Pagi itu aku segera bersiap untuk ke dewan peperiksaan. Jam menunjukkan angka 9. Ada tempoh lagi satu jam sebelum bermulanya peperiksaan bertulis Ophthamology. Aku duduk di birai katil. Takut sebenarnya. Hari itu aku sendiri rasa kurang yakin dengan pembacaan Ophthalmology aku. Entah di mana silapnya, aku sendiri tidak tahu. “Ya Allah, mudahkanlah. Ya Allah, kuatkanlah”, aku bermonolog sendirian dalam hati.

Mataku meliar ke segenap penjuru bilik. Kononnya mahu mencari ketenangan. Aku terpandang senaskahah al-Quran ungu di atas rak. Aku ambil lalu aku buka helaian demi helaian secara rawak. “Ya Rabb, tunjukkanlah aku sesuatu ”, rintih aku lagi. Rasa takut tadi masih belum hilang. Tiba di suatu halaman, tangan aku terhenti.

* * *

Usah ‘gagal’ bila diuji.

Anda pernah diuji? Diuji dengan kehilangan, kegagalan dan kematian? Sekaligus anda merasakan anda sudah tidak punya harapan untuk terus hidup? Atau anda rasa diri anda sudah gagal untuk menjadi manusia yang berguna? Sebenarnya anda silap. Ujian itu diberikan untuk menghidupkan jiwa anda. Ada seorang sahabat pernah diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan. Setelah berusaha dengan penuh kesungguhan, akhirnya keputusan peperiksaan ulangan memihak kepadanya. Dan apabila ditanya tentang perasaannya, beliau dengan yakinnya berkata,

“Syukur alhamdulillah. Syukur sangat. Sepanjang aku diuji, aku rasa makin dekat dengan Tuhan.”

Ujian itu mampu mematangkan. Ujian itu mampu membuatkan kita lebih dekat dengan Tuhan. Tapi kita perlu ingat, taqarrub dengan Allah perlu pada setiap masa. Bukan hanya ketika waktu susah sahaja. Tuhan itu bukan hanya ada ketika kita susah, tapi ada pada setiap masa, tidak kira susah atau senang.

Rasulullah SAW juga diuji semasa baginda hidup. Akan tetapi sirah perjuangan baginda tidak pernah putus. Jika terhenti ketika itu, maka nikmat Iman dan Islam itu tidak sampai kepada umat baginda sehingga ke hari ini. Baginda kuat, maka sebagai umatnya kita juga perlu kuat. Sekiranya anda diuji lalu anda terus rebah, itu tanda anda telah kalah!

 

Kuatkan diri dan teruslah bangkit! Hidupkan kembali impian anda. Sedarlah, anda masih punyai masa depan. Sedarlah juga bahawa anda masih punyai Tuhan.

Jangan menyerah

Tak ada manusia yang terlahir sempurna,

Jangan kau sesali segala yang telah terjadi,

Kita pasti pernah dapatkan cobaan yang berat,

Seakan hidup ini tak ada artinya lagi,

Tak ada manusia yang terlahir sempurna,

Jangan kau sesali segala yang telah terjadi,

Syukuri apa yang ada,

Hidup adalah anugerah,

Tetap jalani hidup ini,

Melakukan yang terbaik,

Tuhan pastikan menunjukkan kebesaran dan kuasaNya,

Bagi hambaNya yang sabar dan tak kenal putus asa.

Lirik lagu Jangan Menyerah, D’Masiv.

 

Lirik yang padat dengan nasihat dan pedoman. Kita sebagai manusia biasa tidak akan pernah terlepas dari ditimpa ujian. Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Boleh jadi sesuatu nikmat itu juga diturunkan sebagai suatu bala. Rasa lemah dan sedih bila diuji itu suatu perkara yang normal. Tetapi jangan bersedih dalam tempoh masa yang lama. Perbuatan sebegitu hanya akan membuatkan anda semakin lemah. Ramai orang diuji dengan kegagalan. Tapi gagal sekali tidak bermakna akan gagal buat selama-lamanya.

Kata Maria Sharapova, pemain tenis Rusia, “Saya belajar banyak dari kekalahan, dan kekalahan-kekalahan itu membuat saya semakin tabah.”

Sabar atas ujian, reda dengan ketentuan. Apabila anda meletakkan seluruh tawakal kepada Allah serta percayalah, anda pasti akan menjadi seorang manusia yang hebat!

Yakin dengan takdir.

Sehebat mana pun ujian, usah salahkan takdir. Anda menyalahkan takdir, bererti anda meragui kuasa dan kemampuan Allah.

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah : 286)

Allah beri ujian kerana Dia tahu anda mampu. Ya, dan kerana Dia lebih tahu.

*  *  *

Pagi itu aku segera bersiap untuk ke dewan peperiksaan. Jam menunjukkan angka 9. Ada lagi satu jam sebelum mula peperiksaan bertulis Ophthamology. Aku duduk di birai katil. Takut sebenarnya. Hari itu aku sendiri rasa kurang yakin dengan pembacaan Ophthalmology aku. Entah di mana silapnya, aku sendiri tidak tahu. “Ya Allah, mudahkanlah. Ya Allah, kuatkanlah..”, aku bermonolog sendirian dalam hati.

Mataku meliar ke segenap penjuru bilik. Kononnya mahu mencari ketenangan. Aku terpandang senaskahah al-Quran ungu di atas rak. Aku ambil lalu aku buka helaian demi helaian  secara rawak. “ Ya Rabb, tunjukkanlah aku sesuatu ”, rintih aku lagi. Rasa takut tadi masih belum hilang. Tiba di satu halaman, tangan aku terhenti.

Bola mataku menangkap sepotong ayat.

“ Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

(At-Taubah : 41)

Kedua belah mata terasa basah.

“Terima kasih ya Allah kerana menjawab pertanyaanku”, bisik hati kecilku.

Basmalah ditutur lalu tanganku lantas mencapai beg. Sedia untuk ‘berangkat’.

Bismillahi tawakkaltu ‘alallah. Ya Rabb, bantulah aku.

MINDA PIMPINAN

Nur Nadhira Fazlin binti Md Hanafiah
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Timbalan Bendahari
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.