Sebatang pen biru jenama Pilot, berputar pada sendi pangkal jari telunjuk. Tenaga potensi pada jari hantu itu bertukar kepada tenaga kinetik, lantas menolak pen dan disambut henti pula oleh ibu jari. Kitaran dan putaran itu berterusan. Sehingga,

“5232!”

Pen itu hilang kawalan. Pusat tenaganya pincang, akhirnya jatuh dari jari telunjuk. Hanya kerana sedikit daya luar yang mengganggu stabiliti. Ia dipungut oleh tuannya. Diletakkan kembali pada tempatnya, diselit pada poket kemaja biru berkotak kecil.

“Sila tandatangan di sini.” kata residen, doktor pelatih yang bertugas mengambil kedatangan bahawa aku hari ini mengambil peperiksaan bagi jabatan Geriatrik.

Pen Pilot biru mengambil tugas sebenarnya. Iaitu menulis. Tugasnya bukanlah sebagai alat mainan, alat korek telinga atau apa sahaja kerja lain. Tapi tugasnya menyalin cahaya. Ilmu.

Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan. [68:1]

Aku dipersilakan masuk ke satu bilik. Sempit. Dengan ukuran anggaran 10 meter panjang dan 2 meter lebar. Kirinya terdapat 2 meja yang bertimbun atasnya fail dan kertas. Pada hujung bilik, seorang lelaki yang aku kenali duduk di sebuah kerusi hitam sambil tangan memegang kertas. Bersedia untuk memeriksa aku. Dr Ahmed Shawky yang berkaca mata petak berbingkai besi. Rambutnya berwarna perang sudah separa botak akibat androgenetic alopecia mengakibatkan beliau kelihatan tua. Meski kalau direnung romannya, umurnya mungkin dalam lingkaran 30-an.

Aku disoal perihal orientasi ruang dan masa, dan analisis DEXA bagi mengenalpasti osteoporosis atau osteopenia. Pada akhir sesi ujian, beliau melontarkan satu soalan.

“Awak tahu tentang Jawi?”

Aku sedikit terkesima. Kenapa seorang lelaki Arab, warga Mesir, tiba-tiba bertanya tentang tulisan Jawi?

“Ya, saya tahu.”

“Awak masih tahu menulis menggunakan tulisan Jawi?”

Fikiran aku merentas dimensi ruang dan waktu. Mengenang suatu yang silam.

“Semestinya!”

Dr Ahmed Shawky meminta aku menulis beberapa patah perkataan dalam Jawi. Kelihatannya seperti beliau begitu teruja dan, itu seperti mengundang pedih dalam hati.

“Adakah awak ada menyimpan sebarang bahan bertulisan Jawi seperti keratan akhbar atau buku? Boleh awak tunjukkan pada saya?”

Terlintas dalam benak akal aku, sebuah ‘kitab kuning’ yang tersimpan di rumah.

Kami mengatur janji untuk bertemu.

Kaki diarah oleh sistem saraf pusat, bermula dari lobus frontal membawa kepada kawasan motor bernombor 4 yang berada pada bahagian belakang lobus frontal untuk keluar dari jabatan Geriatrik. Saat keluar dari bangunan, hanya di tubir pintu, angin musim panas mula menerjah. Pedih bahang meronakan wajah menjadi kemerahan. Semerah darah dan jantung yang turut pedih. Mengapa aku terkesan dengan keterujaan Dr Shawky?

Seperti yang kita semua ketahui, pada tahun 1966 Khir Johari melaksanakan satu dasar. Menukar tulisan Jawi kepada Roman. Hingga membawa kepada hari ini, ia masih berterusan. Daripada usaha besar beliau, entah berapa ramai anak Melayu yang masih tahu menulis dalam Jawi. Ada juga yang berpendapat, kesan daripada penghapusan Jawi menyebabkan generasi hari ini lemah dalam penguasaan al-Quran. Perkara itu mungkin perlu dibuktikan.

Namun, aku masih berpendapat, sekiranya Jawi masih menjadi tulisan utama, hubungan rakyat Malaysia dan Islam pasti lebih kukuh. Nah, lebih baik berhenti beromantisme, mengenang-ngenang benda yang sudah berlalu. Aku menuju jalan pulang sambil disapa oleh seorang pemuda Arab yang tersilap sangka yang aku adalah seorang Cina. Di zaman Bah Informasi, masih ada manusia yang melakukan generalisasi bahawa semua yang berwajah Asia adalah Cina. Kasihan.

* * *

Seminggu berlalu sejak hari peperiksaan. Hari ini aku berada di pejabat Dr Ahmad Shawky untuk menunaikan janji sebelum ini. Pertanyaan aku yang pertama saat menyerah kitab Hidayatu Sibyan karangan Syaikh Abu Abdullah Hussin Nasir bin Muhammad Taib al-Banjari Rahimahullah ialah,

“Mengapa doktor berminat terhadap Jawi?”

Beliau tersenyum memandang aku.

“Saya gemar menggelintar internet. Dan, ia membawa saya kepada jumpaan tentang teks-teks Arab yang digunakan oleh bukan Arab.”

“Teks seperti Jawi yang menggunakan huruf-huruf Arab dan beberapa huruf tambahan digunakan sangat meluas. Seperti di Turki dipanggil Osmanlica, Sorabe bagi bahasa Malagasy di Madagascar, Sorani bagi Kurdish dan Urdu bagi bahasa Hindustan.”

Sambil menghirup kopi pekat, beliau menghentikan bicara sebentar.

“Mungkin, suatu hari nanti kita boleh wujudkan Arabophone sepertimana wujudnya Francophone?”

Kami duduk di sebuah bilik lapang yang berhawa dingin berkarpet gebu entah mungkin dari Turki atau bukan aku tidak tahu. Bersandar pada sebuah sofa coklat ini buat aku sedikit lemas. Kerana tempat duduknya agak tenggelam. Aku membetulkan duduk. Selesa. Perbincangan ini mungkin akan larut dalam masa yang panjang.

“Tidakkah idea seperti Francophone, Commonwealth dan sekarang Arabophone satu cubaan neo-kolonialisme?”

Satu acahan dari aku.

“Sekarang sedang kuat gelombang pembaratan atau westernisasi, adakah doktor cuba mencadangkan satu idea pengaraban atau Arabisasi pula?”

Serangan bertalu dari aku. Tetapi beliau tenang, seakan berfikir sejenak.

“Dalam hal ini, suka untuk saya mengulang firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 256,tiada paksaan untuk memasuki agama. Juga pada surah al-Kafirun ayat yang terakhir. Bagi kamu agamamu, dan bagi aku agamaku. Istilah Diin, itu selain membawa makna agama, mungkin sahaja kita boleh bawa makna budaya atau gaya hidup.”

“Sesungguhnya baginda nabi tidak pernah bertindak menjenamakan budaya Arab sahaja adalah budaya Islam. Kita boleh lihat dalam hadis-hadis yang direkod oleh para ulama. Contohnya dalam Syamail Muhammadiyyah karya Imam Tirmizi, Disebut, ada kala, baginda memakai jubah orang Rom, dan ada masa baginda memakai sejenis pakaian bernama hibarah dari Yaman. Maka, dari cara berpakaian nabi sendiri bersifat global.”

Aku tersenyum kelat.

“Maka bagi doktor, kita tiada identiti atau tradisi? Cuba doktor lihat sendiri masyarakat Mesir. Anak muda yang kehilangan identiti. Berpakaian caca merba. Dengan berbaju T dan seluar jeans cetak rompak. Hilang pula akhlak dan adab ketimuran yang sepatutnya sangat memuliakan tetamu.  Bagaimana pula pandangan doktor terhadap globalisasi seperti ini?”

Seakan melepas geram. Orang asing kerap dipersenda oleh orang Mesir. Khususnya orang Asia Jauh. Kita, warga Malaysia sering dianggap sebagai Cina dan sentiasa diejek-ejek. Darah muda yang mengalir kadang kala terlalu panas. Aku cuba bertenang. Mendengar bagaimana penjelasan dari beliau.

“Seperti yang sebut tadi, kita perlu bersifat global. Siapa yang menolak globalisasi, bolehlah duduk di celahan gunung menjadi rahib atau bertapa. Globalisasi ini yang menghubungkan kita. Namun dalam mengharungi arus deras globalisasi yang tersulam padanya pembaratan, kita memerlukan pertapakan yang kuat pada tradisi kebudayaan kita.Jika tidak, terjadilah seperti yang anda sebut tadi. Rosak.”

Seorang makcik, pekerja di jabatan Geriatrik masuk ke dalam bilik dan menghidangkan dua cawan teh dan air kosong. Dr Ahmad Shawky mula membersih tekak dengan air usai habis secawan kopi.

“Mana-mana tamadun yang berkuasa, mereka akan cuba menerapkan budaya dan gaya hidup pada kelompok yang lain. Golongan yang mudah terpengaruh, pastilah golongan yang lemah jiwa, kecil hatinya. Seandainya kita tinjau kembali sejarah Mesir sendiri. Saat Rom menguasai Mesir, mereka menguasai golongan pertengahan, sebagai pedagang dengan menjaja kebudayaan Rom kepada rakyat Mesir.”

Aku membetulkan letak duduk. Seperti yang aku katakana tadi, sofa ini melemaskan.

“Semasa ketamadunan Islam-Arab berada di puncak, ia juga mempengaruhi masyarakat lain. Sehingga masyarakat Eropah sendiri ikut serta.”

Dr Ahmad merenung aku. Mungkin terlihat orak pelik di wajah aku.

“Ya, Eropah ikut juga terpengaruh. Anda kenal Christopher Columbus?”

Aku mengangguk perlahan.

Paolo dal Pozzo Toscanelli

“Guru kepada Columbus, namanya Paolo dal Pozzo Toscanelli. Beliau hidup dari 1397 hingga 1482. Seorang ahli matematik, astrologi dan kosmologi. Seorang warga Itali dari Florence, tapi berpakaian gaya Arab dengan berserban. Rasanya, kerana apa dia berpakaian sebegini?”

Senyap. Dia menanti jawapan dari aku.

“Kerana kehebatan tamadun Islam ketika itu?”

“Ya, seperti kita, seorang rakyat Mesir atau Malaysia, yang menuntut ilmu di sebuah negara barat yang kagum dengan ketamadunannya. Kita juga akan ikut terpengaruh dengan budaya negara tersebut.”

“Contoh lain. Armenia. Sebuah negara majoriti rakyatnya adalah Kristian dan bukan Arab. Tetapi suatu masa dahulu mencetak siling mereka dengan teks Arab. Kenapa mereka tidak menggunakan teks Armenia sendiri? Pastinya kerana pengaruh tamadun Islam yang mereka terima.”

“Di Eropah, kerajaan Anglo-Saxon ketika zaman Raja Offa, beliau juga mencetak siling emas dengan meniru mata wang negara Islam. Ianya untuk memudahkan urusan perdagangan dan supaya wang itu diterima oleh kerajaan Islam Andalus.”

“Dan seperti yang saya sebentar tadi, Islam tidak pernah memaksa mana-mana kelompok untuk ikut dalam kebudayaan Islam. Apa yang berlaku hanyalah kesan keagungan tamadun Islam secara tak langsung yang membawa kepada penyerapan sesuatu budaya kepada bangsa lain.”

Transkrip tulisan Pallava yang ditemui

Bila aku fikir kembali, benar juga apa yang diperkata oleh Dr Ahmad Shawky itu. Seperti mana Islam ketika datang ke Kepulauan Melayu, mereka tidak menghapuskan kebudayaan setempat di situ. Tetapi, Islam berasimilisasi dan mengukuhkan kebudayaan Melayu. Kerana itu wujud Jawi yang mempunyai kekuatan menampung wacana ilmu bagi mengganti tulisan Rencong dan Pallava. Orang dahulu tidak terikut memakai jubah, jalabiya atau niqab. Tapi masih kekal dalam identiti sendiri selagi mana ia selari dengan maqasid Islam.

“Menurut pandangan Dr, apa kesan-kesan negatif globalisasi dan pembaratan kepada warga negara-negara membangun seperti Malaysia dan Mesir sendiri?”

“Pembaratan datang sebagai satu pakej. Kita tidak boleh ambil sedikit, buang sedikit. Permasalahan yang berlaku di Barat akan pasti terhinggap pada Timur. Dan, pastinya mereka akan menghadapi krisis identiti. Tiada kenal diri ini suatu penyakit yang bahaya. Ia satu kepandiran. Mereka berkhayal sesuatu yang bukan dari mereka. Warisan nenek moyang dilupakan sedangkan ia mungkin terbaik untuk mereka.”

“Contohnya?”  Tanya aku kebodohan.

“Itu.” sambil jari telunjuk mengarah pada pendingin hawa.

“Anda tahu tentang kepanasan global? Itu adalah puncanya. Pendingin hawa. Dan, kita pula terikut dengan kerakusan Barat yang berasakan diri mereka mutlak, boleh berbuat apa sahaja di muka bumi ini.”

Beliau menanggalkan cermin mata tebalnya dan mengelap sedikit. Mungkin ada kotoran yang mengganggu pandangannya.

“Sedangkan pada tamadun silam kita, wujud teknologi pendingin hawa yang lebih baik dari itu. Yang bersifat mesra alam. Seni bina yang dipanggil malqaf oleh orang Mesir. Bagi orang Iran mereka memanggilnya bâdgir. Ia satu sistem pengudaraan bagi dalam bangunan. Udara yang panas dari luar ditangkap masuk ke dalam corong-corong kemudian dengan perbezaan tekanan, udara panas itu akan turun ke satu ruang bawah tanah yang menakung air. Di situ udara itu akan disejukkan dan masuk semula ke dalam bangunan.”

“Tapi, kita lebih gemar menjadi konsumer. Kita meniru segala dari Barat. Hingga membina bangunan berkaca, kita ikut tiru. Mereka negara sejuk, mengambil aplikasi kesan rumah hijau untuk memanaskan mereka. Kita yang tinggal negara panas mahu semakin panas kah? Ini satu pembodohan!”

Bunyi telefon berdering. Bukan bunyi telefon aku. Aku lihat Dr Ahmad yang menjawab panggilan tersebut. Nampaknya beliau mungkin akan mempunyai urusan mendatang.

“Satu nasihat akhir sebelum kita berpisah. Allah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 26, katakanlah, wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Setiap kekuasaan, ketamadunan, sehebat mana pun akan jatuh. Pola naik dan turun kerajaan ini sendiri disebut oleh Ibn Khaldun dalam magnum opusnya iaitu Muqaddimah. Maka, saya tinggalkan satu persoalan untuk anda sebelum pulang. Seandainya satu masa nanti, kita anggar 50 tahun mendatang ketamadunan Barat, Amerika runtuh. Bagaimana dengan mereka yang menyarung tamadun Barat ini? Kebudayaan apa pula mereka mahu pakai?”

Aku merenung sejenak memikirkan persoalan itu. Lalang. Kita akan menjadi lalang yang sekadar mengikut angin. Satu masa, kala rebut menerjah, pasti hilang. Tiada meninggal baki.

Perbualan di atas berlaku beberapa bulan dahulu.

Hari ini, diambang sambutan ulang tahun kemerdekaan Tanah Melayu, aku cuba merenung makna diri di bumi bertuah ini.

Che Muhammad Nur Anas Bin Che Kadir
Tahun 5
Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

 

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Bagaimana Membaca Buku dan Ramadan Terakhir 1313. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.