu ujian buat Hanan. Dan mungkin ini ujian untuk dia juga sebagai teman serumah.

‘ Hanan kuat dan mampu berhadapan dengan masalah dia. Aku lah yang lemah dan tak kuat nak menghadap masalah dia pula! Kau yang cari masalah, tak mungkin aku mahu sibuk- sibuk?’ Geramnya bukan sedikit. Baginya, Hanan yang beria- ia membina komitmen lain selain apa yang sepatutnya dia lakukan. Dulu, Hanan tidak sesibuk sekarang. Akademiknya tidak merudum jatuh seperti sekarang. Dulu, mereka punya masa bergelak ketawa sebagai teman serumah, punya waktu membeli barang keperluan bersama- sama. Sekarang, hendak makan bersama pun payah.

Punca masalah semuanya daripada Hanan. Dia jadi tawar hati mahu ambil peduli tentang Hanan. Buku slides diselak ke muka surat hadapan. Mahu memulakan kursus Ophtalmology dengan semangat baharu, meskipun hatinya sendiri tidak tenang dilanda ribut persahabatan.

v)

“Laporan bulanan pastikan dihantar kepada kami juga. Termasuk semua perancangan akan datang.” – Suhana, Timbalan Jabatan Pembangunan Insan

“Hanan, Kertas Kerja Dasar kita sepatutnya siap esok. Kita tak boleh lengah. Nanti banyak perkara tak settle.” – Ziyad, Ketua Biro Pembangunan Insan

“Panitia perancang perlukan semua senarai perancangan BPI. Kalau boleh, hujung minggu ini saya minta KKD sudah dihantar kepada kami.” – Rahmat, Ketua Panitia Perancang

“Oh, ya. Dalam masa yang sama, kertas kerja dua program terdekat  sudah boleh dirangka. Maksud saya, bengkel jenazah dan daurah kitab. Kemudian, jangan lupa perkemaskan gerak kerja kempen biah solehah yang dibawa dari sesi lepas.” – Umi Atiqah, Timbalan Ketua Panitia Perancang

“Hanan, take note semua paperwork program untuk Mac dan April ya. Awak senarai nanti saya bahagi tugas.” – Ziyad, Ketua Biro Pembangunan Insan

“Mesyuarat biro, patut selesai dalam dua minggu ini.” – Eman, Pengerusi

Hanan selesai memasukkan semua kerja berbaki untuk minggu ini ke dalam timeline dan planner miliknya. Keluarnya dia daripada mesyuarat Panitia Perancang sedikit menambah beban kerjanya. Dia hampir terlupa segala gerak kerja Biro Pembangunan Insan yang berada di bawah pengendaliannya banyak terikat dengan perancangan peringkat atasan.

Minggu ini penuh. Dia jadi tidak betah memikirkan komitmen lain yang mungkin dia terlepas pandang. Matanya dipejam kejap. Cuba mencari kekuatan di sebalik gelapnya pandangan. Entah kenapa, dia tetap hampa. Dia gagal menemukan sesuatu yang mampu menguatkan dirinya sendiri. ‘Apa silap aku hari ini?’, monolog hati sibuk menghisab diri. Mencari mana- mana lompong yang mungkin ditinggal pergi. Menjejak mana- mana titik noda yang mengotor hati.

Telefonnya berdering. Dia terkejut. Balqis! Jantungnya berdegup mengingatkan sesuatu. Jam tangan dipandang sekilas. Sudah 5.30 petang. “Adik, sorry. Akak tengah siap!”, dia sedikit terjerit. Tudung denim nya disarung pada baju kurung yang belum bertukar. Buku nota dan manhaj usrah disumbat masuk ke dalam beg.

“Kau nak ke mana pula?”, Aina menegur sewaktu bertembung di pintu rumah.

Usrah, aku lupa sungguh. Pergi dulu!” Aina hanya memandang kelibat Hanan yang semakin menjauh menuruni tangga.

‘ Semoga Allah permudahkan semua urusan kau, sahabat.’

 

vi)

Aina menutup lembaran kecil al- Ma’thurat. Kepala disandarkan ke dinding bilik, berhadapan meja studi.

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Tidak jauh ingatannya melayang. Pada teman serumah, yang baru ditemukan di muka pintu. Kagumnya bukan sedikit pada insan bernama Hanan. Semangatnya tidak pernah luntur dimamah kata- kata perli dan sindir manusia. “Kalau kau bergerak orang berkata, kalau kau berdiam tak berkutik pun orang berkata. Maka, sampai bila saja kesudahannya? Bergerak saja macam biasa, ayat tipikal drama, ‘mulut orang siapa boleh tutup’,kan?”, jawapan Hanan ringkas bersama ulas senyumnya, sampai kini dia tidak lupa.

“Tolong tazkirah aku tentang tanggungjawab.”, pintanya serta- merta pada waktu itu.

Hanan senyap. Mengerutkan dahinya lalu membuka bicara, “Bukan tazkirah pun, konsep U.M.M.I untuk Ubbudiyyah, Mas’uliyah, Mahabbah, Itqan. Rasa hamba, amanah dan tanggungjawab, cinta, kesungguhan. Empat kriteria ini sepatutnya sudah cukup mengikat kita dari berlepas diri daripada tanggungjawab”.

“Okey, yang lain- lain faham. Cinta itu cinta kepada…?”

“Mana mungkin manusia bisa mencintai manusia yang lainnya, tetapi gagal melahirkan cinta buat Penciptanya? Semua tugas dan tanggungjawab bila disandar kepada Allah, maka ibadahlah namanya. Cintailah ibadah yang membawa kita kepada Tuhan. Macam itu saja teorinya.” Senyum.

Aina terpaku. Anggukannya perlahan, menghadam buah butir bicara Hanan. Amanah memang bukan ringan. Padanlah komitmen kepada amanah Tuhan tidak sepatutnya sekadar melepaskan batuk di tepi tangga. Peluhnya merenik di dahi. Berkali- kali lafaz istighfar diucap.

“Aina!”, panggilan Irdina merentap dirinya kembali ke dunia sebenar.

Keningnya terangkat. “Apa?”

“Kenapa marah?”

“Aku terkejut.”

“Tadi baca ma’thurat, Rabitah Hati. Ingat tak, kita menyanyi Rabitah Hati masa sekolah dulu tanpa kefahaman?”

“Sekarang dah fahamlah?” Sengih mengusik.

“Maka Ya Allah, eratkanlah ikatan yang ada.” Sayu Irdina melagukan pertengahan doa.

“Kekalkan kemesraan yang ada, tunjukkanlah jalan yang benar.” Aina ikut menyambung.

“Tunjukkanlah dengan cahaya- Mu, tiada malap terangi alam-Mu.” Mereka sama- sama menoleh ke muka pintu bilik. Ada suara asing di sana. Rozie.

“Ini apa cerita imbas- imbas memori tak cukup korum?” Rozie bercekak pinggang, namun wajahnya mengukir senyuman.

“Kalau kita hayati satu demi satu lirik itu, sebenarnya Allah sedang memelihara ikatan kita, kan?” Irdina meluah rasa.

Yang lain ikut senyap. Ketiga- tiganya bersandar di dinding.

Tiba- tiba Aina bingkas bangun. Mencapai bingkai gambar di atas meja. Kembali duduk di tempat asal, dia halakan bingkai besar ke arah Irdina dan Rozie. Ada gambar mereka berempat. Sama- sama berempat dalam uniform sekolah, lima tahun dulu. Ada gambar mereka berempat juga tahun lalu, sewaktu sama- sama ke Iskandariah.

Rozie tunduk. Dia baru sahaja terkenangkan persahabatan mereka sebelum masuk ke bilik Aina. Langsung tidak dia duga, dua sahabatnya yang lain sedang sama- sama mengenang nostalgia.

“Ingat apa Hanan pernah kata?  ‘Hubungan kita dengan manusia lain adalah tanggungjawab kita kepada Allah. Manakala hubungan manusia lain dengan kita adalah tanggungjawab dia kepada Allah.’ Soalnya, tanggungjawab kita kepada Allah, entah- entah terabai begitu sahaja dek rapuhnya hubungan sesama kita.” Aina memandang jauh ke dinding bertentangan dengannya.

“Sekali kita kawan, sampai bila- bila kita tetap kawan.” Rozie menarik senyum tawar, teringatkan kata- katanya sendiri sewaktu mereka berempat  diterima masuk ke universiti yang sama empat tahun lalu.

“Kawan, sahabat, yang namanya bila menyokong sahabatnya yang lain.” Aina menyimpul senyum.

“Okey, lepas ini kita cuba buat jadual study group? Dalam seminggu, perlu dua kali jumpa sekurang- kurangnya.” Irdina merangka perancangan bayangannya.

“Setuju, discussion sangat penting sebenarnya. Macam dulu- dulu kita pernah buat.” Rozie angguk setuju. Bersemangat dia mendengarkan saranan Irdina.

“Aku akan pastikan setiap malam Hanan ceritakan semula apa yang kita belajar hari ini briefly in 20 minutes.”

Nice, kita berempat kena score untuk Ophtalmology dan untuk finals nanti!”, Irdina menggegam penumbuknya, bersemangat.

“Sambil itu, kita kena support Hanan daripada segenap sudut. Kalau kita tak berkomitmen tinggi pun, sekurang- kurangnya kita jadi penyokong kuat sahabat sendiri?”Aina bersuara kuat. Yang lain angguk setuju.

Dari balik pintu, Hanan yang baru pulang menyeka air mata dari tubir mata. Nikmat Tuhan yang mana lagi yang mahu engkau dustakan? Tiada yang lebih bermakna selain teman- teman yang memahami. Dia bertahmid berkali- kali sebelum menolak pintu bilik.

“Hanan!!!”

MINDA PIMPINAN

Nur As-Syuhada binti Amran
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Naib Pengerusi II
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.